RASULULLAH SAW BUKAN MUJTAHID

 

Rasulullah SAW sama sekali tidak pernah berijtihad. Dan Rasulullah SAW tidak patut berijtihad, baik ditinjau secara syar'i ataupun aqli. Ditinjau secara syar'i, banyak ayat-ayat Al Qur'an secara jelas menunjukkan bahawa semua ucapan, peringatan dan apa yang beliau lakukan tidak lain hanyalah bersumber dari wahyu sebagaimana firman Allah SWT:

 

"Katakanlah Muhammad aku hanya memberi peringatan kepadamu dengan al wahyu" (QS Al Anbiya 45)

 

"Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku" (QS Yunus l5).

 

"(Dan)Tidaklah ia mengucapkan sesuatu berasal dari hawa nafsunya, ucapannya itu tiada lain adalah wahyu yang diwahyukan" (An Najm 3-4).

 

Sedangkan ditinjau secara aqli dapat dipastikan, bahawa Rasul SAW tidak pernah melakukan ijtihad, kerana Beliau SAW sering menunggu turunnya al wahyu dalam menentukan sejumlah besar masalah hukum, disaat munculnya keperluan yang mendesak untuk menjelaskan atau menentukan hukum Allah. Jika memang beliau diizinkan untuk berijtihad, mengapa beliau menangguhkan satu keputusan hukum (sampai turunnya wahyu). Boleh saja beliau berijtihad sendiri. Tindakan beliau (yang terbukti kebenarannya) menangguhkan suatu keputusan hukum sampai turunnya wahyu, menunjukkan bahawa beliau tidak diizinkan melakukan ijtihad. Dan memang beliau tidak pernah melakukannya. Disamping itu Rasulullah SAW adalah orang yang wajib dijadikan teladan mutlak. Jika beliau melakukan ijtihad, bererti memungkinkan terjadinya suatu kesalahan pada diri beliau. Andaikan beliau salah dalam ijtihad, sementara kita diwajibkan mengikutinya, bererti kita diwajibkan mengikuti kesalahan. Kemungkinan yang demikian ini adalah sesuatu yang bathil (mustahil).

 

Memberikan peluang terjadinya kesalahan pada diri Rasulullah SAW (dengan menganggapnya sebagai seorang mujtahid), juga bertentangan dengan hakikat risalah dan kenabian itu sendiri. Sebab, pengakuan terhadap risalah (Islam dan kenabian), mengharuskan tidak bolehnya terjadi kesalahan pada diri Rasul dan Nabi, dan mustahil terjadi kesalahan dalam masalah tabligh (penyampaian dari Allah melalui Rasul).

 

Oleh kerana itu, Rasulullah SAW tidak patut bertindak sebagai seorang mujtahid sama sekali. Seluruh ucapan, perbuatan dan diamnya beliau semata-mata adalah wahyu dari Allah.

 

Juga tidak boleh mengatakan bahawa Allah SWT akan membiarkan beliau melakukan kesalahan, dan bahawasanya Allah SWT akan segera menjelaskan kesalahan (ijtihad) Rasul. Sebab, kesalahan dalam ijtihad, jika itu berasal dari Rasulullah SAW, maka ia menjadi kewajiban atas kaum muslimin untuk mengikutinya, sampai datangnya penjelasan (pembetulan). Penjelasan itulah yang akan menetapkan hukum yang baru yang berbeza dengan hukum sebelumnya, di mana kaum muslimin diperintahkan mengikutinya dan meninggalkan hukum pertama. Ini adalah pendapat yang batil. Tidak pantas hal itu (relativiti hukum) ada pada Allah atau pada diri Rasulullah SAW.

 

Perlu dicatat di sini bahawa Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan satu hukumpun berdasarkan ijtihad yang kemudian dikategorikan sebagai hukum-hukum Allah, lalu disampaikannya kepada masyarakat. Namun demikian yang terbukti berdasarkan nas Al Qur'an dan As Sunnah yang shahih, dapat difahami bahawa Rasulullah SAW hanyalah menyampaikan sesuatu yang berupa wahyu semata. Bahkan jika terjadi suatu peristiwa, kemudian wahyu belum turun, maka beliau akan menunggu sampai wahyu diturunkan.

 

Adapun ayat-ayat yang digunakan oleh orang-orang yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah melakukan ijtihad dalam berbagai masalah yang ditunjukkan oleh ayat-ayat tersebut, antara lain seperti:

 

"Tidak pantas bagi seorang nabi memiliki tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan (dalam jumlah besar) musuh-musuhnya dimuka bumi” (Al Anfal 67)

 

"Allah telah memaafkan engkau, mengapa engkau izinkan mereka" (At Taubah 43).

 

"Janganlah engkau mensolat-jenazahkan salah seorang yang mati diantara mereka dan janganlah pula kamu berdiri di atas kuburnya (ziarah)" (At Taubah: 84).

  

Demikian juga ayat-ayat atau hadis-hadis Rasulullah yang senada dengan itu.

 

Semua nas-nas tersebut di atas tidak ada hubungannya dengan masalah ijtihad baik dalam menentukan suatu hukum, mahupun menyampaikannya pada manusia/masyarakat yang kemudian beliau mencabut kembali tindakan atau keputusan hukumnya, lalu diperbetulkan dengan hukum yang lain. Nas-nas tersebut di atas hanya menunjukkan adanya teguran "halus" terhadap pelaksanaan suatu hukum.

 

Ertinya, tidak pernah ada suatu kejadian, di mana Rasulullah menyampaikan hukum tertentu, kemudian turun suatu ayat yang menjelaskan kesalahan hukum yang ditentukan oleh Rasulullah SAW sebelumnya kerana salah dalam berijtihad. Rasulullah SAW hanyalah mengerjakan suatu penerapan hukum-hukum Allah yang telah diturunkan melalui wahyu. Terhadap hukum-hukum Allah lalu beliau sampaikan kepada semua manusia. Jadi hukum itu telah disyari'atkan dan beliau telah diperintahkan untuk melaksanakan kemudian beliau telah menyampaikannya.

 

Dalam peristiwa-peristiwa tersebut, Rasulullah SAW melakukan tindakan-tindakan sesuai dengan perintah Allah SWT. Tetapi, di dalam pelaksanaannya terdapat tindakan beliau yang tidak melakukan uslub yang terbaik/paling layak (khilaful aula), lalu beliau mendapat "teguran" dari Allah. Ayat-ayat tersebut berisi teguran atas tindakan Rasul SAW yang tidak memilih langkah yang terbaik/paling layak, jadi bukan berupa pembetulan terhadap hasil ijtihad Rasulullah SAW atau berupa tasyri' yang menentukan hukum baru yang hukum sebelumnya ditentukan baginda berdasarkan ijtihadnya semata. Hukum mantuq (erti lafadz) dan mafhum (makna lafadz) telah menunjukkan hal ini, misalnya firman Allah SWT:

 

"Tidak patut bagi seorang nabi untuk memiliki tawanan, sebelum ia melumpuhkan (dalam jumlah besar) musuh-musuhnya di muka bumi” (Al Anfal 67).

 

Ayat ini memberi petunjuk bahawa masalah "tawanan perang" telah ditetapkan hukumnya, iaitu dengan telah dipenuhinya syarat adanya "pelumpuhan (dalam jumlah besar) terhadap musuh dimuka bumi". Hal ini dikuatkan oleh firman Allah dalam ayat 4 Surah Muhammad :

 

"Sehingga apabila kamu telah melumpuhkan mereka (dalam jumlah besar) maka tawanlah mereka".

 

Yang dimaksud dengan ‘astkhantumuhum’ dan ‘fasyuddul wasaaq’ adalah melakukan pembunuhan dalam jumlah besar dan menimbulkan kegentaran yang amat sangat terhadap musuh.

 

Tidak diragukan lagi, dalam perang Badar, para sahabat telah membunuh banyak orang, sehingga memporakporandakan musuh mereka. Tidak disyaratkan melumpuhkan dalam jumlah besar di bumi dengan membunuh semua musuh.

 

Para sahabat setelah membunuh sebahagian besar musuh dalam perang Badar, barulah dilakukan penawanan terhadap sekelompok orang. Ayat itu sendiri menunjukkan, bahawa setelah melumpuhkan musuh dalam jumlah besar baru boleh dilakukan tindakan penawanan. Maka ayat itu telah memberi petunjuk dengan dalil yang jelas bahawa penawanan telah dibolehkan sebelumnya berdasarkan keterangan ayat tersebut.

 

Oleh kerana itu tidak boleh dikatakan bahawa Rasulullah SAW telah melakukan ijtihad dalam masalah "hukum tawanan perang". Dan tidak bererti tindakan penawanan dalam kes perang Badar tersebut adalah suatu dosa, kerana tidak sesuai dengan hukum yang ditentukan dalam ayat tersebut. Malahan ayat tersebut menjelaskan, bahawa dalam kes ini, tindakan penerapan hukum tawanan yang lebih utama adalah memperbanyak lagi pembunuhan terhadap musuh, agar kegentaran itu (terhadap musuh) lebih dahsyat. Kemudian turun ayat tersebut, yang memberikan "teguran" atas tindakan penerapan hukum di atas. Dengan kata lain ia merupakan "teguran" terhadap salah satu perbuatan Rasul dalam salah satu peristiwa yang sudah diketahui (sudah ada) hukumnya tetapi penerapannya tidak sesuai dengan teknik yang terbaik (paling layak). Memang para nabi tidaklah ma'shum dalam hal mengerjakan sesuatu yang kurang tepat, maka boleh mereka mengerjakannya. Dan bila mereka melakukan hal itu, maka Allah memberi teguran kepada mereka. Teguran semacam itulah yang diberikan kepada Rasulullah SAW.

 

Adapun firman Allah:

 

"Allah telah memaafkan engkau. Mengapakah engkau izinkan mereka." (QS At Taubah: 43)

 

Ayat ini sama sekali tidak menujukkan adanya tindakan ijtihad. Sebab, Rasulullah SAW memang diperbolehkan memberi izin mahupun tidak untuk berperang kepada siapa saja yang beliau kehendaki. Yang menguatkan ini adalah firman Allah SWT:

 

"Maka apabila mereka (orang-orang munafiq) meminta izin kepadamu kerana suatu keperluan, berilah izin kepada siapa saja yang kamu kehendaki diantara mereka" (QS An Nuur: 62)

 

Ayat ini dengan jelas menunjukkan adanya kebolehan bagi Rasulullah SAW memberikan izin kepada mereka.

 

Tetapi dalam peristiwa tersebut, yakni saat Perang Tabuk tatkala mempersiapkan pasukan dalam keadaan sulit, maka tindakan yang lebih utama adalah tidak memberikan izin kepada orang-orang munafiq untuk tidak pergi berperang. Tatkala Rasulullah SAW memberikan izin, maka Allah SWT memberikan teguran atas tindakan "terbaik" (paling tepat).

 

Ayat 43 dari surat At Taubah bukanlah suatu pembetulan terhadap ijtihad beliau atau penentuan tasyri' terhadap hukum baru yang tidak sesuai dengan hukum hasil ijtihad Rasulullah dalam hal pemberian izin tersebut. Ayat itu pun merupakan teguran terhadap tindakan alternatif yang tidak tergolong yang paling tepat. Demikian juga firman Allah:

 

"Janganlah engkau menshalat-jenazahkan salah seorang yang mati diantara mereka (orang munafiq), dan janganlah kamu berdiri di atas kuburnya (untuk ziarah). Sesungguhnya mereka itu kafir terhadap Allah dan RasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasik." (QS At Taubah: 84)

 

Ayat tersebut diturunkan setelah ayat:

 

"Jika Allah mengembalikan kamu kepada segolongan diantara mereka itu (orang munafiq), mereka minta izin kepada engkau untuk ikut berperang, maka katakanlah kepada mereka, kamu tiada akan keluar bersamaku selama-lamanya..." (QS At Taubah: 83)

 

Dalam ayat 83 (At Taubah) di atas, Allah memberikan penjelasan agar Rasulullah SAW tidak lagi melibatkan mereka dalam peperangan-peperangan yang beliau lakukan. Ini bertujuan untuk melecehkan dan menakut-nakuti mereka. Dan pada ayat berikutnya QS At Taubah 84, Allah melakukan tindakan penghinaan terhadap mereka selain yang ditunjukkan oleh ayat sebelumnya. Sikap demikian dilakukan tatkala Rasulullah mengancam terhadap orang-orang munafiq untuk melumpuhkan kekuatan mereka.

 

Ayat tersebut sama sekali tidak menunjukkan adanya tindakan ijtihad yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menentukan suatu hukum, kemudian datang ayat yang mengandung ketentuan hukum lain yang berbeza dengan hasil ijtihad Rasul sebelumnya. Tetapi justru menunjukkan suatu tasyri' baru terhadap status orang-orang munafiq yang hukum tersebut sama dengan ayat-ayat lain berkenaan dengan kaum munafiq, yang berulang-ulang disebut dalam surat At Taubah. Disini, tidak ada pembetulan terhadap ijtihad Rasul atau peringatan terhadap suatu kesalahan beliau baik dengan dalil yang jelas pengertian dan penunjukkannya atau menurut erti lafadz dan maknanya. Ayat itu sendiri diturunkan pada tahun ke-9 Hijriyah, setelah Perang Tabuk, ketika Abu Bakar ash Shiddiq memimpin kaum muslimin dalam ibadah haji.

 

Adapun apa yang diriwayatkan mengenai sebab nuzul ayat ini atau ayat-ayat yang sebelumnya ataupun mengenai penjelasan kejadian-kejadian tersebut, sebagian besar tidak mencapai tingkatan shahih. Sedangkan riwayat-riwayat shahih tentang asbabun nuzul ayat-ayat tersebut, tergolong hadis ahad yang bersifat zhanniy, dan tidak bertentangan dengan dalil-dalil yang qath'iy, yang menandaskan bahawa tabligh Rasulullah SAW dalam menerapkan dan menyampaikan hukum-hukum Allah, adalah bersumber dari wahyu semata. Beliau tidak mengikuti atau mengucapkan sesuatu pun kecuali dari wahyu semata. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh firman Allah:

 

"Tidaklah aku mengikuti sesuatu kecuali apa yang diwahyukan kepadaku" (QS Al-Ahqaaf: 9).

 

Oleh kerana itu, tidak ada satu petunjuk pun dari seluruh ayat-ayat tersebut di atas yang menunjukkan terdapat tindakan ijtihad yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Juga, tidak ada satu penetapan hukum baru atau pembetulan atas hukum-hukum terdahulu hasil ijtihad Rasul SAW. Yang ada hanyalah suatu "teguran" kepada Rasul SAW mengenai perbuatan yang telah beliau lakukan yang status hukum itu sendiri, sudah jelas diketahui oleh beliau melalui wahyu sebelum Rasulullah SAW mengerjakannya. Ditinjau secara aqliy mahupun syar'iy, keberadaan Rasulullah sebagai seorang mujtahid atau adanya autoriti beliau melakukan ijtihad adalah suatu yang terlarang. Rasulullah SAW tidak patut melakukan ijtihad dalam menentukan suatu hukum yang beliau sampaikan kepada manusia, baik melalui ucapan, perbuatan, atau diamnya beliau. Kerana ayat-ayat yang sumber mahupun dalalahnya qath'iy, telah menunjukkan bahawa beliau SAW, tidak mengucapkan, mengikuti, atau pun memberi peringatan, kecuali berasal dari wahyu.

 

Dari sini jelaslah, bahawa Rasulullah SAW dan para rasul yang lainnya, tidak patut melakukan kesalahan dalam hal penyampaian risalah yang diterimanya dari Allah kepada manusia, baik itu akibat kesalahan ijtihad, ataupun kesengajaan. Sebab, semua itu bererti menghilangkan sifat ma'shum yang wajib ada dalam diri mereka, 'alaihim ash shalaatu wassalaam.

 

__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around
http://mail.yahoo.com

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke 
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke 
            [EMAIL PROTECTED]




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke