http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

Konvoi PBB di Syria diserang
DAMSYIK 16 Mei - Konvoi pemantau gencatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa 
Bersatu (PBB) di Syria diserang di sebuah pekan kecil di negara ini, semalam 
ketika satu majlis pengebumian diadakan di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Insiden berlaku ketika konvoi PBB itu melalui jalan Khan Sheikhun, sebuah pekan 
di wilayah Idlib, menurut aktivis, pemberontak dan pemerhati.

Jurucakap PBB, Martin Nesirky berkata, sebutir bom meletup di hadapan konvoi 
itu menyebabkan tiga kenderaan rosak.

Menurut jurucakap wakil Liga Arab-PBB Kofi Annan, Ahmad Fawzi, misi pemantau 
PBB telah menghantar satu pasukan peronda ke pekan itu untuk membantu anggota 
mereka yang terperangkap akibat pertempuran antara tentera rejim dan 
pemberontak.

Ini adalah letupan tepi jalan kedua melibatkan kenderaan anggota pemantau PBB 
dalam tempoh tidak sampai seminggu, selepas insiden di bandar Daraa.

Rakaman video yang dimuat naik di YouTube oleh aktivis menunjukkan, kenderaan 
konvoi PBB dikerumuni berpuluh-puluh orang sebelum satu letupan berlaku dan 
sebuah jip yang mengetuai konvoi itu mengeluarkan asap.

Melalui rakaman itu tidak dapat dipastikan sama ada, ada yang cedera atau tidak 
tetapi kereta itu terus bergerak walaupun mengalami kerosakan di bahagian hud.

Menurut aktivis, konvoi PBB itu segera meninggalkan kawasan itu selepas 
diserang dan sebuah kereta yang mereka naiki terkena bedilan.

Jurucakap pemberontak Tentera Pembebasan Syria, Mejar Sami al-Kurdi berkata, 
anggota pemantau PBB tiba di pekan itu ketika satu upacara pengkebumiani 
diadakan di situ. - AF


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke