(on suria .fke.utm.my)

aliasm.vcf was scanned by Interscan Viruswall on suria.fke.utm.my and no virus found.
------------------------------------------------------------------------
Pengalaman Manis di Kursus Bina Negara

Setelah lima hari empat malam berkurung di Kem Bina Negara Meru Klang saya
benar-benar dapat merasakan bagaimana kebimbangan yang amat sangat pihak yang
cenderung kepada parti UMNO dari kehilangan kuasa.

Dengan menggunakan nama Melayu kami ditakut-takutkan akan kehilangan
segala-galanya kalau Melayu atau khususnya parti UMNO tidak berkuasa lagi.

Walaupun kerajaan BN sendiri telah membuat dasar dan peraturan supaya pensyarah
tidak terlibat dengan politik, tetapi pada pengamatan saya selama berada di Kem
Bina Negara kami seperti dijemput untuk terlibat sama dengan percaturan politik
negara.

Mungkin untuk jangka pendek taktik menakut-nakutkan yang digunakan oleh
kerajaan BN ini dapat meraih simpati orang-orang Melayu untuk tidak memberi
undi kepada pembangkang, tetapi untuk jangka masa yang panjang negara kita
tidak akan mendapat apa-apa manafaat darinya.

Saya dapat merasakan kursus seperti ini akan menanamkan rasa tidak senang dan
curiga di hati kita terhadap kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Kadang-kadang terasa pelik juga, di waktu pemimpin-pemimpin kita berucap dan
bercakap perlunya kepada hidup bersatu padu antara kaum tetapi dalam pada waktu
yang sama kursus-kursus yang melebarkan jurang antara kaum terus digalakkan.

Kita tidak boleh selamanya menyalahkan sejarah silam kerana kehadiran kaum Cina
dan India ke negara ini. Samada kita mahu atau tidak kita kena berpijak di bumi
nyata, kena terima hakikat kaum Cina dan India adalah juga sebahagian dari
rakyat di negara ini.

Apapun terjadi, susah dan senang kita terpaksa hidup bersama-sama mereka juga.
Kita boleh bersikap tidak peduli antara satu kaum dengan kaum yang lain kiranya
kita dapat membahagikan negara ini kepada tiga negara mengikut kaum-kaum
tersebut seperti yang pernah berlaku kepada India dan Pakistan. Tetapi
membahagikan negara ini kepada tiga negara yang berasingan bukanlah pilihan
yang kita semua kehendaki.

Kalau kita mahu hidup bersama di bawah satu negara, mahu tidak mahu semua kaum
mestilah secara bersama dan bersungguh-sungguh memikirkan halatuju negara. Kita
tidak boleh bertindak secara berasingan yang akan menyebabkan tindak tanduk
kita akan dipandang serong dan curiga oleh kaum yang lain.

Satu kerugian yang besar jika kursus-kursus Bina Negara yang diadakan ini bukan
untuk tujuan pembinaan negara tetapi lebih kepada pembinaan Melayu yang
hasilnya setiap orang Melayu yang melalui kursus ini berasa seperti terancam
oleh rakan-rakan mereka dari kaum lain.

Di kursus ini semangat kita dibakar untuk mempertahankan kekuasaan Melayu,
memperkukuhkan perpaduan Melayu, tolong Melayu, sokong Melayu dan macam-macam
Melayu lagi.

Saya tidak fikir adanya orang Melayu kita yang menyokong dan memberi tepukan
kepada Taufik Hidayat ketika beliau menentang Wong Choong Han dalam
pertandingan badminton Piala Thomas bulan Mei lepas walaupun kita tahu Taufik
Hidayat itu orang Melayu.

Saya juga tidak fikir Goh Chock Tong dapat menebalkan mukanya jika dilihat oleh
pelancung asing rakyatnya yang terdiri dari Ahmad, Abu, Ali dan lain-lainnya
memenuhi kaki-kaki lima di Bandar Singapura yang indah dan maju itu dengan
meminta sedekah. Malah Goh Chock Tong berasa megah untuk berkata taraf
kehidupan orang Melayu di Singapura lebih baik dari kebanyakan orang Melayu di
Malaysia.

Untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan kita, tidak  ada cara yang
terbaik selain dari cara demokrasi. Sistem demokrasi dapat menjamin peralihan
kuasa dapat berlaku secara aman tanpa kekerasan selain itu ia dapat menjamin
hanya pemimpin yang terbaik sahaja dapat menjadi pemimpin.

Tetapi apabila amalan demokrasi sebenar telah dinoda dan diubahsuai oleh
pemimpin yang berkuasa mengikut kepentingan mereka maka jadilah demokrasi itu
sebagai alat untuk menjamin pemimpin yang memerintah untuk terus berkuasa,
bukan lagi sebagai alat yang membolehkan pemimpin yang terbaik mendapat peluang
menjadi pemimpin seperti mana yang sepatutnya.

Kita tidak nafikan adanya parti politik yang menggunakan agama untuk meraih
sokongan pengundi. Bukan sahaja dalam parti politik, malah ada juga orang
menggunakan agama untuk menipu orang untuk memperkayakan diri mereka, ada juga
yang menggunakan agama untuk mendapat kedudukan dan pangkat. Perbuatan
menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri amat dicela oleh Islam.

Penyebab utama sokongan orang Melayu kepada parti PAS pada pilihanraya 1999
bukanlah kerana penggunaan agama oleh parti itu tetapi tindak tanduk dan
beberapa kelemahan UMNO di masa itu telah tidak disenangi oleh orang-orang
Melayu sendiri dan mereka telah tunjukkan kemarahan mereka itu dengan memberi
undi kepada PAS.

 Padahal sebelum itu PAS seperti parti yang tidak dapat bernafas walaupun
kerajaan di waktu itu lebih liberal di mana ceramah PAS dan akhbarnya jauh
lebih bebas berbanding sekarang.

Ini menunjukkan kekuatan PAS bukanlah kerana penggunaan agama tetapi kerana
UMNO telah banyak buat silap.

Orang yang berkuasa selalunya tidak dapat menerima kelemahan mereka, mereka
sentiasa menganggap diri mereka sentiasa betul dan mereka saja yang boleh
memerintah. Dalam keghairahan untuk mengekalkan kekuasaan dan tidak dapat
menerima kekalahan inilah amalan-amalan demokrasi selalunya dicabuli supaya
kemenangan sentiasa berpihak kepada mereka.

Cabaran ke tiga Wawasan 2020 secara jelas menyebutkan , mewujudkan dan
membangunkan masyarakat demokratik yang matang. Tetapi apakah usaha-usaha yang
telah dibuat oleh kerajaan untuk mendidik rakyat memahami dan menghayati amalan
demokrasi. Malah pemimpin-pemimpin kita sendiri pun tidak pernah menunjukkan
kematangan berpolitik. Di satu ketika Hang Tuah tidak sanggup membunuh Hang
Jebat yang tidak berkeris walaupun Hang Jebat telah menyerahkan dirinya kepada
Hang Tuah. Begitulah kematangan pahlawan-pahlawan Melayu. Mereka lebih rela
kalah dibunuh oleh musuh dari membunuh musuh yang tidak bersenjata.

Penggunaan jentera kerajaan oleh parti pemerintah untuk kempen parti mereka,
menyekat parti-parti pembangkang untuk berkempen melalui media-media perdana,
menyekat ceramah-ceramah dan akhbar-akhbar parti pembangkang adalah merupakan
contoh-contoh tindakan yang bertentangan dengan akhlak demokrasi itu sendiri.
Di manakah wujudnya keadilan dalam satu pertandingan jika kita berlawan dengan
musuh yang telah diikat kakitangannya.

Selama pemimpin kita sekarang ini bertindak wajar, mungkin rakyat tidak
menghadapi apa-apa masalah. Tetapi jika tiba-tiba pemimpin yang memerintah
bertindak di luar kewajaran, sudah tentu di waktu itu kita tidak ada peluang
lagi untuk menukar pemimpin tersebut kerana semua sistem demokrasi yang ada
telah diubah suai bagi mengekalkan kuasa beliau untuk selamanya.

Kita tidak mahu menjadi seperti rakyat Soviet Union pada masa dulu dan rakyat
Singapura pada hari ini di mana demokrasi hanya tinggal menjadi lambang.
Akhirnya rakyat mereka hidup seperti robot yang segala kehidupan mereka telah
diprogramkan oleh pemerintah.

Pemimpin yang mementingkan ras dan tidak mengambil peduli kaum lain selain
kaumnya sendiri adalah pemimpin yang tidak baik. Serb dan Israel adalah contoh
bangsa yang telah dipulaukan oleh dunia hari ini kerana ketaksuban mereka
kepada bangsa mereka. Tidak mungkin kita boleh hidup aman damai bersama dengan
bangsa yang mempunyai pemikiran seperti Serb dan Israel ini.

Di dalam sistem demokrasi tulin pemimpin yang tidak baik tidak akan dapat
peluang untuk dipilih menjadi pemimpin. Sebaliknya pemimpin yang terbaik tidak
kira dia berbangsa apa pun akan tetap terpilih menjadi pemimpin kita.

Pemimpin seperti Lee Lam Thye, Nik Aziz Nik Mat, Mahatma Ghandi, Abraham
Lincoln adalah contoh-contoh pemimpin yang memiliki sifat luhur dan
perikemanusiaan yang tinggi. Mereka adalah pemimpin yang dikasihi oleh
pengikutnya tanpa mengira kaum. Mereka adalah contoh pemimpin yang dapat
melepasi sempadan kaumnya sendiri. Setiap kaum yang berada di bawah kepimpinan
mereka ini akan terus berasa selamat dan hak mereka dijaga dan dihormati.
Pemimpin yang mempunyai kualiti seperti inilah yang kita kehendaki untuk
memimpin negara seperti Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum ini.

Hanya sistem demokrasi tulin sahaja yang dapat menjamin orang yang mempunyai
kualiti yang disebutkan di atas berpeluang untuk dipilih menjadi pemimpin
negara kita ini. Oleh itu demi kebaikan masa depan negara kita adalah menjadi
tanggungjawab kita semua untuk memastikan demokrasi yang kita amalkan ini tidak
dicabuli oleh sesiapa pun.

Mempertahankan kepimpinan Melayu di abad ke 21 ini bukanlah menjadi perkara
yang lebih utama kepada kita semua. Tetapi yang patut sentiasa menjadi
keutamaan kepada kita rakyat Malaysia hari ini ialah mempertahankan hak-hak
demokrasi yang sebenar, tidak membenarkan demokrasi diubah mengikut selera
pemerintah. Kerana inilah satu-satunya mekanisma terbaik untuk melahirkan
pemimpin terbaik untuk negara kita.

Kalau kita benar-benar sayangkan negara kita, bangsa kita, hak kita maka
peliharalah demokrasi dari dicabuli. Wallahulam.

begin:vcard 
n:Mohd Yusof;Alias 
tel;fax:07-5566272
x-mozilla-html:TRUE
org:Universiti Teknologi Malaysia;Kejuruteraan Elektrik Kuasa (POWER)
version:2.1
email;internet:[EMAIL PROTECTED]
title:Pensyarah
adr;quoted-printable:;;Fakulti Kejuruteraan Elektrik=0D=0A81310 UTM Skudai=0D=0AJohor Bahru=0D=0AJohor;;;;
fn:Alias Mohd Yusof
end:vcard

Kirim email ke