Berikut adalah maklumat lanjut mengenai insiden gangster UMNO memukul EXCO Pemuda keADILan Saudara SD Johari, seperti yang dimaklumkan di dalam satu temuramah khas dengan Saudara Zammil Ibrahim, Pengerusi JK Keselamatan Pemuda keADILan bagi PRK IK:
Pada pagi Ahad lebih kurang satu pagi, saya berjumpa dengan Saudara SD Johari di Bilik Gerakan Pengkalan Assam bagi mengagihkan 'wang minyak' kepada petugas BA membuat rondaan pada malam itu.
Sebagai Pengerusi JK Keselamatan Pemuda bagi PRK ini, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mempastikan keselamatan petugas dan bilik gerakan kita terjamin, apatah lagi berikutan pelbagai insiden keganasan yang dilakukan penyokong BN setakat ini.
Setelah itu saya bertolak pulang ke rumah penginapan EXCO Pemuda keADILan untuk berehat seketika. Dalam perjalanan pulang, saya terserempak dengan dua buah van Puteri UMNO dan empat buah kenderaan lain, dipercayai milik petugas BN. Kenderaan-kenderaan tersebut berada di hadapan Hotel Putera Palace, Kangar.
Sebagai langkah berjaga-jaga, saya menelefon Saudara SD Johari supaya memaklumkan kepada petugas untuk berhati-hati, bimbang sekiranya petugas-petugas BN yang saya jumpai itu merancang untuk membuat kacau lagi pada malam itu. Ini berdasarkan kejadian dua tiga hari kebelakangan ini yang mana penyokong BN bukan sahaja mengoyak poster keADILan dan BA, malah merosakkan kenderaan petugas kita.
Setelah beberapa ketika di rumah penginapan EXCO Pemuda, saya mendapat panggilan telefon dari Saudara SD Johari meminta saya terus ke pusat bandar Kangar, kerana berlaku kekecohan di situ.
Saya dimaklumkan dengan ringkas oleh beliau bahawa petugas-petugas BN telah ditangkap merosakkan harta benda dan mengoyak poster-poster BA.
Lalu saya terus memandu ke tempat yang diarahkan oleh Saudara SD Johari.
Apabila saya tiba di situ, keadaan telah menjadi kecoh apabila Saudara SD Johari dan tiga orang petugas BA yang lain sedang dikepung oleh lebih kurang 150 orang, dipercayai semuanya petugas BN.
Mereka menolak dan cuba memukul Saudara SD Johari sehingga cermin mata beliau terjatuh dan pecah. Kemudian, petugas-petugas keADILan itu masuk ke dalam kereta untuk menyelamatkan diri dari kejadian tidak diingini, apatah lagi melihat kegilaan petugas-petugas UMNO itu.
Namun, mereka (petugas UMNO) menendang dan cuba merosakkan kereta Saudara SD Johari. Mereka juga mematahkan papan plat kereta tersebut. Dua hari lepas, petugas BN dipercayai telah memecahkan cermin sisi kereta Saudara SD Johari pada sebelah malamnya.
Sepanjang kekecohan itu berlaku, saya dapati terdapat dua orang pegawai polis beruniform, dipercayai dari Balai Polis Kangar. Pengamatan kami mendapati seorang bernama Korporal Zulkifli, dan seorang lagi bernama Korporal Abdul Halim. Kehadiran mereka didapati tidak pula meredakan keadaan.
Sebagai seorang awam, apabila melihat keadaan mencemaskan yang melibatkan 150 orang merusuh ingin mencederakan empat orang yang lain, saya terus ke Balai Polis Kangar untuk memaklumkan perkara ini kepada pihak yang berkuasa.
Saya dimaklumkan kemudian (setelah berjumpa kembali dengan Saudara SD Johari dan petugas-petugas yang lain) bahawa selepas kekecohan tersebut, Saudara SD Johari berjaya menghidupkan kereta dan beredar dari kawasan itu.
Walau bagaimanapun, petugas BN nampaknya betul-betul ingin menganiayai mereka pada malam itu.
Lebih kurang 15 buah kereta dan 20 buah motosikal mengejar kereta Saudara SD Johari dan selepas 10 minit, mereka berjaya mengepong kereta tersebut.
Dalam keadaan kelam kabut dan gelap, kerana bimbangkan keselamatan mereka, Saudara SD Johari dan petugas yang lain membuat keputusan untuk meninggalkan kereta dan berpecah menyelamatkan diri, agar kumpulan samseng itu juga terpaksa berpecah.
Saya dimaklumkan kemudian bahawa tiga orang petugas yang lain sempat melarikan diri dan menyembunyikan diri di Balai Bomba Kangar sehingga dijumpai kemudiannya, sementara Saudara SD Johari terus dikejar oleh kumpulan petugas UMNO tadi.
Beliau akhirnya dikepung dan dibelasah di situ. Tidak cukup dengan itu, beliau diheret dan dipaksa ke Bilik Gerakan BN Wilayah Persekutuan. Saya dimaklumkan oleh Saudara SD Johari selepas itu bahawa beliau terus dipukul di situ.
Sementara itu, saya terus cuba menghubungi Saudara SD Johari tetapi tidak berjaya. Akibat bimbang sesuatu yang tidak diingini akan berlaku, saya terus membuat laporan polis.
Namun, akibat sikap sambil lewa polis, tiada tindakan diambil buat beberapa ketika.
Oleh itu, saya nekad dan membuat keputusan untuk mencari keempat-empat mereka sendiri, apatah lagi menjadi tanggungjawab saya mempastikan keselamatan petugas BA dan Pemuda keADILan.
Setelah diminta, pihak polis akhirnya bersetuju mengekori saya menjejaki kereta Saudara SD Johari dan petugas-petugas kita.
Selepas hampir 20 minit, saya melihat satu kumpulan manusia yang besar sedang mengerumuni sebuah kereta. Saya terus cam kereta itu milik Saudara SD Johari, tetapi beliau tidak berada di situ.
Sebelum itu, saya telah ke Balai Bomba dan berjumpa dengan petugas-petugas BA yang lain. Walaupun tidak mengalami apa-apa kecederaan, mereka jelas terkejut kerana tidak biasa berdepan dengan unsur gangsterisme seperti itu.
Ketika saya sampai ke kawasan di mana kereta Saudara SD Johari berada, lebih kurang 10 orang anggota polis juga sudah berada di situ. Mereka dipercayai diketuai oleh seorang yang bernama Inspektor Amirul.
Saya dimaklumkan bahawa Saudara SD Johari sudahpun dibawa ke balai polis oleh petugas BN di Bilik Gerakan Wilayah Persekutuan. Tidak pula saya tahu kenapa Saudara SD Johari yang perlu diserahkan kepada polis, bimbang juga jika beliau akan difitnah pula sebagai mencerobohi bilik gerakan BN, dan ia memberi justifikasi kepada tindakan memukul beliau dengan sedemikian rupa.
Saya mendapati petugas-petugas BN yang memakai jaket mereka sedang memeriksa kereta Saudara SD Johari, termasuk membelek-beleknya dipercayai cuba mengambil sesuatu.
Terdapat satu jaket BN di atas bonet kereta itu, saya percaya milik salah seorang ahli kumpulan yang memukul Saudara SD Johari. Jaket itu cuba diambil oleh seorang petugas BN yang lain.
Melihat kejadian ini, saya terus melarang beliau dan memintanya tidak mengganggu apa-apa kerana kereta itu akan menjadi bahan saksi di dalam kes jenayah nanti.
Tanpa semena-mena, saya ditegur dengan nada yang kasar oleh Inspektor Amirul. Apabila saya menyuarakan pendapat saya bahawa tempat jenayah seperti itu tidak boleh diganggu kerana peguam kami mungkin mahu mengambil maklumat, beliau memarahi saya dan mengarahkan pegawai polis yang lain menahan saya.
Ini dibuat di hadapan petugas-petugas BN yang berada di situ.
Keadaan diredakan apabila saya menerima nasihat beberapa orang anggota polis yang lain supaya tidak membawa kes itu ke peringkat yang lebih tinggi dan berundur dari tempat kejadian.
Pada ketika itu, saya cukup bimbang dengan keadaan Saudara SD Johari. Oleh itu, tanpa melengahkan masa, saya terus bertolak ke Balai Polis Kangar, sambil memaklumkan pimpinan parti yang lain.
Kami sampai lebih kurang dua puluh minit kemudiannya, tetapi pihak polis masih enggan membenarkan kami berjumpa dengan Saudara SD Johari.
Tidak beberapa lama kemudian, kawasan itu dipenuhi oleh aktivis dan pemimpin BA termasuk Setiausaha Agung Saudara Sahri Bahri dan Timbalan Ketua Pemuda Saudara Saifuddin Nasution Ismail.
Selepas itu, barulah kami dapat berjumpa dengan Saudara SD Johari yang luka teruk.
Pagi ini, beliau telah dibawa ke hospital untuk dirawat.
Kami juga sudah membuat laporan polis mengenai perkara ini. Harapan kami agar ia ditangani dan disiasat dengan adil.
Sukar untuk menggambarkan keadaan rupa Saudara SD Johari tanpa foto, tetapi memadailah jika saya katakan lambang keADILan membawa makna sekali lagi di Kangar, kerana setelah beliau dibelasah sebegitu teruk, matanya juga lebam seperti mata Dato' Seri Anwar Ibrahim.
di petik dari http://ik2002.info/
_____________________________________________________________________
Disclaimer: This email and any attachments may contain confidential and/or proprietary information. If you are not the intended recipient,
kindly delete this email including all attachments, destroying all forms of all copies, and do not disclose, disseminate or otherwise make use of the information contained therein. Non-compliance with the forgoing may result in legal action.
This message has been checked for all known viruses by the
MessageLabs Virus Scanning Service. For further information visit
http://www.messagelabs.com/stats.asp
