Apa citer dr Perak ye?.. Dgr cite Nizar masih sah sebagai MB Perak... Maka 
berlaku lah BN sebgai perampas kuasa negeri perak.... Emmmm...

Send from Nokia E71

- original message -
Subject: [HSM] Ucapan Tun M.....
From: Khairil <creep_javaf...@yahoo.com>
Date: 10/05/2009 7:02 PM

Setelah bersara sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 4 pada tahun
2003,ramai akan menyangkakan Tun akan menghabiskan masa-masa
persaraannya dengan berehat, melancong, bermain dengan anak-anak dan
cucu-cucunya. Sepatutnya begitulah harapan kita agar negarawan yang
memerintah Malaysia selama 22 tahun akan melakukan perkara-perkara
rutin bagi orang-orang yang bersara.

Rupanya sangkaan kita
meleset kerana Tun bukan sahaja sihat dalam usia 83 tahun tetapi
fikiran dan pandangannya masih tajam dan bernas. Dalam keadaan politik
negara yang tidak menentu, keadaan politik Melayu yang seperti berada
di hujung tanduk, dan hak-hak orang Melayu serta Raja-Rajanya semakin
tercabar dan rasuah politik yang melanda politik Melayu. Tun tidak
dapat mendiamkan diri.



Semalam
Ahad, 22 Mac 2009, Tun telah menyampaikan ucapan perdana yang
bertemakan MENANGANI MASA DEPAN PRIBUMI DALAM CABARAN POLITIK SEMASA
dalam Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara di Dewan Serbaguna, Kompleks
Sukan TNB, Jalan bangsar, Kuala Lumpur.

Berikut adalah ucapan penuh Dr. Mahathir bin Mohamad:

____________________________________________________


Terlebih
dahulu saya ucap terima kasih kepada penganjur perhimpunan ini kerana
menjemput saya dan memberi peluang kepada saya untuk berucap kepada
hadirin. 

Saya yakin ramai daripada kita yang hadir,
terutamanya orang Melayu dan bumiputra lain, hadir kerana kita berasa
kita berada dalam keadaan cemas, keadaan yang merbahaya, keadaan
terancam. 

Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak. 

Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum pendatang. 

Melayu mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan. 

Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain. 

Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu dasar Ekonomi Baru lagi. 

Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu. 

Kuasa politik dibolot oleh orang Melayu dan lain-lain. 

Berhadapan
dengan tuduhan dan tohmahan ini Melayu sekarang tidak boleh
mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan
bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist. Mereka harus terima sahaja
semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja.
Mereka juga boleh tambah tokok kepada kecaman ini dan mereka ini akan
dianggap liberal dan disanjung tinggi oleh orang lain. Sebenarnya orang
Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang
sanggup pertahankan mereka. Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi
keadaan dengan memohon maaf walaupun kesalahan dilaku oleh orang lain. 

Demikianlah situasi yang mereka hadapi sehingga mereka berasa mereka bersalah, 
tergamam dan tak dapat berkata apa-apa. 

Keadaan
hari ini lebih merbahaya daripada keadaan semasa British merancang
untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union.
Pada masa itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa
yang akan tuduh kita sebagai racist. British pun tidak panggil kita
racist. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri
Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan
negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu.
Tidak ada siapa dari kaum laim yang berhak membuat apa-apa perjanjian. 

Sekarang
orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak
boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun
boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea,
negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri orang India.
Tetapi negeri Melayu – bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin.
Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan
hak orang Melayu. Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik
negara ini tidak sedikit pun dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan
oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan
tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja. 

Orang Melayu
dikatakan kaum pendatang di negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain
tidak boleh dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian,
mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf jika berkata
Melayu kaum pendatang. 

Namun saya memberanikan diri untuk
bercakap sedikit berkenaan orang Melayu di Malaysia walaupun akan
dituduh sebagai racist. Saya beranikan diri kerana sesungguhnya orang
Melayu berada dalam keadaan cemas, dilanda oleh bermacam-macam masalah
dan ancaman. Jika orang Melayu tidak dibenar bercakap berkenaan masalah
mereka, maka mereka mungkin jadi kaum yang terlucut hak (dispossessed)
di negara mereka sendiri. Bahaya ini benar kerana kita sudah lihat
tekanan dan kehinaan terhadap bangsa kita apabila mereka dijadikan
bangsa minoriti di wilayah yang dahulu adalah sebahagian daripada
negeri-negeri Melayu. 

Keadaan ini boleh berlaku kepada orang
Melayu bukan sahaja kerana orang lain tetapi kerana orang Melayu
sendiri. Mereka suka membinasakan diri mereka. 

Mereka tidak
mahu merebut peluang yang disedia bagi mereka. Tempat di universiti
tidak diambil. Peluang perniagaan diselewengkan. Belia Melayu tidak
ingin belajar, lebih berminat dengan melepak atau jadi Mat Rempit. 

Majoriti
daripada rakyat Malaysia yang terlibat dengan dadah terdiri daripada
orang Melayu, yang mendapat penyakit HIV Aids kebanyakan adalah Melayu,
kes rogol dan jenayah lain juga ramai orang Melayu. 

Yang gagal dalam perniagaan juga Melayu, tidak bayar hutang Melayu, tak 
selesaikan kontrak juga Melayu. 

Gejala jualan AP pun melibatkan Melayu. 

Kita
tak suka dengar semua ini. Kita malu. Tetapi jika tidak disuarakan
masalah tidak akan hilang dengan sendirinya. Orang lain tahu juga.
Lebih baik malu jika kita dapat sedarkan beberapa kerat daripada kita
dan mereka mengubah tabiat supaya tidak melakukan yang salah lagi. Yang
lain tak malu tak mengapa. Tak mungkin kita dapat sedarkan semua. Yang
kena akan terus kena. 

Dasar Ekonomi Baru dibentuk supaya dalam
jangkamasa 20 tahun kita akan dapat bahagian kita sebanyak 30%. Tetapi
sekarang sudah hampir 40 tahun. 20% yang dikatakan kita dapat pun dapat
kerana badan-badan yang mewakili Melayu, bukan orang Melayu sendiri.
Kita hendak supaya DEB diteruskan. Apa gunanya jika kita tidak mahu
guna peluang yang diwujudkan? Apakah kita mahu DEB kerana nak jual AP,
kontrak, lesen dan sebagainya? Lebih baik DEB tidak diteruskan dan kita
tidak dapat selewengkannya. Sekurang-kurangnya kita tak akan malu
kerana pelbagai ejekan yang akan dibuat kepada kita. 

Kita
bernasib baik kerana dalam bidang politk kita cekap, kita kuat, kita
dapat menguasai Kerajaan selama 50 tahun. Walaupun Melayu berpecah
kepada beberapa parti, bermusuh sesama sendiri, tetapi majoriti Melayu
masih dapat kekalkan kuasa mereka. Mereka dihormati dan disegani. 

Tetapi
itu pun sudah terlepas daripada genggaman kita. Sekarang kita tidak
kuat lagi. Parti Melayu yang terkenal sudah kalah dalam Pilihanraya
Umum ke-12. Parti Melayu yang menangpun berada dalam ketakutan jika
parti rakan mereka menolak mereka. Sekarang orang tidak lagi hormat
kita. Apa sahaja yang dituntut orang lain, baik yang menang, baik yang
kalah akan kita layan. Kita yang perlu hormati orang lain. Tersilap
sikit kita minta maaf bagi pihak semua bangsa Melayu. 

Sesungguhnya
pemimpin kita yang perjuangkan kemerdekaan, yang menebus maruah kita
sudah kita khianati. Mereka berjuang bermati-matian supaya kita hidup
bahagia. Mereka korbankan apa sahaja yang ada pada mereka. Pemimpin
Melayu hari ini, pengikut –pengikut mereka tidak tahu mengenang budi.
Mereka khianati pejuang-pejuang dahulu dengan melupakan perjuangan asal
kerana utamakan kepentingan diri sendiri. Biar bangsa hancur asalkan
dapat kemenangan bagi diri sendiri, dapat jadi Menteri, Perdana
Menteri, dapat kontrak, dapat duit. 

Kononnya nak jadi Perdana
Menteri termuda. Bukan nak majukan bangsa dan negara, hanya jawatan
tertinggi untuk diri sendiri seawal mungkin. Dengan apa cara sekalipun,
halal atau haram, tak mengapa asalkan boleh jadi Perdana Menteri
termuda. 

Jika kita sudah sanggup jual bangsa kita, kita jual
untuk dapat duit sedikit, untuk jawatan kecil dan besar, untuk isi
temolok kita, alamatnya apa? Yang dikejar tidak akan dapat, yang
dikilik akan berciciran. Lepas itu kita tidak ada apa-apa yang boleh
diraih lagi. Semuanya akan dikuasai orang. Pada masa itu kita jadi
hamba sahaja, kita akan meminta-minta sepanjang masa. 

Ada pula
yang dibawah bertanya, orang yang mereka sokong dapat jadi Perdana
Menteri, Menteri, Menteri Besar – dapat kereta, dipanggil Yang
Berhormat, elaun besar, terbang sana, terbang sini. 

Kita dapat apa? Duduk di takuk tu juga. Lebih baik kita ambil sedikit bagi diri 
kita, sementara ada peluang. 

Salahkah
kalau kita terima duit sedikit? Mungkin kita tidak undi orang yang
menyogok. Dia bukan tahu. Tetapi Tuhan tahu. Kamu membuat sesuatu yang
haram. Kamu bukan sahaja jual bangsa. Kamu menolak agama kamu yang
melarang, yang mengharamkan perbuatan kamu. Kamu berdosa. 

Tapi tak mengapa. Masih muda, tak akan mati lagi. Bila dekat nak mati pakai 
kopiah putih dan sembahyang kuat-kuat. 

Tetapi
yang haram, haram juga. Kalau makan daging bibi haram, makan duit
rasuah lebih haram, kerana ia akan binasakan bukan kita sahaja, tetapi
kaum bangsa kita yang semuanya beragama Islam. 

Pengundi salah,
samada undi penyogok atau tidak. Salah kerana sudah terima jenayah
rasuah sebagai budaya kamu. Apabila rasuah dibudayakan, percayalah
bangsa dan negara mungkin dijajah oleh penyogok secara langsung atau
tidak langsung. Bangsa akan dihina oleh dunia, akan dipandang rendah,
akan dipermainkan orang. Akhirnya yang makan suap, mereka sendiri akan
jadi mangsa, mereka sendiri akan terpaksa hulur untuk mendapat apa yang
sebenarnya hak mereka. Inilah nasib bangsa yang menjadikan rasuah
sebagai budaya biasa. 

Sesungguhnya Melayu mudah lupa. Kita
lupa betapa kita dijajah dahulu, kita terpaksa panggil tuan orang yang
menjajah kita, orang yang menghina kita. Tak boleh cakap berkenaan
ketuanan Melayu. Kamu jadi hamba dahulu, bukan Tuan, layak hanya untuk
tanam padi, tangkap ikan, jadi kuli orang, bawa kereta orang, tukang
masak orang. 

Selama 450 tahun kita dijajah, hidup sebagai hamba, dianggap tidak layak 
mentadbir negara sendiri, tidak layak merdeka. 

Kita terpaksa letak diri kita dibawah naungan negara-negara jiran yang lebih 
kuat. 

Tiap tahun kita usung bunga emas dan perak untuk dipersembahkan kepada negara 
penaung-penaung kita. 

Kadang-kadang Raja kita pun pergi bersama, untuk membukti kesetiaan diri dan 
negeri kepada negara penanung. 

Kata
orang Kedah “Terkerempun-kerempun” apabila berhadapan dengan orang
asing. Mungkin ramai yang tidak faham. Tanyalah orang Kedah. Itulah
“body language” kita dahulu walaupun hari ini ada juga, tetapi pada
Raja yang tak bertakhta. 

Saya biasa lihat seorang orang tua
Melayu berbasikal di tendang jatuh oleh askar Siam semasa Kedah diberi
kepada Siam oleh Jepun. Kesalahan orang tua ini ialah kerana tidak
berhenti dan menghormati lagu kebangsaan Siam. 

Saya biasa
lihat orang Melayu ditempeleng dan disuruh panjat pohon kelapa seperti
kera oleh Jepun. Inilah nasib orang yang tidak merdeka, tidak
memerintah negara sendiri. Boleh ditendang, boleh ditempeleng. 

Dan
yang lihat diam sahaja, tak dapat buat apa-apa, termasuk saya. Dalam
kehinaan ini muncul kesedaran dan semangat untuk menebus balik maruah
bangsa. Dan bergabunglah orang Melayu untuk menangkis rancangan Malayan
Union British, untuk mengekalkan perhambaan orang Melayu. Tidak siapa
yang bertanya “apa yang saya akan dapat bagi diri saya” pada ketika
itu. Yang kita tumpukan ialah untuk membebaskan bangsa dan negara
daripada dijajah dan dihina. Kalau dalam proses ini kita terkorban,
atau kita berada seperti biasa, itu tidak mengapa. Yang kita utamakan
ialah maruah bangsa kita, tidak lagi akan ditendang, tidak lagi akan
ditempeleng – tetapi akan dihormati oleh kawan dan lawan. 

Sekarang
kita merdeka. Perjuangan pengasas negara telah berjaya. Kita tidak akan
ditendang dan ditempeleng lagi. Kita bebas daripada kehinaan. Memang
pun keadaan terhormat ini sudah menjadi perkara biasa bagi kita. Bagi
ramai dari kita ia datang bergolek. Ia datang melayang. Ia tidak akan
dipisah dari kita. 

Perjuangan orang dahulu adalah perkara
lama, tidak perlu diingati. Yang jelas kita sudah merdeka, dapat
pelajaran dan kaya sedikit. Soal tendang, tempeleng, itu cerita lama.
Pepatah Melayu berkata sekali merdeka, selama-lamanya merdeka. Apa pun
kita buat merdeka tetap merdeka. Sekarang ialah masa untuk kita
“enjoy”. Kita kecap sepenuhnya nikmat yang ada pada kita. 

Apa
dianya semangat ke-Melayuan? Apa relevannya? Bukankah kita sudah
berjaya? Hendak semangat buat apa lagi? Masuk parti untuk apa?
Perjuangan sudah selesai dengan jayanya. 



Tidak
bermakna masuk parti jika tidak dapat sesuatu bagi diri sendiri. Kita
sokong orang dapat jadi Yang Berhormat, jadi Menteri, dapat peluang
raih duit kerajaan dan lain-lain. Kita tak bolehkah dapat sikit bagi
diri kita. 

Tetapi benarkah kita akan merdeka selama-lamanya?
Memang benar. Walaupun kita tidak buat apa-apa untuk mengekalkan
kemerdekaan, bukankah sudah 50 tahun kita merdeka? Apa yang hendak
dikhuatirkan? Lima puluh tahun, 100 tahun lagi pun kita akan merdeka
walau apa pun kita lakukan. Takkanlah kerana kita ambil 100 Ringgit
duit sogokan maka akan hilanglah kemerdekaan kita? Kita boleh
sembahyang hajat dan terima 100 Ringgit lagi. Orang lain terima lebih
daripada kita., katanya satu juta. Masih kita merdeka. Tidak benar
kerana sedikit rasuah kemerdekaan akan hilang. 

Tetapi ingatlah
penjajahan tidak selalu berbentuk penaklukan secara langsung.
Penjajahan boleh berlaku walaupun kita miliki pemerintahan sendiri. Ia
boleh berlaku apabila pemerintah kita yang dipilih dan diberi kuasa
oleh kita sudah menjual diri mereka kepada orang lain, samada dari
dalam negeri atau dari luar. Atau takut jiran marah. 

Pemerintah
yang mengikut telunjuk orang lain bukan bebas lagi. Pemerintah yang
menjadi pemerintah melalui rasuah akan benar diri mereka disogok kerana
perlu mendapat kewangan yang cukup untuk membeli sokongan lagi supaya
kedudukan mereka sebagai pemerintah akan kekal. 

Untuk mendapat
sogokan yang cukup mereka akan sanggup ikut arahan penyogok. Dengan
perkataan lain mereka akan jadi alat pada penyogok. 

Kepentingan penyogok tidak sama dengan kepentingan kita, atau kepentingan 
bangsa dan negara. 

Kita
sudah lihat hanya kerana hendak kekal sebagai pemerintah, ada yang
sanggup layan apa sahaja arahan, tuntutan, desakan oleh pihak yang
menentukan jawatan bagi kita. Kalau pun apa yang dituntut merugikan
orang Melayu, itu tidak mengapa asalkan kita dapat jawatan, walaupun
sebagai “figurehead”, patung sahaja, tidak berkuasa pun. 

Jika
kita terjemah keadaan ini kepada jawatan yang didapati kerana disogok
apakah yang tidak sanggup kita buat? Jual bangsa, jual negara pun kita
sanggup. 

Apabila kita sudah jual bangsa dan negara apakah kita merdeka lagi? Sudah tentu 
tidak. 

Justeru
itu tidak benar kepercayaan kita bahawa sekali merdeka selama-lamanya
merdeka. Pada permukaannya kita merdeka tetapi pada hakikatnya kita
sudah kembali dijajah. Apabila kita kembali dijajah maka kita sudah
khianati pejuang-pejuang kemerdekaan kita dahulu. 

Itulah kenyataan yang sebenar. 

Melayu
mudah lupa. Kata seorang ahli falsafah; “Mereka yang lupa akan sejarah
mereka akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”. 

Inilah
hasil daripada mudah lupa. Kita lupa bahkan kita tidak suka diperingati
akan sejarah kita. Apa kena-mengena peristiwa 50 tahun dahulu? Apa
kena-mengena dengan kita akan kemiskinan Melayu, dengan kedaifan mereka
dalam bidang ilmu dan profesyen di masa dahulu? Itu dahulu, ini
sekarang. Sudah tentu sejarah penjajahan kita dahulu tidak ada kena
mengena dengan keadaan kita sekarang. Tidak ada pelajaran yang akan
kita dapati daripada sejarah 100, 500 tahun dahulu. Itu semua cerita
dongeng. 

Apa yang kita lakukan sekarang, kita lakukan kerana
kita sudah merdeka dan selamat. Buatlah apa pun kita tetap selamat,
tetap merdeka. 

Jadi penagih dadah, jadi pelepak, jadi “Mat Rempit”, jadi penjenayah pun tak 
mengapa. 

Bukankah
kita yang memilih dan membentuk Kerajaan? Kerajaan perlu
bertanggungjawab terhadap kita. Jika kerana amalan buruk kita, sesuatu
yang tidak baik menimpa kita, bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan
pilihan kita untuk menyelamatkan kita? 

Jika kita diserang orang bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan yang kita 
pilih untuk menangkis serangan ini? 

Jika
kerana Kerajaan yang kita pilih terdiri daripada orang yang sogok duit
pada kita dan mereka pula disogok oleh orang lain dan mereka berasa
lebih terikat kepada yang menyogok mereka dan kurang bertanggungjawab
kepada kita kerana sokongan kita mereka dapati kerana kita terima
sogokan, apakah yang dapat kita buat? Tak banyak. Hanya menerima
sahaja. 

Akan menjadi lebih buruklah nasib kita sepanjang masa. 

Hakikat
yang sebenar ialah sokongan kita, undi kita yang kita jual tidak lagi
mengikat mereka yang kita pilih untuk jadi Kerajaan. 

Mereka akan anggap balasan kepada sokongan kita sudah pun dibuat melalui wang 
sogokan daripada mereka. 

Sesungguhnya
nasib kita ada di tangan kita. Jika nasib ini tidak baik kitalah yang
harus berusaha untuk memperbaikinya. Ingatlah, Tuhan telah berfirman
yang Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu
sendiri berusaha mengubah nasibnya. 

Apakah kita sedang
berusaha untuk memperbaiki nasib kita? Tidak ternampak satu pun usaha
ke arah ini. Yang kita lihat ialah perbuatan merosakkan lagi keadaan
nasib yang sudah buruk ini. 

Kita tahu yang kita lakukan bukan
untuk memperbaiki keadaan. Tetapi kita lakukan juga untuk kepentingan
semasa kita. Masa depan soal lain. 

Pejuang-pejuang kemerdekaan telah pilih demokrasi sebagai cara kita memerintah. 
Kenapa? 

Sebabnya
ialah kerana mereka percaya majoriti daripada rakyat tentulah bijak
dalam amalan mereka, tentulah tahu antara yang baik dengan yang buruk,
tentulah bijak semasa membuat pilihan. 

Pengasas kemerdekaan
percaya majorti akan tahu pilih apa yang baik bagi mereka. Sudah tentu
mereka akan menolak orang yang hanya bergantung kepada sogokan untuk
dipilih. 

Tetapi mereka tidak sangka pewaris mereka, sebilangan
yang tidak kecil akan tolak kebaikan dan mengutamakan sogokan untuk
menentukan siapa akan memerintah mereka. 

Pejuang kemerdekaan
yang sedar betapa sukarnya bagi orang Melayu mendapat peluang dan
bantuan dahulu dan dengan kerana itu Melayu tidak berjaya. 

Dengan
kesedaran ini mereka merangka untuk mengadakan lebih banyak peluang dan
sokongan kepada bangsa mereka supaya bangsa mereka boleh berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain, bahkan dengan
bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka percaya semua peluang dan sokongan
akan direbut oleh pewaris daripada bangsa mereka. 

Ya, mereka
ini kebanyakan sudah tidak ada, sudah tinggal kita. Tetapi jika mereka
ada apakah perasaan mereka? Tentulah mereka akan kecewa dan hampa amat
sangat kerana segala-gala yang mereka ilhamkan sudah dipermainkan oleh
pewaris mereka, tidak dihargai oleh pewaris mereka. 

Mereka
melihat bagaimana peluang dan bantuan disalahgunakan atau ditolak
dengan begitu sahaja. Sepatutnya dengan peluang belajar di semua
peringkat bangsa mereka sudah jadi bangsa yang berilmu. Dengan peluang
berniaga mereka sudah jadi kaya, atau sekurang-kurangnya tidak miskin. 

Tetapi
tidak. Peluang bukan sahaja tidak direbut tetapi peluang digunakan
secara yang boleh merosakkan bangsa. Mereka lepak, mereka jadi Mat
Rempit, yang lakukan jenayah yang kadang-kadang menyebabkan kematian
mangsa mereka. 

Diberi peluang berniaga, diberi modal, diberi
latihan tetapi kerana ingin kaya cepat mereka memperdagangkan peluang,
kontrak, lesen, permit dan sebagainya. 

Modal mereka guna untuk
belanja bagi memenuhi nafsu, hutang mereka tidak dibayar. Kerana
kelakuan beberapa daripada mereka, bangsa mereka dicap sebagai bangsa
yang tidak beramanah, dan tidak boleh dilayan, tidak boleh diharap
dengan duit ringgit. 

Dan banyaklah lagi perbuatan mereka yang tetap mengecewakan pejuang bangsa 
dahulu. 

Kata mereka, jangan buka pekong di dada. 

Malu kata mereka. 

Tetapi
tidakkah lebih malu apabila mereka lakukan apa yang telah saya
sebutkan. Tak buka pekong pun busuk juga. Biarlah pekong di dada dibuka
supaya kerana bau terlalu busuk kita akan cuba melepaskan diri
daripadanya. Jika tidak ia akan menjadi lebih busuk di dalam dan akan
bunuh kita. 

Semua yang disebut ini menjadi pengkhianatan
kepada pejuang bangsa dahulu. Kerosakan kerana ini lambat laun akan
merosakkan masa depan kita. 

Tetapi yang terdahsyat diantara
amalan buruk kita ialah rasuah, terutama rasuah politik. Politiklah
yang dapat memberi kuasa walaupun pada yang lemah dan miskin. Politik
kita sewaktu perjuangan untuk kemerdekaan berjaya memberi kekuatan
kepada Melayu sehingga mereka yang daif ini dapat mengalahkan kuasa
besar dunia. Hanya dengan bersatu dan bertindak bersama, hanya dengan
pendirian yang tegas kelemahan dapat diatasi dan kejayaan dicapai.
Sesungguhnya kuasa politik kuasa ajaib. 

Selagi ada kuasa ini
kepada kita, percayalah kita akan dapat pulih segala-galanya, kita akan
dapat mengatasi kelemahan kita, kita akan dapat tentukan masa depan
kita. 

Tidakkah kita lihat bagaimana daripada bangsa yang
dijajah dan dihina, kuasa politik sudah mengubah nasib kita demikian
sehingga kita dianggap sebagai contoh kepada bangsa-bangsa lain di
dunia. 

Bandingkan negara kita 50 tahun dahulu di waktu kita
mencapai kemerdekaan dan negara kita sekarang. Negara dagang yang ke-17
terbesar di dunia. Kemiskinan dikurangkan daripada 70 peratus kepada
lima peratus. Bandar sebesar bandar di negara maju, penuh dengan
pencakar langit. Bekalan air, api dan kenderaan yang terkini. 

Pendapatan per kapita yang 20 kali lebih tinggi dari 50 tahun dahulu dan 
lain-lain. 

Semua
ini adalah hasil kuasa politik semata-mata. Kerana kuasa politik,
negara berbilang kaum, ugama, budaya dan bahasa dapat distabilkan. Dan
sesungguhnya kita sudah dapat berdiri hampir sama tinggi dengan
kaum-kaum lain dan bangsa-bangsa lain. 

Tetapi sekarang kita lakukan perbuatan untuk menghakis dan menghapus kuasa 
politik kita. 

Kerana
wang yang sedikit, kerana 100-200 Ringgit kita jual kuasa politik, kita
serah nasib kita kepada perasuah, perasuah yang akan jual bangsa dan
negara. 

Apakah akan jadi kepada kita apabila kuasa politik terlucut daripada kita? 
Apakah kita akan terus merdeka? Saya fikir tidak. 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan 

Perhimpunan
Melayu hari ini memang menjadi hak bagi kita kerana kita menghadapi
masalah-masalah yang besar-besar, bukan satu tetapi banyak masalah. 

Kita
semua berasa cemas. Di mana-mana sahaja orang Melayu sedang berhimpun
untuk membincang masalah mereka, kecemasan yang mereka rasai. 

Jika
pada hari ini kita dapat menyedarkan akan musibah yang sedang dan akan
timpa keatas kita, jika kesedaran ini akan menyebabkan kita bertindak
keras terhadap mereka diantara kita yang mencetuskan masalah ini, jika
kita dapat bandingkan gejala rasuah yang menjadi ancaman terhadap kita
yang terbesar sekali, maka ralatlah perhimpunan ini, berjayalah
perhimpunan ini. 

Saya tak salahkan orang lain. Saya salahkan
kita sendiri. Tak mungkin orang lain menguasai kita jika kita tegas dan
tidak membenarkan mereka. 

Maju mundurnya bangsa kita
terpulanglah kepada kita. Ingatlah Tuhan tidak akan ubah nasib kita
melainkan kita berusaha mengubah nasib kita sendiri. 

Oleh itu
berusahalah mengubah nasib diri sendiri setelah kita berhimpun di sini
untuk membincang masalah yang kita hadapi. Saya percaya perbincangan
kita akan membuahkan pemikiran dan tindakan yang boleh menyelamatkan
kita. 

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

Terima kasih. 



      



--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
          **************** HIGH SKOOL MUAR *****************

Korang semua telah menerima pesanan ini kerana korang semua telah melanggan di 
dalam Google Group "HSM(class of '91 -'95)
Kalau tgh bosan, hantar lah email ke hsm...@googlegroups.com.
Kalau takmo melanggan lagi email ke hsmuor+unsubscr...@googlegroups.com.

Untuk keterangan lanjut,lawat la website group hampehh nihh!!.....hahahaha!!
http://groups.google.com/group/hsmuor?hl=en-GB?hl=en-GB

"SOALAN : JIDON KALAU KENTUT,APAKAH REAKSI MUKA BELIAU?......

*******************************************************************************************
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke