http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm
Masyarakat Cina kurang yakin keupayaan Susilo JAKARTA 22 Jan. - Sebahagian masyarakat Cina di Indonesia berasa pesimis kebanyakan masalah di negara ini akan diselesaikan semasa penggal perkhidmatan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang hanya tinggal dua tahun lagi. Sentimen itu disuarakan semalam ketika kebanyakan kaum Cina di seluruh negara ini bersiap sedia untuk menyambut Tahun Baru Cina. "Para pemimpin kita sekarang tidak menunjukkan ketegasan. "Pada zaman sekarang, kita memerlukan bukan sahaja percakapan tetapi juga tindakan dan teladan, kerana orang sudah bosan dengan ucapan yang muluk-muluk," kata seorang anggota masyarakat Cina, Hermawi Taslim di Glodok, Jakarta Barat, semalam. Hermawi berpendapat bukan sahaja kaum Cina yang berperasaan demikian tetapi semua kelompok etnik sedikit sebanyak berkongsi pengalaman yang sama, lapor Kompas.com. Dalam pada itu, ketua Yayasan Solidaritas Nusa Bangsa, Ester Yusuf membidas kegagalan kerajaan untuk menyelesaikan kes-kes pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh rejim Orde Baru terhadap kumpulan minoriti termasuk kaum Cina. "Kerajaan tidak pernah menyelesaikan kes pencabulan hak asasi manusia dan tidak memandang serius pencabulan hak asasi manusia, bukan hanya yang melibatkan kumpulan etnik Cina sebagai mangsa tetapi juga kumpulan etnik lain," kata Ester. Beliau menggesa kerajaan supaya melakukan penilaian diri dan tidak berputus asa semata-mata kerana masalah yang dihadapi sukar diselesaikan. Ester juga menyeru kerajaan supaya memberi layanan sama rata terhadap semua kumpulan tanpa mengira etnik. - AGENSI [Non-text portions of this message have been removed]
