PHNOM PENH
28 Dis. - Tiga pegawai kanan polis Kemboja dipecat kerana membolehkan anak
saudara Perdana Menteri Hun Sen dan seorang lelaki lain yang terlibat dalam
kejadian tembak-menembak, melarikan diri, kata pemimpin itu hari ini.
``Jangan tanya saya mengapa anda diturunkan pangkat,'' kata Hun Sen
kepada para pemberita.
``Jawapannya pendek kerana anda tidak melaksanakan undang-undang, anda
perlu dipecat dari jawatan yang ada,'' katanya.
Pegawai-pegawai polis berkenaan dipecat selepas kejadian
tembak-menembak pada 16 Disember lalu, membabitkan dua anak saudara Hun Sen,
Hun Chea dan Hun To yang bertengkar dengan satu lagi kumpulan kerana seorang
wanita muda.
Pertengkaran mereka bertambah buruk dan beberapa lelaki dalam setiap
kumpulan termasuk pengawal peribadi Hun To, mengeluarkan senjatanya dan
melepaskan tembakan, menyebabkan seorang cedera di kaki dan merosakkan dua
kenderaan.
Polis Phnom Penh menyoal siasat beberapa orang yang terlibat dalam
kejadian tembak-menembak itu, dan menangkap lima orang termasuk Hun Chea,
tetapi bukannya Hun To.
Ketua Polis Negara Kemboja, Hok Lundy memecat Ketua Polis Perbandaran
Phnom Penh, Maj. Kol. Khoun Sophan semalam kerana Hun To masih bebas.
Dua lagi pegawai polis kanan dari Kementerian Dalam Negeri juga dipecat
kelmarin kerana membolehkan salah seorang daripada lima yang ditahan melarikan
diri.
Hun Sen memberi amaran pegawai-pegawai polis lain yang gagal
melaksanakan tugas mereka akan menghadapi nasib yang sama.
``Ini adalah perintah,'' kata Hun Sen. ``Bukan semua anak, anak saudara
ataupun keluarga Hun Sen baik,'' katanya. - AFP
[