Hasrizal Abdul Jamil <[EMAIL PROTECTED]> wrote: To: <[EMAIL PROTECTED]>
From: "Hasrizal Abdul Jamil" <[EMAIL PROTECTED]>
Date: Wed, 19 Apr 2006 08:40:58 +0800
Subject: [saifulislam] Dosa Ibu Bapa Mengatasi Kesalahan Anak-anak
(saifulislam.com)
v\:* {behavior:url(#default#VML);} o\:* {behavior:url(#default#VML);}
w\:* {behavior:url(#default#VML);} .shape {behavior:url(#default#VML);}
DOSA IBU BAPA MENGATASI KESALAHAN ANAK-ANAK
Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu
daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di
atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak
mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang
diperintahkan [al-Tahrim 66 : 6]
Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan saya tidak dihargai.
Saya bukan meminta kelebihan. Apa yang saya pohonkan ialah pada beberapa kotak
kosong di dalam diari bulanan saya, ia adalah masa saya untuk isteri dan
anak-anak.
Bolehlah ustaz, janganlah macam itu. Anak hari-hari boleh jumpa. Kami sudah
tiada masa lain yang sesuai untuk menjemput ustaz. Harap ustaz dapat
pertimbangkan permintaan kami, kata seorang pemanggil yang menelefon saya.
Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi yang menjadikan saya serba
salah. Mengapakah masa seorang ustaz untuk anak-anaknya tidak dianggap penting?
Bukankah itu sesi beliau menunaikan kewajipan nafkah kasih sayang, didikan dan
perhatiannya kepada anak-anak. Semasa saya kecil, saya tinggal di sebuah
kawasan perumahan dan seawal usia 10 tahun, saya pernah membuat kesimpulan
bahawa budak-budak jahat pada masa itu, sama ada anak ustaz, tak pun anak polis!
Alangkah prejudisnya saya semasa itu. Saya tidak faham bagaimana saya boleh
beranggapan sedemikian rupa. Mungkin kerana geram saya apabila basikal yang
ayah belikan, dibengkokkan oleh si Samseng Kampung Dusun, anak seorang ustaz.
Tetapi hari ini hati saya menjadi gundah semula. Terutamanya selepas menerima
maklum balas seperti dialog di atas.
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Itulah peribahasa
Melayu yang amat menusuk perasaan saya. Ketika saya menaip artikel ini, Saiful
Islam dan Naurah sedang tidur nyenyak di depan saya. Memandang mereka telah
meretak hibakan hati saya.
Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi berdosa mengabaikan kalian, saya sukar
menahan hati dari bersedih.
Saya masih ingat, semasa saya di Ireland, usaha saya mendidik dan membesarkan
Saiful Islam, ternyata amat mudah. Malah saya setiap hari memanjatkan syukur
kepada Allah kerana Saiful Islam amat mudah untuk diurus. Dengan tugas saya
sebagai Imam, saya tidak keberatan untuk membawa anak sulung saya ke masjid,
saya baringkan di kepala sejadah dan matanya berkelip-kelip melihat saya
menyampaikan khutbah Jumaat.
Semasa itu, untuk saya menegurnya ketika dia melakukan kesalahan, caranya
amat mudah. Saya tunding jari, tanpa perlu membuka bicara, Saiful Islam sudah
menghamburkan air mata takutkan kemarahan saya. Tidak dinafikan, ketika itu
mungkin usia anak saya baru setahun dua. Memang tidak susah menjaganya. Tetapi
apabila saya fikirkan, hari ini saya tetap saya yang sama. Anak bertambah, usia
mereka juga bertambah, tetapi mereka tetap berayahkan ayah yang sama. Tetapi
kenapa hari ini, fikiran saya selalu kusut memikirkan mereka?
Ya, suasana di Ireland amat saya rindui. Saya duduk di negara Kuffar, tetapi
usaha mendidik anak memang mudah dan menggembirakan. Saya tidak menyesal
menjadi suri rumah selama beberapa tahun. Saya bertugas secara sambilan di
beberapa masjid, menyambung pengajian Master secara distance learning dengan
The Open University, UK, dan sambil itu saya menjaga soal makan minum, hal
ehwal rumah tangga, dan Saiful Islam membesar di depan mata.
Itu lebih baik, daripada saya bekerja sebagai kasyer di pasar raya, kemudian
semua gaji dibayar kepada nursery yang mencecah harga ratusan Euro sebulan.
Masakan tidak, semua nanny memegang Ijazah Early Childhood Learning malah mahir
pula dengan rawatan kecemasan Paedriatrik dan first aid.
Namun saya gembira membesarkan anak dengan tangan saya sendiri. Isteri saya
sibuk bekerja di wad kecemasan hospital, shifnya tidak tentu siang malam. Maka
saya mengambil alih tugas di rumah. Setiap pagi saya mandikan anak, menyalin
bajunya, menggoreng kentang atau pasta kosong untuk sarapan. Saya bermain
bersamanya seketika, kemudian ke dapur memasak untuk makan tengah hari. Saiful
Islam tidur semula sekitar jam 11 dan saya naik ke bilik ulangkaji untuk
membuat assignment. Zohor kekadang di masjid, jika cuaca baik. Tengah hari saya
qailulah seketika, solat Asar dan kemudian membawa Saiful Islam ke hospital
untuk mengambil isteri saya dari tempat kerjanya, pulang bersama sambil
menghirup udara petang yang segar. Ketika di Naas, kadang-kadang kami melencong
ke belakang hospital bersama roti keras yang saya bawa dari rumah, untuk
memberi burung undan di tasik, makan petang bersama kami. Saya mencampak roti
ke tasik, Saiful Islam dan Umminya turut sama.
Jika isteri saya oncall, saya akan ke hospital menghantar nasi dan lauk,
khususnya semasa isteri saya mengandung anak kedua kami, Naurah Sabihah.
Suasana ketika itu memang nyaman, fikiran saya tenang dan prolifik, kegiatan
kemasyarakatan banyak dan saya sanggup mengayuh mountain bike selama 2 jam
untuk memberi kuliah Tafsir Surah Yasin kepada adik-adik yang tinggal di South
Circular Road, Dublin.
Itulah suasana saya membesarkan anak ketika di Ireland. Memang hati kami
sunyi tidak mendengar laungan azan dari menara masjid bertahun lamanya. Namun
derita melihat laungan azan tidak diendahkan di Malaysia, lebih menghiris rasa.
Hari ini saya sudah pulang ke Malaysia. Cabaran membesarkan anak-anak semakin
meruncing.
Semasa di Ireland, saya pernah berbual dengan isteri sambil merenung
daun-daun perang gugur di petang musim luruh.
Abang rasa, kita hanya boleh tinggal di Ireland sampai usia anak kita
mencecah umur tadika. Apabila dia perlu bersekolah, kita harus pulang ke
Malaysia, saya meluahkan pandangan tentang perancangan masa depan kami.
Isteri saya mengangguk tanda setuju.
Saya berfikiran begitu kerana saya khuatir dengan Aqidah anak saya. Tentu
sahaja saya patut risau. Semasa bertugas sebagai Pengetua dan guru di Belfast
Islamic School, saya ada banyak pengalaman yang menakutkan. Selain kisah di
Belfast Zoo dan cerita evaluation test anak-anak murid kami, saya juga tidak
lupa kepada suatu insiden di sebuah pasar raya di Lisburn Road, Belfast.
Seorang anak muda bekerja sebagai kasyer di situ dan tag namanya tertulis
OMER. Wajahnya ada iras Irish dan ada sedikit iras Asia. Apabila ditanya sama
ada beliau Muslim atau tidak, beliau termenung seketika dan berkata, my father
is a Moslem!
Aduh, adakah krisis identiti itu yang mahu saya risikokan kepada anak-anak
dengan menyekolahkan mereka di Ireland? Tentu sekali tidak.
Tetapi selepas pulang ke Malaysia, pandangan saya berubah sama sekali.
Kadang-kadang saya menangis sambil merenung jauh dari tingkap rumah kami,
apakah selamat anakku membesar di Malaysia?
Ya, semasa di Ireland, saya kira amat mudah untuk saya gariskan batas-batas
Iman dan Kufur kepada anak-anak.
Jangan ikut perangai Spencer itu, dia bukan orang Islam!, saya boleh
menyebut begitu kepada Saiful Islam dan Naurah.
Apabila anak-anak pulang ke rumah, saya boleh berbicara dengan mudah bahawa
yang jahat itu bukan Islam, bagi mereka agama mereka, dan bagi kita Islam yang
satu. Garis hitam putih amat jelas.
Tetapi bagaimana di Malaysia? Spencer, Ah Meng, Ravin, Shahril, semuanya
lebih kurang sama. Perangai dan akhlak tidak banyak berbeza. Grey area melebar
luas. Nak dikatakan tidak Islam, dia Islam. Tetapi kelakuannya tidak
mencerminkan agama di kad pengenalannya. Habis, mudahkah saya menerangkan semua
ini kepada anak-anak? Saya tabik kepada rakan yang sanggup menyekolahkan
anak-anak di SRJK(C), walau pun terpaksa berulang ke sekolah menghantar bekal
makanan sendiri. Semuanya kerana mereka mahu anak-anak membesar di dalam suatu
suasana yang garis hitam dan putihnya jelas. Mampukah saya begitu? Entahlah...
Lebih menyedihkan, sabar saya tidak seperti sabar saya semasa di Ireland.
Hari ini apabila anak-anak buat semak, ada kalanya macam mudah benar untuk
darah saya tersirap. Terutamanya apabila saya pulang ke rumah selepas dua jam
meredah lautan kereta. Syukurlah saya banyak berusaha membaca dan belajar
tentang topik-topik yang membina sikap pro aktif. Saya cuba menapis setiap
insiden, agar saya memberikan respond yang tepat dan bukannya marah berbalas
marah, geram berbalas geram, degil berbalas cubit dan sebagainya.
Saya sentiasa berasa malu apabila membaca kisah keluarga Stephen Covey.
Profesyennya sama seperti saya. Kami selalu out station untuk memberikan
training. Jadual kami ketat. Tetapi Stephen Covey, mempunyai 9 anak dan dia
tidak pernah terlepas daripada menghadiri majlis dan peristiwa yang penting
berkaitan dengan anak-anaknya. Bukan suatu yang mudah untuk seorang American
membesarkan 9 anak. Saya yang dua ini pun sudah pening kepala.
Sebab itu jugalah saya tidak suka memarahi anak-anak dengan tengking dan
leteran. Lagi banyak kita menengking, lagi cepatlah bisanya hilang. Saya tidak
percaya kepada pendekatan marah sebagai teknik default menegur kesalahan anak.
Berapa ramai yang menjadi baik hasil siri marah di sepanjang usia membesarnya?
Apa yang pasti, anak yang selalu dimarahi akan menjadi pemarah dan kemudiannya
bakal memarahi anak-anaknya pula suatu hari nanti. Ingat, anak kita mungkin
gagal mengikut kata-kata kita, tetapi mereka tidak akan gagal meniru perangai
dan tingkah laku kita sebagai ibu dan bapa. Jika anak kita buruk kelakuan,
jangan cari sebab yang jauh. Anak-anak adalah cermin wajah ibu dan bapa mereka.
Ya memang marah itu perlu, tetapi ia bukan pendekatan harian saya. Saya lebih
suka bercakap dengan anak-anak dan cuba memahamkan mereka kenapa satu-satu
perbuatan itu betul atau salah. Jika Saiful Islam naik angin, saya akan tangkap
dia dan mandikan agar sejuk, kemudian saya ke bawanya ke bilik dan kami
berdialog.
Biar pun soalan anak-anak bertali arus dan kekadang berpusing ke belakang,
saya sentiasa setia melayan. Rasa marah atau letih, rasa mengantuk atau sengal
badan, semuanya diketepikan dan saya mesti mendengar isi bualan yang ingin
dikongsi oleh Saiful Islam dan kini Naurah juga. Biar pun isunya hanya soal kad
Grandsazer dan Kamen Rider. Itulah wasilah saya mendengar dan menunjukkan kasih
kepada anak-anak.
Namun punca sebenar yang menjadikan saya tidak tergamak untuk memarahi anak
saya, ialah kerana saya rasa berdosa kepada Allah terhadap mereka. Malah
kesalahan anak-anak saya yang belum mumayyiz dan tidak aqil baligh ini kepada
saya dan ibu mereka, tidak terbanding dengan dosa saya dan isteri terhadap
mereka.
Masakan tidak. Saya telah memilih isteri yang solehah dan sebahagian
cita-cita saya, agar akhlak mahmudah isteri akan tumpah kepada anak-anak suatu
hari ini. Saya percaya, ramai dari kalangan kita yang melakukan perkara yang
sama. Pendidikan anak-anak bermula dengan memilih ibu yang baik untuk mereka.
Tetapi tumpahkah solehah isteri kepada anak-anak? Turunkah baik saya kepada
anak-anak? Sukar untuk menjawab soalan ini kerana orang sebenar yang
membesarkan anak-anak hari ini, adalah guru di tadika atau pembantu rumah
Indonesia. Alhamdulillah jika yang Indonesia itu orangnya baik, bersolat dan
menjaga batas-batas agama. Bagaimana dengan yang berpembantu rumah seorang
penyembah berhala dari Myanmar, Thailand atau Filipina.
Kita berjumpa dengan anak-anak ketika kita sudah letih. Kita sudah hilang
seri di wajah dan jiwa malah bahasa. Anak-anak juga sudah mengantuk ketika saya
sampai di pintu menanggalkan kasut. Bilakah masanya kita menumpahkan akhlak
mahmudah kita kepada anak-anak?
Isteri solehah, tapi yang membesarkan anak-anak adalah pembantu rumah, guru
nursery, dan entah siapa lagi. Ibu dan ayah di mana? Jawapannya mudah sahaja,
SIBUK BEKERJA.
Janganlah disangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana
makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu hanya taraf lembu membesarkan
anak-anaknya. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu.
Soal makan, minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan
spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus.
Apa yang paling utama adalah soal jumlah masa yang kita luangkan bersama
mereka. Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar
kasihkan mereka?
Tetapi zaman ini, zaman membesarkan anak-anak diswastakan kepada pihak lain.
Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis. Anak buat perangai mungkin
semata-mata atas dorongannya untuk mencuri perhatian kita.
Ingatlah, dalam suasana kita hari ini, dosa ibu dan bapa terhadap anak-anak,
lebih besar berbanding kesalahan mereka kepada kita. Insaflah wahai ibu dan
bapa, jangan mudah melenting, sebelum cukup kasih diberi.
Seandainya saya memohon kotak kosong itu kekal dikosongkan, janganlah heret
saya ke suasana yang menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada
anak-anak, anda juga sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah madu pertama saya.
Jika kita dalam perjalanan pulang dari KL ke Ipoh, kita singgah di Tapah
untuk Solat dan makan. Kemudian kita meneruskan perjalanan ke Ipoh. Tetapi
selepas 15 minit memandu, baru kita tersedar yang salah seorang anak kita
tiada. Ketika itu kita kelam kabut mencari U-Turn dan mulut tidak henti-henti
berdoa agar anak yang tertinggal di belakang, selamat dan tiada mudarat.
Ya, jika kita tercicir anak di perjalanan dunia, kita ada jalan untuk
berpatah balik menyelamatkan keadaan. Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis,
jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan
memanjat tangga kenaikan pangkat, kita tertinggal isteri dan anak-anak di
belakang. Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika mereka
ditinggalkan dari Tarbiah dan didikan Islam, ketika kita tersedar yang mereka
yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah ada
satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.
Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa kepada
pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.
Saya hairan semasa membaca sabda Nabi SAW betapa tanda Kiamat itu adalah pada
ibu yang melahirkan tuannya. Anak durhaka jadi kebiasaan. Mengapa suasana
begitu boleh terjadi?
Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula dengan
dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!
Maafkan Abi dan Ummi!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
Cheras 56000, 19 April 2006
---------------------------------
YAHOO! GROUPS LINKS
Visit your group "saifulislam" on the web.
To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
---------------------------------
---------------------------------
Blab-away for as little as 1¢/min. Make PC-to-Phone Calls using Yahoo!
Messenger with Voice.
[Non-text portions of this message have been removed]
///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di:
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/islah-net/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/