PENGARAH WAJIB KURSUS
Oleh Azman Anuar
(Wartawan Utusan)BUDAYA urus tadbir korporat (corporate governance) semua syarikat di negara ini didapati masih kurang kukuh. Hal ini bukan sahaja berlaku dalam syarikat bumiputra tetapi juga bukan bumiputra.
Tahap urus tadbir yang tidak kukuh ini disebabkan kebanyakan pengarah syarikat tidak mempunyai pengalaman mengurus yang meluas. Walaupun sesetengah pengarah berpendidikan tinggi, yang mana sesetengah mereka adalah jurutera, akauntan dan pelbagai latar belakang bidang professional lain tetapi mereka tidak begitu mahir dalam mengawal perjalanan syarikat.
Sesetengah golongan profesional menjadi pengarah hanya melalui kenaikkan pangkat. Oleh itu mereka tidak ada pengalaman dan tidak cukup kemampuan untuk mengendalikan masalah syarikat.
Menurut pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Mohamed Sulaiman, kebanyakan tugas dan tanggungjawab pengarah secara khusus tidak diperoleh oleh kebanyakan pengarah syarikat kecuali mereka yang mengambil sarjana dalam bidang pengurusan dan pentadbiran (MBA).
Oleh sebab itu pengarah syarikat perlu juga mendapatkan latihan supaya mereka mempunyai kemahiran menganalisis keadaan.
"Jika dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah syarikat, ada yang tidak dapat memahami apa yang dibincangkan," kata Prof. Mohamed yang juga salah seorang penceramah Program Latihan Pengarah-pengarah Syarikat anjuran PDS TNE (M) Sdn. Bhd. (sebuah syarikat pemegang hak latihan bagi pihak Pendaftar Syarikat).
Walau apa pun banyak juga berlaku pengarah tidak tahu apa tugas dan tanggungjawab sebenar mereka. Ada sesetengahnya menganggap menjadi pengarah suatu jawatan dan kedudukan yang prestij. Tidak kurang juga yang menjadikan jawatan pengarah sebagai glamour untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
"Menjadi pengarah adalah tanggungjawab yang berat. Ada pengarah yang datang mesyuarat langsung tak tahu apa perkara yang dibincangkan sebab tidak membaca laporan mesyuarat terlebih dahulu.
"Bagaimana mereka nak berbincang dan mengemukakan pendapat, idea untuk syarikat kalau tidak membaca laporan yang tebal. Tugas pengarah bukan hanya turunkan tandatangan sahaja," kata Pengarah Urusan Fededal Power, Ahmad Farid Omar.
Beliau yang turut menjadi peserta kursus ini juga mencadangkan supaya kerajaan menghadkan seseorang hanya boleh menjadi pengarah untuk empat syarikat sahaja supaya mereka dapat memberikan tumpuan yang lebih.
Menurut Ketua Penolong Pendaftar Syarikat (ROC), Zahran Abd. Wahab Fenner banyak kesalahan lazim dilakukan oleh pengarah syarikat seperti tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, tidak menyiapkan penyata kewangan tahunan, laporan kewangan tidak disahkan oleh juruaudit berdaftar dan sebagainya.
Zahrah menjelaskan bahawa banyak pengarah syarikat tidak sedar kesalahan mereka di sisi undang-undang Akta Syarikat yang boleh menyebabkan mereka dikenakan kompaun dan dihukum penjara.
"Pihak ROC boleh mengambil tindakan penguatkuasaan, tetapi kami sedar mereka kurang mendapat pendedahan tentang tugas dan tanggungjawab pengarah syarikat. Ini berlaku kerana mereka terlampau bergantung pada setiausaha syarikat," kata Zahrah.
Beliau yang juga penceramah kursus itu menjelaskan bahwa peningkatan bilangan kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kebanyakan syarikat amat mengejutkan. Sebagai contoh dari Januari hingga Ogos lalu, bilangan notis kompaun yang dikeluarkan bagi kesalahan kecil meningkat 38,706 yang melibatkan denda berjumlah RM6.94 juta.
Masalah kesalahan kecil ini sebenarnya boleh dielakkan dengan mudah jika pengarah mempunyai kefahaman dan pengetahuan tentang urus tadbir korporat.
Pada hari ini terdapat kira-kira 561,476 buah syarikat yang berdaftar dengan ROC di samping 800,000 orang pengarah syarikat. Malah dijangkakan pertumbuhan syarikat baru akan meningkat di setiap negeri dengan melahirkan antara 500 hingga 1,000 pengarah sehari.
Menyedari kekurangan yang ada dan untuk memenuhi permintaan melatih dan mendidik bilangan pengarah yang bertambah sepanjang masa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan program Latihan Pengarah-pengarah Syarikat yang dikendalikan oleh 17 syarikat pemegang hak latihan tersebut dari ROC.
Tujuan kerajaan adalah supaya para pengarah terdedah kepada pengetahuan semasa dan sedar tentang tugas, tanggungjawab dan hak sebagai pengarah syarikat. Lebih-lebih lagi meningkatkan kebertanggungjawaban (akauntabiliti) pengarah dengan mendedahkan kepada mereka tentang kesalahan biasa dan hukuman yang boleh mereka terima.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika melancarkan program latihan pengarah-pengarah syarikat kelmarin di sebuah hotel di Damansara, Kuala Lumpur, di samping ingin menggalakkan daya saing dan kecekapan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab pengarah bagi memperbaiki cabaran daya saing, kita juga berminat pada empat factor lain yang sesuai dengan budaya tadbir urus korporat Malaysia iaitu kejujuran, akauntabliti, ketelusan dan tanggungjawab.
"Kita mahu semua pengarah syarikat perlu peka dengan semua peraturan dan undang-undang yang relevan, terutama mereka yang tidak pernah didedahkan dengan program latihan pengarah syarikat," kata Muhyiddin.
Dalam menggalakkan para pengarah syarikat tampil menjalani program latihan, Muhyiddin menjelaskan beliau akan berbincang dengan kementerian lain bagi memastikan pengarah syarikat yang berminat memasuki tender-tender kerajaan perlu menyertai program latihan ini dengan sempurna.
"Kerajaan dan masyarakat tidak boleh lagi melihat pengarah yang tidak bertanggungjawab memperalatkan dana kerajaan untuk golongan miskin, diberikan kepada pengarah yang sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan dan prinsip asas bagaimana mengendalikan syarikat dan urus tadbir yang baik," kata Muhyiddin.
Pada masa terdekat ini, dengan kedatangan teknologi baru dan globalisasi, kita akan berhadapan dengan pengarah yang efektif semakin mencabar.
Bersama dengan kemudahan yang lebih baik dalam teknologi dan pasaran dunia, ia juga mungkin mewujudkan individu yang tidak bertanggungjawab yang akan mencari kaedah yang boleh diperalatkan dan memanipulasi pentadbiran syarikat bagi mencabar pengarah lain yang kurang mahir tentang urus tadbir korporat.
Aliran negatif ini sudah pun dipapar di dalam surat khabar yang melaporkan pengarah-pengarah syarikat tertentu diisytiharkan muflis akibat kurang pengetahuan urus tadbir korporat.
Inilah masanya semua pengarah syarikat perlu tahu tugas dan tanggungjawab dan faedah yang boleh diperoleh daripada amalan tadbir urus korporat yang baik. Sesiapa yang berminat mengikuti program ini boleh menghubungi PDS TNE (M) Sdn. Bhd. melalui telefon 03-79560143, 03-79561167 atau faksimili 03-79579182.
Di samping itu, kini adalah suatu perkara biasa untuk melihat individu membawa kad bisnes jawatan pengarahnya tanpa mempunyai sebarang pengetahuan atau sedar akan tanggungjawab dan kelayakan yang diperlukan sebagai pengarah.Sebenarnya tidak semudah Ahmad, Ah Chong atau Ramasamy boleh melantik diri mereka sendiri sebagai pengarah, pengerusi eksekutif, CEO atau sebarang kedudukan dan menjalankan amalan korporat separuh masak yang hanya akan merendahkan mutu dan kedudukan pengarahan di negara ini. Perlantikan dan pengiktirafan kepada orang tak pandai apa-apa pun dipilih sebagai pengarah, mungkin boleh menjatuhkan martabat jawatan pengarah itu sendiri.
Kini sudah tiba masanya, prestij atau martabat kedudukan pengarah syarikat yang sudah lama dipandang mudah, diubah kepada kedudukan yang lebih baik
Reformasi-Malaysia: Forum Perbincangan Maya Yang Fokus
Kepada Isu Keadilan, Demokrasi dan Kebenaran.
------------------------------------------------------
Reformasi-Malaysia : A Discussion Forum Focusing on
Issues Related to Justice, Democracy and Truth.
------------------------------------------------------
Untuk diskusi cara langsung, sila berhimpun di:
For real time discussions please join us in:
#ReFORMasi-Malaysia server DALNET
-------------------------------------------------------
Also visit:
http://nyem.hypermart.net
http://selidik.hypermart.net
http://dsreformasi.cjb.net
-------------------------------------------------------
Send a blank e-mail to:
[EMAIL PROTECTED] - to subscribe
[EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe
--------------------------------------------------
If any question or seek for help regarding this list do
not hesitate to send an e-mail to [EMAIL PROTECTED]
Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
