halal: Cabaran usahawan muslim
Oleh Raja Yusoff Ariffin

HARI ini 95 peratus industri halal tempatan dikuasai usahawan bukan
Islam. Pelancong dari Arab yang datang ke Malaysia menikmati makanan
halal di premis bukan Islam berikutan kurangnya premis makanan yang
dimiliki orang Islam.

Perolehi maklumat terkini mengenai isu-isu pengguna :
http://groups.yahoo.com/group/ppimalaysia/

Orang Arab terbabit sudah tentu menganggap orang Islam Malaysia
tidak berusaha menghasilkan makanan halal.

Memang ada usahawan Islam yang bersungguh-sungguh mahu menembusi
pasaran.

Di seluruh negara sekarang ada kira-kira 8,000 restoran Muslim.
Bagaimanapun, bilangan orang Islam yang memiliki kilang memproses
makanan seperti mi dan bihun boleh dibilang dengan jari.

Justeru, jika strategi tidak dilakukan, usahawan Muslim akan pudar
dan akhirnya lenyap. Ini berikutan produk halal kini bukan lagi
semata-mata isu agama Islam, tetapi sudah menjadi persoalan dalam
bidang bisnes dan perdagangan.

Jaminan halal kini sudah menjadi simbol global bahawa produk yang
bersangkutan terjamin kualitinya. Selain itu, masyarakat dunia
sekarang ini cenderung memilih produk yang berlabelkan halal, hingga
menjadi semacam gaya hidup, kata Jumaatun Azmi, Pengarah KasehDia
Sdn Bhd, penerbit majalah Jurnal Halal.

Jurnal yang terbit dua bulan sekali itu menjadi buku panduan
mengenai produk halal. Sesuai dengan namanya, jurnal berkenaan
berisi informasi dan perkembangan mengenai produk halal di pasaran
dunia yang merangkumi makanan, ubat-ubatan, bioteknologi dan
perbankan.

Bisnes produk makanan halal sekarang ini mencecah AS$500 juta
setahun.

Menurut Jumaatun, pasar produk halal sangat besar dan luas.

Di sesetengah negara maju, ada kalangan bukan Islam memilih produk
berlabel halal berikutan mereka percaya produk halal bersih dan suci.

Bagaimanapun, di tengah sambutan yang meningkat dari kalangan
pengguna Islam dan bukan Islam kepada produk halal, ada kalangan
pengusaha rakus menyalahgunakan label halal atau memalsukannya.

Apakah pengguna di negara kita menggunakan atau dipergunakan?
Persatuan Pengguna Islam Malaysia menganggap pengguna dipergunakan,
bukan menggunakan.

Di negara kita, restoran yang menghidangkan ayam suntik atau seludup
masih selamat tanpa menerima sebarang tindakan undang-undang. Ada
juga restoran bukan Islam menampal tanda halal palsu untuk menarik
pelanggan Muslim. Diharap pengguna Islam tidak tertipu tanpa
berfikir panjang.

Kuih bulan pun kini berlogo halal. Seorang usahawan mengaut
keuntungan RM16 juta setahun kerana membekalkan kuih bulan. Apabila
logo halalnya dipertikaikan, keuntungannya menurun menjadi RM4 juta.

Pemantauan penyalahgunaan tanda halal dan pemalsuan tanda halal juga
tidak konsisten. Penguatkuasaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(Jakim) tidak menyengat berikutan kekurangan anggota. Jadi,
pendekatan lain perlu diambil. Khabarnya, Jakim juga sudah tidak
lagi membuat pemantauan di luar negara.

Dalam rangka menerjah orang Islam dalam menghasilkan produk halal,
ada yang menyarankan agar peniaga Muslim perlu melihat tujuh syarat
untuk menjadi usahawan berjaya iaitu kesedaran, niat, agenda,
perancangan, pelaksanaan, berterusan dan lakukan sekarang.

Aneh dan malang, ini semua dilakukan usahawan bukan Islam. Justeru,
apabila orang Melayu atau Muslim mahu berniaga, satu perkara penting
ialah perlu mengatasi masalah dalam diri mereka sendiri terlebih
dulu.

Namun, timbul masalah kerana kebanyakannya bukan daripada keluarga
usahawan. Mereka cuma memiliki modal dan minat lalu ghairah mahu
berniaga serta mengaut untung segera.

Oleh kerana bukan terlatih atau dari keluarga usahawan, maka ilmu,
semangat serta ketabahan tidak dimiliki. Akhirnya, apabila diuji
cabaran kecil saja, terus mengalah. Usahawan Muslim perlu
menghapuskan budaya negatif dalam diri mereka terlebih dulu.

Sebenarnya, budaya jelek ini juga ada dalam masyarakat bukan Islam.
Cuma, usahawan bukan Islam lebih sabar (sepatutnya umat Islam yang
lebih bersabar). Mereka juga bersungguh-sungguh membantu bangsanya
sendiri berniaga.

Namun, jika pun mendapat sokongan semua, peniaga Muslim masih perlu
dan terpaksa berhadapan dengan kebijaksanaan peniaga bukan Islam.
Jadi, umat Islam yang mahu menjalankan bisnes hari ini kelihatan
lebih berisiko daripada pergi berperang!

Jika bisnes orang Melayu/Islam tidak disokong orang Melayu/Islam,
pendapatan mereka mengecut atau menurun. Ada gesaan dibuat agar
usahawan mengikut selera dan permintaan pelanggan. Dengan ini
bermakna mereka perlu lebih proaktif, bersungguh-sungguh dan serius.

Jadi, usahawan Muslim perlu mempunyai jaringan di kalangan mereka
untuk menyebar luas perniagaan dan perkhidmatan yang disediakan
selain mewujudkan kerjasama dengan usahawan bukan Islam.

Ada kalangan usahawan Muslim mengambil Muslim yang kurang kemahiran.
Mereka wajar diselia mengenai cara melaksanakan tugasan. Asalkan
mereka sanggup belajar dan bekerja keras, sudah pasti prestasi
mereka dan syarikat meningkat.

Bagaimanapun, ada juga yang benak, buta hati dan berjiwa lemah
berpunca dari banyak `mencuri tulang' sewaktu bekerja. Dari segi
Islam, perbuatan ini tiada keberkatan.

Perlu disedari bahawa tiada kejayaan tanpa pengorbanan. Usahawan
Muslim perlu sanggup bersusah payah. Mereka perlu saling membantu
sesama sendiri.

Sebagai pusat pertumbuhan baru makanan halal di tengah kehidupan
kosmopolitan pelbagai agama, bangsa, budaya dan bahasa, perkembangan
produk halal wajar didukung oleh usahawan Muslim. Inilah cabaran
yang harus disambut usahawan Muslim.

Dapatkan maklumat dan info terkini mengenai isu-isu berkaitan pengguna terus 
melalui email :
http://groups.yahoo.com/group/ppimalaysia/

atau daftar melalui email : 
[EMAIL PROTECTED]  

 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/iklan-mini/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke