Perginya jantung hati kami
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Tuesday, October 18 @ 10:17:58 MYT
Rabu, 5 Oktober, 1 Ramadhan, jam 8.15 pagi. Segalanya berhenti. Deru
angin, kicau burung, juga lintasan dan angan-angan. Dengan lembut
roh
Nurul Syafiqah bt Siti Hawa, 11 tahun, anak kedua kami dipisahkan
dari jasadnya sehingga saya, isteri dan tiga putera lainnya, Ahmad
Luqman Hakim, Ahmad Ikmal Syafiq dan Umar Mukhtar menyangkanya
tertidur nyenyak.
Tragedi tidak bermula Subuh awal puasa itu.
Aturan Ilahi tentang kematian kerap menyentap, mengejutkan lena,
memancung cita-cita, namun punya rahsia tersembunyi, yang mungkin
tidak terbongkar sampai bila-bila.
Jumaat, 30 September, 12.45 tengahari. Syafiqah telefon dari
sekolah. "Akak tertinggal bas, boleh ayah ambil?" Saya terdiam,
banyak kerja mesti disiapkan; artikel politik kampus untuk
harakahdaily baru setengah jalan. "Akak jalan kaki, ya?" pintas
Syafiqah selepas saya membatu.
Semalaman membakar pizza
"Tapi banyak barang kena bawa ni," asaknya tanpa nada mendesak. Hari
itu Syafiqah 'menjamu' guru-gurunya dengan juadah pizza masakan
ibunya. Semalaman dia menunggu pizza dibakar oven. Sememangnya
Syafiqah suka sekali membawa makanan ke sekolah, tidak lama dulu
nasi
daging.
Sehingga dia mengalah, saya langsung tidak terasa apa-apa bahawa
Syafiqah mulai letih dengan demam dan sakit tekak yang dideritainya.
Petangnya Syafiqah telefon maklumkan dia dapat tumpang kawannya
balik.
Malamnya, apabila sampai depan rumah, lambat pula Syafiqah buka
pagar. "Awat lambat?" Saya merungut walaupun cahaya lampu kereta
menyerlahkan muka Syafiqah yang pucat.
"Akak cari tudung."
"Malam gelap, tak ada siapa nampak," jawab kebodohan saya.
Ketika itu tidak teringat langsung bahawa Syafiqah kini cukup
prihatin dengan aurat. Nak masukkan karung sampah di belakang rumah
pun Syafiqah pastikan bertudung dulu.
Set nasi ayam
Sabtu, 1 Oktober, sepatutnya saya tunaikan janji dengan Syafiqah.
Selepas tamat UPSR dan PSRA, dua hari sebelum itu, Syafiqah minta
set
nasi Ayamas.
"RM5 saja ayah. Akak teringin nak makan dengan kawan. Kami jalan
kaki
pun boleh." Masya-Allah, saya seolah-olah tidak mendengarnya sambil
memberi jawapan tidak pasti, "esok ... esok."
Isteri saya, Siti Hawa memberitahu Syafiqah tidak selera makan malam
tadi apabila saya minta izin ke KL hadiri mesyuarat penggerak
demokrasi bersama Mat Sabu. Nasi goreng kampung dengan sambal
belacan
kegemarannya hanya ditatap, kemudian disimpan dalam peti sejuk. Saya
masih tidak terasa apa-apa sedangkan takdir hanya menunggu masa.
"Ayah pi sekejap aja, sebelum tengahari selesai, nanti malam kita
balik kampung," kata saya kepada Syafiqah sambil berjalan ke kereta.
Raut muka cerianya seperti terlindung. Saya seakan terlupa Syafiqah
anak berjiwa kental, sesekali tidak menunjukkan rasa sakit minta
dimanja walaupun sememangnya sedang menderita.
Lewat petang, selepas menukar tayar kereta di Hulu Kelang, memecut
laju ke asrama anak sulung kami, Luqman, di SAM 10, Cheras. Aduhai,
janji dengan Syafiqah sudah luput.
"Bawa akak ke klinik, tekak makin perit," katanya, juga tanpa
menunjukkan rasa sakit.
Masih sempat bermain-main
Klinik famili kami, Dr Mahyuddin Yassin tutup. Saya ke klinik
sebelah, dekat Taman Sri Ampang. Semasa menunggu, Syafiqah bermain-
main dengan dua anak kecil. Nampak letih tetapi tetap gembira.
Saya berbisik, "Nak balik kampung?" "Ayah baliklah dulu, akak boleh
tinggal dengan nenek," balasnya.
Ketika neneknya datang malam itu, kami sudah bersiap nak balik
Kedah.
Syafiqah tenang saja. Kalau anak lain tentu akan merengek. Emak
mentua saya akan membawanya ke hospital periksa darah, takut-takut
denggi.
Dalam perjalanan kami dimaklumkan Syafiqah tidak diserang demam maut
itu. Lega. Melalui SMS, dan itu kali pertama Syafiqah
menggunakannya,
dia bertanya, "ayah di mana?" Sambil melintasi Taiping, saya
menjawab. Selang beberapa lama nada SMS berbunyi, juga dari
Syafiqah,
soalan sama, di samping memberitahu dia muntah.
5 pagi, kami sampai di Kampung Raja, Kubang Pasu. Saya maklumkan
kepada Syafiqah. Kemudiannya kami diberitahu Syafiqah malam itu
asyik
sembang dengan neneknya, maklumkan kandungan SMS.
Ahad, pagi ke petang (begitu juga Isnin) temujanji saya padat di
Alor
Setar, Syafiqah terus SMS. "Mulut akak pahit, nak buat macamana."
Saya menjawab, dan Syafiqah bertanya hal lain pula. Sehingga malam
baru saya sedari SMS tadi rupanya "gagal dihantar". Ya Allah,
rupanya
Syafiqah terus menunggu dan menunggu ...
Selasa pagi kami berangkat pulang. Walaupun jangkanya dapat bertolak
sebelum jam 10, tapi disebabkan singgah banyak rumah saudara-mara,
itu pun tidak sempat menziarahi pusara bonda Aisyah (sesuatu yang
tidak pernah saya tinggalkan jika balik kampung), menjelang 1
tengahari baru kami keluar ke Pekan Tunjang, seterusnya ke Lebuhraya
Utara Selatan.
Di rumah neneknya, Syafiqah makin lemah tidak berselera makan, dan
asyik menyebut nama ayah dan ibunya. Tapi bicaranya tetap ramah,
suaranya masih bertenaga. Kami solat Maghrib di R&R Sg Buloh.
Syafiqah desak saya jemput. Sekali lagi, ayah yang tidak mengerti
perasaan anak di hujung usia itu, minta tangguh esoknya, atas alasan
letih.
Celoteh bersama Luqman
Syafiqah berkeras. Dia menggesa nenek dan pamannya hantar segera ke
Bukit Ampang. Ketika Syafiqah tiba, saya keletihan di katil. Namun
terdengar juga celotehnya dengan Luqman. Dia bercerita tentang
bagaimana darahnya diperiksa. Saya dimaklumkan kemudiannya, Luqman
pun tidak memberikan respons sewajarnya, juga kerana letih dan
mengantuk.
Awal pagi terdengar Syafiqah asyik masuk keluar bilik air, muntah.
Ibunya berlari-lari anak menyantuni, antara Syafiqah dan adik
kecilnya, Nurin Afifah, 2 tahun, yang juga terbatuk-batuk. Setengah
jam sebelum Subuh kami sekeluarga di meja makan, bersahur, termasuk
Syafiqah.
"Fiqah tak payah posalah," kata saya. Ampun Tuhan, suara suara agak
tinggi minta Syafiqah kembali tidur dan berehat, kebetulan kerusi di
meja makan tidak cukup untuk semua kami.
7.45 pagi, 1 Ramadhan, isteri mengejutkan lena saya. Syafiqah
menjerit: "Ibu, sakit! Ibu, sakit! Dari atas saya mendengar suara
Syafiqah cukup kuat, tidak pernah dia menjerit selantang itu.
Melihat keadaannya, jantung saya berdegup kencang. Taqdir makin
dekat. Tahu ibunya menyidai basuhan, Syafiqah bersuara, agak
perlahan: "Dahlah ibu, suruh abang sidai kain, akak sakit ni."
Kuatnya semangat Syafiqah
Tapi bicara Syafiqah masih jelas, dia sendiri minta ke hospital.
Saya
renung matanya, langsung tidak berair, maknanya dia hanya menjerit
bukan menangis. Ya Allah, kuatnya semangat anakku ini. Sememangnya
sejak malam tadi saya berkira untuk ke hospital pagi-pagi esoknya.
Namun, saya dan Siti langsung tidak terlintas Syafiqah akan
berangkat
ke alam lain, meninggalkan fitnah dunia. Rupanya Siti sudah memandi
dan membersihkan tubuhnya.
"Bagai bayi saya mandikan Syafiqah, cuci rambutnya. Nampak kakinya
kuning, tubuhnya sejuk, tapi langsung tidak terbayang dia mahu pergi
selamanya," cerita Siti kemudiannya kepada kawan-kawan yang
menziarahi.
8.00 pagi. Suara Syafiqah tetap jelas bila meminta saya memapahnya
keluar dari bilik solat. Bersama Siti, saya menuntunnya ke ruang
tengah. Selepas didudukkan, saya perhatikan wajahnya seolah-olah
tanpa darah. Ketika itu baru lintasan hati mengilhamkan sesuatu yang
pedih dan perit.
Syafiqah masih sempat minta saya papahnya ke kerusi panjang di
depannya, mungkin dia mahu berbaring. Saya cuba mengangkatnya tapi
tidak terdaya, Syafiqah terasa berat.
Semasa sibuk mengemas untuk ke Hospital Ampang Puteri - 4 km dari
rumah kami - saya, Siti dan anak-anak terpandang Syafiqah seperti
menarik nafas panjang, dua kali. Lehernya terlentok.
Subhanallah, janji Allah sudah sampai. Mata saya dan Siti
berpandangan, namun kami tidak sempat memberi reaksi lain kecuali
mempercepatkan Syafiqah ke hospital.
Terasa hangat
Hati saya berkata-kata sambil cuba menatang tubuh Syafiqah yang
masih
terasa hangatnya. Selepas menghidupkan enjin kereta saya memanggil
jiran sebelah, William, sama-sama mengangkat Syafiqah.
Berkali-kali namanya dipanggil. Syafiqah nampak seperti nyenyak
tidur. Dalam kelam-kabut itu saya pandangan saya letak ke wajah
Siti,
ibu yang mengandungkan Syafiqah dan Syafiqah membesar di depannya
sehingga menginjak usia 11 tahun.
Harapan ibu tetap tinggi. Sambil memangkunya di kerusi belakang,
Siti
tidak putus-putus menyebut nama Allah. Air mata tidak sempat tumpah
lagi. Tumpuan saya ke arah jalan raya yang sibuk pagi itu.
Perjalanan
ke hospital terasa begitu aneh, kiri kanan jalan seperti sunyi sepi.
Degupan jantung kuat sekali.
Tangan kanan memegang stereng, tangan kiri menjamah tubuh
Syafiqah. "Panas lagi," harap Siti walaupun menyedari tiada apa yang
bergerak di tubuh Syafiqah.
Mulut saya terkunci. Mata terasa panas. Bergenang air mata Siti tapi
harapannya tidak pudar.
Saya memberhentikan kereta di lobi kecemasan. Hon dibunyikan bertalu-
talu. Melihatkan reaksi awal kakitangan hospital ketika mereka
mengangkat tubuh Syafiqah, jawapannya jelas dan pasti. Syafiqah
sudah
pergi meninggalkan kami.
Ketika saya memimpin Nurin dari kawasan letak kereta, dan Siti
sedang
menemani Syafiqah, saya belum dimaklumkan secara rasmi tentang
kehilangan jantung hati kami itu.
Namun berat sekali kaki diheret menaiki tangga. Saya mendukung Nurin
sambil menciumnya: "Kakak dah tak ada Nurin."
Sebaik melangkah masuk hospital, saya nampak Siti sedang mengisi
keterangan peribdi Syafiqah. Saya dengar hampir semua maklumat
penting Syafiqah yang diberikannya salah.
Ketara pucat
Siti menoleh ke arah saya, wajahnya tenang walaupun ketara pucat.
Saya tidak perlu bertanya lagi. "Fiqah dah tak ada, bang," getar
suaranya jelas.
Berdepan jasad kaku Syafiqah, terlintas, bagaimana sewaktu tiga
tahun
saya menderita sakit misteri, terlantar di rumah, tidak mampu
bekerja, saya sering terhibur dengan celotehnya, gurau manjanya,
malah puas terasa bila dia mengurut lenguh badan. Kerap dia teresak-
esak menangis bila melihat saya mengerang kesakitan.
Tapi, ya Allah, apabila dia menderita sakit, saya tiada di sisi,
malah tidak pun sempat melayannya dengan baik, dan banyak janji
tidak
tertunai, walaupun sekadar nasi Ayamas yang selalu disebutnya.
Air mata mula tumpah dan hingga kini, selepas seminggu, air mata itu
belum mahu kering lagi. Al-Fatehah. - UM
--- End forwarded message ---
Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.
Yahoo! Music Unlimited - Access over 1 million songs. Try it free.
///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "islah-net" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.

