http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm


Susilo nafi salah guna kuasa

JAKARTA 11 Mac - Indonesia menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai 
'penyalahgunaan kuasa' yang dilakukan oleh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono 
seperti yang didedahkan oleh kabel diplomatik rahsia Amerika Syarikat (AS) dan 
disiarkan oleh akhbar Australia.

Jakarta mengemukakan bantahan kepada Washington berhubung dakwaan tersebut yang 
didedahkan oleh laman web WikiLeaks dan disiarkan dengan panjang lebar dalam 
dua akhbar milik Fairfax, Age dan Sydney Morning Herald.

Laporan itu membayangkan Kedutaan AS di Jakarta mempunyai keraguan serius 
mengenai integriti Presiden Indonesia tersebut.

"Maklumat itu tidak berasas dan tidak benar," kata Menteri Luar, Marty 
Natalegawa pada satu sidang media.

Age memetik kabel itu sebagai berkata, 'Susilo sendiri campur tangan untuk 
mempengaruhi pendakwa raya dan hakim bagi melindungi tokoh politik korup dan 
mengenakan tekanan ke atas musuh beliau'.

"Beliau juga menggunakan perkhidmatan perisikan Indonesia untuk mengintip musuh 
politik dan sekurang-kurangnya sekali, mengintip seorang menteri kanan dalam 
kerajaannya sendiri," lapor akhbar itu.

Marty berkata, Indonesia hari ini secara rasmi mengemukakan bantahan keras 
kepada AS semasa pertemuan dengan Duta AS di sini, Scot Marciel. 

"Pendedahan seperti ini oleh WikiLeaks amat tidak bertanggungjawab dan kami 
melahirkan rasa kesal kepada Presiden Susilo dan rakyat Indonesia," kata 
Marciel kepada wartawan pada sidang media bersama di Kementerian Luar. - AFP

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke