KEMAKSUMAN RASUL

 

Kemaksuman para Nabi dan Rasul ditetapkan kepastiannya berdasarkan akal. Sebab keberadaannya sebagai Nabi atau Rasul telah memastikan bahawa dia maksum dalam hal penyampaian risalah (tabligh) yang datang dari Allah. Apabila terjadi suatu cacat yang memungkinkan hilangnya sifat kemaksuman, meskipun dalam satu masalah saja, bererti ada kemungkinan terjadinya cacat pada seluruh masalah. Jika itu terjadi, maka akan rosaklah nilai kenabian dan kerasulan secara keseluruhan. Kepastian bahawa seseorang adalah nabi atau rasul yang diutus Allah, bererti pula bahawa ia bersifat maksum dalam masalah penyampaian risalah yang datang dari Allah.

 

Kemaksuman dalam hal tabligh bersifat pasti, sehingga ingkar/kufur terhadap sifat ini bererti kufur terhadap risalah yang dibawa oleh Rasul tersebut, atau kufur terhadap kenabiannya yang telah ditetapkan oleh Allah. Adapun kemaksuman dalam perbuatan-perbuatan yang berlawanan dengan perintah dan larangan Allah, maka yang menjadi suatu kepastian bahawa Rasul/Nabi maksum dalam perbuatan yang termasuk kategori dosa-dosa besar (Al kabaair) sehingga seorang Nabi atau Rasul tidak mungkin melakukan suatu perbuatan yang termasuk dosa besar secara mutlak. Sebab, mengerjakan suatu dosa besar bererti telah terjerumus dalam "kemaksiatan". Padahal ketaatan itu tidak dapat dipisah (harus utuh), begitu juga kemaksiatan tidak bersifat parsial. Jika kemaksiatan telah mewarnai suatu perbuatan, maka ia akan merambat pada masalah tabligh (penyampaian risalah). Hal ini jelas bertentangan dengan (hakikat) risalah dan kenabian. Oleh kerana itu para Nabi dan Rasul bersifat maksum terhadap dosa-dosa besar, sebagaimana maksumnya mereka dalam penyampaian risalah (tabligh).

 

Adapun terhadap dosa-dosa kecil (Ash shaghaair) para ulama berbeza pendapat, apakah para Nabi dan Rasul maksum dari perbuatan dosa-dosa kecil. Sebahagian mengatakan para Nabi/Rasul tidak maksum dari mengerjakan dosa-dosa kecil, sebab hal itu tidak termasuk kategori "maksiat". Sedangkan sebahagian lainnya mengatakan, para Nabi/Rasul maksum dari mengerjakan dosa-dosa kecil, sebab hal itu sudah termasuk kategori "maksiat".

 

Yang benar adalah bahawa semua yang haram untuk dikerjakan dan yang wajib dilakukan, iaitu berupa seluruh jenis fardhu dan seluruh bentuk yang haram, maka dalam hal ini para Nabi dan Rasul bersifat maksum. Dengan demikian mereka maksum dari mengerjakan sesuatu yang diharamkan atau meninggalkan suatu kewajiban. Baik hal itu termasuk dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil. Ini bererti mereka maksum dari mengerjakan setiap sesuatu yang termasuk perbuatan ma'siat.

 

Selain itu dalam tindakan yang termasuk khilaful aula (tidak mengerjakan yang terbaik/paling layak), maka mereka tidaklah maksum. Dibolehkan mereka mengerjakan tindakan khilaful aula secara mutlaq. Sebab, ditinjau dari berbagai sudut manapun, hal itu tidak termasuk dalam jenis maksiat.

 

Demikianlah, dapat dipastikan secara aqli, adanya sifat maksum pada Nabi dan Rasul yang ditentukan oleh keberadaan mereka sebagai Nabi dan Rasul.

 

Sayyidina Muhammad SAW adalah seorang Nabi dan Rasul. Beliau, sebagaimana Nabi dan Rasul lainnya maksum dari kesalahan dalam menyampaikan sesuatu yang berasal dari Allah SWT. Hal ini bersifat pasti sebagaimana yang telah ditunjukkan dengan dalil-dalil aqal mahupun syara'. Rasulullah SAW tidak pernah menyampaikan satu hukum pun, kecuali dari al wahyu. Allah berfirman:

 

"Katakanlah, sesungguhnya aku hanyalah memberi peringatan kepadamu dengan al wahyu" (QS. Al Anbiyaa: 45)

 

Maksud ayat itu adalah : katakanlah kepada mereka wahai Muhammad, bahawasanya aku hanyalah memberi peringatan kepadamu dengan al wahyu yang diturunkan kepadaku. Dengan kata lain, peringatan-peringatan kepadamu hanya terbatas pada yang di wahyukan saja. Dan Allah SWT berfirman:

 

"(Dan) Dia (Muhammad) tidaklah mengucapkan sesuatu dari hawa nafsunya. Apa yang diucapkannya itu hanyalah wahyu yang diwahyukan" (QS An Najm: 3-4)

 

Lafaz “wahyu” dalam bentuk umum, mencakup Al Qur'an dan selain Al Qur'an. Tidak ditemukan satu nas pun, baik dari Al Qur'an mahupun Sunnah yang mengkhususkan (mentakhshish) wahyu tersebut hanya dengan Al Qur'an saja. Maka ia tetap dalam bentuk umum. Ertinya, seluruh ucapan Rasulullah SAW dalam masalah tasyri', hanya berupa wahyu yang diwahyukan kepadanya. Tidak dibenarkan melakukan pengkhususan erti lafaz tersebut, bahawa apa yang diucapkan Rasul SAW hanyalah Al Qur'an saja, tetapi lafaz itu tetap dalam bentuk umum yang mencakup Al Qur'an dan Hadis.

 

Adapun pengkhususan ayat ini dengan hanya apa yang disampaikan Allah berupa tasyri', hukum-hukum, aqaaid, pemikiran-pemikiran dan kisah-kisah, serta tidak tercakup di dalamnya persoalan uslub (cara) dan sarana-sarana dalam membuat strategi peperangan, misalnya, teknik pendebungaan tanaman kurma dan lain sebagainya. Maka hal itu disebabkan beliau memiliki kedudukan sebagai Rasul. Dan pembahasan di sini berkenaan dengan keberadaan beliau sebagai Rasul dan apa yang dibawa oleh beliau tidak mencakup hal lain. Maka yang dikhususkan di sini adalah topik pembicaraan dalam ayat tersebut di atas. Lafaz yang berbentuk umum, tetap dalam bentuk keumumamnya, dalam batas cakupan topik pembahasan. Maka apa yang dibahas di atas tidak termasuk kategori pengkhususan, berdasarkan firman Allah SWT:

 

"Katakan Muhammad, aku hanyalah memberi peringatan kepadanu dengan al wahyu" (QS Al Anbiya': 45)

 

"Yang diwahyukan kepadaku, adalah "Aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata." (QS Shaad: 70)

 

Ayat tersebut menjelaskan, bahawasanya yang termasuk dalam pembahasan ini adalah yang berkenaan dengan masalah aqaaid, hukum, dan setiap masalah yang diperintahkan oleh Allah untuk disampaikan dan memberi peringatan kepada manusia. Oleh kerana itu, tidak tercakup penggunaan cara/taktik atau perbuatan jibiliyah, yakni perbuatan alamiyah manusia yang telah menjadi tabiat penciptaannya, seperti makan, cara berjalan, berbicara, dan lain sebagainya. Jadi, dalam hal ini kekhususan adalah dalam perbuatan dan pemikiran manusia, bukan masalah cara dan sarana, atau yang seperti dengan itu.

 

Maka setiap perkara yang dibawa oleh Rasulullah, yang berkaitan dengan perbuatan manusia (af'aalul 'ibaad) dan pemikiran-pemikirannya adalah berasal dari wahyu Allah. Wahyu mencakup perkataan, perbuatan, dan diamnya Rasul SAW atas sesuatu. Sebab, kita diperintahkan mengikuti beliau dan menjadikannya suri tauladan. Sebagaimana firman Allah:

 

"Apa yang dibawa oleh Rasul ke padamu, maka ambillah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah" (QS Al Hasyr: 7)

 

"Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu" (QS Al Ahzaab: 21)

 

Berdasarkan dua ayat tersebut maka ucapan, perbuatan, dan diamnya Rasulullah, merupakan dalil syar'iy. Semua itu adalah wahyu dari Allah. Rasulullah SAW telah menerima al wahyu dan menyampaikan segala sesuatu yang diterimanya dari Allah SWT kepada manusia. Beliau memberikan alternatif tata cara pemecahan problematika kehidupan sesuai dengan wahyu, tanpa menyimpang sedikitpun. Allah SWT berfirman:

 

"Aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku" (QS Al Ahqaaf 9)

 

"Katakanlah: 'Sesungguhnya aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan dari Tuhanku kepadaku."( QS Al A'raaf: 203).

 

Pengertian ayat ini bahawa aku hanya mengikuti wahyu yang diturunkan kepadaku oleh Allah SWT. Hal ini bererti membatasi meneladani Rasulullah dengan apa yang telah diterima dari Allah SWT. Semua itu teramat jelas dan terang, bahawa apa yang diperintahkan kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikannya kepada manusia adalah wahyu semata.

 

Kehidupan Rasulullah SAW, yang berkaitan dengan masalah tasyri', dalam menjelaskan hukum-hukum kepada manusia/masyarakat sesuai dengan wahyu. Beliau SAW, dalam banyak persoalan hukum, seperti zhihar, li'aan, dan lain sebagainya, menanti turunnya al wahyu. Beliau tidak mengucapkan sesuatu hukum/ketetapan, atau mengerjakan dan mendiamkan sesuatu yang berkaitan dengan tasyri', kecuali semua itu berdasarkan wahyu dari Allah SWT.

 

Di kalangan sahabat, kadang-kadang terjadi kerancuan antara hukum-hukum yang termasuk dalam perbuatan manusia dan pemikiran (idea) atas sesuatu, dengan masalah sarana atau cara. Merekapun bertanya kepada Rasulullah SAW apakah hal itu berupa wahyu, atau suatu pendapat peribadi (Rasul) dan suatu kesepakatan (sesuai yang dimusyawarahkan). Jika Rasulullah SAW mengatakan bahawa itu adalah wahyu, mereka semuanya diam. Mereka mengetahui bahawa hal itu bukan berasal dari diri Rasulullah SAW. Akan tetapi jika Rasulullah SAW mengatakan bahawa itu adalah suatu pendapat peribadi (Rasul) atau sesuatu yang dimusyawarahkan, mereka pun melakukan dialog dengan Rasulullah SAW. Dan terkadang, Rasul SAW mengikuti pendapat mereka, sebagaimana yang terjadi dalam peristiwa perang Badar, Khandaq, dan Uhud.

 

Dalam hal-hal yang tidak ada kaitannya dengan apa yang disampaikan oleh Allah, beliau katakan kepada mereka :

 

"Kalian lebih tahu urusan dunia kalian"

 

Sebagaimana yang terjadi pada peristiwa pendebungaan tanaman kurma.

 

Jika Rasulullah SAW diperbolehkan mengucapkan susuatu yang berkaitan dengan masalah tasyri', tanpa disandarkan pada al wahyu, lalu untuk apa beliau menunggu-nunggu turunnya al wahyu, sebelum beliau menetapkan suatu hukum, begitu juga mengapa para sahabat bertanya pada beliau, apakah sesuatu itu berasal dari al wahyu atau pendapat peribadi Rasulullah. Jika tidak demikian tentu Rasul akan menjawab secara langsung pertanyaan mereka atau mereka akan mengajukan pendapat tanpa meminta penjelasan.

 

Oleh kerana itu, Rasulullah SAW tidak pernah berkata, bertindak, atau berdiam diri atas sesuatu, kecuali semua itu berasal dari wahyu Allah, bukan dari pendapatnya sendiri. Dan tidak perlu diragukan lagi bahawa beliau SAW bersifat maksum dalam menyampaikan segala sesuatu yang datang dari sisi Allah SWT.

 


Do you Yahoo!?
Yahoo! Mail - Find what you need with new enhanced search. Learn more.

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke 
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke 
            [EMAIL PROTECTED]




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke