KUALA TERENGGANU, 7 Mac (Hrkh) - Kerajaan negeri akan terus memastikan segala hasrat dan matlamat semua pihak khususnya Kementerian Pendidikan dalam menjadikan masyarakat berilmu dan memartabatkan pendidikan negara ke peringkat antarabangsa akan tercapai. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, pendidikan merupakan agenda pelaburan jangka panjang untuk menyediakan tenaga mahir generasi baru yang akan menjawab cabaran masa akan datang. "Jika kita tidak bersedia untuk menghadapi masa depan, maka perancangan kita akan dianggap gagal atau separuh gagal," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan, Latihan dan Kerjaya (Edu-Care) 2002 di Pusat Dagangan Terengganu di sini, hari ini. Perasmian dilakukan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Dato' Abdul Aziz Shamsuddin. Tambahnya, melihat tanggungjawab itu, kerajaan negeri akan dan bersedia bekerjasama dan berganding bahu untuk memastikan perancangan pendidikan berjaya dilaksanakan. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Edu-Care 2002 berkata, ekspo itu merupakan satu peluang keemasan kepada para pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat terkini peluang melanjutkan pelajaran dan kerjaya. "Pada kesempatan ini, kerajaan negeri juga merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua warga pendidik khususnya pengetua-pengetua sekolah yang telah membantu pencapaian cemerlang keputusan peperiksaan SPM dan STPM negeri ini," katanya. Katanya, gabungan sokongan, kerjasama dan kesungguhan semua pihak sama ada guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, masyarakat mahupun pelajar merupakan intipati kecemerlangan tersebut. Sementara itu, ketika bercakap pada sidang media, Abdul Aziz berharap semua pihak tidak mempolitikkan isu pendidikan. Ini, katanya kerana rakyat mempunyai peluang yang luas untuk mendapatkan
pendidikan di negara ini. |
- RE: H-Net* Kerajaan Terengganu mahu memartabatkan pendidika... Ahmad Tajuddin
- RE: H-Net* Kerajaan Terengganu mahu memartabatkan pend... Mohd, S. Yusof
