*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kenapa Mahathir Tendang Daim
(Why  Mahathir Axed Daim)
Oleh  Terrence  Gomez
FEER  Edisi  5  Julai, 2001.


Walaupun Daim Zainuddin sudah menyerahkan surat perletakan jawatannya  
sebagai menteri kewangan Malaysia, pada awal Jun dulu, ramai
pengamat bersikap berpihak-pihak beranggapan apakah sudah tercetus satu 
perbalahan antara  beliau dengan perdana menteri Mahathir Mohammad. Oleh 
kerana Mahathir dan bekas sahabatnya yang paling setia, Daim, enggan 
menyatakan secara terbuka  sebab musabab pengunduran Daim itu, makin 
semaraklah spekulasi mengenai dalil-dalil  menyebabkan pengunduran beliau.
Beberapa peristiwa yang berkisaran dalam dunia korporat memberikan  gambaran 
betapa perbalahan itu memang begitu serius dan berkemungkinan besar  
mempunyai hubung-kait dengan beberapa urusan niaga yang membabitkan anak 
lelaki kedua perdana menteri, Mokhzani Mahathir. Secara khususnya, 
pembabitan  Mokhzani dalam rencana penggabungan bank yang dikatakan telah 
menjejaskan beberapa  bidang perniagaan peribadi kepunyaan Daim.

Sebelum tercetusnya krisis kewangan pada 1997 dulu, kerajaan memang  
berminat menggabungkan sektor perbankan tempatan, yang ketika itu berjumlah 
lebih 50 institusi kewangan. Apabila kerajaan bertindak memaksa penggabungan 
itu dan merancangkan kewujudan enam bank peneraju pada 1999, tercetuslah 
pelbagai bantahan daripada masyarakat perbankan.Masyarakat Cina menjadi 
tersentuh apabila mendapati banyak bank kepunyaan usahawan Cina ditelan dan 
terhakis dalam proses penggabungan itu. Ketika itu pula pemilu sudahpun 
menghampiri masanya dan Mahathir semakin tertekan dengan hakikat betapa 
perlunya sokongan pengundian orang bukan-Melayu, terutama sekali pengundi 
Cina untuk memenangkan mereka menguasai parlimen semula. Kerana  itu 
kerajaan bertindak menambah jumlah bilangan bank peneraju itu daripada 6  
menjadi 10. Desas-desus mula berterbangan betapa keputusan itu telah 
mencetuskan  satu pergeseran antara Mahathir dan Daim.

Sebelum penggabungan bank itu mula dicadangkan, para kroni Daim telahpun 
menguasai Multi-Purpose Bank (MPB) daripada T.K. Lim yang pada satu  ketika 
itu memang rapat dengan bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan 
Anwar Ibrahim. Di tahap awalan dulu, Multi-Purpose Bank telah direncana agar 
  bergabung dengan Phileo Allied Bank yang dikuasai oleh Tong Kooi Ong, yang 
juga  rapat dengan Anwar Ibrahim. Walaupun Tong mula menceburi dunia 
perbankan pada  1994, dia berjaya memajukan Phileo Allied Bank menjadi 
sebuah bank yang sungguh dinamik, berteknologi inovatif di Malaysia. Apabila 
rencana penggabungan itu disemak semula, Phileo Allied Bank telah dicabut 
daripada cadangan asal untuk bergabung dengan MPB untuk diregukan pula 
dengan Malayan Banking, ataupun kumpulan Maybank. Kumpulan Maybank adalah 
dikuasai oleh Perbadanan Nasional, ataupun PNB yang  dipengerusikan oleh 
Perdana Menteri.

Seorang lagi pemegang saham (terbesar) Phileo Allied bank ialah anak 
Mahathir, Mokhzani, yang memang sudah lama mempunyai pegangan berpada 
sebelum rencana penggabungan dicadangkan. Ada sebuah syarikat Mokhzani yang 
tersenarai di  BSKL, Tongkah Holdings, yang mempunyai pegangan bersilang 
dengan sebuah lagi  syarikat tersenarai, Pantai holdings. Pantai dan Tongkah 
mempunyai milik bersama setakat 28 persen saham Phileo Land, yang juga 
tersenarai. Phileo Land merupakan pemegang saham terbesar kerana mempunyai 
18.4% saham dalam Phileo Allied yang merupakan pemilik Phileo Allied Bank. 
Phileo Land kemudiannya menukar namanya menjadi Avenue Assets.

Satu ketika dulu Mokhzani memang rapat dengan Daim, namun Tong dilaporkan  
liat dengan rencana menggabungkan banknya dengan MPB. Mengikut rencana  
penggabungan yang disemak semula itu, Maybank telah menawarkan Avenue Assets 
satu  rencana tukar pegangan saham (share swap) bernilai 1.2 bilion ringgit 
(US $316 million) untuk mengambil-alih Phileo Allied Bank. Tawaran itu 
ditolak oleh Avenue Assets kerana lembaga pengarahnya berpendapat harga 
saham Phileo Allied bank sengaja diturunkan harganya, dan tidak pula ada 
tawaran bayaran dana tunai  dalam cadangan itu. Avenue Assets mahukan 
cadangan yang lebih lumayan dan akhirnya bersetuju menerima tunai sebanyak 
1.3 bilion daripada Maybank sebagai bayaran saham bank itu. Dengan penjualan 
itu Phileo Allied menjadi sebuah syarikat induk yang kaya-raya.

Dengan penjualan Phileo Allied Bank pada bulan Januari itu, Suruhanjaya 
Sekuriti yang tertakluk kepada Kementerian Kewangan, memberi para pemegang 
saham Phileo Allied, yang termasuk juga Avenue Assets, memberitahu bahawa 
mereka tidak boleh melepaskan pegangan saham di dalam syarikat yang kaya 
dengan wang tunai  ini. Mereka juga tidak dibenarkan menukar jumlah pegangan 
tanpa mendapatkan kebenaran awal Suruhanjaya. Peraturan ini belum pernah 
dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Sekuriti ke atas mana-mana syarikat Malaysia 
dalam sejarahnya. Ia menjadi lebih menarik  kerana peraturan yang serupa 
tidak pun dikenakan terhadap Tajuddin Ramli yang  merupakan rakan kongsi 
Daim, ketika syarikat beliau, Naluri menerima sejumlah 1.8 bilion ringgit 
daripada penjualan saham MAS kepada kerajaan. Sedangkan proses  jual beli 
itu berlaku pada waktu yang sama proses yang sama dilakukan oleh Phileo 
Allied Bank.

Pada awal April, Daim menyuarakan hasratnya mahu bercuti panjang, dan tidak 
lama kemudiannya, Mokhzani mengumumkan niatnya melepaskan semua pegangan 
korporatnya. Oleh kerana pegangan korporatnya secara terus berada pada  
Pantai dan Tongkah, yang mempunyai sebahagian besar saham Avenue Assets, dia 
tidakpun mencela syarat-syarat yang ditentukan oleh Suruhanjaya Sekuriti 
ketika membuat penjualan tersebut.
Mokhzani mengumumkan penjualan semua pegangan korporatnya itu dicetuskan 
oleh pelbagai tohmahan yang dihumbankan kepada ayahnya yang berbentuk tidak 
berasas. Untuk menjaga nama baik bapanya itulah dia bertindak mahu 
memberikan tumpuan kepada politik. Ketika itu dia merupakan Bendahari 
Pergerakan Pemuda UMNO. Pada bulan Jun, dia melepaskan juga jawatan itu. 
Oleh kerana menjual sahamnya dengan kerugian, ada beberapa faktor lain yang 
telah mempengaruhi tindakannya  untuk keluar daripada dunia perniagaan.
Ketika Mokhzani melepaskan pegangan sahamnya untuk menumpukan perhatian 
kepada politik, Daim mengeluarkan satu kenyataan agar rakyat menghormati 
keputusan Mokhzani itu. Yang lebih menarik, bekas menteri kewangan Razaleigh 
Hamzah, yang satu ketika dulu merupakan pengkritik hebat terhadap pembabitan 
anak-anak perdana menteri dalam dunia perniagaan, telah mengeluarkan 
kenyataan betapa Mokhzani sepatutnya memegang terus saham-saham korporatnya. 
Ada desas-desus mengatakan bahawa Razaleigh memang sudah lama memasang 
harapan agar dilantik menggantikan jawatan Daim itu, dan memberi ruang 
kepadanya untuk  timbul semula dalam hiraki kepimpinan UMNO.
Mokhzani telah mengalihkan saham penguasaan Pantai kepada Lim Tong Yao, 
seorang peniaga yang tidak menonjol yang menguasai sebuah syarikat pembuatan 
  sabun, Paos Holdings. Lim menyatakan bahawa Pantai mempunyai ruang yang 
luas untuk membesar dalam bidang barangan kesihatan. Lagipun syarikat itu 
mempunyai pegangan berpada dalam syarikat yang banyak hutangnya, Tongkah. 
Pantai kemudiannya melepaskan sekitar 1,2% daripada sejumlah 16% pegangan 
saham dalam Tongkah, sementara Tongkah menjual pula pada kadar kerugian, 12 
persen daripada pegangannya sebanyak 32.5 persen saham Pantai untuk 
mengurangkan bebanan hutang. Tongkah masih mempunyai bon bernilai 462.5 juta 
ringgit yang matang pada 2004.

Pada akhir Mei, perkhidmatan pos kerajaan, Pos Malaysia telah dijual kepada 
Phileo Allied. Sebelum itu tidak pun ada sebarang isyarat daripada kerajaan 
akan cadangan menjual institusi yang menguntungkannya itu untuk penswastaan 
ataupun mendapatkan peluang penyenaraiannya di BSKL dengan cara menyuntiknya 
kepada Phileo Allied. Malahan, adalah bukannya sukar untuk Pos Malaysia 
memasuki pasaran berasaskan kekuatannya sendiri, namun ahli lembaga syarikat 
itu dikatakan tidak berminat menyenaraikan syarikat itu pada tahun ini 
kerana keadaan pasaran yang lengang. Phileo Allied perlu membayar kerajaan 
sebanyak 800juta ringgit untuk membeli Pos Malaysia - 550 juta ringgit dalam 
bentuk tunai dan bakinya setara 5% melalui bon terbitan pinjaman jenis 
boleh-tukar daripada kerajaan. Kerajaan  boleh tukar pinjaman itu menjadi 
saham ekuiti, bererti kerajaan berkemungkinan menjadi pemegang saham 
terbesar di Phileo Allied pada satu masa dalam tempoh lima tahun. Oleh 
kerana Pos Malays diswastakan ketika Daim sedang bercuti, keputusan 
mengalihkan kuasa kepada Phileo Allied sudah tentu bukan keputusannya.

Beberapa isu yang membabitkan Phileo Allied, rencana penggabungan bank dan 
penswastaan Pos Malaysia telah mencetuskan banyak persoalan mengenai 
pentadbiran kerajaan dan korporat di Malaysia. Kenapakah Phileo Allied 
dijual kepada Maybank, yang tidak berapa berminat dengan penggabungan itu 
kerana ia mempunyai peluang untuk bergabung dengan satu ataupun lebih bank 
peneraju kecilan yang berjumlah sembilan semuanya itu? Apakah sebenarnya 
kriteria yang menentukan bank peneraju dan rakan gabungan mereka? Kenapakah 
Suruhanjaya Sekuriti mengenakan syarat terhadap Phileo Allied tetapi tidak 
pula terhadap Naluri sedangkan kedua syarikat ini menerima bahagian besar 
wang kerajaan ketika menjual asset mereka?
Kenapakah Pos Malaysia dijual secara tergesa-gesa tanpa sebarang notis, 
kepada sebuah syarikat yang akhirnya dikuasai oleh seorang manusia yang 
telah membeli syarikat-syarikat milik Mokhzani? Mungkinkah putar-belit 
perniagaan ini mempunyai satu kaitan kepada tergugatnya kemesraan antara 
Daim dan Mokhzani? Yang lebih menarik lagi, perbalahan yang tercetus antara 
Mahathir dan Anwar dulu berpunca daripada penentangan Anwar terhadap 
cadangan kerajaan untuk mengambil-alih aset daripada syarikat yang dibebani 
hutang kepunyaan anak Mahathir yang bernama Mirzan Mahathir.

Semua sepak terajang politik untuk menguasai aset korporat memang 
menunjukkan kepada beberapa pembangunan penting sejak 1998. Apabila Anwar 
diaibkan dan tercampak daripada UMNO, segala aset korporat yang pernah 
dimiliki oleh para penyokongnya telah pun diambil-alih oleh manusia yang 
tidak menyokongnya. Para peniaga yang mempunyai hubungan baik dengan Daim 
telah meraih keuntungan besar daripada pengagihan semula segala aset itu. 
Bersabit dengan itulah tercetusnya pelbagai perbalahan antara kelompok 
elitis politik dan perniagaan dan mendedahkan Daim kepada kritikan yang 
berbisa yang membabitkan juga ahli  partinya. Yang lebih pening lagi, cubaan 
Daim untuk mencengkam pengaruh yang besar ke atas industri perbankan yang 
digabungkan itu menjadi satu punca perbalahan yang hebat antara beliau dan 
Mahathir.
Walaupun Daim yang sungguh berpengaruh itu sudah pun tertendang, adalah  
tidak mungkin kerajaan akan mengamalkan satu pentadbiran yang telus dan 
lebih bertanggungjawab. Kerajaan sudah pun mengumumkan 10 bank yang 
digabungkan itu akan dikenakan satu proses penggabungan lagi. Hanya empat 
hingga lima bank besar sahaja yang akan muncul daripada perencanaan terbaru 
itu nanti. Walaupun Daim tidak berkemungkinan mempunyai kuasa pemilik 
terhadap satu  ataupun lebih lagi daripada satu daripada hasil penggabungan 
itu nanti, namun tidak ada sebab kenapa rakyat marhaen mampu beranggapan 
semua bank itu tidak akan dicemari lagi di masa depan.

Tanpa pemeriksaan dan seliaan kerajaan nampaknya segala rencana reformasi 
Mahathir tidak akan menyuntik sebarang keyakinan kepada sektor korporat 
Malaysia. Sebaliknya, tumpuan utama akan terfokus kepada cara mana  Mahathir 
mahu menangani segala perniagaan para juak dan jongos Daim termasuklah 
segala aset dan hutang berkarat yang masih lagi dalam penguasaan mereka 
semua.

Tamat

Diterjemahkan oleh SPAR-03-031
_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Hoot Hoot" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke