300 remaja Melayu dikesan terlibat Punk, Skin Head
KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kira-kira 200 hingga 300 remaja Melayu bawah umur dikesan terlibat dalam aktiviti kumpulan Skin Head dan Punk yang bergiat aktif di sekitar kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), khususnya setiap hujung minggu.
Exco Pemuda UMNO, Abdul Rauf Yusof berkata, kedua-dua kumpulan ini didapati mengamalkan kegiatan yang berunsur keganasan dan juga tidak percaya kepada sebarang agama termasuk Islam.
Menurut beliau, mereka juga sering kali mengganggu pengunjung dan pegawai keselamatan KLCC serta merosakkan harta benda awam yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan yang menempatkan Menara Berkembar Petronas.
``Berdasarkan pemantauan kami, kumpulan ini mula bertindak liar di waktu malam sehingga menimbulkan keresahan di kalangan orang ramai yang lalu lalang di situ. Malah, kumpulan ini turut dikesan menyerang seorang pengawal keselamatan KLCC yang cuba mencegah perbuatan ganas mereka beberapa bulan lalu,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Remaja Lepak antara KLCC dan Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.
Berdasarkan persetujuan antara Pemuda UMNO dan pihak pengurusan KLCC, sebuah jawatankuasa sementara akan ditubuhkan bagi menangani masalah berkenaan.
Malah, beliau menambah, jawatankuasa itu akan turut menangani masalah sosial yang sering ditimbulkan oleh remaja bawah umur yang lain dengan mengadakan pelbagai aktiviti yang menarik pada setiap petang atau hujung minggu di lokasi strategik di KLCC.
``KLCC menerima kunjungan 4,000 sehingga 5,000 remaja setiap hari dan angka itu akan meningkat pada hujung minggu. Oleh itu, melalui jawatankuasa ini, kami akan berusaha mewujudkan pelbagai aktiviti yang boleh menarik remaja seperti rekreasi, sukan lasak dan juga pasukan sukarelawan di KLCC dalam tempoh yang terdekat ini,'' katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, apa jua aktiviti yang dijalankan kelak akan dinilai dalam tempoh enam bulan sama ada sesuai bagi menangani masalah remaja di KLCC.
