http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm
Rano Karno Gabenor Jakarta?
RANO KARNO
--------------------------------------------------------------------------
JAKARTA - Bekas bintang filem terkenal Indonesia, Rano Karno disebut-sebut
bakal bertanding merebut jawatan Gabenor Jakarta pada Pemilihan Umum Kepala
Daerah (Pilkada) bagi Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta 2012.
Jika dicalonkan, Rano yang kini menjadi Wakil Bupati (naib pegawai daerah)
Tangerang akan bertanding atas tiket Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan
(PDI-P), selaras dengan dasar parti itu untuk mengetengahkan anggotanya sendiri.
Dalam Pilkada DKI Jakarta pada 2007, PDI-P mencalonkan Fauzi Bowo yang kemudian
menjadi Gabenor DKI Jakarta waktu ini.
"Sudah muncul beberapa nama. Kami akan penuhi aspirasi akar umbi dan pasti
mengetengahkan anggota kami sendiri," kata ketua cawangan PDI-P di Jakarta,
Sayogo Hendro Subroto.
Rano Karno seorang penyanyi, pelakon, pengarah dan penerbit serta pernah
popular dengan lagu Kau Yang Kusayang, merupakan anak pelakon terkenal
Indonesia, Allahyarham Sukarno M. Noor.
Lahir di Jakarta pada 8 Oktober 1960, beliau dikenali sejak umur sembilan tahun
apabila membintangi filem Lewat Tengah Malamtetapi mencipta nama menerusi filem
Si Doel Anak Betawi pada 1972.
Filem lain termasuk Wajah Tiga Perempuan, Suci Sang Primadona, Gita Cinta dari
SMA.
Kata Sayogo, Rano Karno antara beberapa nama yang disebut-sebut sebagai calon
tetapi ia akan diputuskan oleh PDI-P pada mesyuarat peringkat daerah nanti.
Mesyuarat PDI-P DKI Jakarta dijadual Jun ini apabila setiap cawangan dan unit
menamakan calon Pilkada 2012.
Meskipun mengetengahkan calon daripada kalangan anggotanya, PDI-P tidak menolak
kemungkinan calonnya bertanding jawatan Naib Gabenor bukannya Gabenor
memandangkan pengaruh PDI-P di Jakarta tidak terlalu besar.
PDI-P tidak mencalonkan semula Fauzi Bowo pada Pilkada pada tahun depan atas
alasan banyaknya keluhan masyarakat berhubung pelbagai program yang tidak
dilaksanakan.
Kata Sayogo, pemerintah di Jakarta pada waktu ini tidak mempunyai komunikasi
baik dengan warga kota kerana setiap keputusan yang dibuat selalunya mendapat
tentangan.
Selain itu, pemerintah perlu meletakkan keutamaan dalam menyelesaikan pelbagai
masalah di ibu kota terutamanya kesesakan lalu lintas, katanya.
"Untuk mengatasi kesesakan, apakah kenderaan harus dihadkan atau lebih banyak
jalan perlu dibina?" tanya Sayogo. - AGENSI
[Non-text portions of this message have been removed]