Pendidikan Islam, subjek moral merosot

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Pengetahuan cetek mengenai Fardu Ain termasuk tidak tahu cara-cara mandi wajib menyebabkan bilangan calon yang lulus mata pelajaran Pendidikan Islam pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2001 merosot berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat berkata, calon yang lulus mata pelajaran tersebut merosot daripada 92.4 peratus pada tahun 2000 kepada 87.5 peratus pada tahun lalu.

``Pelajar gagal memperoleh keputusan baik kerana huraian jawapan yang diberi mereka tidak lengkap berpunca daripada pengetahuan asas Islam yang agak cetek,'' katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan SPM 2001 di Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) di sini hari ini.

Beliau berkata, kemerosotan tersebut adalah sangat serius dan berharap Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, pengetua dan guru membuat analisis bagi mengetahui puncanya.

``Saya percaya sebab-sebabnya dapat dikesan di dalam bilik darjah sendiri,'' ujarnya.

Tambah beliau, Pengetahuan Moral juga menunjukkan kemerosotan daripada 81.7 peratus tahun 2000 kepada 72.7 peratus tahun 2001.

``Ia berpunca daripada sikap pelajar yang menganggap mata pelajaran ini tidak penting semasa memasuki universiti dan ketika memohon pekerjaan,'' tegasnya.

Beliau berkata, pihaknya akan memperkenalkan kaedah baru bagi mengajar mata pelajaran tersebut termasuk mewajibkan pelajar membaca bahan bacaan berkaitan moral selain daripada buku teks.

``LPM juga akan mengadakan taklimat secara terus kepada guru yang mengajar mata pelajaran ini dan bukan kepada pengetua sahaja seperti sekarang,'' jelasnya.

Mengenai kemerosotan mata pelajaran Matematik daripada 72.1 peratus kepada 70 peratus tahun 2001, Abdul Rafie berkata, kemerosotan sebanyak 2.1 peratus tersebut adalah marginal (kecil).

``Kemerosotan berpunca daripada kelemahan pelajar menguasai konsep-konsep asas Matematik dan gagal menunjukkan jalan penyelesaian secara tepat dan tersusun,'' ujarnya.

Ditanya mengenai kemerosotan mata pelajaran elektif sains seperti Biologi, Fizik dan Kimia, Abdul Rafie berkata, ia berpunca daripada faktor persekitaran dan juga kelemahan pelajar sendiri.

``Jumlah calon yang lulus mata pelajaran Biologi merosot sebanyak 0.4 peratus berpunca dari kekurangan kemudahan seperti makmal sains,'' jelasnya.

Bagi mata pelajaran Fizik yang merosot sebanyak 2.8 peratus, jelasnya, ia disebabkan calon tidak mempunyai keyakinan untuk menjawab soalan secara berkesan dan dengan fakta yang kukuh.

``Kemerosotan mata pelajaran kimia sebanyak 2.4 peratus pula berpunca daripada kelemahan calon menguasai istilah serta konsep-konsep asas kimia dan kegagalan melukis gambarajah secara tepat,'' katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2002&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm


_____________________________________________________________________
Disclaimer: This email and any attachments may contain confidential and/or proprietary information. If you are not the intended recipient,
kindly delete this email including all attachments, destroying all forms of all copies, and do not disclose, disseminate or otherwise make use of the information contained therein. Non-compliance with the forgoing may result in legal action.

This message has been checked for all known viruses by the
MessageLabs Virus Scanning Service. For further information visit
http://www.messagelabs.com/stats.asp

Kirim email ke