Ombudsman vs Sistem Mahkamah Daulah Islam - Yang Mana Allah Perintahkan?
Malaysia telah dikejutkan dengan penyebaran imej wanita bogel dalam tahanan
polis pada tahun lalu. Isu yang didedahkan oleh Teresa Kok Suh Sim
(DAP-Seputeh) pada 24 November 2005 lalu menyebabkan banyak perbincangan telah
diutarakan di peringkat atasan sehingga ke kedai-kedai kopi. Antara
penyelesaian yang hangat diperkatakan adalah rancangan untuk mewujudkan
Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Ia mendapat tentangan
banyak pihak termasuk Ahli Parlimen sendiri. Menurut mereka penubuhan
suruhanjaya itu hanya akan menjadikan pasukan polis `lembut' dan Badan Pencegah
Rasuah (BPR) `mandul'. [UM 21 Mac 2006]. Implikasi penubuhan suruhanjaya ini
sangat berat kerana jika diteruskan, ia akan menganak tirikan polis kerana
realitinya, salah laku bukan hanya terjadi di dalam pasukan polis tetapi malah
ia juga berlaku di banyak institusi kerajaan yang lain. Sekiranya setiap
salahlaku di setiap institusi diambil kira, negara akan dibanjiri dengan banyak
suruhanjaya-suruhanjaya yang akan menyiasat salah laku di institusi
masing-masing.
Terbaru, kerajaan mengumumkan rancangan penubuhan sebuah badan bebas atau
ombudsman bagi menangani dan menyiasat segala tuduhan membabitkan semua
perkhidmatan awam termasuk menteri, tanpa dihadkan kepada Polis Diraja Malaysia
(PDRM) semata-mata. Ia diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz baru-baru ini. Penubuhan badan bebas itu yang
dikatakan akan membolehkan kerajaan bersikap adil terhadap rakyat sedang dikaji
supaya sistem pentadbiran kerajaan lebih cekap. Menurut Nazri lagi, "Kewujudan
badan bebas ini kelak akan mengimbangkan laporan penyiasatan dan mengelak polis
dituduh tidak telus atau berat sebelah apabila menyiasat aduan membabitkan
anggota mereka." Bukan itu sahaja, tegas Nazri lagi, "Badan ini akan menyiasat
tuduhan terhadap semua agensi penguat kuasa kerajaan termasuk sektor awam sama
ada polis, kastam, Jabatan Pengangkutan Jalan, Badan Pencegah Rasuah, Pejabat
Tanah dan Galian atau menteri sekalipun" [UM 10 April
06].
Jika diteliti, banyak badan-badan aduan telahpun wujud di negara kita samada
di dalam agensi kerajaan mahupun parti politik. Malaysian Chinese Association
(MCA) umpamanya telah menubuhkan 'Unit Pengaduan' untuk menerima aduan orang
ramai. Oleh kerana pertambahan aduan yang drastik selepas pilihanraya tahun
1990 unit tersebut telah diperbesarkan menjadi "Biro Perkhidmatan & Pengaduan
Pusat MCA" dengan Datuk Tan Chai Ho sebagai pengerusi. Di bawahnya diwujudkan
"Unit Pengaduan Awam" dan "Unit Hal Ehwal Kerajaan". Salahlaku yang berleluasa
juga telah memaksa pemuda UMNO mewujudkan 'Biro Pengaduan Awam dan Pembelaan
Masyarakat' yang dipengerusikan sekarang ini oleh Dato' Subhan Kamal.
Kredibiliti mahkamah yang banyak dipertikaikan oleh rakyat juga telah
menyebabkan Badan Kehakiman mewujudkan perkara yang sama. Mengikut Laporan
Tahunan Mahkamah Atasan dan Rendah di Malaysia 2004/2005, Badan Kehakiman akan
mempertingkatkan tindakan untuk ketelusan dalam pelaksanaan keadilan di
Malaysia. Ini dibuat dengan penubuhan 'Unit Pengaduan Awam (UPA)' yang diselia
oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia yang bertanggungjawab terus
kepada YAA Ketua Hakim Negara. Bidangkuasa UPA ini adalah menerima segala aduan
mengenai pentadbiran keadilan Badan Kehakiman di seluruh negara. Objektif UPA
adalah untuk menangani segala pengaduan dari orang awam dengan cara yang cepat
dan berkesan.
Yang pasti, idea tentang mewujudkan sistem ombudsman ini muncul setelah imej
perkhidmatan awam yang dilihat semakin hari semakin tercalar dengan salahlaku
anggota-anggotanya terutama imej pasukan polis yang tak putus-putus menjadi
'pisang goreng panas' dalam isu-isu yang melibatkan salahlaku. Oleh itu,
ombudsman diperkenalkan dengan harapan ia dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan
sistem yang sedia ada, yang mana perlaksanaannya bukan hanya melibatkan PDRM
tetapi semua perkhidmatan awam.
Sejarah Ombudsman
Apakah sebenarnya ombudsman? Menurut kamus Oxford Ombudsman adalah pegawai
yang dilantik secara rasmi untuk menyiasat aduan orang ramai terhadap salah
laku dalam pentadbiran terutama pihak berkuasa awam. Ombudsman bermula di
Sweden sejak awal 1800an iaitu jawatan yang diwujudkan 'sebagai penyiasat aduan
awam'. Pegawai ini dianggap sebagai orang yang 'diakui kemampuan perundangan
dan integriti yang berwibawa', dilantik oleh parlimen untuk berkhidmat selama
satu penggal (empat tahun). Sekarang ini ombudsman atau juga dikenali sebagai
ombudsperson di Amerika, bertindak menangani permasalahan yang melibatkan salah
guna kuasa pentadbiran di mana ombudsman ini bertindak sebagai orang tengah
kepada dua pihak yang berselisih untuk meredakan persengketaan di antara kedua
belah pihak tersebut. Ini menuntut ombudsman untuk mempunyai peribadi yang
dipercayai dan neutral tanpa cenderung kepada mana-mana pihak. Dia bertindak
membantu komunikasi kedua belah pihak untuk merumuskan
penyelesaian supaya masalah yang sama tidak timbul lagi pada masa akan datang.
Pergeseran antara orang awam dan pihak berkuasa boleh berlaku dalam apa jua
keadaan, contohnya seorang pegawai polis memasuki tempat kerja suspek untuk
memberkasnya dalam keadaan yang memalukan dan menjejaskan pekerjaannya, tetapi
kemudian tuduhan ke atasnya digugurkan. Ombudsman akan menyiasat samada dakwaan
mangsa atau pengadu berasas atau tidak dengan meneliti tatacara dia
diperlakukan. [West's Encyclopedia of American Law] Menurut ensiklopedia ini
lagi, ombudsman tidak mempunyai kuasa membuat atau mengubah undang-undang,
menguatkuasa cadangan, meminda tindakan atau keputusan pentadbiran. Peranan
ombudsman di dalam pentadbiran AS tidak begitu jelas tetapi pada pertengahan
tahun 1990an lebih 200 organisasi swasta telah menggunakan khidmat ombudsman
untuk menyelesaikan pertikaian antara majikan dan pekerja.
Adakah umat Islam memerlukan ombudsman?
Sebagai seorang Islam, kita perlu melihat dan menyelesaikan setiap masalah
dengan penyelesaian Islam. Dalam isu ini, persoalannya adalah, adakah ombudsman
diperlukan oleh umat Islam di dalam menyelesaikan masalah yang membabitkan
penjawat awam dan orang ramai? Adakah agama Allah ini tidak lengkap sehingga
umat Islam perlu mengambil sistem dari Barat untuk menyempurnakannya? Adakah
Allah menurunkan agama ini tanpa ada mekanisma untuk mengatur persengketaan
yang terjadi di antara manusia sesamanya? Firman Allah subhanahu wa ta'ala'
"Wahai orang-orang yang beriman, taailah Allah dan taatilah Rasul(Nya) dan
ulil amri di kalangan kamu. Kemudian sekiranya kamu berbantah-bantah pada
tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul(Nya) jika kamu
benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian..." [TMQ An-Nisa':59]
Ayat di atas merupakan petunjuk yang jelas kepada kita bahawa Allah telah
menurunkan agama ini agar mampu menjawab segala persengketaan yang terjadi di
dalam masyarakat. Ayat yang mulia ini juga menjadi peringatan yang jelas kepada
kita bahawa sekiranya ada apa-apa persengketaan yang terjadi di antara rakyat
dan pemerintah (termasuk orang bawahannya), maka peneyelesaiannya haruslah
dikembalikan kepada Allah dan RasulNya (bukannya dikembalikan kepada Barat).
Apabila Allah memerintahkan untuk kita kembali kepadaNya dan RasulNya, maka
kita sebagai umat Islam yakin bahawa pasti ada jalan penyelesaian yang telah
Allah dan RasulNya tunjukkan. Ingatlah wahai kaum Muslimin, bahawa Allah telah
menyempurnakan agama ini dan umat Islam tidak memerlukan apa-apa dari Barat
yang kuffar untuk menyelesaikan segala ketidakadilan. Allah berfirman,
"....pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu (Islam)..
" [TMQ
Al-Mai'dah:3]
Lengkap dan sempurnanya Islam itu adalah dengan diamalkan Islam itu secara
kaffah. Setiap orang yang mengucap 'La ilaha illallah Muhammad Rasulullah'
adalah berkewajipan untuk melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala
larangan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Taklif atau bebanan tanggungjawab yang
paling berat yang dibebankan oleh Allah adalah ke atas para pemerintah kerana
di bahu merekalah terpikulnya amanat Allah, yakni sebagai khalifah di muka bumi
yang akan menerapkan syariatNya. Bagi pemerintah, mereka berkewajipan untuk
menerapkan hukum Islam secara keseluruhan, tanpa apa-apa lagi alasan untuk
tidak menerapkannya. Allah tidak pernah memberi mereka (pemerintah) pilihan
untuk menerapkan hukum selain dari apa yang diturunkan olehNya.
"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman,
apabila Allah telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan
(yang lain) tentang urusan mereka..." [TMQ Al-Ahzab:36]
Peringatan Allah kepada mereka yang tidak menerapkan hukumNya ,
"...maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintahNya takut akan ditimpa
fitnah atau ditimpa azab yang pedih" [ TMQ An-Nur:63]
"...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan,
maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim." [TMQ Al-Maidah:45]
Pemerintah yang telah dipilih rakyat untuk menerapkan syariat Islam mempunyai
tanggungjawab dua dimensi, iaitu dimensi dunia dan akhirat. Di akhirat, seluruh
tindakannya selama memimpin akan disoal atau dipertanggungjawabkan (dihisab)
oleh Allah. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersabda:
"Seorang imam adalah pemelihara dan pengatur urusan rakyatnya, ia akan
diminta pertanggungjawaban (dihisab) di atas pemeliharaannya..." [HR Al-Bukhari
dan Muslim].
Khalifah Umar bin al-Khatthab pernah menangis kerana sangat bimbang untuk
menghadapi 'Mahkamah Akhirat' yang mana dia akan ditanya oleh Allah Subhanahu
wa Ta'ala terhadap segala tindakannya semasa menjadi penguasa, di akhirat
kelak. Beliau faham akan sabda Rasulullah yang diriwayatkan dari Ma'qil bin
Yasar radhiAllahu 'anhu.,
"Apabila seorang penguasa yang memerintah umat Islam mati dalam keadaan
memperdayakan (menganiaya) mereka (rakyatnya), Allah akan mengharamkan syurga
untuknya" [HR Bukhari-kitab Hukum]
Apa yang jelas wahai saudaraku yang mulia, tanggungjawab pemerintah adalah
untuk menerapkan sistem yang berasal dari wahyu dan bukannya sistem yang
berasal dari Barat, tidak kira apa namanya, sistem ombudsman, demokrasi,
sekularisme, kapitalisme dan sebagainya. Inilah anehnya dengan para pemerintah
kaum Muslimin, demi untuk menerapkan sistem Barat, mereka bersungguh-sungguh
berusaha melakukan kajian, menghabiskan masa, usaha, wang dan sebagainya demi
merealisasikan sistem tersebut. Malangnya perkara yang sama tidak dilakukan
demi untuk menerapkan hukum yang datang dari Pencipta dirinya, walhal inilah
satu-satunya hukum yang akan mendatangkan keadilan yang hakiki, yang datang
dari Zat yang Maha Adil. Inilah satu-satunya sistem yang, apabila diterapkannya
di dunia, akan menyelamatkannya dari azab Allah di akhirat.
Sistem Pengqadhian Dalam Islam
Sistem pemerintahan Islam telah datang dengan struktur pengadilan yang
sempurna yang mampu menyelesaikan persengketaan yang terjadi di dalam
masyarakat. Sejak 13 abad yang lalu umat Islam telah menyelesaikan masalah atau
perselisihan yang berlaku di dalam Daulah Islam dengan sistem pengqadhian ini
tanpa membuang masa dan tenaga terjebak di dalam polemik berpanjangan. Sejarah
telah membuktikan kepada kita bahawa sistem inilah yang telah membawa keadilan
sejagat kepada hampir 2/3 dunia dan umat manusia telah menikmatinya selama
lebih kurang 1300 tahun.
Qadhi/Hakim/Mahkamah di dalam Islam terdiri dari tiga jenis iaitu, pertama,
Qadhi Khusumat yang menyelesaikan kes-kes umum melibatkan muamalat dan uqubat.
Kedua, Qadhi Muhtasib/Hisbah yang menyelesaikan kes-kes yang mengancam hak
jamaah. Ketiga, Qadhi Mazhalim yang menyelesaikan kes-kes yang melibatkan
persengketan antara rakyat dan negara/pemerintah. Apa yang pasti, di dalam
Islam tidak pernah wujud mahkamah sivil sebagaimana yang ada pada hari ini di
negara-negara umat Islam termasuklah negara kita. Sejarah perundangan Malaysia
menceritakan dengan jelas kepada kita bahawa sistem mahkamah yang ada sekarang
di Malaysia adalah hasil dari ciptaan British yang telah 'dipaksakan' ke atas
kita semenjak mereka datang menjajah kita pada awal tahun 1800. Apakah setelah
mereka pergi kita masih dalam keadaan 'terpaksa' menerapkan sistem ini atau
kita telah 'redha' kepadanya? Na'uzubillah.
Kata mazhalim berasal dari zalim yang terdapat dalam hadis dari Anas yang
mengatakan: "Pada masa Rasulullah harga-harga melambung tinggi" lalu orang
ramai mencadangkan kepada Rasulullah "Wahai Rasulullah, kenapa tidak harga ini
engkau tetapkan saja." Kemudian baginda besabda "Sesunguhnya Allah-lah Yang
Maha Mencipta, Maha Menggenggam, Maha Melapangkan, Maha Memberi Rezeki, yang
berhak menetapkan harga ini. Dan aku mahu menghadap Allah Azza Wajalla tanpa
seorang pun yang menuntut kepadaku kerana kezaliman yang telah aku lakukan
terhadap dirinya, baik dalam hal darah atau harta."
Rasulullah menegaskan bahawa penetapan harga merupakan tindakan kezaliman,
kerana kalau baginda menetapkannya maka baginda telah mengambil hak penjual
atau pembeli yang mana ia merupakan tindakan kezaliman. Maka jika pertikaian
berlaku di antara rakyat dan pemerintah, perlu ada pihak ketiga yang akan
mengadili dakwaan kezaliman ini iaitu Qadhi Mazhalim. Dari sinilah para ulama
Islam mengambil istilah Qadhi Mazhalim dan seterusnya menetapkan bahawa ini
adalah sesuatu yang telah dilakukan (af'al) oleh Nabi dan ianya menjadi
kewajipan ke atas umat Islam untuk menerapkannya. Pengadilan mazhalim pada masa
Rasulullah telah diselesaikan oleh baginda sendiri. Perkara yang sama juga
dilakukan oleh khalifah-khalifah selepasnya sehinggalah ke zaman pemerintahan
khalifah Abdul Malik bin Marwan. Khalifah Abdul Malik telah menyediakan waktu
yang khusus untuk menyelesaikan tuntutan mazhalim sehingga menjadi struktur
yang khusus yang kemudian di panggil Darul 'Adli. Segala masalah yang
melibatkan kezaliman akan diuruskan oleh Qadhi Mazhalim yang dilantik pada
masa beliau iaitu Abu Idris al-Azdi.
Inilah sistem yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa
Sallam. Inilah sistem yang telah dipraktikkan oleh para Khulafa' ar-Rashidun
dan juga khalifah-khalifah setelah mereka. Islam telah menyediakan sebuah
mahkamah yang khusus untuk rakyat yang tidak berpuas hati dengan layanan
pemimpin mereka, yakni Mahkamah Mazhalim. Mahkamah inilah yang menjadi tempat
aduan rakyat dan tempat untuk meluruskan salahlaku pemerintah dan orang-orang
di bawahnya. Tidak ada satu sistem pun di dunia ini yang lebih baik dari sistem
Islam.
Sistem Barat vs Sistem Allah
Menurut ensiklopedia Wikipedia, penyelesaian pertikaian antara orang ramai
dan pemerintah telah berlaku di zaman Saidina Umar iaitu khalifah kedua umat
Islam pada tahun (634-644M) dengan mewujudkan qadhi qudhat. Teladan
keberkesanan sistem Khilafah Islam telah memberi pengaruh yang kuat kepada
Barat sehingga raja Charles XII telah menubuhkan Pejabat Ombudsman Tertinggi di
Sweden pada tahun 1713 setelah pulang dari pembuangan di Turki.
Sebenarnya jawatan qadhi qudhat (Ketua Qadhi) belum wujud lagi pada waktu
tersebut. Yang ada hanyalah institusi mazhalim yang menangani persengketaan
antara orang ramai dan pemerintah. Walaupun demikian, apa yang jelas di sini
adalah, akibat dari wujudnya sistem pemerintahan Islam, banyak dari kejayaan
sistem yang adil ini telah mempengaruhi Barat dan rentetan dari itu, mereka
telah mewujudkan sistem ombudsman di Barat. Yang pasti sistem tersebut
diwujudkan setelah mereka melihat keberkesanan perlaksanaan sistem Islam.
Inilah yang anehnya dengan umat Islam, mereka ingin menerapkan sistem ombudsman
ini setelah melihat Barat yang menerapkannya. Segala sesuatu yang berasal dari
Barat dilihat dan dinilai sebagai 'permata' oleh umat Islam. Fikirkanlah wahai
umat Nabi yang mulia, sampai bilakah kita akan mencontohi Barat dengan sistem
yang mereka pakai? Dari dahulu sehingga sekarang kita tidak pernah henti-henti
mengambil apa yang berasal dari mereka. Adakah kita pada kali ini
sekali lagi akan mencontohi Barat dengan ombudsman atau mencontohi Rasulullah
dengan institusi mazhalim yang telah baginda tunjukkan? Rasulullah telah
mengingatkan kita,
Daripada Abu Said Al-Khudri r.a. berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi
wa Sallam bersabda, "Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu,
sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk
ke lubang biawak sekalipun, kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya, "Ya
Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?" Nabi Sallallahu
alaihi wa Sallam menjawab, "Siapa lagi kalau bukan mereka?" [HR Muslim]
Sedarlah wahai saudaraku, Barat sebenarnya tidak mempunyai dan tidak mampu
untuk mewujudkan satu sistem kehidupan yang adil. Mereka telah menolak agama
dalam mengatur urusan hidup sehingga peraturan hidup mereka ditentukan oleh
aqal semata-mata. Inilah yang dipuja-puja oleh mereka iaitu sekularisme, sistem
yang memisahkan agama dari kehidupan. Racun inilah yang telah mereka tanam
dalam benak kaum Muslimin dan diberitahu kepada kaum Muslimin bahawa ini adalah
madu yang paling lazat. Racun ini telah mendarah daging dalam tubuh umat Islam.
Demi Allah wahai saudaraku, kita semua mampu membuangnya. Buanglah ia dari
terus merosakkan tubuh umat yang mulia ini. Demi Allah kita semua yakin bahawa
keadilan hanya akan dapat dicapai dengan aturan yang datangnya dari wahyu dan
bukannya dari aqal manusia. Allah memberikan aqal bagi manusia untuk memahami
dan menerapkan apa yang diwahyukan, bukan untuk menolak wahyu dan mengambil
sistem yang berasaskan aqal. Wahyu bukan merupakan
sesuatu yang boleh dijadikan bahan tawar-menawar.
Teladan agung di sebalik kes mazhalim ini ada tertuang di dalam kisah Amru
Al-'Ash ketika beliau menjadi Wali Mesir di bawah kekhilafahan Saidina Umar
Al-Khattab. Suatu ketika telah berlaku pertelingkahan antara beliau dan seorang
Yahudi berkenaan sebidang tanah milik Yahudi tersebut. Amru telah menggunakan
kuasanya untuk merampas tanah Yahudi untuk pembinaan masjid. Yahudi tersebut
telah membuat pengaduan kepada khalifah Umar Al-Khattab yang terkenal dengan
ketegasannya. Setelah meneliti laporan, Saidina Umar dengan kuasa Qadhi
Mazhalim yang ada padanya telah memerintahkan Yahudi tersebut mengambil
sepotong tulang. Umar mengeluarkan perintah dengan membuat garis lurus dan
garis pangkah ke atas tulang itu menggunakan pedangnya. Umar memerintahkan
Yahudi tersebut untuk menyampaikan tulang itu kepada Amru di Mesir.
Setelah Amru menerima tulang tersebut beliau terus mengeluarkan arahan untuk
menghentikan pembinaan masjid dan memulangkan tanah Yahudi tersebut. Si Yahudi
yang tidak menyangka sepotong tulang tadi mampu mengembalikan semula haknya
yang dirampas oleh pemerintah telah bertanyakan dengan kehairanan kepada Amru,
apa sebenarnya disebalik pembatalan tersebut dan kaitannya dengan tulang
tersebut. Amru menerangkan, "Tulang itu adalah tulang biasa dan berbau busuk,
tetapi kerana ia diberikan oleh seorang khalifah ia sangat bererti. Ketahuilah
tulang ini adalah peringatan bahawa betapa tinggi pun kekuasaan seseorang, ia
akan menjadi tulang yang busuk. Sedangkan garisan lurus bererti kita harus
berlaku adil kepada orang di bawah, lurus seperti garisan. Dan bila aku tidak
mampu menegakkan keadilan, khalifah tidak teragak-agak untuk memenggal
kepalaku!" jelas sang wali. "Sungguh agung ajaran agama tuan. Sesungguhnya aku
rela menyerahkan tanah dan rumah itu. Dan bimbinglah daku dalam
memahami ajaran Islam!" balas Yahudi tersebut dengan terharu.
Wahai kaum Muslimin, ini hanyalah salah satu contoh keadilan sistem Islam,
Yahudi yang dilaknati Allah pun mendapatkan haknya sebagai warga Daulah (kafir
zhimmi). Peristiwa ini juga menjadi bukti kepada kita bahawa si Yahudi telah
mengadu terus (kezaliman yang telah dilakukan Amru ke atasnya) kepada Umar yang
bertindak selaku Qadhi Mazhalim. Dan keputusan Umar dibuat dengan segera dan
berdasarkan kitabullah dan sunah RasulNya, tanpa menangguh-nangguhkannya lagi
dan tidak pula merujuk kepada mana-mana sistem ciptaan manusia.
Dalam satu contoh lain, Yahya al-Ghassani pegawai kepada Khalifah Umar Abdul
Aziz melaporkan bahawa beliau telah ditugaskan menjaga Mosul. Beliau mendapati
di wilayah tersebut terdapat paling banyak kejadian pencurian dan kejahatan.
Beliau mengirim surat kepada Khalifah Umar untuk menanyakan: "Apakah aku harus
menjalankan hukuman dengan prasangka dan tuduhan yang tidak berdasar (supaya
penjenayah tidak terlepas) atau aku menjalankan hukum dengan fakta-fakta dan
keterangan-keterangan yang jelas sebagaimana yang ada di dalam sunnah
Rasulullah?"
Khalifah Umar menulis jawapan kepadanya yang berisi perintah agar dia
menjalankan proses hukum berdasarkan fakta dan sesuai dengan sunnah Rasulullah.
"Jika kebenaran tidak juga memberikan pembaikan kepada mereka, maka jangan
harap mereka akan menjadi baik". Yahya menyambung lagi "Apabila aku melakukan
apa yang dia perintahkan, ternyata aku dapati Mosul menjadi satu wilayah yang
paling sedikit kes kecurian dan kejahatannya" [Tarikhul Khulafa' Imam
As-Suyuthi].
Khatimah
Wahai kaum Muslimin, di dalam Islam sebenarnya tidak wujud mahkamah selain
dari tiga bentuk mahkamah yang telah dijelaskan tadi. Umat Islam haram
mengambil sistem penghukuman selain sistem penghukuman Islam. Dunia telah
menjadi aman selama pemerintahan Islam berjalan. Umat manusia telah diadili
oleh mahkamah-mahkamah di dalam sistem Islam selama lebih 13 abad. Qadhi
Khusumat telah menyelesaikan persengketaan sesama rakyat. Qadhi Muhtasib telah
memastikan hak diberikan kepada yang empunyanya. Manakala Qadhi Mazhalim telah
mewujudkan hubungan yang baik antara pemerintah dan rakyat, meluruskan
pegawai-pegawai yang bengkok dengan syariat Allah. Umat telah mendapat rahmat
dengan perlaksanaan tersebut sehingga ditiru oleh Barat. Hari ini, kita melihat
Barat 'sedikit berjaya' tanpa menyedari ia adalah serpihan dari sistem Islam.
Wahai saudaraku, bila lagi kita akan tunduk kepada sistem Islam agar Allah
mengembalikan keadilan dan kemuliaan kepada kita? Bila lagi hati kita akan
tunduk kepada hukum Islam? Tidakkah kita mengambil pengajaran dari peringatan
Allah,
"Belumkah sampai waktunya bagi orang-orang yang beriman itu, untuk tunduk
hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada
mereka) dan janganlah mereka (menjadi) seperti orang-orang yang sebelumnya
telah turun al-kitab kepada mereka, kemudian berlalulah masa yang panjang atas
mereka lalu hati mereka menjadi keras, dan kebanyakan di antara mereka adalah
orang-orang yang fasik" [TMQ Al-Hadid:16]
Semoga hati pemerintah kaum Muslimin akan menjadi lembut untuk tunduk kepada
hukum Islam, sehingga seluruh kehidupan ini akan diadili dengan institusi Islam
seperti yang telah diterapkan bukan sahaja di zaman Umar tetapi sebelum dan
selepasnya selama berabad-abad. Sistem itu belumpun terlalu lama meninggalkan
kita sejak kejatuhannya pada tahun 1924. Dengan terwujudnya kembali Sistem
Khilafah Islamiyyah, ketika itu barulah kita akan mendapatkan keadilan,
kemuliaan dan rahmat dengan terlaksananya hukum Islam ke seluruh penjuru alam.
Ketika itu juga kita akan dijauhkan oleh Allah dari segala ketakutan,
penindasaan dan kezaliman dengan adanya tempat untuk kita mengadu dan
berlindung. Ketika itu jugalah Allah akan menghina dan mengalahkan kaum kuffar.
Dan ketika itu jugalah Allah akan memberi kemenangan dan mengembalikan
kemuliaan kaum Muslimin.
Sedarlah wahai kaum Muslimin sekalian, sekiranya kita tidak menerapkan sistem
yang Allah perintahkan, kita akan diadili di 'Mahkamah Paling Agung' nanti.
Mahkamah yang akan menghukum semua mereka yang tidak berhukum dengan hukum
Allah. Mahkamah yang tidak akan ada seorang pun yang akan terlepas darinya.
Mahkamah Allah Azza wa Jalla. Marilah kita sama-sama berusaha dan berdoa semoga
hukum Allah akan segera tertegak di muka bumi ini, yang dengannya akan
menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. Amin ya Rabbal A'lamin.
---------------------------------
Talk is cheap. Use Yahoo! Messenger to make PC-to-Phone calls. Great rates
starting at 1¢/min.
[Non-text portions of this message have been removed]
///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di:
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/islah-net/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/