*'Pokai' lepas raya* <http://www.biovco.com/?ref=yg>

*Tip urus belanja lepas Aidilfitri*

BARANGKALI selepas cuti Aidilfitri, ada antara kita tidak berani melihat
baki wang simpanan dalam akaun bank. Kenyataan yang perlu dihadapi mungkin
tidak akan menenangkan hati - sama ada baki wang tidak mencukupi untuk
bertahan hingga akhir bulan atau lebih menakutkan, tiada langsung baki
simpanan.

Begitulah impak Aidilfitri yang hadirnya setahun sekali. Ramai pada mulanya
sakan menyambut Hari Raya penuh bergaya. Sejak bulan puasa lagi hingga
berlarutan kepada beberapa minggu pertama Syawal, wang tidak putus-putus
keluar dari dalam dompet. Pengguna lazimnya tidak begitu memikirkan soal
perancangan kewangan pada musim perayaan. Disebabkan itulah perbelanjaan
menjadi tidak terkawal atau berlebihan pada musim begini.

Oleh kerana wang simpanan makin menipis, ramai mula risau nasib diri serta
memikirkan bagaimana hendak menjalani kehidupan dengan baki simpanan yang
tidak seberapa itu.

Tidak hairanlah timbulnya jenaka sinis menyindir segelintir orang yang
dikatakan terpaksa berpuasa semula selepas Aidilfitri kerana sudah
'berhabisan' ketika beraya.

Tidak dinafikan, ramai memilih untuk berpuasa seawal minggu kedua Syawal
iaitu selepas kembali bekerja. Golongan ini bukan saja ingin menunaikan
puasa sunat tetapi juga kerana keadaan kewangan yang memaksa mereka berbuat
demikian. Bagi mereka, baiklah berpuasa sementara menanti gaji seterusnya.

Jika tidak berpuasa pun, anda sebenarnya boleh berjimat dengan membawa
bekalan makanan dari rumah ataupun mengurangkan belanja membeli makanan
ketika bekerja. Rasanya, tidak terlalu sukar untuk anda melakukannya kerana
kita baru saja selesai menunaikan ibadat berpuasa.

Minggu ini, XY - Ikon Lelaki berkongsi tip 'diet perbelanjaan' bagi mereka
mengalami sindrom 'kering' selepas raya. Jika berdisiplin dalam mengamalkan
diet ini, tidak mustahil kedudukan kewangan anda akan kembali stabil selepas
musim perayaan.

Pertama sekali, mulakan diari kewangan anda sendiri. Keluarkan semua penyata
bank, resit pembelian dan bil berkaitan serta semak perjalanan keluar masuk
wang anda setiap bulan. Apabila anda mempunyai rekod penggunaan wang, lebih
mudah bagi anda mengesan jumlah wang yang sering dibazirkan. Melihat jumlah
wang yang dapat dijimatkan dalam setahun juga dapat mendorong anda
meneruskan diet perbelanjaan ini.

Walaupun agak 'sesak' sekarang, tanggungan hutang tidak boleh diambil
ringan. Hadapi hutang anda dengan memberi tumpuan kepada bahagian tertentu
dalam perbelanjaan yang boleh anda baiki. Ini termasuk hutang kad kredit
yang lama tertunggak hingga kadar faedah terkumpul. Lebih lama anda
menangguhnya, lebih banyak kadar faedah yang dikenakan. Ini tentunya
menambah masalah kewangan anda kelak.

Jika anda pemegang insurans, pastikan bayaran bulanan anda didahulukan
berbanding perbelanjaan lain. Ini kerana, sesetengah syarikat insurans akan
menamatkan perlindungan insurans jika terdapat tunggakan. Ini agak berisiko
kerana anda mungkin tidak memiliki sumber kewangan lain jika berlaku sesuatu
yang tidak diingini.

Penting juga untuk anda mengurangkan penggunaan telefon atau internet yang
dicaj mengikut kadar guna. Anda harus tentukan penggunaan yang perlu serta
yang tidak penting. Sebab itulah ada baiknya anda melanggan perkhidmatan
yang membolehkan anda berjimat

Selain itu, amalkan jimat-cermat dalam menggunakan kuasa elektrik dan air di
rumah. Sekurang-kurangnya, jumlah tanggungan bil anda dapat diringankan.

Mungkin pada waktu kesempitan wang begini, anda boleh menangguhkan sementara
perbelanjaan aktiviti riadah seperti bayaran gimnasium, yuran bulanan kelab
rekreasi dan sebagainya. Anda boleh menyambungnya semula apabila keadaan
sudah mengizinkan.

Seperkara lagi, jangan lupa, biarpun keadaan kewangan anda agak tidak stabil
selepas hari raya, anda masih perlu menyimpan sedikit daripada pendapatan
yang diterima. Ia memang berguna pada saat kecemasan nanti.

Apapun, anda wajar berfikir setiap kali hendak membelanjakan wang untuk
sesuatu perkara. Elak membeli barang tidak perlu atau bermewah-mewahan tanpa
sebab.

Tetapkan juga tahap mana atau secepat mana anda mahukan kedudukan kewangan
anda kembali pulih. Juga tentukan jumlah wang harus ada dalam akaun simpanan
anda dalam sesuatu tempoh. Bila berbuat demikian, anda akan lebih disiplin
dalam mengikut perancangan atau 'diet perbelanjaan' yang sudah disenaraikan.


*Tip diet perbelanjaan*

Rekodkan penggunaan wang membabitkan pengaliran wang masuk dan keluar.
Utamakan pembayaran hutang walaupun dalam keadaan terdesak. Hutang bertampuk
menambah kekusutan ekonomi anda.
Kurangkan penggunaan telefon bimbit dan internet jika anda mampu lakukan.
Kurangkan aktiviti riadah bersama teman seperti mengunjungi pusat hiburan
karaoke atau melepak tanpa tujuan.
Jimatkan penggunaan tenaga elektrik dan air.
Simpan sedikit gaji bulanan untuk waktu memerlukan.
Tentukan jumlah wang perlu ada setiap bulan sebagai simpanan waktu sesak.


 *Baca lain-lain INFO - KLIK DISINI <http://www.biovco.com/?ref=yg>*

 <http://www.biovco.com/?id=yg>

Kirim email ke