*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
  Bicara Agama

Hudud: Wajib ikut PM
Debat
Oleh Astora Jabat
([EMAIL PROTECTED])
Pas kini hanya mempertahan diri dan tidak lagi menyerang seperti tahun 1999, 
1998, 1997 dan sebelumnya. Malah jika ada serangan pun hanya tidak lebih 
daripada tindak balas yang biasanya melatah dan merapu. Serangan itu pula 
dilakukan dalam bentuk biadab dan tidak sopan.

Sebagai contoh serangan yang dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik 
Abdul Aziz Nik Mat ke atas ulama kerajaan hanya mengeluarkan kata-kata kesat 
mengecap mereka sebagai ulama barua.

Serangan tidak ilmiah dan intelektual itu memburukkan lagi imej Pas kerana 
tidak masuk akal pemimpinnya yang dikenali di kalangan orang Pas sebagai 
ulama dan tok guru boleh mempunyai perangai lebih buruk daripada orang 
jahil.

Cadangan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk 
membentangkan undang-undang hudud mungkin boleh dianggap sebagai usaha Pas 
untuk memecah keadaan daripada menjadi pihak yang mempertahankan diri dan 
berubah menjadi pihak yang menyerang seperti yang dilakukan oleh parti itu 
pada masa lalu.

Tetapi kini bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan agenda itu kerana Pas 
berada dalam pendirian yang sangat lemah. Suasana politik dalam dan luar 
negeri tidak berpihak kepadanya.

Selain itu isu hukum hudud sendiri tidak lagi menjadi isu yang boleh 
mengelirukan orang ramai termasuk bukan Islam kerana mereka mengetahui 
tentang keterbatasan kuasa yang pada Pas.

Dalam pelaksanaan Islam juga ada perkara yang perlu diberi keutamaan dan ada 
perkara yang tidak perlu diberi keutamaan. Hudud pula tergolong daripada 
hukum yang tidak perlu diberi keutamaan berbanding pendidikan, pembangunan 
dan segala hukuman terhadap kesalahan dan jenayah yang lain. Malah ada ulama 
menganggap hudud lebih merupakan hukuman untuk mencetuskan ketakutan 
(al-uquubah al-takhwifiyyah) dan bukan hukuman yang dilaksanakan dalam alam 
nyata (al-uquubah al-waqi'iyyah).

Bagaimanapun, melihat kepada pendirian Abdul Hadi yang tidak konsisten dalam 
mengambil keputusan untuk membentangkan undang-undang hudud di persidangan 
Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April ini dan kemudian beliau mengubah 
pendirian menimbulkan banyak tanda tanya.

Apakah sebenarnya yang menyebabkan Abdul Hadi terlalu ghairah untuk 
melaksanakan hukum yang dianggap bukan dalam bidang kuasa seorang Menteri 
Besar itu?

Apakah Abdul Hadi tidak mengetahui kedudukan Menteri Besar seperti beliau 
dalam kerajaan Islam?

Menteri Besar walaupun diterjemahkan ke dalam bahasa Arab secara tidak tepat 
sebagai Perdana Menteri, tetapi kedudukannya dalam kerajaan Rasulullah 
s.a.w. dan Khulafa Rasyidun adalah sama dengan kedudukan amir yang bermaksud 
pemerintah. Ia samalah dengan kedudukan gabenor pada zaman ini. Dalam bahasa 
Arab disebut sebagai wali.

Berdasar kepada syariah dan fikah, amir wajib mengikut arahan pemimpin 
negara. Begitulah yang dilakukan oleh semua amir pada zaman pemerintah 
Rasulullah dan Khulafa Rasyidun.

Dengan itu jika betul Abdul Hadi mahu mengamal ajaran Islam yang sebenar 
mengenai pemerintahan, beliau wajib mengikut arahan Perdana Menteri Datuk 
Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Ini kerana ajaran Islam menyuruh beliau berbuat begitu. Dr. Mahathir tidak 
mahu melaksanakan hudud dan apa jua perkara yang dianggap bukan bidang kuasa 
Abdul Hadi, maka beliau mesti akur dan patuh.

Haram bagi Abdul Hadi melawan atau menyanggah arahan Dr. Mahathir yang 
menjadi pemimpin negara yang sekali gus pemimpin Abdul Hadi juga.

Jika beliau keras kepala dan mahu pelaksanaan juga apa yang dianggap bukan 
berada dalam bidang kuasa beliau termasuk hukum hudud, beliau dianggap 
melakukan kesalahan dan dosa besar yang boleh dikenakan hukuman.

Abdul Hadi tidak perlu mendakwa tidak melaksanakan hukum hudud bererti tidak 
melaksanakan hukum Allah dan dianggap berdosa kerana Dr. Mahathir yang 
memimpin negara dibantu oleh barisan ulama yang berwibawa lebih mengetahui 
tentang kepentingan ummah (maslahatul ummah) berbanding beliau (Abdul Hadi) 
yang memikirkan hanya kepentingan parti dan kedudukannya saja.

Bahkan beliau juga tidak perlu memikirkan tentang dosa pun berhubung tidak 
melaksanakan hukum hudud itu kerana Dr. Mahathir bertanggungjawab dan bukan 
beliau.

Sebagai Menteri Besar atau amir, Abdul Hadi perlu melaksanakan kerja-kerja 
yang dianggap menjadi tanggungjawab beliau dan tidak perlu menyibuk dan 
campur tangan dalam urusan kepimpinan Kerajaan Pusat yang berada di tangan 
Dr. Mahathir.

Beliau perlu berhenti sama sekali membuat kerja-kerja yang tidak kena 
mengena dengan tanggungjawab seorang Menteri Besar seperti yang dilakukan 
sebelum ini termasuk berusaha untuk melaksanakan hudud. Jika tidak, beliau 
boleh dianggap sebagai pemberontak atau Khawarij yang boleh dikenakan 
hukuman yang berat ke atasnya.

Dari aspek lain menjadi tanda tanya juga kerana Abdul Hadi nampak lebih 
ghairah daripada Nik Aziz untuk melaksanakan hukum hudud?

Nik Aziz tidak lagi menjadi hukum hudud sebagai isu. Mungkin beliau 
mengambil sikap senyap dan tidak lagi menjadi hukum hudud sebagai isu kerana 
beliau kini mula memahami tentang batasan kuasa beliau serta realiti 
masyarakat tempatan dan dunia yang tidak berpihak kepada Pas itu.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak dapat mengambil iktibar daripada pengalaman 
Nik Aziz atau kegagalan Pas dalam melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Padahal beliau lebih mengetahui tentang masalah itu kerana beliau sendiri 
yang mengetuai jawatankuasa untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan dulu.

Pendirian Abdul Hadi yang dianggap tidak konsisten kerana pada 26 Mac lalu 
beliau mengumumkan bahawa kerajaan pimpinannya akan meminda perlembagaan 
negeri bagi meluluskan empat undang-undang jenayah syariah.

Harakahdaily melaporkan bahawa Abdul Hadi berkata, sekiranya kerajaan pusat 
tidak bersedia untuk melaksanakan Islam, maka rakyat boleh menjadi hakim 
dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau, empat lagi rang undang-undang Enakmen Jenayah Syariah akan 
dibentangkan pada persidangan DUN yang bermula pada 11 April ini.

Persidangan DUN kali ini juga akan meminda perlembagaan negeri untuk 
menonjolkan kedaulatan syariah di negeri ini, katanya.

Bagaimanapun, selepas dibantah oleh DAP, Abdul Hadi dalam kenyataan kelmarin 
menangguhkan pembentangan undang-undang hudud itu dalam persidangan DUN 
April ini kerana mahu mendapatkan maklum balas rakyat dan parti-parti 
politik terlebih dahulu.

Kenapa beliau tidak mengambil pandangan rakyat dan parti-parti politik 
sebelum mengumumkan keputusan untuk membentang undang-undang hukum hudud 
itu?

Dalam pada itu nampak jelas Abdul Hadi masih berfikir untuk berbaik-baik 
dengan DAP bagi mempengaruhi orang Cina. Dengan itu pandangan DAP dalam soal 
pelaksanaan hudud diambil kira.

Para pemimpin kerajaan tidak perlu banyak berpenat lelah bagi menegur 
keghairahan Abdul Hadi untuk melaksanakan hukum hudud yang disuruh oleh 
Allah dan Rasul-Nya supaya membendung, diampun dan diberi jalan keluar 
kepadanya itu.

Kerana bantahan DAP dan juga masyarakat bukan Islam boleh menyebabkan beliau 
berfikir tentang hikmah atau kebijaksanaan Kerajaan Pusat memerintah negara 
bermasyarakat majmuk ini.


_________________________________________________________________
Get your FREE download of MSN Explorer at http://explorer.msn.com/intl.asp.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "k.a. g." <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke