Assalamualaikum ........
 
Mengenai 'soalan perangkap' oleh golongan atheis, kepada golongan yang mempercayai Tuhan mempunyai kekuasaan yang mutlak tanpa ada sebarang kelemahan, seperti yang saya timbulkan. Sebenarnya saya mempunyai jawapan tepat yang akan menunjukkan Allah tiada kelemahan berdasarkan soalan tersebut.
 
Selepas berlaku perbincangan antara kawan saya mengenai 'soalan perangkap' tersebut (tingkatan 2 - tahun 70an, seperti dalam email saya yang lepas), salah seorang kawan saya telah berjumpa dengan ustaz (yang mengajar subjek agama) dan sehari kemudian ia telah memberitahu kami bahawa ustaz tersebut berkata, lebih kurang maksudnya, "kita kena percaya bahawa Tuhan itu maha berkuasa dan tiada kelemahan, kita tidak boleh berfikir benda-benda macam ni, tak sampai ilmu kita, ........." . Kemudian saya jawab balik, "jika persoalan ini diajukan kepada Allah pasti ia dapat memberi jawapan" ini menyebabkan beberapa kawan saya nampak tidak puashati mungkin kerana saya tidak menerima penjelasan ustaz bahawa kita tidak boleh berfikir pekara sebegini. Sebenarnya saya tidak pegang cakap ustaz tersebut kerana persoalan ini saya serah kepada Allah.
 
Dua tahun kemudian, sewaktu di tingkatan 4, dalam kelas Hisab/Matematik Tambahan, dengan izin Allah, saya telah nampak kaitan atau ilham yang dapat menjawab persoalan tersebut. Setelah berada di universiti, saya terus memikirkan persoalan ini dan akhirnya dengan izin Allah bukan sahaja saya mendapat jawapan kepada persoalan tersebut tetapi juga saya dapat membuktikannya secara matematik. Apabila persoalan ini timbul dikalangan kawan-kawan saya, sewaktu di universiti, saya telah menggunakan kaedah saya untuk menjawabnya dan Alhamdulillah, pada waktu itu tiada siapa yang dapat mempertikaikannya dan tiada ruang bagi mereka untuk mencari kelemahan kepada jawapan saya tersebut. Tetapi disebabkan mereka mendapat dengan mudah jawapan tersebut, beberapa bulan kemudian ada yang bertanya saya kembali akan jawapan tersebut. Sebenarnya jawapannya mudah dan tidak sampai seminit untuk menjawabnya dan bukti secara matematik juga bukanlah terlalu kompleks kerana mereka yang menguasai matematik sehingga tingkatan 4 atau 5 sudah boleh memahaminya.
 
Selain dari itu jawapan tersebut juga boleh didapati dengan merenung langit ciptaan Allah seperti firman Allah yang bermaksud "....apakah manusia tidak melihat akan kejadian langit dan bumi kerana disitu ada tanda-tanda bagi mereka yang berfikir....". Tetapi pada hari ini siapa yang lebih banyak berfikir mengenai kejadian langit dan bumi, dan menguasainya?
 
Kesimpulan yang boleh saya buat ialah ;
1. Ilmu adalah milik Allah dan ia terlalu luas dan apa yang difahami oleh manusia adalah terlalu sedikit. 
 
2. Jika kita (termasuk juga ustaz) tidak tahu sesuatu pekara, jangan anggap orang lain juga tidak tahu dan jangan halang orang lain dari memikirkannya tetapi berikan batas-batasnya supaya tidak tergelincir dari akidah. Jika saya pegang cakap ustaz saya (sewaktu di tingkatan 2), mungkin sampai sekarang saya tidak dapat jawapan tersebut (dengan kehendak Allah). 
 
3. Kita boleh lihat bentuk pemikiran dalam persoalan ini seperti pandangan 2  orang netters yang berkata 'tidak perlu memikir pekara sebegini, merasa terkilan dan sedih dengan persoalan yang ditimbulkan'. Ada juga yang memberi contoh ' ...bolehkah manusia memakan taiknya sendiri..' Apakah setakat ini sahaja keupayaan orang Islam pada hari ini untuk memikirkan sesuatu pekara? Sedangkan Al-Quran berada ditangan kita, lubuk segala ilmu.
 
4. Ilmu adalah milik Allah, untuk mendapatkannya manusia secara umumnya perlu mempunyai sifat-sifat yang sesuai dengan tuntutannya seperti merendah diri, tidak riak dan takabur dan selalu berserah kepadanya. Tetapi kita pula pada umumnya tidak mempunyai sifat-sifat tersebut.
 
Saya timbulkan persoalan ini kepada saudara TigerChan kerana dia mempunyai pengalaman debat yang luas dalam forum antarabangsa dan mungkin dia mempunyai jawapan yang lebih baik dari apa yang saya ada. Begitu juga di dalam Hizbi-net ini kita mempunyai ramai pakar-pakar di dalam banyak pekara, malah mereka mempunyai sumber rujukan seperti ustaz-ustaz atau mungkin juga ulama dan mungkin mereka juga mempunyai jawapan yang baik.
 
Mengenai jawapan yang ada pada saya , Insya'allah saya akan berikan, tetapi saya minta saudara- saudara cuba memikirkannya dahulu kerana saya sendiri mengambil masa bertahun untuk memikirkannya. Biasanya kita akan lebih menghargai pekara yang kita dapat dalam keadaan sukar daripada dalam keadaan senang.
 
Wasallam.
 

Kirim email ke