PLURALISME AGAMA
Jerat makan tuan
[SN62] Strategi Barat, yang diketuai AS, dalam merencana pelbagai helah
politik demi melanjutkan hegemoninya ke atas Islam dan kaum Muslimin mula
terdedah apabila satu persatu rancangannya ditelanjangkan oleh para intelektual
Islam yang ikhlas. Selain kegiatan imperialis melalui peperangan dan pembulian,
Barat juga menaja beberapa agenda halus berbentuk serangan ideologi,
menyerang pemikiran umat Islam. Misalnya, pluralisme - fahaman menyeragamkan
semua agama. Fahaman ini amat berleluasa sekarang khususnya di wilayah kaum
Muslimin dan di Malaysia, ia diterjemahkan dalam bentuk kebangkitan gerakan
seperti Inter-Faith Commission (IFC) yang dulunya dikenali sebagai
Inter-Religion Council (IRC). Biarpun masih di peringkat proses penubuhan, IFC
mampu mencetus suatu paradigma religious-modernization di mana setiap agama
bersekutu dalam sebuah institusi tunggal.
Reaksi terhadap usul penubuhan IFC disambut dengan pelbagai warna emosi
masyarakat setempat - ada yang menyokong dan ada yang membantah. Majoriti
masyarakat Islam di Malaysia membantah usul penubuhan tersebut kerana ianya
membawa implikasi negatif bahkan dilihat sebagai mampu menghancurkan Islam
serta ajaran sucinya. (Lawat http://www.geocities.com/bantah_ifc/). Pihak yang
membantah melakukan pelbagai aktiviti dan kempen menerusi ceramah, kuliah,
seminar dan lain-lain. Manakala yang menyokong pula cuba menyemarakkan usulnya
melalui pendekatan yang lebih formal sebagaimana yang dilakukan oleh Ahli
Parlimen BN Kelana Jaya, Loh Seng Kok, yang mengusulkan agar ditubuhkan Jabatan
Kemajuan Agama-Agama di Malaysia (Jakam) dalam ucapannya di Dewan Rakyat ketika
menyokong usul terima kasih terhadap titah Yang di- Pertuan Agong baru-baru
ini.
Secara tersiratnya, idea penubuhan Jakam dilihat sebagai harm reduction
kepada bantahan penubuhan IFC sehingga dapat mengalihkan fokus pembantah kepada
Jakam pula. Sementara itu, kerajaan melalui kenyataan PM menegaskan pendirian
harmoninya. Kerajaan menyarankan agar Dialog Antara Agama perlu digalakkan
[Utusan Malaysia 16 Mac 2006] di kalangan rakyat Malaysia amnya.
Persoalannya kini, apakah pandangan Islam terhadap interaksi keagamaan
seperti IFC, Jakam dan sesuatu yang seumpamanya ? Dan bagaimana pula Islam
mengatur permasalahan ini ? Sautun Nahdhah kali ini cuba menghuraikan
permasalahan ini dengan seberapa ringkas yang mungkin agar pembaca budiman
memahami kedudukan sebenar perkara ini.
Pluralisme : Modal Kufur Menghancurkan Islam
Pluralisme agama merujuk kepada suatu fahaman yang menyamakan semua agama
dalam ertikata:
a. Kebenaran ada dalam semua agama, dan
b. Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.
Fahaman yang disebut dengan istilah transcendent unity of religions ini
dipelopori oleh tokoh-tokoh seperti Rene Guenon, Titus Burckhardt, Fritjhof
Schuon, Martin Ling, Seyyed Hossein Nasr dan lain-lain lagi.
Fahaman ini mulai muncul secara meluas pada tahun 1932. Ketika itu, Perancis
mengutuskan delegasinya untuk berunding dengan tokoh-tokoh ulama al-Azhar,
Kaherah, dalam rangka membahas idea penyatuan tiga agama: Islam, Kristian dan
Yahudi. Kegiatan ini kemudian diteruskan dalam Persidangan Paris tahun 1933.
Persidangan ini dihadiri oleh para orientalis dan misionaris dari pelbagai
universiti yang ada di Britain, Switzerland, Amerika, Itali, Poland, Sepanyol,
Turki dan lain-lain. Persidangan Agama-agama Sedunia tahun 1936 merupakan
persidangan agama terakhir sebelum Perang Dunia II.
Sepanjang dekad 70-an dan 80-an telah diadakan lebih dari 13 pertemuan dan
persidangan Dialog Antara Agama dan Antara Peradaban. Yang paling menonjol
adalah Persidangan Dunia II untuk Islam di Belgium. Persidangan ini dihadiri
oleh 400 delegasi dari beraneka agama yang berbeza-beza. Selanjutnya adalah
Persidangan Cordova di Sepanyol yang dihadiri oleh delegasi-delegasi Muslim dan
Kristian dari 23 negara.
Kedua persidangan ini diselenggara dalam tahun 1974. Setelah itu, Pertemuan
Islam-Kristian pula diselenggarakan di Carthage, Tunisia, pada tahun 1979. Di
akhir dekad abad yang lepas, pendokong propaganda Dialog Antara Agama
mengadakan Persidangan Dialog Eropah-Arab tahun 1993 di Jordan. Persidangan ini
kemudian disusuli dengan Persidangan Khartoum untuk Dialog Antara Agama tahun
1994. Pada tahun 1995, diadakan pula dua Persidangan tentang Dialog Antara
Agama, yakni di Stockholm dan di Amman (Jordan). Kedua persidangan ini disusuli
dengan Persidangan Islam dan Eropah di Universiti Ahlul Bait, Jordan pada tahun
1996.
Kini di Malaysia, momentum pluralisme agama muncul selepas sebuah memorandum
yang memuatkan usul penubuhan IFC dari Malaysian Consultative Council Of
Buddhism, Christianity, Hinduism dan Sikhism (MCCBCHS) ataupun Majlis
Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh bertarikh 21 Ogos
2001 diketengahkan. Reaksinya, timbul kempen dari dua pihak yang bertentangan
antara satu sama lain, penyokong dan pembangkang. Kemuncak pergelutan politik
penubuhan IFC adalah selepas keputusan Pak Lah menangguhkan tempoh penubuhan
organisasi tersebut. Isu ini tenggelam timbul rentetan kemelut kes kematian
Abdullah Moorthy (alias S.Moorthy) dan isu memorandum tuntutan 9 Menteri bukan
Islam terhadap pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Antara fasal yang terdapat dalam misi penubuhan IFC adalah berkaitan dengan
hak menganut (aqidah) suatu agama selaras dengan Perkara 11 dan 12 Perlembagaan
Persekutuan. Maksudnya, bagi umat Islam yang berniat untuk murtad, maka IFC
merupakan satu saluran yang sah disisi undang-undang Malaysia untuk
merealisasikannya.
Kritikan Ke atas Pluralisme
Kemajmukan (plurality) adalah satu kewajaran yang tidak dapat dinafikan.
Pengertiannya boleh menjurus kepada dua konteks, fizikal dan non-fizikal
(pemikiran). Kemajmukan dalam konteks fizikal menyentuh tentang kemajmukan
manusia ciptaan Allah sebagaimana yang ditinta dalam firmanNya;
Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian terdiri dari lelaki
dan wanita, serta telah menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku,
supaya kalian saling mengenali (satu sama lain). Sesungguhnya, yang paling
mulia di antara kalian adalah yang paling bertaqwa. [TMQ al-Hujurat (49): 13]
Akan tetapi, menyamakan kemajmukan dengan pluralisme adalah suatu kesalahan
yang besar. Memang benar, pluralisme adalah fahaman yang lahir dari konteks
kemajmukan. Akan tetapi, sebagai satu fahaman, pluralisme jelas berbeza dari
kemajmukan itu sendiri. Kepelbagaian pemikiran, pandangan, aliran, fahaman,
agama dan ideologi, misalnya, jelas merupakan kenyataan yang tidak dapat
dilepaskan dari fenomena kemajmukan. Namun, apabila muncul persoalan mengenai
tuntutan kebenaran, yang sering diketengahkan oleh kelompok liberal dan
orientalis akibat dari kedangkalan dan kejahilan mereka mengenai kebenaran
Islam, maka wujudlah suara-suara yang cuba meletakkan konotasi pluralisme itu
setara dengan kemajmukan sesebuah mayarakat. Di dalam fikiran mereka, sekiranya
penganut fahaman tertentu (dalam kes ini Islam) mengaku dirinya benar, dan yang
lain salah, pasti akan terjadi pemaksaan kebenaran yang dianutnya kepada orang
lain; sesuatu yang menurut fikiran mereka akan menyebabkan hilangnya
kemajmukan dan kebebasan. Oleh itu, kebenaran, bagi mereka ini, harus
direlatifkan. Tidak ada sesiapapun yang boleh mengatakan bahawa fahamannyalah
satusatunya fahaman yang benar. Situasi ini, pada pandangan mereka akan
mewujudkan keamanan dan
keadilan biarpun pada hakikatnya wujud perbezaan, perselisihan mahupun
pertentangan terhadap idea/pemikiran asas yang berkaitan dengan aqidah mereka.
Inilah pekung yang sebenarnya membakar dada-dada penganut fahaman pluralisme.
Peristiwa Mubahalah Buat Muhasabah Kaum Muslimin
Dalam konteks mencari titik persilangan atau titik toleransi aqidah, pernah
berlaku satu peristiwa yang dilalui Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam
mengenai isu ini ketika turunnya ayat 61 Surah Ali-Imran;
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah
engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: Marilah
kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami
serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita
memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya
laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.[TMQ Ali-Imran
(3):61]
Menurut periwayatan sahih yang tercatat di dalam kitab-kitab sahih, antaranya
di dalam Sahih al-Bukhari daripada Huzaifah radhiallahu anhu, dia berkata:
Al-Aqib dan Al-Sayyid, ketua delegasi Najran datang kepada Rasulullah
Sallallahu alaihi wa Sallam untuk saling melaknat (Mubahalah).
(Huzaifah menyambung): Lalu berkata salah seorang daripada mereka kepada
sahabatnya: Janganlah berbuat demikian kerana Demi Allah, jika benar dia
(Muhammad) seorang Nabi lalu kita melaknat dia pasti kita dan generasi sesudah
kita tidak akan mencapai kejayaan.
Lalu akhirnya mereka berdua berkata: Kami akan memberikan apa yang kamu
minta (sebagai perjanjian damai) dan utuskanlah kepada kalangan kami seorang
yang amanah, tidak sebarangan orang kecuali yang amanah. Rasulullah menjawab:
Aku akan mengutus bersama kalian seorang yang amanah, benar-benar amanah.
Setelah itu maka setiap seorang daripada para sahabat Rasulullah Sallallahu
alaihi wa Sallam sangat-sangat berharap agar merekalah yang terpilih sebagai
utusan yang amanah tersebut. Lalu Rasulullah bersabda: Bangunlah wahai Abu
Ubaidah bin al-Jarrah. Tatkala (Abu Ubaidah) berdiri Rasulullah Sallallahu
alaihi wa Sallam bersabda: Inilah orang amanah umat ini. [HR Bukhari,
Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah]
Nota : Perkataan Mubahalah berasal daripada kata bahlah atau buhlah yang
bererti doa yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kutukan
kepada lawan yang membangkang. Imbuhan Mubahalah menunjukkan wujudnya dua
pihak yang saling melakukan perkara yang sama, dalam kes ini saling berdoa
kepada Tuhan untuk menjatuhkan laknat kepada pihak yang mengingkari kebenaran.
[Quraish Shihab Tafsir al-Mishbah, jld. 2, ms. 105.]
Jelas di dalam peristiwa ini, ternyata Rasulullah Sallallahu alaihi wa
Sallam tidak melakukan Dialog Antara Agama agar masing-masing bersepakat
mencari titik persilangan yang mengharmonikan kemajmukan dalam beragama. Tidak
akan berlaku tawar menawar dalam menetapkan kebenaran Islam.
Dalam kes lain pula, menurut suatu riwayat At-Tabrani, Abdurrazaq, Ibnu Abi
Hatim, turunnya surah Al-Kaafirun mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu
alaihi wa Sallam menolak tawaran toleransi kaum kafir Quraisy untuk menyembah
Allah serta berhala-berhala mereka secara berkala (sistem penggiliran). Di
samping itu turun pula ayat 64 Surah Az-Zumar sebagai mengecam tindakan kafir
Quraisy tersebut;
Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: Sesudah jelas
dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah
atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?
Islam : Ideologi Penyebar Rahmat
Kebenaran Islam adalah sesuatu yang pasti. Tidak ada tawar menawar, jual beli
ataupun dialog dalam memastikan kebenaran Islam. Hanya Islamlah satu-satunya
ad-Deen yang benar yang diturunkan Allah, mengatasi seluruh cara hidup dan
isme-isme yang lain. Dan Islam di turunkan bukan hanya untuk umat Islam, bahkan
untuk seluruh makhluk Allah. Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
Tiadalah Kami mengutusmu (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.
[TMQ Al-Anbiya(21): 107]
Ayat ini merupakan jaminan dari Allah Subhanahu wa Taala bahawa Islam yang
dibawa Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam, jika diterapkan secara
menyeluruh dan benar, pasti akan membawa rahmat bagi manusia dan seluruh alam.
Penerapan secara menyeluruh membawa erti bahawa hukum-hukum Islam wajib
diterapkan secara kâffah dalam seluruh aspek kehidupan. Sementara secara benar
pula bererti penerapan ini haruslah sesuai dengan mekanisme yang telah
digariskan oleh Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya, yakni melalui institusi
negara (Daulah Khilafah Islamiyyah).
Bagaimanakah caranya agar Islam dapat menjadi rahmat bagi seluruh alam
(rahmat[an] li al-âlamîn)? Secara umumnya, ini akan terealisasi melalui:
1. Menerapkan syariat Islam secara kâffah dalam wadah Khilafah Islamiyyah
Para ulama dan cendekiawan Islam yang soleh memahami bahawa Khilafah adalah
kewajiban mendasar di antara kewajiban-kewajiban utama dalam agama Islam.
Kewajiban ini bahkan merupakan kewajiban terbesar (al-fardh al-akbar) kerana
merupakan titik tolak bagi pelaksanaan seluruh kewajiban lain. Banyak hukum
tidak akan dapat didirikan tanpa adanya Khilafah seperti hukum-hukum yang
terkait dengan sistem ekonomi, pendidikan, sosial, pengadilan, keamanan,
politik dan ketenteraan (termasuk di dalamnya jihad dan perjanjian dengan
negara-negara asing). Oleh kerana itu, kelalaian kaum Muslimin dalam
melaksanakan kewajiban menegakkan Khilafah ini termasuk dalam salah satu dosa
besar. Berkaitan dengan hal ini, Imam Ahmad, melalui riwayat dari Muhammad bin
Auf bin Safyan al-Hamashi, mengatakan, Fitnah akan terjadi manakala tidak ada
Imam/Khalifah yang melaksanakan urusan orang banyak. [Abu Yala al-Farra,
Al-Ahkâm as- Sulthâniyah, hlm. 19]
Ibn Taimiyah, juga menyatakan, Usaha menjadikan kepemimpinan (Khilafah)
sebagai bahagian dari agama dan sarana untuk bertaqarrub kepada Allah Subhanahu
wa Taala adalah sebuah kewajiban. [Ibn Taimiyah, As-Siyâsah asy-Syariyyah,
hlm. 161]
Hal senada juga diungkapkan oleh Ibn Khaldun, yang menyatakan, Sesungguhnya
mengangkat Imam/ Khalifah adalah wajib. Kewajibannya dalam syariat telah
diketahui berdasarkan Ijma Sahabat dan Tâbiîn (generasi pasca sahabat).
Ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam wafat, para sahabat beliau
segera membaiat Abu Bakar radiallahu anhu dan menyerahkan pertimbangan
tentang berbagai urusan mereka kepadanya. Demikian pula yang dilakukan oleh
kaum Muslim pada setiap masa yang ada; tidak pernah terjadi kekacauan di
tengah-tengah umat manusia. Realiti seperti ini sekaligus merupakan ijma yang
menunjukkan pada adanya kewajiban mengangkat Imam/Khalifah. [Ibn Khaldun,
Al-Muqaddimah, hlm. 167]
2. Menyebarluaskan Islam ke seluruh dunia melalui dakwah dan jihad
Dakwah adalah seruan kepada orang lain untuk memeluk Islam atau agar
melakukan kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Dakwah juga boleh didefinisikan
sebagai usaha untuk mengubah keadaan yang rosak dan tidak Islami menjadi baik
sesuai dengan Islam. Oleh itu, dakwah bukanlah sekadar seruan kepada orang lain
agar melakukan kebaikan, bahkan perlu disertai dengan usaha untuk melakukan
perubahan. Perubahan yang dimaksud adalah mengarahkan segala hal yang tidak
sesuai dengan Islam menjadi sesuai dengan syariat Islam. Ini meliputi
seluruh aspek; sosial, pemerintahan, ekonomi, pendidikan, dan sebagainya;
baik yang dilakukan oleh individu, kelompok, sekalipun negara.
Dengan dakwah, orang-orang kafir diseru untuk memeluk Islam; orang-orang
Islam diseru untuk menerapkan Islam secara sepenuhnya serta menegakkan
kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Dengan demikian, dakwah pada hakikatnya
bukan hanya menguntungkan kaum Muslimin semata, namun juga menguntungkan
seluruh umat manusia. Ini adalah kerana dakwah mengajak seluruh umat manusia
untuk melaksanakan kebaikan yang diserukan Allah dalam firman-firmanNya dan
memperoleh kemaslahatan hidup atas hikmah syariatNya. Demikian juga dengan
jihad. Jihad dalam pandangan Islam bertujuan untuk menghilangkan kekufuran di
muka bumi dan menundukkan negara-negara kafir demi menyebarkan Islam. Dengan
jihad, keagungan, ketinggian, dan kemuliaan Islam akan nampak dan dengannya
juga, kezaliman dan kekufuran akan ditundukkan. Jihad bahkan merupakan
ketetapan yang efektif dalam menyebarkan Islam sebagai rahmat ke seluruh dunia.
Allah Subhanahu wa Taala berfirman:
Perangilah mereka (orang-orang kafir) hingga tidak ada lagi fitnah
(kekufuran) dan (kemenangan) agama ini hanyalah milik Allah. [TMQ al-Baqarah
(2): 193]
Agenda Kita
Dengan menyedari jalan-jalan yang ditempuh oleh kaum kafir untuk
menghancurkan Islam, maka kita mampu untuk lebih hati-hati ketika memahami
sesuatu kejadian di hadapan kita. Kita haruslah melihat setiap peristiwa dari
konteks apakah peristiwa tersebut terkait atau tidak dengan usaha menghancurkan
Islam. Bagi menghadapi usaha-usaha busuk kaum kafir ini, beberapa agenda umum
boleh dijalankan oleh para pencinta dan pengembang dakwah Islam:
1. Melakukan tatsqîf di tengah-tengah umat
Semua usaha untuk menghancurkan Islam akan lebih mudah dihadapi sekiranya
umat Islam secara umumnya kebal dari pengaruh yang rosak. Pembinaan (tatsqîf)
di tengah umat adalah dalam rangka memberikan imunisasi pemikiran mereka
dengan tsaqâfah (ilmu dan budaya) Islam, dan melatih ketahanan jiwa mereka
secara berterusan supaya tetap berada di dalam suasana taqarrub ilallâh
(mendekatkan diri kepada Allah). Tatsqîf ini boleh dilakukan secara individu
mahupun secara kolektif. Kaedah tatsqif ini boleh dikembangkan dengan pelbagai
cara sesuai dengan sumberdaya dakwah yang ada dan sasaran dakwah yang dihadapi.
2. Melakukan Kasyf al-Khuththath dan as-Sirâ al- Fikrî
Tindakan menghancurkan Islam ada kalanya dilakukan secara tidak sengaja oleh
tokoh-tokoh Islam yang tidak sedar dirinya diperalatkan oleh penjajah. Oleh
itu, membongkar agenda tersembunyi penjajah (kasyf alkhuthath) wajib dilakukan.
Para pejuang Islam wajib menganalisa peristiwa-perisitiwa di dunia untuk
melihat kaitan-kaitan politik yang selalunya tidak disedari oleh orang awam.
Mereka juga wajib untuk terus melakukan pertembungan pemikiran agar kepalsuan
pemikiran kufur terserlah dan cahaya pemikiran Islam menerangi kegelapan. Jika
pemikiran-pemikiran ini tidak ditunjukkan kekeliruannya, maka umat akan
menyangka itulah piawai kebenaran yang ada.
3. Membangun kesedaran politik dan memberi gambaran Islam sebagai
penyelesaian yang pasti
Kesedaran politik yang benar wajib dijelaskan di tengah umat. Yang
dimaksudkan dengan politik di sini bukanlah politik pragmatik dalam meraih
pengaruh atau kekuasaan, tetapi adalah politik Islam yang akan membebaskan
manusia dari penindasan dalam segala aspek, menuju pada keredhaan Allah
semata-mata. Untuk itu, mahu tidak mahu, para aktivis dakwah wajib mempunyai
kemampuan untuk memberikan gambaran Islam sebagai penyelesaian atas segala
masalah manusia. Penerapan syariat Islam tidak akan menimbulkan masalah baru.
Para pengembang dakwah wajib mengkaji Islam beserta ilmu-ilmunya secara
mendalam serta menyeluruh supaya mampu memberikan gambaran seperti ini. Untuk
itu, diperlukan para dai yang terbina syakhsiyyahnya.
4. Membangun pendukung politik Islam, Khilafah
Dengan tumbuhnya kesedaran politik di tengah-tengah masyarakat bererti telah
tersedia perkakasan (iaitu sumber manusia) dan perisian (iaitu konsep
penyelesaian) yang diperlukan untuk membangun institusi politik Islam, iaitu
Khilafah. Yang perlu dilakukan selepas itu adalah bagaimana perkakasan dan
perisian ini dapat diperbesarkan dan diperkuatkan sehingga institusi politik
ini benar-benar dapat ditegakkan dan dipertahankan.
Menegakkan dan mempertahankan institusi politik ini bukan perkara mudah.
Namun, dengan adanya institusi ini, usaha untuk menghentikan proses
menghancurkan Islam akan dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan cekap.
Khilafah boleh melakukan kempen syariat yang berkesan secara politik, menyusun
semula sistem pendidikan dan menghentikan semua bentuk celaan ke atas Islam.
Khilafah, dengan segenap mekanismanya juga akan memulihkan kedangkalan aqidah
yang telah sekian lama menimpa umat Islam.
Khatimah
Allah Subhanahu wa Taala telah membongkar sikap kufur Barat terhadap Islam
di dalam kalamNya;
Mereka (musuh Allah) hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut
mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya,
sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). [TMQ At-Taubah
(9): 32]
Perencanaan mereka melalui segala bentuk serangan, baik fizikal mahupun
pemikiran dapat dikesan melalui kesedaran umat yang berfikir. Dengan kesedaran
ini, umat pasti akan bangkit bersama menyerang balas, berjuang mengembalikan
hak Islam dan umatnya. Pluralisme adalah satu agenda halus, dan merupakan
salah satu alat serangan mereka yang membenci Islam ke atas pemikiran umat
Islam. Hakikatnya, fahaman dangkal ini hanya akan menikam diri mereka sendiri.
Biar apapun bentuk pertubuhan yang dibina atas kepalsuan yang mengkhayalkan,
kebenaran yang dijelaskan Islam melalui pemikirannya yang unggul tidak akan
goyah atau dapat dirempuh oleh mana-mana pemikiran lain kerana sumber utama
pemikiran Islam adalah dari Allah Subhanahu wa Taala, Sang Pencipta.
Wahai saudaraku, serangan pemikiran ke atas Islam secara massa, seperti yang
wujud hari ini, tidak akan dapat dilakukan oleh kaum kuffar sekiranya Daulah
Khilafah wujud untuk mempertahankan kesucian Islam. Kemuliaan Islam dan umatnya
pasti akan terserlah dengan berdirinya Khilafah yang bertugas mempertahankan
Islam dan umatnya serta mencurahkan kerahmatan kepada seluruh umat manusia.
Oleh itu, usaha yang serius dan bertali-arus haruslah dimulakan dari sekarang
usaha oleh setiap individu Muslim yang cintakan Islam - agar Khilafah menjadi
realiti. Hanya dengannyalah kemuliaan dan keunggulan Islam akan kembali
menerangi kegelapan yang sudah terlalu lama merangkumi bumi Allah ini.
Islamu yalu walaa yula alaih !
(Islam itu tinggi [teratas] dari yang lain)
---------------------------------
New Yahoo! Messenger with Voice. Call regular phones from your PC and save big.
[Non-text portions of this message have been removed]
///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di:
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/islah-net/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/