*2 penyamun gelabah <http://www.biovco.com/info-kesihatan.php>*
AMPANG JAYA: Rasa curiga anggota polis peronda apabila melihat beg tangan diletakkan dalam bakul motosikal ditunggang dua lelaki akhirnya membawa kepada penahanan mereka yang baru melakukan samun kira-kira 10 minit sebelum itu di sebuah restoran di Hulu Kelang, awal pagi Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, dua penyamun terbabit dikatakan baru meragut beg tangan seorang wanita yang ketika itu selesai menjamu selera di sebuah restoran. Anggota polis Balai Hulu Klang yang kebetulan menjalankan rondaan terserempak dengan dua penyamun terbabit dan curiga apabila mendapati mereka membawa beg tangan dalam raga motosikal sebelum mengekori kedua-duanya. Dua penyamun itu yang menyedari mereka diekori kereta peronda polis bertindak memecut motosikal, namun cubaan itu gagal apabila seorang daripadanya ditahan selepas kenderaan mereka terbabas di Taman Cahaya berdekatan Pandan Indah. Malah, ketika dikejar pembonceng motosikal terbabit cuba melontarkan topi keledar ke arah anggota polis, namun sempat dielak.Sejurus motosikal terbabit terbabas, polis menahan seorang daripada penyamun itu manakala rakannya dapat meloloskan diri. Menurut sumber, pemeriksaan mendapati beg tangan dalam bakul motosikal terbabit kepunyaan seorang wanita yang diragut ketika dia keluar dari restoran sebelum itu. "Anggota terbabit kemudian membawa suspek ke balai polis dan siasatan awal mendapati lelaki itu mengambil dadah syabu dan mengaku ia menjadikan dia lebih berani ketika menyamun setiap mangsa. "Malah, ketika dua anggota terbabit sampai ke balai, wanita berkenaan baru membuat laporan berhubung kes ragut itu," katanya ketika dihubungi, semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit. "Setakat ini, kita (polis) menahan seorang lelaki berusia 20 tahun serta masih menjalankan siasatan lanjut dan sedang memburu seorang lagi rakannya bagi membantu siasatan," katanya. *Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI<http://www.biovco.com/info-kesihatan.php> *
