Anwar: keputusan mahkamah pengkhianatan terbuka terhadap amanah rakyat


1:37pm Wed Jul 10th, 2002


Berikut adalah kenyataan penuh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan beliau terhadap tuduhan menyalahgunakan kuasa dan hukuman penjara enam tahun.

Mantau ketua saudara, sekurang-kurangnya tidak berpura-pura gagah menyembunyi hakikat bahawa beliau bertindak di bawah telunjuk Dr Mahathir [Mohamad]. Saudara di sebaliknya mempamerkan sandiwara badan kehakiman yang bebas dengan pernyataan hasrat untuk memulihkan keyakinan terhadap badan kehakiman.

Kalangan yang menaruh harapan bahawa badan kehakiman akan bebas dan mantap sebagai cetusan hasrat rakyat kini kecewa. Malang sekali, lantaran sikap bacul segelintir, maka hasrat rakyat terbanyak hampa dan dikhianati.

Penghakiman hari ini merupakan hukuman ke atas mahkamah tertinggi negara. Para hakim telah mendera diri dengan cara aib sekali di depan khalayak dunia.

Sesungguhnya, rayuan ini bukan mutlak isu perundangan, malah permasalahan kekuatan moral. Penghakiman ini merupakan pengkhianatan terbuka terhadap amanah rakyat dan jelas merupakan pencabulan hukum.

Persoalan pokok yang kami ketengahkan ialah bahawa Hakim S Augustine Paul tidak mengetuai perbicaraan tetapi salah bicara; dengan melanggar kaedah perundangan, menafikan hak asasi saya membela diri menurut proses perbicaraan yang sah.

Bukti sahih yang dikemukakan, menunjukkan gelagat pendakwa merekaya keterangan terhadap saya. Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah mencela tindakan tersebut dan mempertikai sikap hakim berkenaan.

Keputusan menolak rayuan ini jelas melanggar prinsip keadilan dan menghina badan kehakiman. Ketua Hakim Negara bertindak liar menghumbankan dirinya dan institusi mulia ini ke lembah kegelapan.

Konspirasi peringkat tertinggi kini lengkap sudah, dengan mencakup mahkamah dan badan kehakiman. Mereka diperangkap dan dengan rela menjadi perkakas yang tunduk kepada perintah Dr M. Saya ucapkan selamat kepada Dr M yang kononnya akan bersara. Tidak ada lagi institusi baki yang boleh dimusnahkan.

Keadilan menuntut keberanian, kegigihan berdasarkan keyakinan. Insya-Allah, keadilan akan dapat ditegakkan juga olehnya. Saya menyeru rakan-rakan pejuang keadilan supaya teguh dan tabah.

Kita akan bersihkan sampah-sarap rasuah, kezaliman dan penindasan hasil peninggalan Dr M dan kita akan bangunkan Malaysia yang demokratik dan adil.




COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
New! SBC Yahoo! Dial - 1st Month Free & unlimited access

Kirim email ke