http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20120828/lu_11/Wanita-tipu-suami-suami

ARKIB : 28/08/2012
0 
Wanita tipu 'suami-suami'
KERALA 27 Ogos - Seorang pengantin wanita di Kerala, India menjadi pelarian 
selepas diburu polis kerana menipu dan merompak suami-suaminya.

Suspek yang dikenal pasti sebagai Shahanaz, dipercayai telah berkahwin sebanyak 
lebih 50 kali, tetapi hanya 15 orang mangsanya tampil membuat laporan polis.

Shahanaz dikatakan berkahwin kali pertama ketika berusia 22 tahun dengan 
seorang lelaki bernama Siddique dan dikurniakan seorang anak.

Laporan pertama ke atas wanita itu dibuat oleh Manikandan, seorang jurujual 
kereta yang mengaku mula rapat dengannya selepas beberapa kali berbual melalui 
telefon.

Menurut akhbar India Express, Shahanaz memberitahu dia adalah anak yatim dan 
sedang belajar untuk menjadi peguam bela di Mahkamah Tinggi Madras.

Dia turut mendakwa sedang belajar untuk menduduki peperiksaan perkhidmatan awam.

Kedua-dua pasangan itu kemudian berkahwin pada April lalu tanpa restu kedua ibu 
bapa Manikandan, namun selepas dua bulan, Shahanaz meminta izin untuk tinggal 
di asrama bagi memudahkan dia membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Manikandan mendakwa, dia turut menjual barangan kemas yang dibelinya sempena 
majlis perkahwinan mereka untuk diberikan sebagai wang saku kepada isterinya.

Bagaimanapun, dua minggu kemudian dia mendapati isterinya tiada di asrama dan 
tidak dapat dikesan.

Seorang lagi mangsa, Prasanna mendakwa, dia juga pernah berkahwin dengan wanita 
sama beberapa tahun lalu, namun Shahanaz tidak dapat dikesan dan hilang bersama 
barangan berharga, juga selepas tinggal di asrama. - AGENSI


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke