Kekejaman AS di Haditha cipta kemarahan rakyat Iraq
Bersama Khaidir Majid

http://www.maynetwork.net

HADITHA di Iraq seharusnya diingati sejarah sebagai titik tolak 
apabila Amerika Syarikat (AS) hilang sebarang baki kredibiliti yang 
dimilikinya dalam perang yang memasuki tahun keempat Isnin lalu.
 
Namun, tidak seperti My Lai di Vietnam pada 1968, Haditha tidak 
mendapat perhatian media sepenuhnya, mungkin kerana tentera AS sudah 
mempelajari bahawa perang bukan saja perlu dimenangi di medan 
pertempuran, tetapi dalam medan pendapat umum.

Sesuatu yang amat tragik berlaku di Haditha pada 19 November tahun 
lalu, tetapi dunia hanya mengetahuinya beberapa bulan lalu.

Seramai 16 orang terbunuh, 15 rakyat Iraq dan seorang tentera AS. 
Angka berkenaan mungkin tidak setinggi My Lai – 300 orang terkorban, 
namun pembunuhan di pekan di barat Iraq itu tetap signifikan.

Sebuah akhbar Arab Saudi, Arab News menggambarkan peristiwa Haditha 
sebagai detik AS kalah dalam pertempuran untuk `memenangi hati dan 
pemikiran' rakyat Iraq.

Bukan saja di Iraq, tetapi hati dan pemikiran masyarakat dunia, 
terutama di AS sendiri.

Kejadian tragik itu berpunca daripada satu serangan bom di tepi 
jalan pada satu malam November. Bom berkenaan mengenai sasarannya 
iaitu konvoi tentera AS yang melalui jalan di Haditha yang bererti 
baru dalam bahasa Arab. Seorang anggota marin AS terbunuh, manakala 
dua rakannya cedera dalam kejadian bom itu.

Marah melihat nasib yang menimpa rakan mereka, 12 anggota marin yang 
menyertai konvoi itu menyerbu sebuah rumah berhampiran dan menembak 
mati 15 orang, termasuk tujuh wanita dan tiga kanak-kanak.

Anggota marin itu kemudian menghantar semua mayat orang awam ke 
hospital berdekatan selepas dikatakan menari dan bersorak di 
keliling mangsa seolah-olah bangga dengan perbuatan mereka. 

Mereka memfailkan laporan bahawa orang awam itu terbunuh dalam 
letupan di tepi jalan berkenaan, manakala marin berkenaan kononnya 
berjaya membunuh lapan orang pemberontak.

Bagaimanapun, keterangan marin itu kini disangkal oleh rakaman video 
yang diambil oleh seorang saksi yang kebetulan berada ketika 
kejadian berkenaan. Saksi itu adalah seorang pelajar bidang 
kewartawanan yang kebetulan berada di Haditha ketika itu. 

Video berkenaan yang merakamkan gambar dalam rumah terbabit dan 
sebuah masjid, menunjukkan semua orang awam yang mati memakai baju 
tidur.

Video itu diserahkan kepada sebuah akhbar AS dua bulan lalu yang 
menulis satu laporan mengenainya dan berikutan itu tentera AS mula 
menyiasat kejadian itu.

Jika pelajar kewartawanan berkenaan tidak secara kebetulan berada di 
tempat kejadian, peritiwa Haditha kemungkinan terkubur saja bersama-
sama mangsa tidak bersalah yang terkorban. 

Anggota marin AS berkenaan kemungkinan terus melakukan kekejaman 
sama sehingga mereka dipanggil pulang, puas hati sudah memainkan 
peranan mereka untuk membawa `keamanan dan demokrasi ke Iraq.'

Namun, kejayaan mutlak yang diidamkan `Commander-in-Chief' mereka, 
Presiden George W Bush tidak mungkin tercapai dengan kekejaman. 
Kekejaman akan hanya mencipta kemarahan dan kemarahan akan mencipta 
musuh. 

Jika tentera AS di Iraq tidak bertindak membendung gejala berkenaan 
kemungkinan ia bukan hanya menghadapi segelintir pemberontak, tetapi 
juga rakyat Iraq sebagai musuh seperti berlaku di Vietnam.

http://www.maynetwork.net

====================================================================
Berita terkini ini dihantar kepada ahli berita terkini groups terus
melalui email. Untuk maklumat lanjut & daftar online sila lawat ke :
http://groups.yahoo.com/group/berita_terkini/

atau daftar melalui email : [EMAIL PROTECTED]
====================================================================

  

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/iklan-mini/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke