Cukai/Pajak jalan turun:
Kerajaan umum empat langkah ringankan beban rakyat


PUTRAJAYA: Cukai jalan bagi semua jenis kenderaan komersial diturunkan sebanyak 25 peratus, manakala cukai jalan bas sekolah yang kini RM10 setahun, dikurangkan kepada RM2.

Bagi kenderaan persendirian berkapasiti kurang 1,000 cc, cukai jalannya diturunkan kepada RM30 setahun, manakala potongan 50 peratus dikenakan ke atas cukai jalan kenderaan berkapasiti antara 1,000 cc hingga 1,600 cc.

Selain itu, cukai jalan motosikal 151 cc hingga 250 cc dikurangkan 50 peratus. Semua potongan itu berkuat kuasa Isnin ini.

Penurunan cukai jalan ini adalah antara empat langkah utama yang diumumkan kerajaan semalam bagi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia yang mencecah AS$71 setong.

Tiga langkah lain ialah:

  • Tidak menaikkan harga petrol, diesel dan gas memasak sehingga akhir tahun ini;

  • Tidak menaikkan kadar tol bagi tahun ini dan tahun depan.

  • Menambah kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada orang tua, daif, anak yatim, golongan miskin, keluarga yang hilang mata pencarian, uzur, cacat atau berpenyakit.

    Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu kenyataan petang semalam berkata, langkah itu dibuat kerana kerajaan prihatin terhadap kesan kenaikan harga minyak yang turut menyebabkan kenaikan harga barang.

    Perdana Menteri berkata, walaupun harga minyak di Malaysia tidak setinggi seperti di pasaran antarabangsa kerana pemberian subsidi oleh kerajaan, harga barang semakin meningkat.

    Katanya, langkah lanjut untuk meringankan beban rakyat akan diumumkan ketika pembentangan Bajet 2006 pada 30 September ini.

    “Kerajaan tidak mahu peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga. Sebaliknya, peniaga pada semua peringkat mesti bertanggungjawab dan jujur manakala langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan supaya kebajikan pengguna akan dapat dipelihara.

    “Bilangan anggota penguat kuasa akan ditambah. Tindakan bersepadu di antara agensi berkaitan akan diambil untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan. Kerajaan akan membatalkan lesen perniagaan jika ada peniaga yang secara berulang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya,” tegasnya.

    Perdana Menteri berkata, kerjasama semua pihak sangat penting dalam menangani cabaran kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa serta kesannya kepada rakyat dan ekonomi supaya pembangunan negara dapat diteruskan.

    Harga minyak mencecah AS$71 setong pada 30 Ogos lalu dan masih di tahap tinggi berikutan permintaan yang semakin meningkat terutama dari China, India dan Amerika Syarikat sementara keupayaan menambah bekalan terhad.

    Beliau berkata, pergolakan geopolitik di beberapa negara pengeluar dan taufan yang melanda Teluk Mexico menjejaskan lagi kedudukan minyak dunia.

    Bagaimanapun, katanya, dalam suasana pertumbuhan ekonomi global yang lebih sederhana dan harga minyak mentah melonjak naik, ekonomi negara kekal kukuh dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

    “Kerajaan amat prihatin terhadap kesan kenaikan harga minyak. Selama ini, kerajaan menyediakan subsidi harga petroleum dan memberi pengecualian cukai jualan terhadap produk petroleum.

    “Tanpa subsidi dan pengecualian cukai, harga petrol, diesel dan gas memasak akan berada pada tahap hampir dua kali ganda daripada dibayar sekarang,” katanya.

    Pada 2003, kerajaan menanggung subsidi dan kehilangan hasil cukai berjumlah RM6.6 bilion dan jumlah itu meningkat kepada RM11.9 bilion pada 2004. Tahun ini, jumlah itu dianggarkan meningkat lagi kepada RM16 bilion.

    Abdullah berkata, jumlah RM16 bilion itu adalah RM1.5 bilion lebih tinggi daripada anggaran yang dibuat ketika kenaikan harga pada 31 Julai 2005.

    “Walaupun kerajaan menaikkan harga bagi mengurangkan subsidi, hakikatnya jumlah subsidi semakin bertambah akibat kenaikan harga yang ketara di pasaran antarabangsa,” katanya.


  • Block Spam Emails - Click here!

    _______________________________________________
    is-lam mailing list
    [email protected]
    http://milis.isnet.org/cgi-bin/mailman/listinfo/is-lam
    

    Kirim email ke