*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
SEJARAH RINGKAS NUSANTARA
-------------------------
Sebelum kedatangan Islam di Nusantara, penduduk di Asia Tenggara adalah terdiri
daripada penganut fahaman Buddha Syinrawath ( Buddha Puja Dewa ). Pada ketika itu
penganut-penganutnya sudah pun sedia mengamalkan perkara-perkara luar biasa yang
menyalahi kebiasaan iaitu " Mencarik adat " yang lahir hasil daripada pemuJaan �
dewa-dewi�, jampi serapah atau yang seumpamanya. Keadaan ini berlaku adalah hasil
daripada pertolongan jembalang-jembalang yang terdiri daripada Jin samada dengan
menjelma ke dalam diri pemujanya ( Tanasukh Aruah ), Istidraj, Sihir atau silap mata.
Semua amalan ini amat kuat pengaruhnya dalam kehidupan seharian mereka pada waktu
itu. Mereka mengabdikan diri hanya kepada Dewa-Dewi semata-mata. Dalam konteks ini
pegangan fahaman beragama adalah bersumberkan daripada Rahib-rahib yang dikatakan
mendapat ilham dari tuhan dewa-dewi samada Dewa Rama, Dewa Sita, Dewa Siva dan yang
seumpamanya.
Ketika Islam tersebar luas di Semenanjung Arab hingga ke Eropah dan juga ke Asia,
maka banyaklah mubaligh-mubaligh Islam dari kalangan orang-orang Arab dan bukan
Arab yang datang membawa agama Islam ke sebelah Asia Tenggara sebagai pedagang.
Dari situ Islam mula bertapak dengan kuatnya di negeri-negeri bawah angin ini.
Gejala isma-isma yang tidak sihat pada waktu itu beransur-ansur hilang
kegemilangannya bahkan di sesetengah tempat, umpamanya Acheh isma-isma tersebut telah
di benteras sehingga ke akar umbinya. Inilah hasil daripada tarbiah dan didikan
mubaligh-mubaligh dan para Daei Islam yang benar-benar alim lagi sufi. Kehadiran
mubaligh-mubaligh tersebut seumpama membawa sirna kegemilangan dan kecemerlangan
kepada penduduk tempatan sehingga pada satu ketika Acheh mendapat jolokan sebagai
Serambi Mekah.
Setelah sekian lama gejala pemujaan jampi serapah hilang, akhirnya ia timbul semula
setelah Portugis, Belanda, Spanyol, Perancis, Amerika dan Inggeris berusaha menakluki
Asia Tenggara dengan memperkenalkan agama Kristian di samping perdagangan yang
menyebabkan orang Islam bangun menentang mereka. Pada suatu ketika Belanda telah
membunuh lebih daripada 6,000 Ulama Islam di Tanah Jawa. Pada ketika itu ulama
merupakan tokoh pemimpin yang utama dalam semua aktiviti harian bermula dari aspek
agama, sosial dan kemasyarakatan, ketenteraan hinggalah kepada perubatan dan
sebagainya. Mereka inilah yang banyak memainkan peranan penting dalam menggerakkan
penentangan terhadap penjajahan barat, kerana merekalah yang terlebih dahulu
mengenali erti hidup beragama serta beramal dengannya, lebih dahulu merasai bahang
campurtangan asing, lebih dahulu menghidu bau najis Mughalazah penjajahan dalam
kebudayaan, tipu daya pemerintahan dan tipu daya dalam ketenteraan dan sebagainya ke
atas negerinya dan anak-anak bangsanya.
Akibat daripada peristiwa itu, maka saki baki pahlawan Islam yang hilang pedoman telah
cuba meneruskan perjuangan menentang Belanda dan Inggeris dengan kekuatan dan
keilmuan apa saja yang ada pada mereka asalkan mereka mampu. Dalam keadaan terdesak
itu mereka berusaha memperolehi daya kekuatan yang yang luar biasa melalui
amalan-amalan cara hulubalang, wirid-wirid, jampi serapah dan yang seumpama dengannya,
melalui kaedah biasa dan setengah daripada mereka melalui Uzlah ( bertapa dan riadah
), maka datanglah pula jembalang-jembalang daripada Jin samada Jin Islam atau Jin
Kafir yang berhubung dengan mereka, dengan cara Tanasukh Aruah ( penjelmaan ke
dalam diri ), istidraj, sihir atau silap mata yang menolong mereka menghasilkan
hajat mereka, yang pada sangkaan mereka adalah malaikat-malaikat atau wali-wali atau
Nabi Khaidir yang telah datang berhubung dengan mereka.
Sementara itu di Tanah Jawa timbul pula fahaman Wahdatu Ujud yang tidak dapat
membezakan di antara Wahdatul Ujud Marhumah ( dalam bab Sufi ) dengan Wahdatul
Ujud Mazmumah ( dalam I�tiqad di panggil Hulluliah, Mulhid, Zindik ) sehingga
tertegaklah kerajaan yang seumpama itu, iaitu kerajaan Mataram. Fahaman ini adalah
hasil daripada pengaruh Syiah. Bermula dari sinilah wujud semula berbagai-bagai
rupa bentuk amalan kerohanian, wirid-wirid dan jampi serapah yang menyeleweng dari
aqidah syari�at Ubudiah Islamiah yang sebenar ke hadrat Allah seperti yang
dibentangkan oleh ulama-ulama terdahulu yang mahir dan ahli pada babnya di dalam
kitab-kitab karangan mereka.
Terdapat juga dari golongan ini yang memesongkan amalan-amalan mereka bagi
kepentingan diri, dengan tujuan :
1. Langkah mempertahankan diri bagi mendapatkan kemegahan dunia
( hanya kepada bangsa semata-mata )
2. Amalan-amalan kebatinan dalam menuntut kemegahan.
3. Perubatan ( bomoh, tok pawang, tok bidan dan sebagainya )
4. Berlagak jadi tok sufi ( wali ) yang sentiasa mendapat jazbah ketuhanan.
Dari sini merebaklah amalan -amalan karut yang mendapat kekuatan luar biasa daripada
bantuan Jin-Jin. Maka ramailah pahlawan-pahlawan Melayu mengambil amalan-amalan
ini dengan tujuan untuk mempertahankan diri sendiri dan untuk menewaskan musuh di
samping untuk kepentingan masyarakat sekitarnya. Akhirnya mereka telah lupa kepada
ajaran-ajaran agama yang telah disampaikan kepada mereka, lalu mereka lebih
mementingkan kekuatan material dan kebendaan semata-mata daripada kepentingan
akhirat. Lebih jahat lagi, mereka menjadikan adat resam keturunan ke dalam syariat
agama Islam sebagai satu amalan yang dimestikan, walaupun terang-terang amalan itu
menyalahi ajaran Islam, samada dari segi Fiqh, Akidah, dan Akhlak.
--------------------------------------------------
KEPERCAYAAN ORANG-ORANG MELAYU SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
-----------------------------------------------------
Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, anutan masyarakat Melayu pada ketika itu,
boleh di bahagikan kepada tiga kumpulan agama yang terbesar iaitu :-
1. Agama Buddha Puja Dewa
2. Agama Hindu Puja Dewi
3. Amalan orang-orang Asli. ( Animisme )
Orang-orang Asli sangat kuat berpegang kepada berbagai-bagai kaedah pemujaan Jin
sehingga Tok-tok Batin orang Asli di ukur akan kehebatan diri mereka, dengan had
ukuran panjang rambut di kepala mereka.
Percantuman 3 puak ini samada melalui nikah kahwin atau seumpamanya menghasilkan suatu
kemantapan yang kukuh dalam adat resam dan istiadat kebudayaan orang Melayu, di
samping membuahkan pelbagai rupa bentuk ilmu, amalan dan kaedah pemujaan dengan
tujuan untuk mendapatkan sesuatu perkara yang luar biasa dan mencarik adat,
berlumba-lumba untuk menjadi jaguh atau orang yang paling handal di kalangan mereka,
untuk bermegah-megah, gagah, orang yang paling berkuasa, orang yang paling di hormati,
di segani dan sebagainya. (Lihat carta amalan-amalan Khurafat )
Islam datang ke Asia Tenggara samada melalui Negeri China, Yaman, Parsi atau India dan
bertapak kukuh sehingga lebih kurang 200 tahun sahaja. Selepas itu masuklah pula
pengaruh agama Kristian melalui penjajahan kuasa-kuasa Barat. Manakala di dalam
masyarakat Islam sendiri pula telah di pengaruhi oleh pengaruh-pengaruh Rafidiah,
Kharijiah, Qadariah, Jabariah dan sebagainya sehingga menimbulkan berbagai-bagai
kefahaman dan aliran dalam mempraktikan ajaran Islam. Keadaan ini menyebabkan
sesetengahnya pula terjerumus kedalam gaung kesesatan berikut :
1. Bida�ah Dholalah yang Karohah dan Bida�ah yang haram dalam Syariat
2. Berada dalam salah satu daripada 72 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab
Aqidah.
3. Berada dalam salah satu daripada 13 puak yang sesat lagi menyesatkan dalam bab Sufi
Daripada pecahan di atas maka wujudlah berbagai-bagai kelompok masyarakat Melayu
yang mempunyai fahaman dan amalan masing-masing . Dari situ lahirlah amalan-amalan
yang di panggil amalan "Kebatinan � atau " Ilmu Hakikat " ( Ilmu Isi ) yang
meninggalkan amal syariat sehinggakan sembahyang hanyalah dengan niat sahaja.
Puak-puak yang sesat ini dapat di lihat menerusi amalan yang mereka lakukan dalam
menunaikan ibadat kepada Allah.
Ringkasnya apa jua amalan yang tidak mengikut garis panduan Al-Quran, Hadis
Rasullullah s.a.w, Ijma dan Qias adalah termasuk dalam salah satu daripada
fahaman-fahaman yang sesat daripada tiga kelompok besar di atas.
Jenis Amalan Beragama Orang-Orang Melayu Sebelum Islam.
Pada dasarnya amalan beragama orang-orang Melayu sebelum kedatangan Islam bolehlah
dibahagikan kepada tiga kepercayaan yang besar iaitu :-
1. Orang-orang Melayu yang beragama Buddha Puja Dewa
2. Orang-orang Melayu yang beragama Hindu Puja Dewi
3. Orang-orang Melayu yang berpegang dan beramal dengan amalan orang-orang Asli. (
Animisme )
Akibat dari ajaran dan pegangan mereka itu lahir dan wujudlah berbagai-bagai bentuk
kebudayaan dan adat resam mengikut jenis agama dan kepercayaan yang mereka anuti.
Kedatangan Islam ke Nusantara selepas itu telah berjaya membasmi kepercayaan karut
dalam masyarakat Melayu pada ketika itu. Namun tidak semua masyarakat Melayu yang
mahu meninggalkan kepercayaan mereka secara keseluruhan dan sehingga ke hari ini,
kita masih dapat melihat betapa amalan Khurafat itu masih tegak dan tetap hidup
dalam adat resam dan kebudayaan Melayu terutamanya dalam majlis perkahwinan,
kematian, perbomohan dan perbidanan, latihan pertahanan diri dan sebagainya. Di
samping itu kepercayaan kepada benda-benda keramat seperti keris, kubur, pokok besar,
batu dan sebagainya begitu kuat sehingga dapat di lihat sesetengah orang Melayu yang
masih menjaga dan menyimpan dengan baik keris pesaka sejak turun temurun, yang
dikatakan sebagai "Penjaga keluarga."
Kepercayaan seperti ini ada hubungannya dengan asal-usul orang Melayu yang
kebanyakannya berasal dari Kepulauan Indonesia yang memang terkenal pada suatu masa
dahulu dengan adat dan kepercayaan Hindu serta Buddha. Walaupun Islam mula bertapak
di Mataram, Majapahit dan seluruh Kepulauan Jawa namum sisa-sisa peninggalan Hindu
dan Buddha masih kuat dalam pegangan mereka.
Di Semenanjung Malaysia sendiri terdapat berbagai keturunan seperti Melayu, Bugis,
Mendiling, Rawa, Jawa, Banjar, Petani, Siam dan sebagainya dan terdapat juga yang
berasal dari keturunan orang-orang Asli. Setelah memeluk Islam mereka telah membawa
adat resam masing-masing di dalam agama Islam. Walaupun mereka berbeza dari segi suku
keturunannya, namun mereka masih lagi tidak terlepas dari adat resam Hindu dan
percampuran dengan adat dan amalan orang Asli.
Amalan-amalan kuno seperti puja tanduk lembu/kerbau, hantaran perkahwinan, sireh
junjung, nasi tinggi, kelapa-garam-gula dan sebagainya, lenggang perut, kenduri
40/100 hari selepas kematian, sembelih ayam semasa buka gelanggang latihan
pertahanan diri, sangkak/ancak untuk jamu Jin dan sebagainya adalah contoh amalan
yang ada hubungan dengan pengaruh Hindu dalam adat resam orang-orang Melayu. Begitu
juga adat resam, tingkah laku orang-orang asli sebelum Islam di ambil sebagai adat
resam atau sebagai cara beragama yang mesti didahulukan, di tokok tambah lagi dengan
redha dan lahapnya kita menerima membabi buta pengaruh kebudayaan penjajah yang
memang merupakan suatu perancangan jangka panjang Yahudi dan Kristian khasnya untuk
membunuh keperibadian muslim orang-orang Melayu yang berpegang teguh dengan agama
Islam.
Sehingga kini amalan-amalan tersebut masih lagi hidup subur, walaupun telah
berkali-kali seruan dakwah sampai kepada mereka supaya meninggalkan amalan tersebut,
namun bagi sesetengah daripada mereka itu telah beranggapan bahawa adat-adat tersebut
seolah-olah sebahagian daripada ajaran Islam yang mereka anuti. Maka dengan sebab
itulah mereka telah mencampuradukkan antara ajaran Islam yang suci ini dengan adat
resam yang karut lagi menyesatkan itu, yang semata-mata mengikut khayalan,
kebijaksanaan pemikiran dan tahsinul �aqli mereka semata-mata sahaja..
Perkara Luar Biasa Yang Mencarik Adat
Allah telah menganugerahkan kepada manusia khusus dan awam 8 perkara luar biasa yang
mencarit adat yang boleh berlaku ke atas manusia. Perkara luar biasa itu bolehlah
dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu, 4 perkara yang di puji dan 4 perkara yang di keji
dan menyalahi ajaran Islam. Ramai daripada kalangan orang Islam sendiri yang terkeliru
tentang konsep dan perbezaan perkara-perkara tersebut, kadang-kala masyarakat tidak
dapat membezakan yang mana baik dan yang mana mesti dijauhi. Bagi menjelaskan
kekeliruan itu maka diperturunkan serba ringkas tentang perkara-perkara tersebut,
agar pembaca semua dapat membuat penilaian dengan sebaik-baiknya.
Empat Perkara Yang Di Puji
1. Irhas.
Irhas ialah perkara luar biasa yang di anugerahkan oleh Allah kepada Nabi-Nabi dan
rasul-rasul semasa baginda masih kecil. Contohnya seperti Nabi Isa boleh bercakap
semasa baginda masih dalam buaian. Perkara ini tidak menjadi kekeliruan kerana Nabi
dan rasul telah tiada pada masa sekarang.
2. Mukjizat.
Mukjizat ialah suatu perkara luar biasa yang dikurniakan oleh Allah hanya kepada
Nabi-Nabi dan rasulnya sahaja bagi melancarkan usaha rasul-rasul tersebut menyampaikan
dakwah dan risalah Allah. Contohnya seperti Mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh
memahami bahasa semua binatang.
3. Karamah.
Karamah ialah suatu perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang
mukmin yang berakhlak rasul dan benar-benar berpegang dengan ajaran Islam zahir dan
batin. Hal ini adalah perkara biasa bagi Mereka. Karamah merupakan suatu kemuliaan
yang Allah kurniakan kepada diri zahir dan batin hamba-hambanya yang arif tentang
Allah ( Arifbillah ) .
Mereka ini adalah merupakan orang-orang yang alim dan sentiasa beramal soleh. Mereka
mahir sekurang-kurangnya tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin, Fekah dan tasauf serta
mereka sentiasa beramal dengannya pada setiap masa dan kelakuan. Ikatan diri mereka
sentiasa dengan Allah tanpa dapat dipengaruhi oleh alam sekeliling. Mereka dimuliakan
oleh ahli di langit dan diperhinakan oleh kebanyakan ahli di bumi.
4. Maunah.
Maunah ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang mukmin awam yang
soleh, yang apabila di timpa sesuatu musibah atau hal ke atas dirinya, mereka terus
melipat gandakan pergantungan dan keimanan kepada Allah serta memantapkanya melalui
berbagai-bagai wirid, jampi dan doa serta amalan-amalan sunat yang lain.
Maunah ini merupakan satu kemuliaan yang Allah kurniakan kepada diri zahir dan
batin hamba-hambanya yang soleh. Mereka arif tentang ilmu fardhu Ain, Usuluddin,
Fekah dan tasauf tetapi kemampuan beramal mereka adalah terhad. Apabila berlaku
sesuatu hal ke atas diri mereka samada mutlak dari Allah atau yang bersangkut paut
dengan manusia, mereka terus melipatgandakan pergantungan diri dan keimanan kepada
Allah serta memantapkan lagi dengan berbagai-bagai wirid, jampi, doa dan segala
amalan sunat. Mereka tidak merasa sedih atau kecewa sekiranya permintaan mereka tidak
ditunaikan oleh Allah.
Empat Perkara Yang Di Keji
Perkara luar biasa yang di keji oleh Allah ialah perkara luar biasa yang berlaku ke
atas orang biasa melalui pertolongan selain daripada Allah. Contohnya melalui
pertolongan khadam-khadam yang terdiri daripada Jin dan Syaitan dan sebagainya.
Perkara luar biasa jenis ini mestilah di jauhi oleh setiap orang Islam kerana ianya
sesat dan menyesatkan. Perkara-perkara tersebut ialah :-
1. Istidraj
Istidraj ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada mereka yang
berpura-pura beramal dengan amalan soleh, walaupun diri mereka mahir dengan fardhu
ain, Usuluddin, fekah dan tasauf. Mereka berbangga dengan perkara luar biasa yang
berlaku ke atas diri mereka sedangkan mereka mengetahui punca sebenar datangnya
perkara luar biasa tersebut. Lazimnya golongan ini terikat dengan perjanjian serta
mewujudkan pantang-larang yang selari dengan hukum syarak. Ini kerana
khadam-khadam mereka adalah terdiri daripada golongan Jin Islam samada yang soleh,
fasik atau terdiri daripada Jin yang kafir.
Setiap amalan wirid, jampi dan doa itu ada penjaganya (Khadam). Orang yang beramal
dengan kaedah ini kebiasaannya mempunyai suatu perasaan tidak baik yang telah
tersemat dalam diri mereka. Antara matlamat mereka ialah :-
a) Ingin di puja. b) Ingin
dikunjungi oleh orang ramai
c) Cinta kepada pangkat dan kebesaran d) Ingin mendapatkan harta
dan kuasa
Golongan khadam ayat dari golongan puak rohani alam rendah memang dijadikan Allah
untuk menyukakan golongan yang seumpama itu dengan beberapa perkara luar biasa. Mereka
pada zahirnya kelihatan seperti orang yang beriman dan sentiasa menjaga syariat
Islam serta berakhlak Rasul tetapi sebenarnya mereka beramal dengan perkara-perkara
kufur dan telah terjun ke lembah kekufuran, samada mereka sedari atau tidak.
Punca kesesatan golongan ini ialah apabila rohani-rohani alam yang rendah mengunjungi
mereka dalam tidur ataupun semasa jaga, dengan rupa atas nama-nama orang-orang soleh
samada yang masih hidup ataupun yang telah mati atau mereka membuat Tajalli
ketuhanan. Lazimnya mereka dibebankan dengan beberapa syarat yang menepati hukum
syarak untuk diamalkan sebagai syarat perjanjian persahabatan dalam semua kelakuan
melalui lidah, anggota dan hati, di semua tempat, waktu dan masa. Maka bermula di
saat itu diri mereka berada di dalam Syirik Uluhiyyah dan segala rupa bentuk amalan
syariatnya tidak ada nilai di sisi Allah.
Mereka sebenarnya mengetahui dari mana datangnya zahir perkara luar biasa pada
perkataan, perbuatan dan kasad hati, tetapi mereka enggan meninggalkan amalan tersebut
kerana mereka ingin menjadi jaguh dalam bidang perubatan dengan mengadakan beberapa
keajaiban dari berbagai-bagai jenis ubatan, kaedah perubatan dan sebagainya.
Kadang-kadang melalui langkah mempertahankan diri. Mereka juga terjebak dalam
permainan tunjuk kuat kebatinan supaya mereka di anggap orang yang paling makbul
doanya atau paling keramat. Jika dia seorang ulama, maka dia inginkan supaya di
kunjungi, di puja dan di hormati sebagai seorang Ahlillah secara mutlak, sedangkan
dalam masa yag sama dia akan terasa hina dan hilang kewibawaan sebagai ulama, jika
tiada pada dirinya, nyata beberapa perkara yang luar biasa.
2. Sihir.
Sihir ialah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-rang Islam yang
durhaka (�asi ) yang tidak faham aqidah, syariat dan ubudiah serta tidak beramal
dengannya dan orang-orang yang fasik. Sihir juga diberikan oleh Allah kepada
pendita-pendita bukan Islam samada Yahudi, Buddha, Nasrani, Majusi dan yang seumpama
dengannya. Sihir ini terjadi melalui pertolongan daripada rohani Jin Islam yang fasik
dan Jin-Jin yang kafir melalui perjanjian tertentu. Kebiasaannya golongan ini terikat
dengan perjanjian dan mengadakan jamuan yang harus dan haram di sisi Syarak. Mereka
mendapat perkara yang luar biasa ini adalah melalui pertolongan kumpulan Jin Islam
yang fasik dan daripada Jin yang kafir.
Golongan orang Islam yang mendapat perkara luar biasa melalui kaedah ini selalunya
sentiasa bergelumang dengan kejahatan dalam semua hal. Golongan ini sebenarnya Mulhid
dan Zindik dalam bab aqidah. Selalunya mereka akan mengadakan berbagai cara atau
upacara yang berselindung di sebalik ajaran Islam. Antara mereka yang termasuk dalam
golongan ini ialah :-
a) Kumpulan Hassan Anak Harimau
b) Wali Suci
c) Budi (Buddha) Suci
d) Batin Sakti
e) Hakikat Insan
f) Pati Geni
g) Fahaman Wahdatul Ujud dalam I�itiqad
h) Baginda Mukhtar
i) Lain-lain kumpulan yang tumbuh bagaikan cendawan di negara ini.
3. Silap Mata.
Silap Mata adalah perkara luar biasa yang Allah kurniakan kepada orang-orang Islam
yang fasik dan juga kepada orang-orang kafir, melalui pertolongan daripada Jin kafir.
Oleh itu mereka juga terikat dengan perjanjian dan membuat perkara-perkara yang
diharamkan oleh hukum syarak.
4. Sya�wazah.
Sya�wazah ialah perkara yang di kurniakan oleh Allah, yang berlawanan sama sekali
daripada kehendak asal. Kebiasaannya perkara ini Allah berikan kepada golongan yang
angkuh daripada orang-orang kafir. Misalnya apabila mereka meminta sesuatu yang baik,
tetapi Allah kurniakan dengan sesuatu kejahatan yang berlipat ganda.
--------------------------------------------------------------------------------
BALA TENTERA ALLAH.
--------------------------------------------------------------------------------
Allah mempunyai bala tenteraNya yang tersendiri yang terdiri daripada sekelian
makhluknya samada daripada manusia, tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang di lautan,
daratan dan yang seumpama dengannya seperti angin, api dan segala carkawala di angkasa
raya. Bala tentera Allah tersebut terbahagi kepada beberapa kumpulan yang akan
diperintahkan oleh Allah untuk membantu manusia apabila dikehendakiNya.
Antara bala tentera Allah tersebut adalah terdiri daripada :-
A. Bala Tentera alam atas yang terdiri daripada seluruh malaikat alam tinggi.
Bala tentera ini apabila diperintahkan oleh Allah untuk menolong para nabi dan
rasul-rasul, maka pertolongan yang menzahirkan perkara yang luar biasa itu akan
dinamakan sebagai Mukjizat. Manakala pertolongan yang menzahirkan perkara luar biasa
yang terjadi kepada nabi dan rasul semasa kecil pula, dinamakan sebagai Irsad. Bentuk
pertolongan tersebut samada melalui lidah, anggota, kasad hati atau melalui
ketiga-tiga bentuk tersebut secara sekali gus.
Jika mereka menjadi penolong kepada ulama-ulama dan orang-orang soleh yang arif
billah ( iman, syariat dan akhlak mereka menepati sebagaimana iman, syariat rasul
zahir dan batin ) maka pertolongan tersebut dinamakan sebagai Keramat.
Perkara luar biasa yang berlaku kepada ulama-ulama dan orang-orang saleh yang
apabila, mereka di timpa bala dan musibah, maka mereka melipat gandakan ubudiah dan
pergantungan kepada Allah dengan penuh ikhlas diri dan amalan mereka, maka perkara
luar biasa tersebut dinamakan sebagai Maunah.
B. Bala tentera Allah Alam rendah
Bala tentera Allah alam rendah pula adalah terdiri daripada sekelian rohani jin-jin
Islam yang soleh dan jin-jin Islam yang fasik dan kafir serta semua manusia dan
makhluk Allah yang lain yang menghuni alam ini, seperti haiwan, tumbuhan, angin, batu
dan sebagainya
Manakala rohani Jin Islam yang alim dan soleh daripada alam rendah yang apabila
diperintahlan oleh Allah datang memberi pertolongan kepada manusia yang alim dan
soleh yang wujud dalam diri mereka itu sifat-sifat mazmumah, maka pertolongan
tersebut dinamakan sebagai Istidraj. Perkara luar biasa tersebut dinamakan sebagai
istidraj kerana rohani jin Islam yang soleh tersebut akan mengenakan beberapa syarat
yang menepati hukum syarak sebelum memberi pertolongan tersebut.
Jika rohani jin Islam yang fasik atau jin kafir diarah memberi pertolongan kepada
manusia Islam yang fasik atau manusia yang pura-pura beriman atau yang seumpama
dengannya pula dinamakan sebagai sihir atau silap mata, kerana mereka mengenakan
beberapa syarat yang harus pada hukum syarak.
Jika jin -jin yang kafir atau anak keturunannya diperintahkan memberi pertolongan
kepada manusia yang kafir yang terdiri daripada rahib-rahib, padri-padri, sami-sami
atau yang seumpama dengannya, maka pertolongan tersebut dinamakan sebagai silap mata
atau sihir peringkat tinggi, kerana mereka mengenakan syarat-syarat yang haram pada
hukum syarak.
--------------------------------------------------------------------------------
JIN
--------------------------------------------------------------------------------
Makna Jin.
Jin adalah satu nama jenis dan dalam bahasa Inggeris di sebut Ginie - perkataan
tunggalnya " Jinny " yang bermaksud yang tersembunyi, yang tertutup atau yang
gelap pekat.
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang Jin. Antaranya :-
1. Surah Al-Hijr ayat 26 - 27 :
Yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat
yang kering kontang yang berasal dari lumpur hitam yang di beri bentuk dan Kami telah
ciptakan Jin sebelum di ciptakan manusia daripada api yang sangat panas.
2. Surah Ar-Rahman ayat 15 :
Yang bermaksud : Dia ( Allah ) menciptakan Jann ( Jin ) dari nyalaan api ( Pucuk
api yang menyala-nyala atau Maarij )
3. Surah Al-�Araf ayat 12 :
Yang bermaksud : " Engkau ciptakan aku ( kata Iblis ) dari api sedangkan ciptakan
dia ( Adam ) dari tanah.
4. Dari Hadis Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Muslim r.a
Maksudnya : " Malaikat diciptakan dari cahaya, Jaan diciptakan dari lidah api
sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kamu ( tanah ).
Asal Kejadian Jin.
Keterangan "Al-Maarij "
Maarij bermaksud nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas bahangnya atau "
Al-Lahab " iaitu jilatan api yang sudah bercampur antara satu sama lain iaitu merah,
hitam, kuning dan biru. Sesetengah ulama pula mengatakan " Al-Maarij " itu ialah api
yang sangat terang yang memiliki suhu yang amat tinggi sehingga bercampur antara
merah, hitam, kuning dan biru.
Sesetengah pendapat pula mengatakan Al-Maarij itu ialah api yang bercampur warnanya
dan sama maknanya dengan " As-Samuun " iaitu api yang tidak berasap tetapi sangat
tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah
jadikan Jaan.
Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas�ud pula menyatakan bahawa angin
Samuun yang dijadikan Jaan itu hanyalah satu bahagian daripada tujuh puluh
bahagian angin Samuun yang sangat panas itu.
Dari api yang amat panas inilah Allah telah menciptakan Jin, iaitu dari sel atau atom
atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah masukkan roh atau nyawa padanya,
maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah. Jin juga di beri izin oleh
Allah menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya
kecuali rupa Rasulullah s.a.w mengikut tahap dan kemampuan masing-masing. Jin juga
diperintahkan oleh Allah menerima syariat Islam sepertimana yang diperintahkan oleh
Allah kepada manusia. Rupa bentuk Jin yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh
itu, hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya. Menurut sesetengah ulama
rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin adalah 90 peratus mirip kepada manusia.
Asal kejadian manusia ialah campuran daripada Jisim Kathif iaitu tanah dan air,
Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani, iaitu roh, akal, nafsu dan
hati yang dinamakan "Latifatur-Rabbaniah " sesuai dengan manusia sebagai
sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah dan sebagai Khalifah Allah di muka bumi
ini. Manakala kejadian Jin pula ialah campuran Jisim Syafaf iaitu campuran api dan
angin dan Nurani iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai dan sepadan dengan
kejadian Jin. Manakala mahkluk-makluk lain pula Allah jadikan daripada salah satu
unsur tersebut, contohnya, binatang yang dijadikan daripada campuran Jisim Ksayif dan
Jisim Syafaf sahaja. Batu dan tumbuh-tumbuhan pula dijadikan daripada Jisim Kasyif
semata-mata. Manakala Malaikat pula dijadikan daripada Nurani semata-mata.
Cara pembiakan Jin.
Manusia memerlukan masa mengandung selama sembilan bulan untuk melahirkan zuriat dan
anak manusia juga memerlukan masa yang lama untuk matang dan menjadi baligh.
Berbeza dengan Jin di mana, apabila di sentuh alat kelamin lelaki dengan alat
kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan beranak dan anak Jin
yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah keadaanya sehingga ke hari kiamat. Iblis
pula apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan mengeluarkan 33 biji telor.
Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu
apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu.
Begitulah proses pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat.
Bunian atau lebih masyhur di kalangan orang-orang Melayu dengan panggilan orang
Ghaib pula ialah hasil campuran lelaki atau perempuan Jin dengan lelaki atau
perempuan dari kalangan manusia. Anak yang terhasil daripada percampuran itu dikenali
dengan nama Bunian. Perangai dan tingkah laku serta rupa bentuknya orang Bunian ini
dalam beberapa perkara mengikut manusia dan dalam beberapa perkara pula mengikut
Jin.
Jika asal usul datuk manusia ialah Nabi Adam, maka asal usul datuk Jin pula ialah "
Jaan " yang asalnya adalah beriman kepada Allah dan melahirkan keturunan yang
beriman. Selepas itu terdapat pula dari keturunan Jaan yang kufur dan melahirkan pula
keturunan yang kufur. Anak cucu Jaan yang asal beriman itu ada yang kekal dalam iman
dan ada pula yang kufur dan ada pula yang kembali beriman kepada Allah.
Agama puak-puak Jin.
Jin Juga seperti manusia, iaitu ada yang baik, ada yang jahat, ada yang soleh, ada
yang tidak soleh, ada yang alim lagi mukmim, ada ada yang kufur, ada yang murtad,
fasik dan zalim, ada yang masuk syurga dan ada yang dihumbankan oleh Allah ke dalam
neraka di hari akhirat kelak.
Majoriti puak-puak Jin terdiri daripada golongan Jin kafir. Golongan Jin kafir ini
kebanyakanya beragama Yahudi, Kristian, Komunis dan sangat sedikit daripada mereka
yang beragama Buddha dan Majusi. Terdapat juga golongan Jin yang tidak beragama.
Golongan Jin yang memeluk Islam hanyalah sedikit bilangannya dan terdiri daripada
golongan manoriti jika di bandingkan dengan keseluruhan bilangan Jin.
Seperti juga manusia biasa, Jin juga berada dalam tingkat-tingkat iman, ilmu dan
amalan yang tertentu berdasarkan kepada keimanan dan amalan mereka kepada Allah.
Antaranya ada Jin Islam yang bertaraf awam sahaja , Jin Islam yang di tingkat iman
Khawas dan Jin Islam yang berada ditingkat iman yang Khawasil-Khawas.
Walaupun Jin Islam yang paling tinggi imannya dan paling soleh amalannya serta paling
luas serta banyak ilmunya , tetapi masih ada pada diri mereka sifat-sifat mazmumah
seperti takbur, riak, ujub dan sebagainya, tetapi mereka mudah menerima teguran dan
pengajaran. Mungkin inilah yang sering diperkatakan bahawa " sebaik-baik Jin itu ialah
sejahat-jahat manusia yang fasik. " Tetapi yang berbezanya manusia yang paling jahat
susah menerima pengajaran dan teguran yang baik.
Golongan Jin Islam yang awam dan Jin kafir suka merasuk manusia yang awam dengan
berbagai-bagai cara, kerana pada pandangan mereka manusia-manusia yang awam itu
bukanlah manusia sebenarnya, sebaliknya adalah rupa seekor binatang. Manusia yang
Khawas dan Khawasil-Khawas tidak dapat di rasuk oleh Jin, bahkan Jin pula akan
datang kepada mereka untuk bersahabat.
Rupa Bentuk Jin.
Pada asasnya rupa bentuk Jin tidaklah banyak berbeza daripada rupa bentuk manusia,
iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan
sebagainya, sepertimana yang di miliki oleh manusia. Pada dasarnya 80 hingga ke 90
peratus Jin menyerupai manusia. Cuma yang berbezanya fizikal Jin adalah lebih kecil
dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, ada yang
terlalu tinggi dan ada bermacam-macam warna, iaitu putih, merah biru, hitam dan
sebagainya. Jin yang kekal dalam keadaan kafir dan Jin Islam yang fasik itu mempunyai
rupa yang huduh dan menakutkan. Manakala Jin Islam yang soleh pula mempunyai rupa
paras yang elok.
Menurut sesetengah pendapat tinggi Jin yang sebenarnya adalah kira-kira tiga hasta
sahaja. Pengetahuan mereka lebih luas dan umurnya tersangat panjang dan ada yang
beribu tahun umurnya. Kecepatan Jin bergerak adalah melebihi gerak cahaya dalam
satu saat. Memandangkan Jin adalah terdiri daripada makluk yang seni dan tersembunyi,
tidak zahir seprti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti Malaikat, maka ruang
yang kecil pun boleh di duduki oleh berjuta-juta Jin dan ianya juga boleh memasuki dan
menghuni tubuh badan manusia.
Jumlah Jin terlalu ramai sehingga menurut sesetengah pendapat bilangannya ialah jumlah
semua manusia daripada Nabi Adam hingga ke hari kiamat di darab dengan
haiwan-haiwan, di darab dengan batu-batu, di darab dengan pasir-pasir dan semua
tumbuh-tumbuhan. Itu pun baru satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Jin.
Manakala jumlah keseluruhan Jin ialah satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan
Malaikat. Jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang lebih
mengetahuinya.
Alam kediaman Jin ialah di lautan, daratan, di udara dan di Alam Mithal iaitu
suatu alam di antara alam manusia dan alam malaikat. Jika di berikan oleh Allah
kepada kita melihat Jin, sudah tentulah kita akan melihat jarum yang dijatuhkan dari
atas tidak akan jatuh ke bumi , tetapi hanya jatuh di atas belakang Jin, disebabkan
terlalu banyaknya jumlah mereka.
Sebab itulah orang-orang tua kita selalu berpesan supaya anak-anak segera balik ke
rumah apabila telah tiba waktu maghrib dan pintu serta tingkap rumah mesti di tutup,
supaya tidak dimasuki oleh Syaitan dan Iblis. Sebagaimana sebuah Hadis yang telah
diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Apabila
kamu menghadapi malam atau kamu telah berada di sebahagian malam maka tahanlah
anak-anak mu kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran ketika itu dan apabila berlalu
sesuatu ketika malam maka tahanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu rumahmu serta
sebutlah nama Allah, padamkan lampu-lampu mu serta sebutlah nama Allah, ikatlah
minuman mu serta sebutlah nama Allah dan tutuplah sisa makanan mu serta sebutlah nama
Allah ( ketika menutupnya ) "
Hadis di atas bermaksud bahawa Jin dan Syaitan akan tidur di waktu siang dalam cahaya
dan sinar sehingga menjelang petang, di mana pada waktu itu mereka berkeliaran
mencari rezeki dan makanan, baik lelaki maupun perempuan, samada yang dewasa atau
kanak-kanak.
Melihat Jin.
Pada prinsipnya Jin tidak boleh di lihat, di sentuh dan di dengar oleh manusia
dalam bentuk yang asal sebagaimana ianya diciptakan, kecuali dalam keadaan-keadaan
tertentu, Jin boleh di lihat dalam rupa bentuk yang diingininya. Jin juga boleh di
lihat oleh manusia dalam keadaan sihir atau ketika meminum air sihir atau melalui
kemahuan Jin itu sendiri untuk memperlihatkan dirinya kepada manusia.
Di dunia semua Jin boleh melihat manusia manakala manusia yang Khawas dan
Khawasil-Khawas sahaja yang boleh melihat Jin selain daripada para Nabi dan Rasul.
Manakala di akhirat pula semua manusia mukmin yang ahli syurga boleh melihat Jin
manakala Jin yang Khawas dan Khawasil-Khawas sahaja yang boleh melihat manusia.
Antara kelebihan Jin yang telah diberikan oleh Allah ialah kemampuannya untuk
mengubah dirinya dalam berbagai bentuk dan rupa. Contohnya dalam peperangan Badar,
Iblis telah menampakkan dirinya dalam bentuk seorang lelaki dari Bani Mudlij dan
Syaitan pula dalam rupa Suraqah bin Malik yang datang membantu tentera musrikin
memerangi tentera Islam. ( Iblis dan Syaitan adalah juga merupakan sebahagian daripada
golongan Jin ).
Dalam Sahih Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa adanya Jin yang menampakkan
dirinya dalam bentuk seekor ular dan membunuh seorang pemuda yang cuba membunuh ular
tersebut. Di samping itu Jin juga boleh menampakkan dirinya dalam rupa bentuk haiwan
yang lain seperti rupa bentuk kucing, anjing dan sebagainya.
Kumpulan-kumpulan Jin.
Jin juga seperti manusia yang inginkan keturunan dan hidup berpuak-puak. Puak dan
kumpulan Jin terlalu banyak dan bercakap dalam berbagai-bagai loghat dan bahasa.
Ada sesetengah ulama membahagikan Jin kepada beberapa kumpulan, antaranya kumpulan
yang menunggu kubur, kumpulan yang menunggu gua, kumpulan yang menunggu mayat
manusia, kumpulan yang menunggu hutan rimba, kumpulan yang menunggu bukit bukau,
kumpulan yang menunggu air mata air, kumpulan yang menunggu tasik, kolam, teluk,
kuala, pulau dan sebagainya.
Jenis-jenis Jin
Sama seperti manusia Jin juga terdiri dari pada berbagai jenis atau bangsa, antara
yang tersohor ialah :-
1. Iblis Bapa dan pujaan kepada semua jenis Jin, Iblis dan Syaitan..
2. Asy-Syaitan Syaitan-syaitan
3. Al-Maraddah Peragu-peragu ( pewas-was )
4. Al-Afrit Penipu-penipu
5. Al-A�waan Pelayan-pelayan
6. Al-Tayyaaruun Penerbang-penerbang
7. Al-Ghawwaasuun Penyelam-penyelam
8. At-Tawaabi Pengikut-pengikut ( pengekor )
9. Al-Qurana Pengawan-pengawan
10. Al-Ummaar Pemakmur.
Gelaran-gelaran Jin dalam istilah orang-orang Melayu.
Jin menurut orang-orang Melayu mempunyai beberapa nama dan gelaran menurut
perwatakkan dan rupa bentuk penjelmaan mereka. Kebanyakan nama Jin-Jin itu
dimulai dengan hantu. Hantu-hantu tersebut sebenarnya adalah terdiri daripada
golongan Jin, cuma di kalangan orang Melayu, menganggap hantu itu adalah makhluk yang
berbeza daripada Jin. Antara Jin-Jin yang popular di kalangan orang-orang Melayu
ialah :-
a. Hantu Raya j. Hantu Pontianak s. Hantu Polong
b. Hantu Toyol k. Hantu Langsuir t. Hantu Penanggal
c. Hantu Pelesit l. Hantu Air u. Hantu Bukit
d. Hantu Kubur m. Hantu Pari v. Hantu Punjut
e. Hantu Jerangkung n. Hantu Laut w. Hantu Bawah Tangga
f. Hantu Galah o. Jin Tanah x. Hantu Kum-Kum
g. Hantu Bungkus p. Hantu Pocong y. Hantu mati di bunuh
h. Hantu Bidai q. Hantu pari-pari z. Hantu Kopek (
Tetek )
i. Harimau Jadian r. Jembalang Tanah zz. Hantu Tengelong
Kerajaan-kerajaan Jin.
Jin juga mempunyai pemimpin dan kerajaannya yang tersendiri. Antara Raja Jin alam
bawah yang kafir ialah seperti Mazhab, Marrah, Ahmar, Burkhan, Syamhurash, Zubai�ah
dan Maimon. Empat raja Jin Ifrit ( Jin yang paling jahat ) yang mempunyai kerajaan
yang besar yang menjadi menteri kepada Nabi Allah Sulaiman a.s ialah Thamrith,
Munaliq, Hadlabaajin dan Shughal. Manakala Raja Jin Alam atas yang Islam pula ialah
Rukiyaail, Jibriyaail, Samsamaail, Mikiyaail, Sarifiyaail, �Ainyaail dan Kasfiyaail.
Raja Jin yang mengusai kesemua Jin tersebut bernama THOTHAMGHI YAM YA LI.. Manakala
Malaikat yang mengawal kesemua Jin-Jin di atas bernama Maithotorun yang bergelar
QUTBUL JALALAH.
Anak-anak Iblis juga mempunyai kerajaan yang besar antaranya :-
1. Thubar Merasuk manusia yang di timpa musibah dan bala
2. Daasim Merasuk manusia untuk menceraikan ikatan silatulrahim, rumah tangga,
keluarga, sahabat handai, jemaah dan sebagainya.
3. Al-�Awar Merasuk manusia supaya meruntuhkan akhlak, berzina, minum arak, liwat,
berjudi dan sebagainya
4. Zalanbuur Merasuk manusia dengan api permusuhan dan pembunuhan.
Antara Jin, Ifrit dan Syaitan serta Iblis.
Jin, Ifrit, Syaitan dan Iblis adalah merupakan sebahagian daripada golongan Jin, cuma
tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin sebagaimana yang telah diterangkan di
atas ialah sejenis mahkluk Allah yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia.
Pengetahuan mereka lebih luas dan sangat panjang usianya. Manakala Ifrit pula adalah
daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati
terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah.
Iblis dan Syaitan juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka merupakan golongan
Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan
mendapat kutukan Allah sehingga ke hari kiamat. Sebagaimana Firman Allah yang
bermaksud :
" Iblis menjawab : Sebab engkau telah menghukum saya dengan tersesat, saya akan
menghalang halangi mereka dari jalan Mu yang lurus. Kemudian saya akan mendatangani
mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Engkau tak
akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur ( taat )."
Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya
beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat
menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur
di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya
berbanding dengan manusia ( Adam ). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah
telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.
Bermula dari saat itulah Iblis melancarkan gerakan permusuhan dengan manusia
sehingga ke hari kiamat. Allah telah menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis
permusuhan dilakukan oleh Jin ke atas manusia iaitu :-
1. Melalui Kejahatan ( As-Suu� ) : iaitu berkenan dan gemar kepada dosa-dosa dan
maksiat hati dan segala anggota tubuh badan.
2. Kekejian ( Al-Fahsyaa� ) : iaitu kejahatan yang lebih buruk dan jahat lagi.
Kekejian ini adalah sebahagian daripada perkara yang membawa kepada kedurhakaan dan
maksiat kepada Allah.
3. Melalui pembohongan dan menipu Allah melalui perbuatan, perkataan dan nawaitu.
Bersahabat dengan Jin.
Ramai di kalangan orang-orang Melayu yang bersahabat dan menjadikan Jin sebagai
pembantu dan Khadam mereka dalam membantu mereka melaksanakan tugas-tugas yang
tertentu. Contohnya seperti Tok Bomoh, Tok Pawang, Tok Dukun, Tok Mudim, Mak Bidan,
Mak Andam, Tukang Urut, Panglima, Hulubalang, Tok Guru latihan pertahanan diri dan
sebagainya. Walaupun begitu tidak semua golongan di atas yang menggunakan Jin dalam
kerja-kerja harian mereka. Tidak dinafikan terdapat juga golongan tersebut yang
benar-benar mempunyai kemahiran semulajadi tanpa pertolongan dari Jin.
Menurut Sheikh Abdul Wahhab Asy-Sya�rani dalam kitabnya Yawaqitu Wal Jawahir, bahawa
bersahabat dan bersekedudukan dengan Jin itu sangat keji. Katanya lagi " Barang
siapa memilih dan melebihkan sekedudukan dengan Jin daripada bersekedudukan dengan
ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana yang lebih biasa bagi Jin itu adalah
perbuatannya dan perkataannya berlebih-lebihan dan dusta jua seperti kelakuan
manusia yang fasik. Maka orang yang berakal lari ia daripada bersahabat dan
bersekedudukan dengan Jin, seperti larinya daripada bersahabat dan bersekedudukan
dengan manusia yang fasik."
Tambahnya lagi : " Tidak sekali-kali aku melihat seseorang yang bersekedudukan dengan
Jin itu beroleh kebajikan kerana asal kejadian Jin itu adalah daripada api dan api
itu sangat banyak geraknya. Dengan banyak gerak itu datanglah berlebih-lebihan
perbuatan dan perkataan orang itu.
Syeikh Muhyuddin Arabi dalam kitabnya Futuhat pula menjelaskan : " Adalah orang yang
bersekedudukan ( bersahabat ) dengan Jin itu tidak beroleh ilmu kerana Allah. Kerana
Jin itu sangat jahil akan Allah dan sifat-sifatNya.
Kadang-kadang orang yang bersahabat denagan Jin itu menyangka semua perkara yang
dikhabarkan dan di beritahu oleh Jin itu adalah daripada perkara yang berlaku di
dalam alam itu adalah Karamah daripada Allah Taala. Sebenarnya sangkaan mereka
tersebut adalah tidak benar sama sekali. Kerana segala pemberian Jin kepada manusia
tentang khasiat tumbuh-tumbuhan, khasiat batu permata, akar kayu dan segala khasiat
Isim dan huruf itu adalah merupakan salah satu bidang dalam ilmu Kimia semata-mata
yang juga boleh di pelajari dan diketahui oleh manusia.
Kata Syeikh Muhyuddi Arabi lagi : " Sesungguhnya ramai orang yang bersahabat dengan
Jin akan menjadi takbur dan sombong dengan kelebihan yang dimilikinya itu. Sifat
takbur merupakan salah satu sifat yang paling di murkai oleh Allah dan akan dimasukkan
ke dalam Neraka seperti yang telah dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran dan Hadis
RasulNya.
Ringkasnya kita sebagai seorang Islam di tegah daripada bersahabat dan bersekedudukan
dengan para Jin samada Islam maupun Jin kafir kerana keburukannya lebih banyak jika
dibandingkan dengan kebaikan yang akan kita perolehi. Jin akan sentiasa merasuk dan
mendorong manusia supaya melakukan kejahatan dan maksiat tanpa kita sedari.
Masuknya Jin Kedalam Tubuh Manusia.
Jin boleh merasuk dan masuk ke dalam diri manusia dengan berbagai-bagai cara dan
manusia yang mengunakan khidmat Jin untuk melakukan pengkhianatan kepada manusia
lain pun melalui berbagai cara. Sebagaimana sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang
telah diriwayatkan oleh Sayidah Syafiyyah binti Huyay , bahawa Rasulullah pernah
bersabda yang maksudnya : " Sesungguhnya Syaitan ( Jin ) itu berjalan dalam tubuh
anak Adam sebagaimana darah yang mengalir dalam tubuhnya ".
Dari Hadis di atas jelaslah bahawa Jin dapat masuk kedalam tubuh badan manusia dan
terus sampai ke urat nadi dan darah manusia. Jin dapat berjalan dalam tubuh manusia
seperti arus eletrik mengalir dalam kabel penyalurnya. Jin juga dapat menguasai
manusia sehingga ia dapat menimbulkan perkelahian sesama manusia, manusia kehilangan
ingatan, hilang daya kemahuan dan kesedaran dan lain-lain lagi.
Jin boleh memasuki badan manusia samada di pinta sendiri oleh manusia atau tanpa di
sedari oleh manusia itu sendiri. Jin mendampingi dan memasuki manusia melalui salah
satu cara yang berikut. Antaranya
1. Melalui Khadam atau manusia itu sendiri menjadikan Jin sebagai sahabatnya.
2. Melalui " saka Baka "
3. Melalui Sihir yang di lakukan oleh manusia lain ke atasnya.
4. Kerana manusia itu sendiri lalai dari mengingati Allah atau melakukan perkara
perkara yang di larang oleh Allah, bererti mendekatkan diri untuk di kuasai oleh Jin
dan Iffrit.
5. Melakukan kejahatan terhadap Jin tertentu seperti menjatuhkan sesuatu benda
berat di sesuatu tempat yang ada Jin, tanpa menyebut nama Allah sehingga
menyebabkan kematian anak Jin,
6. Kerana adanya Jin lelaki yang jatuh cinta kepada seorang perempuan yang suka
bersolek atau wanita-wanita yang suka keluar rumah untuk memperlihatkan
kecantikannya dan tidak memakai tudung serta suka mendedahkan aurat.
7. Melalui pengamalan jampi serapah, doa dan ayat-ayat tertentu yang boleh
mendatangkan Jin .
Apabila telah memasuki badan manusia, walau dengan apa cara sekali pun Jin tersebut
akan mendiami salah satu tempat berikut di anggota tubuh badan manusia. ( walaupun
mereka bebas bergerak-gerak dalam badan manusia ) Antara tempat-tempat tersebut ialah
:-
1. Mereka berkumpul di mata kanan dan kiri. Sebab itulah jika seseorang itu membela
atau telah dimasuki Jin dalam badan mereka, mereka tidak berani bertentang mata
dengan orang lain.
2. Berada di telinga kanan dan kiri, dengan itu manusia yang telah terasuk Jin tidak
suka mendengar nasihat dan teguran yang baik serta amat suka mendengar
perkara-perkara maksiat seperti muzik yang melalaikan dan sebagainya.
3. Berada di mulut manusia, dengan itu manusia yang telah di masuki Jin amat suka
bercakap benda-benda yang tidak berfaedah dan menda
___________________________________________________
GO.com Mail
Get Your Free, Private E-mail at http://mail.go.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: Belut Pisang <[EMAIL PROTECTED]>