http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0127&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

Program derma Haiti kutip AS$61 juta

LOS ANGELES 26 Jan. - Penganjur program amal Hope for Haiti Now yang disiarkan 
di televisyen minggu lalu bagi mengutip dana untuk mangsa gempa bumi Haiti yang 
disokong aktor George Clooney serta penyanyi rap Wyclef Jean berjaya mengutip 
lebih AS$61 juta (RM213.5 juta) sehingga kini.

Siaran amal selama dua jam yang disiarkan Jumaat lalu, berjaya menarik 24 juta 
penonton di Amerika Syarikat (AS) bagi menyaksikan para selebriti membuat 
persembahan, selain menceritakan kisah-kisah keberanian dan menjawab panggilan 
telefon bagi menerima sumbangan.

Pada program tersebut, bintang R&B, Alicia Keys menyanyikan lagu Prelude to a 
Kiss, sementara penyanyi rap Jay-Z membuat kemunculan bersama dengan Bono serta 
The Edge, manakala Beyonce mendendangkan lagunya Halo diiringi alunan piano 
yang dimainkan anggota kumpulan Coldplay, Chris Martin.

Selebriti termasuk Leonardo DiCaprio, Denzel Washington dan Nicole Kidman turut 
menceritakan kisah-kisah keajaiban mangsa Haiti yang terselamat dalam kejadian 
gempa bumi tersebut.

Pihak penganjur memaklumkan, program amal itu yang dikenali sebagai Hope for 
Haiti Now: A Global Benefit for Earthquake Relief berjaya menarik 83 juta 
penonton AS melalui beberapa rangkaian penyiar, dan 5.8 juta penonton melalui 
pancaran video secara langsung.

Anggaran kasar sumbangan yang diperoleh Sabtu lalu adalah sebanyak AS$57 juta 
(RM199.5 juta). Penganjur akan terus menerima sumbangan bagi tempoh enam bulan 
lagi.

Penilai bebas program amal, Charity Navigator memberitahu, siaran amal pada 11 
September lalu, A Tribute to Heroes berjaya mengumpul dana sejumlah AS$150 juta 
(RM525 juta), sementara program amal untuk membantu mangsa taufan Katrina, 
Shelter from the Storm telah mengutip sumbangan sebanyak AS$40 juta (RM140 
juta).

Program televisyen popular AS, American Idol juga pernah menganjurkan dua usaha 
mengumpulkan dana pada 2007 dan 2008.

Program amal pertamanya telah berjaya mengumpul AS$76 juta (RM266 juta), 
sementara program keduanya berjaya mengutip sebanyak AS$60 juta (RM210 juta) 
bagi pelbagai tujuan terutamanya untuk kanak-kanak serta golongan kurang 
bernasib baik. - Reuters

    

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke