Telekom untung RM2.44b sebelum cukai 2001


KUALA LUMPUR, Selasa: Telekom Malaysia Bhd (Telekom Malaysia) mencatat keuntungan sebelum cukai RM2.44 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu, angka tertinggi dalam sejarah korporatnya.

Pengerusi Telekom Malaysia, Datuk Md Radzi Mansor, ketika mengumumkan keputusan kewangan itu berkata, keuntungan berkenaan meningkat hampir sekali ganda daripada RM1.25 bilion yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai tinggi itu dicatat hasil perolehan dagangan kumpulan yang meningkat 9.7 peratus, daripada RM8.81 bilion pada 2000, kepada RM9.67 bilion sepanjang tahun lalu.

Bercakap pada sidang akhbar di sini petang ini, Md Radzi berkata, pendapatan bersih kumpulan juga meningkat lebih satu setengah kali ganda sepanjang tempoh itu.

Pendapatan bersih kumpulan melambung 156.9 peratus kepada RM1.8 bilion sepanjang tahun lalu, melonjakkan kadar pendapatan sesahamnya kepada 58.6 sen.

Sebahagian besar prestasi kewangan itu diperoleh hasil pendapatan kendalian yang lebih tinggi bagi segmen perkhidmatan telefon. Ia menyumbang 64.9 peratus kepada perolehan syarikat.

Md Radzi berkata, kenaikan untung juga diperoleh hasil keuntungan luar biasa RM827.765 juta yang diraih daripada pelupusan 49.99 peratus ekuitinya dalam Digital Phone Company Ltd (DPC), pengendali perkhidmatan telefon selular di Thailand.

Sumbangan keuntungan daripada pelaburan luar negara turut menyaksikan peningkatan memberangsangkan dengan mewakili kira-kira 36.7 peratus daripada keseluruhan keuntungan sebelum cukai yang diraih tahun lalu.

“Keuntungan lebih baik juga dicapai hasil kejayaan dasar pengurusan kewangan berhemat, penurunan kos faedah, keuntungan tukaran asing dan sumbangan anak syarikat serta sekutunya yang meningkat.

“Sementara itu, perniagaan selular dan data iaitu dua segmen yang mencatatkan pertumbuhan pantas, masing-masing menyumbang 17.8 peratus dan 1.9 peratus kepada perolehan syarikat sepanjang tahun lalu,” katanya.

Md Radzi berkata, Telekom Malaysia membelanjakan RM2.3 bilion bagi meningkatkan keupayaan prasarana dan jaringan rangkaiannya tahun lalu.

Daripada jumlah itu, TM Cellular Sdn Bhd, anak syarikatnya yang mengendalikan perkhidmatan telekomunikasi bergerak TMTouch, memperuntukkan RM685 juta memperbaiki kualiti liputannya.

Jumlah pelanggan talian tetap Telekom Malaysia meningkat kepada 4.659 juta tahun lalu walaupun ekonomi negara agak lembap, manakala pelanggan asas TM Touch meningkat 67.1 peratus kepada 1.21 juta.

Telekom Malaysia juga masih menguasai 70 peratus perniagaan Internet dengan asas pelanggan 1.27 juta iaitu peningkatan 46 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Perkhidmatan Internet dan data akan menjadi penyumbang terbesar perolehan syarikat pada masa depan sejajar dengan perkembangan negara yang semakin melangkah ke era teknologi maklumat,” katanya.

_____________________________________________________________________
Disclaimer: This email and any attachments may contain confidential and/or proprietary information. If you are not the intended recipient,
kindly delete this email including all attachments, destroying all forms of all copies, and do not disclose, disseminate or otherwise make use of the information contained therein. Non-compliance with the forgoing may result in legal action.

This message has been checked for all known viruses by the
MessageLabs Virus Scanning Service. For further information visit
http://www.messagelabs.com/stats.asp

Kirim email ke