Janji untuk rakyat pelbagai kaum di Terengganu ditunaikan
Oleh SUBKY ABDUL LATIF
KATA Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam kepada saya beberapa
minggu selepas PAS mengambil alih Kerajaan Terengganu, "Seorang rakan saya,
saudagar Cina berkemas untuk meninggalkan Terengganu." Persepsi peniaga Cina
itu ialah tiada ruang untuk peniaga bukan Islam dalam pentadbiran kerajaan
Islam yang hendak ditegakkan oleh PAS.
Sebelum saudagar itu mengucapkan selamat tinggal kepada Terengganu untuk
meneruskan perniagaannya di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan
Nasional (BN) di pantai barat, dia menemui Dato� Haji Mustafa Ali yang baru
diberi tugas untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi,
Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia Kerajaan Negeri Terengganu.
Selepas pertemuan itu, kata Tan Sri Musa, rakan Cinanya itu terus datang
menemuinya menceritakan persespsi barunya tentang pemimpin kerajaan baru
Terengganu. Dia ingat pemimpin-pemimpin PAS semua berserban, berjanggut dan
bengis. Dia terperanjat melihat Dato� Haji Mustafa Ali menyambutnya dengan
riang dan sentiasa ketawa.
Berpakaian kemas, berkot dan bertali leher. Dengan badannya yang besar itu,
saudagar Cina terasa Dato� Haji Mustafa seorang pemimpin yang berketokohan.
Dato� Haji Mustafa menggunakan Bahasa Inggeris yang baik dan memberi
kata-kata perangsang menggalakkan penyertaan para peniaga semua kaum dengan
galakan yang menarik.
Kata Tan Sri Musa, peniaga itu memberi tahunya berniaga dengan kerajaan
Kelantan dan Terengganu jauh lebih senang. Biasalah bagi peniaga berbelanja
sebelum dapat sesuatu kontrak. Tetapi berniaga di Terengganu tidak perlu
berbelanja besar. 30 peratus dari keuntungan dapat diselamatkan.
Tidakkah satu nikmat bagi para peniaga dapat menyelamatkan 30 peratus dari
keuntungannya dan betapa mewahnya mereka berbelanja dengan keluarga mereka
dengan keuntungan yang selamat itu? Bagi peniaga Cina itu gambaran yang
diberikan kepadanya dulu adalah berbeza. Tan Sri Musa minta saya sampaikan
salamnya kepada Dato� Haji Mustafa dan berpesan, �Kekalkan imej itu.�
Demi mengekalkan imej itulah maka kerajaan negeri memberi hak milik tanah
kepada 39 keluarga Cina dari Pulai Baru, Bukit Berangan, Mukim Kuala Nerus.
Mereka adalah antara 183 yang menerima geran dari Menteri Besar Dao� Seri
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Tok Jiring Kuala Terengganu
baru-baru ini.
Dalam ucapannya Menteri Besar berkata, sesiapa saja yang menjadi rakyat
Terengganu yang tidak bertanah dan tidak pernah menerima anugerah tanah dari
kerajaan berhak mendapat satu lot tanah. Tidak kira Melayu atau bukan
Melayu, tidak kira UMNO atau PAS, asal mereka rakyat, maka kerajaan
pimpinannya akan memberi mereka tanah.
39 Cina itu adalah antara orang-orang keturunan Cina yang sudah diberi geran
dari daerah-daerah lain. Antaranya dari Kemasik. Orang-orang Cina di Pulai
Baru itu asalnya dari Gua Musang, Kelantan. Dalam masa darurat sebelum
merdeka 50 tahun lalu mereka adalah sasaran komunis untuk mendapatan
sokongan bagi menegakkan sebuah kerajaan komunis di Malaya.
Pesuruhjaya Tinggi British ketika itu Jeneral Sir Gerald Templer dan
Timbalannya Sir Donald MacGlavery telah mewujudkan program �Kampung Baru�
bagi memisahkan penduduk-penduduk Cina dari peras ugut aktivis komunis.
Berpuluh-puluh keluarga Cina Gua Musang telah dipindahkan oleh tentera
British ke Kampung Pulai Baru, Mukim Kuala Nerus.
Mereka duduk di tanah kerajaan untuk meneruskan kehidupan harian. Ramai
antara generasi yang datang dari Gua Musang itu sudah meninggal dunia. Ada
juga yang sudah pindah randah ke tempat lain. Kebanyakan yang masih ada
adalah generasi kedua dan ketiga.
Generasi
Walaupun asal mereka dari Perak, Pulau Pinang dan lain-lain sebelum menjadi
masyarakat Cina Gua Musang, tetapi setelah di Terengganu mereka dikira
rakyat Terengganu yang berasal dari Gua Musang. Seperti orang Terengganu
yang lain mereka pernah memohon tanah, terutama yang mereka kerjakan. Tetapi
tidak pernah berhasil.
Walaupun kerajaan dulu banyak memberi layanan kepada masyarakat Cina, tetapi
yang banyak mendapat faedah adalah orang-orang kaya dan saudagar. Syarikat
perkongsian Vincent Tan, jutawan dari Kuala Lumpur mendapat banyak kemudahan
dari kerajaan dulu terutama dalam projek memajukan Pulau Redang.
Cina miskin dan petani menerima layanan yang sama dengan orang-orang miskin
yang lain, tidak pernah diberi tanah walaupun dijanjikan tanah terutama
setiap kali musim pilihan raya. Kerajaan PAS menjanjikan sebidang tanah
perumahan dan sebidang tanah pertanian kepada rakyat Terengganu. Tahun ini
adalah tahun yang paling sibuk bagi pejabat tanah, kerana kerja yang dibuat
sejak kerajaan baru berkuasa mulai siap.
Pemimpin-pemimpin kerajaan begitu sibuk hampir setiap minggu menyampaikan
geran kepada rakyat. Sebenarnya penduduk Pulai Baru itu sepatutnya telah
diberi geran lebih awal. Tetapi kerana Menter Besar mengira 39 orang
penduduk itu adalah kes istimewa, maka Menteri Besar sendiri hendak
menyampaikannya.
Mereka yang tua lelaki dan wanita berlari-lari memanjat tangga pentas
apabila nama mereka dipanggil untuk menerima geran dari Menteri Besar.
Mereka berbangga dan besar hati dapat menerima sendiri geran dari Menteri
Besar.
Tambah menggembirakan apabila mereka menerima hadiah tanah itu dari Menteri
Besar. Mereka telah menunggu begitu lama. Sejak sebelum merdeka mereka
dijanjikan tanah oleh penjajah, walau pun penjajah tidak ada hak untuk
memberi tanah yang menjadi bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Sesudah merdeka mereka menunggu 43 tahun lagi. Dan apabila PAS menjanjikan
untuk memberi tanah kepada orang tidak bertanah jika terpilih, maka adalah
menjadi tanggungjawab kerajaan menunaikan janji itu. Apakah rakyat yang
tidak bertanah termasuk 39 orang Cina itu mengundi PAS atau tidak dalam
pilihan raya lalu tidak berbangkit. Asal mereka rakyat, mereka berhak
mendapat layanan dari kerajaan yang adil dan telus.
Orang Islam gembira kerana mereka dapat bertemu dengan tok guru mereka.
Tetapi orang Cina mengira Menteri Besar itu adalah �Orang Baik.� Maka ia
dikira satu peluang baik kerana dapat bertemu Tuan Guru. Menteri Besar
berkata kepada mereka, kerajaan sekarang sudah pun menunaikan janjinya. Ia
berjanji untuk memberi mereka tanah, maka proses pemberian sudah pun
berjalan.
Ia berjanji untuk membuat peruntukan bagi melaksanakan hukum hudud, maka
peruntukan itu sudah pun dilulus. Dan jika kerajaan ini terus mendapat
mandat selepas pilihan raya ini, maka proses memberikan tanah kepada yang
belum menerimanya lagi akan mendapat giliran mereka pula.
Apakah ia untuk memancing undi?
Ia adalah janji. Kuasa sudah diberi oleh rakyat. Maka kerana janji telah
dibuat, maka kerajaan mesti menunaikannya. "Untuk mendapatkan mardhatillah.
Saya serahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan seterusnya," kata Menteri
Besar ketika berucap sebelum menyampaikan geran itu.
Jika dalam pilihan raya akan datang rakyat mengundi mereka lagi setelah
melihat rekod sejak tahun 1999, ia diterima sebagai satu amanah dan
tanggungjawab. Tetapi yang menerima geran itu tidak dipaksa mesti memberikan
undi kepada kerajaan yang memberi mereka geran. Inilah satu pendirian
terbuka dan mengajar rakyat supaya berfikiran terbuka. Fikiran terbuka hanya
datang dari orang yang berfikiran terbuka juga.




COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Finance - Get real-time stock quotes

Kirim email ke