http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121007/lu_09/Pedas-dan-memukau
ARKIB : 07/10/2012 0 Pedas dan memukau Oleh HAFIZAHRIL HAMID PERHIMPUNAN Agung PBB (UNGA) merupakan acara tahunan yang dinantikan oleh kesemua negara anggota. Ia terdiri daripada semua negara anggota PBB dan berjumpa setiap sesi setiap tahun di bawah Presiden yang dilantik daripada wakil-wakilnya. Selain sebagai satu wadah pertemuan ia juga menjadi alat bagi pemimpin untuk meluahkan pandangan mahupun segala yang terbuku di hati. Sejak ia bermula lebih 60 tahun lalu pelbagai cerita pahit manis dilalui oleh pemimpin-pemimpin terlibat sama ada untuk dijadikan pengajaran mahupun menjadi tajuk utama berita seluruh dunia. Pancawarna minggu ini melihat kisah mengucapan dilakukan oleh pemimpin dunia yang mana ada antaranya diucap sepenuh perasaan, lucu mahupun sangat pedas untuk didengari terutama bagi negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Israel. YASSER ARAFAT PEMIMPIN Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat telah dipelawa untuk berucap di Perhimpunan Agung PBB buat kali pertama pada tahun 1974. Pelawaan ini telah dilakukan oleh Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang pada waktu itu merupakan satu gerakan kuat dalam PBB menyelar keganasan dan kekejaman Israel. Yasser dalam ucapan itu telah mendedah serta menghentam Israel mengenai segala kekejaman dan kemungkaran yang dilakukan oleh rejim Zionis di Palestin. Ucapan beliau ini telah mendapat sambutan yang mengujakan terutama dari negara-negara Islam sekali gus mendedahkan wajah sebenar rejim Zionis di mata dunia. Sebahagian besar negara di dunia iaitu sekitar 105 buah negara mengiktiraf PLO sebagai satu-satunya wakil sah rakyat Palestin. Selain itu PBB turut mengiktiraf hak rakyat Palestin terhadap kampung halaman mereka sendiri. Ucapan oleh Yasser itu juga menjadi penanda aras satu hubungan yang semakin dingin antara PBB dan Israel sejak itu. FIDEL CASTRO KEBIASAANNYA mereka yang pertama kali dapat berucap di Perhimpunan Agung PBB akan lebih berlapik kata-katanya. Namun mengenali pemimpin sehebat Fidel Castro dari Cuba sudah tentu kata-katanya akan sentiasa mendapat perhatian. Pertama kali berucap di PBB pada tahun 1960, bekas Presiden (AS, John F. Kennedy menjadi antara sasaran dan subjek utama ucapannya. Menjadikannya lebih menarik, ucapan tersebut mencatat sejarah sebagai ucapan paling lama dalam Perhimpunan Agung PBB, tepat empat jam 30 minit. Walaupun setahun sebelumnya, Castro buat pertama kali berkunjung ke AS dan dilihat satu usaha untuk memulihkan hubungan. Namun ucapan tersebut membuktikan bahawa Castro dan Cuba adalah penyokong kuat Rusia selain menggunakan gelanggang tersebut untuk menghentam imperialis dan Kennedy selain Richard Nixon. Antara kata-kata yang mencetuskan kontroversi adalah, Jika Kennedy bukan seorang jutawan, tidak tahu membaca serta tidak berpelajaran mungkin beliau akan lebih tahu bahawa anda tidak boleh mengadakan revolusi untuk menentang petani,". Satu perkara lagi yang menimbulkan kegemparan semasa kehadirannya di sana adalah membawa bersama ayam hidup di bilik hotelnya. NIKITA KRUSHCHEV DALAM ucapan yang dilakukan oleh bekas Presiden Rusia ini yang kebanyakannya tertumpu kepada menghentam pengaruh dan penguasaan AS, beliau telah dicemuh oleh beberapa perwakilan dari Filipina. Memandangkan Filipina adalah sekutu kuat AS, tindakan mereka ini dilihat sangat mengganggu detik pengucapan Krushchev. Beliau kemudiannya bertindak menanggalkan kasut dan kemudian mengetuknya di atas meja. Tindakan ini katanya adalah sebagai reaksi tindakan kurang ajar delegasi Filipina dan beliau telah meminta pengerusi majlis bertindak dan mengucapkan, pihak pengerusi tolong arahkan sekutu dan juga pengampu kuat AS supaya bersikap tenang,". Tindakan Krushchev ini dikatakan menjadi satu contoh klasik tindakan seorang pemimpin yang dilihat gagal mengawal emosi apabila terdapat pihak yang secara sengaja melakukan provokasi. Namun apabila kita mengetahui orang berkenaan adalah Krushchev maka ia adalah sesuatu yang tidak menghairankan kerana kenyataan yang dilihat emosi adalah sesuatu yang biasa baginya malah pernah mengugut AS bahawa Rusia akan mengebumikan mereka satu hari nanti. HUGO CHAVEZ PEMIMPIN yang satu ini sememangnya telah menjadi duri dalam daging bagi AS sejak sekian lama. Sangat dikenali sebagai seorang pemimpin yang berani menegur dan membuat musuh dengan AS, sifatnya ini berlanjutan setiap kali hadir di Perhimpunan Agung PBB. Beliau adalah antara pemimpin yang seringkali membawa sebuah buku yang ditulis oleh penulis-penulis berhaluan kiri antaranya Noam Chomsky dan beberapa lagi sebagai rujukan untuk dunia yang lebih adil dan saksama. Namun pada tahun 2006, Chavez telah menggemparkan dunia apabila menyatakan Presiden AS ketika itu George W. Bush sebagai syaitan kerana melancarkan perang ke atas Iraq. Bagaimanapun keceluparan Chavez terhadap dominasi dan ketidakadilan AS senantiasa dinantikan oleh banyak pihak yang tidak bersetuju dengannya Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121007/lu_09/Pedas-dan-memukau#ixzz28d8cZSxM © Utusan Melayu (M) Bhd Lost in translation [Non-text portions of this message have been removed]
