Kisah teladan: Isteri lumpuh boleh jalan semula di Makkah Bersama Md Daud Che Ngah
http://www.maynetwork.net Rahsia Fatimah beroleh kekuatan selepas melihat semangat orang kudung beribadat tanpa masalah PENGALAMAN menaiki kapal laut ke Tanah Suci adalah antara peristiwa yang sukar dilupakan oleh sesetengah jemaah. Ini kerana ia memakan masa hingga berpuluh hari dan menjadikan sebahagian besar jemaah mempunyai ikatan erat bagaikan sebuah keluarga besar. Pada 1975, pemergian haji masih lagi menggunakan kapal laut. Ketika itu, bayaran menunaikan haji hanya RM2,500 seorang, namun disebabkan nilai wang pada masa itu sangat besar, maka hanya mereka yang mampu dan bersedia saja dapat ke Makkah. Cikgu Din adalah antara jemaah yang berpeluang menunaikan haji dengan kapal laut. Isterinya, Fatimah mengalami masalah kesihatan hingga tidak boleh berjalan akibat lumpuh dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Walaupun lumpuh, perhatian Cikgu Din kepada isterinya tidak pernah pudar dan beliau menjaganya dengan penuh tanggungjawab. Selepas pencen, dia bercadang membawa isteri dan anak-anaknya menunaikan haji. Dengan wang pencen itu dan simpanannya serba sedikit, Cikgu Din mendaftarkan nama dan keluarganya untuk musim haji tahun itu. Ketika itu, jemaah tidak perlu menunggu giliran terlalu lama untuk ke Makkah, hanya enam bulan mendaftar sudah boleh menunaikan haji. Selepas mendaftar, Cikgu Din membawa isterinya yang lumpuh menjalani pemeriksaan kesihatan. Doktor tidak mahu memberi keizinan kepada Fatimah untuk mengikuti suaminya kerana perjalanan ke Makkah dengan kapal laut, dikhuatiri akan memudaratkan isterinya. Namun Cikgu Din tetap berkeras dan ikhlas mahu membawa isterinya. Doktor memberitahu, keadaan isterinya menyukarkan untuk melakukan ibadat haji seperti tawaf, saie dan sebagainya, tetapi ia langsung tidak dipedulikan oleh Cikgu Din. Akhirnya doktor beralah dan terpaksa membenarkan Fatimah mengikuti suaminya. Pada hari ditetapkan, Cikgu Din berangkat dengan menaiki kapal laut dari Pulau Pinang. Waktu itu, kapal haji datang dari Kota Kinabalu belayar ke Kuching dan singgah di Singapura. Dari sana, kapal akan belayar ke Pelabuhan Klang dan tiba di Pulau Pinang sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci. Ketika hendak menaiki kapal, Cikgu Din begitu setia menolak kerusi roda isterinya. Ada beberapa pegawai Lembaga Tabung Haji yang bertugas hendak membantu, namun dia tidak membenarkannya. Tak apa, saya boleh buat sendiri, katanya. Di atas kapal, mereka duduk di dek atas, berdekatan bilik makan dan bilik air kerana kesukaran Fatimah untuk bergerak. Pelayaran dari Pulau Pinang merentas Pulau Sebang di Indonesia, berjalan lancar dan tenang, malah jemaah dapat makan beramai-ramai. Waktu itu, jemaah bagaikan sebuah keluarga besar kerana kapal laut itu boleh memuatkan 1,900 hingga 2,000 orang. Selepas merentasi Pulau Sebang di hujung Sumatera iaitu berhampiran Lautan Hindi, berlaku arus kuat di bawah laut dan ia memanjang hingga ke Teluk Benggala. Jika arus di bawah laut terlalu kuat, kapal seolah-olah dilanda ribut. Begitulah kuatnya tarikan graviti di kawasan itu. Apabila tiba ke kawasan itu, kapal laut yang dinaiki dilanda ribut menyebabkan ramai jemaah mabuk dan muntah. Ada juga jemaah yang sakit teruk hingga ada yang meninggal dunia. Anehnya, Fatimah langsung tidak mengalami sebarang masalah. Dia sedikit pun tidak pening atau mabuk laut, malah kelihatan ceria dan sihat sepanjang perjalanan. Dalam perjalanan itu, seramai 14 jemaah meninggal dunia dan mereka dikebumikan di dasar laut. Selepas melalui Teluk Benggala yang penuh cabaran, sampailah mereka ke Shukotra. Dari situ, barulah nampak daratan dan kapal berhenti untuk mengambil air bersih. Kemudian, perjalanan diteruskan hingga ke Ya Lam-Lam. Setiba di Ya Lam-Lam, jemaah diminta memakai pakaian ihram dan melakukan sunat ihram. Fatimah walaupun dalam kepayahan berusaha melakukannya sendiri. Sementara jemaah menunggu pengangkutan untuk ke darat, jurumudi kapal dan pegawai bertugas sibuk menguruskan penempatan jemaah. Proses memunggah barang-barang terutamanya tong sahara (tong kayu besar) dilakukan. Selepas semua jemaah tiba di daratan, mereka pergi ke tempat tinggal masing-masing. Selama dua malam di Jeddah, Cikgu Din dan isterinya ditempatkan di kediaman tidak berapa jauh daripada pegawai bertugas. Ini memudahkan pegawai itu menjaga Fatimah dengan rapi kerana masalah kesihatan yang dialaminya. Kemudian jemaah berangkat ke Makkah untuk melakukan umrah. Sepanjang melakukan ibadat, Cikgu Din tidak berenggang dengan isterinya dan terus setia menolak kerusi roda untuk sama-sama melakukan ibadat. Satu hari, dia terkejut apabila mendapati isterinya tiada dan beliau keluar mencarinya. Alangkah terkejut mereka apabila melihat Fatimah berjalan menggunakan tongkat dan melakukan umrah seorang diri. Beliau tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Selama ini, isterinya memang tidak mampu berjalan apatah lagi menunaikan umrah sendirian. Sewaktu berangkat ke Arafah, Fatimah seakan-akan tidak memerlukan bantuan suaminya lagi dan pasangan ini tidak menghadapi masalah hingga waktu mereka pulang dari sana. Sebaliknya, Cikgu Din pula ditimpa sakit kuat hingga tidak boleh bangun dan berjalan seperti biasa. Dia menghadapi masalah apabila hendak melakukan tawaf Widak. Akhirnya, Cikgu Din pula terpaksa duduk di kerusi roda yang sebelum ini menjadi teman setia isterinya. Dengan penuh tanggungjawab, isterinya pula menolak Cikgu Din untuk melakukan tawaf. Ramai jemaah yang melihat pasangan ini beristighfar. Jika selama ini Cikgu Din setia membantu isterinya, kini giliran Fatimah pula membantu suaminya. Rahsia Fatimah boleh berjalan ialah beliau terlihat semangat seorang jemaah yang kudung kaki dari lutut ke bawah sedang menunaikan ibadat tanpa masalah, tidak ditolak dan dipijak. Dari situ, timbul kekuatan dalam dirinya untuk berjalan. Kesihatan Cikgu Din tetap tidak pulih hingga pulang ke tanah air. Namun, apabila sampai di kampung halaman, Cikgu Din pulih dan sihat seperti biasa. Isterinya juga sihat walafiat. Begitulah besarnya kuasa Allah hingga tidak terjangkau menerusi fikiran kita. http://www.maynetwork.net [Non-text portions of this message have been removed] Apa yang anda cari mungkin ada di sini http://www.bukusiber.com Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/iklan-mudah/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/

