Asal berdebu boleh jadi duit <http://www.biovco.com/info-kesihatan.php>
DI MALAYSIA, istilah 'asal barang jadi duit' memang sering kedengaran. Secara amnya ia merujuk kepada hasil jualan, perniagaan atau pertukaran sesuatu barang dengan wang tunai yang boleh mendatangkan keuntungan. Bagi ahli perniagaan, secara positifnya ia merujuk kepada sikap mereka tidak terlalu mementingkan jenis perniagaan, asalkan mendatangkan keuntungan. Negatifnya, penagih dadah pula menganggap apa saja barang yang boleh dijual bermakna ia boleh dicuri dan dijual untuk mendapatkan wang tunai membeli bekalan. Lain pula ceritanya di negara padang pasir, Mesir yang terkenal dengan sejarah tamadun manusia purba, zaman pemerintahan Firaun dan kehebatan seni bina piramid yang menjadi satu daripada keajaiban dunia. Negara yang penuh dengan debu padang pasir itu pula kedengaran istilah 'asal berdebu jadi duit'. Mulanya agak hairan apa sebenarnya dimaksudkan berdebu dan apa pula yang boleh dijadikan duit dan kaitan kedua-duanya. Rupa-rupanya ia merujuk keadaan berdebu di bandar Kaherah, Mesir yang memaksa pemakai kasut terutama yang bekerja di pejabat supaya sentiasa menggilap kasut mereka agar kelihatan kemas dan berkilat. Debu itulah yang dikatakan punca rezeki kepada pencuci kasut jalanan yang menunggu di kaki lima sepanjang laluan utama di bandar berkenaan. Itulah rezeki mereka dan Berita Minggu berpeluang melihat gelagat mereka dengan memerhatikan dari jauh. Mereka tidak suka aksi mereka dirakam kamera, tetapi merayu kita supaya menggilap kasut di situ. Sudah tentu jawapannya tidak. Jika dalam keadaan sama-sama menang, wartawan akan bersetuju iaitu mereka diupah menggilap kasut dan kami dibenarkan merakam aksi mereka. Katanya, merakam gambar pencuci kasut dianggap sensitif. Kami sendiri tidak faham kenapa dianggap terlalu sensitif. Jika dalam keadaan di mana kami dihalau kerana cuba merakam gambar mereka berhampiran pejabat kedutaan Amerika Syarikat, kami faham ia berkaitan keselamatan dan memberikan kerjasama penuh. Bagi pencuci kasut yang dianggap mempunyai rekod bersih, mereka berhak melobi bagi mendapatkan tempat di hotel mewah, menggilap kasut pelanggan. Ia bukan suatu yang senang kerana ia mencerminkan imej hotel berkenaan jika mereka bersikap kasar, kerja tidak kemas atau tidak mesra pelanggan. Di hotel Semiramis Intercontinental kelihatan seorang lelaki warga emas duduk di tepi dinding berhampiran lobi menunggu pelanggan untuk menggilap kasut. Lelaki itu adalah sebahagian penggilap kasut terpilih yang diberi ruang menjalankan perniagaan di hotel pada kadar sewa harian. Awal Sharif, 60, sudah bekerja di situ sejak lima tahun lalu. Itulah rutin hariannya mencari rezeki menampung keluarga termasuk tiga anak perempuannya yang tinggal berhampiran bandar raya Iskandariah, kira-kira 60 kilometer dari Kaherah. Setiap hari beliau berulang alik menaiki bas dan bertugas secara syif dengan rakannya, ada kalanya beliau bekerja syif pagi bermula jam 7 pagi atau syif petang bermula jam 6 hingga 11 malam. Beralaskan kain merah, mempunyai dua kerusi untuk pelanggan serta kelengkapan menggilap kasut, di situlah Awal mengharapkan tarikan senyuman serta sikap mesra mampu menarik pelanggan. Kedudukannya di pintu masuk ke pusat perniagaan dan kedai hotel agak strategik, tambahan pula bersebelahan bank. "Saya menyewa tapak ini (kira-kira RM35 sehari). Jika tiada pelanggan, habislah duit sewa. Setakat ini, alhamdulillah, pelanggan sentiasa ada, kadang kala sehingga 20 orang sehari terutama jika ada persidangan atau seminar di sini. "Duit ini saya gunakan untuk perbelanjaan harian dan bakinya disimpan untuk kos pembedahan lutut. Sudah 10 tahun saya tangguhkan pembedahan kerana kosnya terlalu tinggi (kira-kira RM7,000). Entah sempat atau tidak, jika umur panjang, sempatlah," katanya tersenyum. Dengan bayaran kira-kira RM7 bagi upah sepasang kasut, beliau mampu memperoleh purata pendapatan RM70 sehari dan dianggap lumayan berbanding bekerja sendirian di kaki lima. Perkhidmatan menggilap kasut itu juga sebenarnya tarikan kepada pelancong yang dikategorikan sebagai khidmat sokongan. Mesir, yang terkenal sebagai negara pelancongan utama dunia menawarkan banyak peluang kepada rakyatnya untuk mencari pendapatan, sama ada secara tetap atau sampingan. Di tebing Sungai Nil, kelihatan beberapa lelaki berada di pangkalan bot, menunggu pelanggan untuk membawa mereka belayar menyusuri sungai berkenaan. Kebanyakan mereka adalah pekerja sambilan iaitu bekerja di tempat lain secara tetap dan memandu bot pelancong secara sambilan bagi menambah pendapatan. Pemandu bot, Fouad Mal, 47, berkata beliau bekerja di situ sejak 10 tahun lalu dan mempunyai pekerjaan tetap sebagai juruelektrik di sebuah syarikat swasta. "Selepas waktu bekerja, saya akan duduk di sini membantu rakan. Kadang kala tidur dalam bot jika tiada pelanggan dan keesokannya ke tempat kerja. Inilah rutin harian saya. Sekurang-kurangnya pendapatan saya bertambah," katanya. Sebuah bot menggunakan layar boleh memuatkan kira-kira 20 penumpang pada satu masa dan penumpang dikenakan bayaran RM56 seorang bagi setiap pelayaran selama sejam. Musim panas dianggap paling menguntungkan kerana waktu itu adalah cuti persekolahan. Ringkasnya, rakyat Mesir cukup beruntung kerana kerajaan mereka menggalakkan mereka mengambil peluang dan kesempatan daripada dasar kerajaan menggalakkan pelancongan. Kedua-dua pihak bergandingan menjayakan misi pelancongan dan sama-sama meraih keuntungan. *Baca lain-lain artikel - KLIK DISINI*<http://www.biovco.com/info-kesihatan.php>
