Kenyataan Media
31 Ogos 2002
Menuntut Keadilan atas Nama Kemerdekaan
 
Sempena Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-45, kami, isteri-isteri semua tahanan ISA yang berada di Kamunting menuntut Kerajaan Malaysia membebaskan suami-suami dan ahli keluarga kami yang ditahan dengan zalim.
 
Kami menyeru semua rakyat agar bersama kami menolak undang-undang ISA ini yang mencengkam kebebasan rakyat, hak asasi manusia dan hak dalam Perlembagaan Malaysia.
 
Negara Malaysia yang tercinta ini yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi tidak sepatutnya menahan seseorang tanpa bicara. Ia jelas melanggar prinsip Islam malah semua agama dan tamadun manusia.
 
Hari ini kami menegaskan lagi Deklarasi 5 Dekad Kezaliman ISA
 
(1)               ISA sebagai undang-undang yang menahan seseorang tanpa bicara adalah taktik menakutkan, menganiaya hak asasi manusia dan menjadikan tahanan, keluarga dan orang kesayangan mereka sebagai mangsa.
 
(2)               ISA 1960 yang membenarkan tahanan tanpa bicara adalah menjijikkan dan merupakan instrumen penindasan pihak pemerintah untuk mengawal kehidupan orang awam dan masyarakat sivil.
 
(3)               Tahanan tanpa bicara adalah tidak bermoral dan zalim kerana standard hak asasi manusia antarabangsa mengiktiraf hak untuk tidak menahan seseorang atau menjatuhkan hukuman dalam apa jua cara tanpa perbicaraan terbuka. Malah semua agama menuntut pengiktirafan hak asasi ini dan mengutuk sebarang pencerobohannya.
 
(4)               ISA diperkenalkan semula pada 1960 walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan apabila pemimpin ketika itu mencontohi penjajah British. ISA telah digunakan untuk menahan dan menzalimi beribu-ribu rakyat dari pelbagai kaum, agama dan golongan masyarakat. Tahun 60-an telah menyaksikan gerakan buruh dan pembangkang diserang dan diancam secara sistematik menggunakan ISA. Tahun 70-an, selain aktivis buruh dan politik, pemimpin gerakan pelajar turut diserang. Anwar Ibrahim juga ditahan di bawah ISA pada tahun 1974. Penggunaan ISA berterusan sehingga tahun 80-an dan 90-an seperti Operasi Lalang dan penyokong Gerakan Reformasi. Tahun 2000 sehingga kini juga menyaksikan ISA digunakan sewenang-wenangnya terhadap rakyat yang mendedahkan penyelewengan kerajaan dan rakyat juga menjadi mangsa kononnya sebagai usaha membendung keganasan. Tiada bukti yang kukuh telah dihadapkan kepada semua mereka yang ditahan.
 
Kami menuntut rakyat dan Kerajaan Malaysia bersama-sama membersihkan nama negara yang tercemar kerana masih mempunyai undang-undang yang amat tidak adil ini. Bukan sahaja akta ISA dan yang berkaitannya perlu dimansuhkan malah artikel 149 Perlembagaan yang membenarkan kewujudan undang-undang tersebut hendaklah dihapuskan.
 
Kami menyeru rakyat dan kerajaan Malaysia untuk memansuhkan ISA dan undang-undang yang berkaitan yang membenarkan tahanan tanpa bicara serta membebaskan semua tahanan yang ditahan di bawah undang-undang tersebut atau dakwa mereka di dalam mahkamah terbuka.
 
Demi “Merdeka” yang dilaungkan hari ini saban tahun sejak 45 tahun yang lalu, kami menuntut Kerajaan Malaysia menghentikan penyiksaan dan penderitaan fizikal, mental dan rohani terhadap semua tahanan dan juga isteri-isteri, anak-anak serta kaum keluarga kami.
 
CUKUP LIMA DEKAD KEZALIMAN, MANSUHKAN ISA SEGERA!
BEBASKAN SEMUA TAHANAN ISA SEGERA!
 
Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA 2001

Kirim email ke