Parti Rakyat Malaysia <[EMAIL PROTECTED]>wrote:

Majlis Presiden Barisan Alternatif

Kenyataan Media

BA MENGECAM KERAS SERANGAN KE ATAS IRAQ

Keputusan yang hampir pasti dibuat oleh Amerika Syarikat dan sekutunya
Britain untuk melancarkan serangan ke atas Iraq merupakan satu tindakan
kejam keatas kemanusiaan. Apapun alasan yang diberi, ruang perundingan dan
jalan penyelesaian secara aman harus terus dilakukan oleh semua pihak
terutamanya badan dunia PBB. Tuduhan bahawa Iraq sedang membina senjata
nuklearnya hanya merupakan sekadar alasan rapuh sebagai justifikasi kepada
tindakan mereka sedangkan pasukan penyiasat PBB sendiri hingga kini gagal
mengesahkan dakwaan tersebut.

Barisan Alternatif mengecam keras tindakan biadab kedua-dua negara yang sama
sekali membelakangkan masyarakat antarabangsa. Majlis Keselamatan PBB
langsung diketepikan dalam menentukan tindakan mereka ke atas Iraq. Begitu
juga dengan negara-negara maju lain termasuk sekutu AS dalam Perang Teluk
yang lalu. Apa yang jelas keganasan yang dilebelkan keatas Iraq tidak
seharusnya dibalas dengan keganasan. Tindakan ganas ini akan hanya
menimbulkan ketidakstabilan dunia dan menggugat keharmonian sejagat.

Barisan Alternatif kesal dengan keangkuhan AS dan Britain yang langsung
tidak menghormati negara-negara Arab lain yang dengan jelas menolak
rancangan mereka bahkan telah bersepakat untuk tidak akan memberi sebarang
kerjasama dari segi kemudahan pengkalan tentera dan kemudahan lainnya. Ini
jelas membuktikan bahawa masyarakat dunia menolak sebarang bentuk tindakan
ketenteraan atau lebih tepat mewujudkan peperangan baru. Alasan menentang
keganasan tidak boleh disandarkan untuk memerangi negara lain yang
berdaulat. Tindakan melancarkan perang itu sendiri merupakan suatu keganasan
besar.

Peperangan yang akan berlaku hanyalah satu lagi siri penindasan dan
pembunuhan manusia yang tidak berdosa. Kita sedia maklum kesan Perang Teluk
1991 masih lagi berbekas kepada rakyat Iraq. Apakah hanya kerana kebencian
terhadap Saddam Hussein, rakyat Iraq dimangsakan. Perubahan pimpinan serta
corak pemerintahan hendaklah ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri,
bukan oleh kuasa asing.

Justeru itu Barisan Alternatif menyeru masyarakat antarabangsa terutamanya
PBB untuk menggunakan kebijaksanaan mereka bagi menghalang serangan ganas
ini. Masyarakat dunia harus bertanggungjawab atas apa yang akan berlaku ke
atas rakyat Iraq. Begitu juga kami mendesak negara-negara OIC dan Pergerakan
Negara Berkecuali (NAM) untuk turut bersuara secara lebih aggresif membantah
serangan ini. Masyarakat antarabangsa harus memperlihatkan keberanian untuk
berkata �tidak� kepada keganasan yang bakal di Iraq. Apa lagi istilah yang
boleh digunakan bagi menggambarkan tindakan AS dan Britain ini selain dari
mengganas dan menindas rakyat yang tidak berdosa di bumi Iraq.

YAB DATO� SERI TUAN GURU HJ ABD HADI AWANG
Pemangku Presiden PAS

YB DATIN SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden keADILan

YBHG DR SYED HUSIN ALI
Presiden PRM

10 SEPTEMBER 2002


COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do you Yahoo!?
New DSL Internet Access from SBC & Yahoo!

Kirim email ke