*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tambang haji: Jangan aniaya umat Islam - rakyat
Oleh Roy Rasul, Rizal Ahmad dan Nur Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Hrkh) - Keputusan muktamad kerajaan menaikan tambang 
menunaikan fardu haji ke tanah suci Mekah semalam disifatkan sebagai tidak 
patut.

Rata-rata umat Islam yang ditemui oleh Harakahdaily, melahirkan bantahan dan 
meminta kerajaan menurunkan balik tambang tersebut walaupun alasan 
mengatakan kos perkhidmatan di Mekah telah meningkat antara 10 hingga 11.5 
peratus atau RM860 hingga RM990 seorang Semalam, kerajaan memutuskan untuk 
menaikkan tambang haji daripada RM8,585 seorang kepada RM9,445 untuk jemaah 
Semenanjung, RM9,530 (Sarawak) dan RM9,575 (Sabah).

Pemandu teksi, Mohd Nazri Hashim, 37, dengan nada kesal berkata, langkah 
kerajaan menaikkan kos tambang ke Mekah secara mendadak itu sebagai tidak 
wajar dan menekan umat Islam.

Katanya, dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil sekarang, kerajaan 
seharusnya membantu rakyat, apatah lagi mengerjakan rukun kelima Islam itu 
adalah sesuatu yang dituntut oleh Allah S.W.T.

"Sepatutnya kerajaan bantulah umat Islam, sesuai dengan negara ini yang 
dikatakan negara Islam, bukannya membiarkan rakyat terus dalam kesusahan," 
katanya.

Kerani di sebuah syarikat insurans, Zakiah Zakaria, 28, menyifatkan 
keputusan kerajaan menaikkan tambang sehingga 10 peratus itu, membebankan 
rakyat.

Beliau berkata, tambang sebelum ini pun sudah cukup tinggi. Menurutnya 
kenaikan ini tidak adil, terutamanya bagi umat Islam yang berpendapatan 
rendah.

"Kenaikan ini membuatkan umat Islam yang berhajat tunaikan fardu haji 
terpaksa menambahkan simpanan ataupun tangguhkan niat mereka," katanya 
ditemui di pejabatnya di Taman Seri Rampai, Setapak, hari ini.

Pesara kerajaan, Mohd Sharif Ali, 65, tidak bersetuju dengan tindakan Tabung 
Haji menaikkan tambang ke tanah suci, yang dianggapnya terlalu tinggi.

Beliau yang pernah mengerjakan Haji pada tahun 1990 lalu mengatakan bahawa 
kenaikan itu adalah hampir seratus peratus daripada tambang ketika beliau ke 
sana dahulu.

"Pak Cik cukup tak bersetuju dengan kenaikan ini. Ini kerana keputusan 
kerajaan menaikkan tambang tersebut adalah melampau, walaupun mereka 
mengemukakan alasan kenaikan tambang kapal terbangk dan kos penginapan.

"Sepatutnya kerajaan membantu bakal-bakal haji untuk menunaikan hajat yang 
menjadi perkara wajib ini," katanya.

Beliau berkata sekiranya syarikat besar boleh kerajaan selamatkan kenapa 
tidak boleh membantu orang yang hendak pergi haji.

Ahli perniagaan, Khairul Hj Hassan, 24, meminta kerajaan tidak menaikkan 
dengan sewenang-wenangnya sebab dengan keadaan ekonomi sekarang ini rakyat 
tidak mampu untuk membayar tambang yang ditetapkan itu.

Beliau yang turut mempunyai akaun di Tabung Haji berharap kerajaan 
menimbangkan semula kenaikan ini.

Pengedar akhbar, Rosdi Muhamad, 20, berpendapat dengan pendapatan yang 
diperolehinya sekarang, hajat untuk Ke Mekah tidak dapat dipenuhinya.

"Saya memang hendak pergi tapi dengan langkah kerajaan ini nampaknya makin 
susah untuk saya ke sana sebab pendapatan saya tak banyak," katanya yang 
berasal Pulau Kerengga, Terengganu.

Kenaikan tambang ke Tanah Suci ini turut dipertikaikan oleh seorang 
Setiusaha Eksukutif, Cik Norian Din, 30, yang akan ke sana tahun depan.

Katanya sebagai penyimpan dan bakal jemaah, sewajarnya Tabung Haji 
memberitahu perkara itu kepada mereka.

"Mengapa Tabung Haji umumkan menerusi media sahaja. Sebaliknya kami sebagai 
penyimpan tetapnya tidak diberitahu secara rasmi. Kami juga nak tahulah 
sebabnya secara rasional," katanya.

Katanya, kenaikan ini perlu dikaji semula agar ia tidak menganiaya para 
jemaah haji kerana bakal haji secara automatik perlu menambahkan 
simpanannya.

"Bagi yang mampu tidaklah terasa sangat, tetapi orang kampung tentulah akan 
merasa peritnya," jelasnya lagi.

Sementara itu Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat, Salahuddin 
Ayub, mencadangkan supaya diwujudkan Tabung Haji "kedua" yang 
berorientasikan matlamat asal Tabung Haji iaitu menjaga kepentingan rakyat 
bagi menunaikan haji di disamping membangun ekonomi umat Islam.

Menurut beliau, berdasarkan matlamat asal penubuhannya, Tabung Haji kini 
telah menyimpang daripada peranannya menjaga kebajikan umat Islam.

Salahuddin berkata, Tabung Haji yang ada sekarang lebih banyak menumpukan 
perhatiannya kepada projek perniagaan yang memberi keuntungan kepada pihak 
yang berkepentingan.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Prof Diraja Ungku 
Aziz kerana beliau adalah salah seorang tokoh yang mengilhamkan penubuhan 
Tabung Haji bagi mendapatkan pandangan beliau berhubung isu tersebut, 
katanya lagi.



_________________________________________________________________
Get your FREE download of MSN Explorer at http://explorer.msn.com/intl.asp


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Ismael AbdulRahman" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke