HARI BURUH : Ilusi Kapitalisme...
   
  [SN68] 1hb Mei, Hari Buruh Sedunia. Malaysia juga tidak terkecuali saban 
tahun meraikannya. Kali ini, ia disambut dengan tema "Pekerja Cemerlang Negara 
Terbilang"; sekali lagi untuk memenuhi hasrat pembangunan modal insan berminda 
kelas pertama [Utusan Malaysia, 1 Mei 2006]. Di dalam perutusannya, Perdana 
Menteri mengiktiraf serta mengakui golongan pekerja sebagai aset terpenting 
negara, menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara.  Dalam penghayatan sambutan 
Hari Buruh ini, mungkin ramai di antara kita yang tidak mengetahui asal usul 
mengapa ia disambut; malah mungkin ramai juga yang tidak tahu mengapa 1hb Mei 
dipilih sebagai Hari Buruh.
   
  Sebagai umat Islam, kita haruslah peka terhadap sebarang pemikiran dan 
pegangan yang wujud dalam kehidupan kita sehari-hari. Ini adalah amat penting 
kerana sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menetapkan pendirian kita 
berdasarkan hukum Islam dan bukannya berdasarkan 'ikut-ikutan' ataupun 
pemikiran selain Islam. Justru wajarlah bagi kita untuk memahami hakikat 
sambutan Hari Buruh sebelum menetapkan pendirian kita mengenainya.
   
  Sejarah Hari Buruh
   
  Pada tahun 1884, The Federation of Organized Trades and Labor Unions telah 
menyebarkan resolusi untuk menetapkan 8 jam sehari sebagai waktu kerja yang sah 
bermula dari 1 Mei 1886. Resolusi tersebut menyeru agar para pekerja melakukan 
demonstrasi umum untuk mencapai tujuan itu memandangkan kaedah mengikut saluran 
yang sah telah dianggap gagal. Pada ketika itu, pekerja dipaksa bekerja selama 
10, 12 hingga 14 jam sehari. Sokongan kepada gerakan ini telah tumbuh dengan 
cepat. Pada April 1886, dianggarkan seramai 250,000 pekerja telah menyertainya. 
Gerakan ini berpusat di Chicago dan dianjurkan oleh golongan anarki dari 
International Working People's Association. Ahli perniagaan dan pemimpin negara 
pada ketika itu merasa bimbang dengan peningkatan pengaruh revolusi ini dan 
mereka telah membuat persediaan sewajarnya. Bilangan polis dan anggota 
keselamatan ditambah dan senjata baru dibekalkan, dibiayai oleh ketua-ketua 
perniagaan tempatan. 
   
  Antaranya, Kelab Komersial Chicago, yang telah membeli senjata bernilai 
US$2000 untuk Pengawal Keselamatan Illinois mengawal kemaraan demonstrasi. 
Walaubagaimanapun, pada 1hb Mei, gerakan ini telah berjaya memenangi hati 
kebanyakan para pekerja termasuklah pembuat pakaian, pembaiki kasut dan para 
buruh. Pada 3hb Mei 1886, untuk mengekang kemaraan, pihak polis telah 
melepaskan tembakan amaran kepada para pendemonstrasi di hadapan kilang 
McCormick Reaper Works, menyebabkan 4 orang terkorban dan banyak yang cedera. 
Keesokannya, golongan anarki telah menganjurkan perhimpunan besar-besaran untuk 
membantah tindakan pihak berkuasa tersebut di dataran Haymarket. Perhimpunan 
ini berjalan lancar sehinggalah jurubicara terakhir berucap di pentas. Orang 
ramai mulai beredar dan hanya tinggal beberapa ratusan orang. Ketika inilah, 
180 orang polis telah mengepung medan tersebut dan mengarahkan agar perhimpunan 
itu dibubarkan. Ketika pembicara terakhir turun dari pentas, sebiji bom
 dilemparkan ke arah polis, membunuh seorang dan mencederakan 70 orang yang 
lain. Polis bertindakbalas melepaskan tembakan ke khalayak ramai mengakibatkan 
seorang pekerja mati dan ramai yang cedera. Inilah secara ringkas sejarah 
perjuangan yang dimulakan oleh golongan anarki sosialis untuk menuntut hak dan 
keadilan golongan pekerja terhadap majikan. Perjuangan ini akhirnya diabadikan 
dengan sambutan Hari Buruh.
   
  Permasalahan Buruh
   
  Sambutan Hari Buruh ini sebenarnya sangat sinonim dengan demonstrasi. Di 
negara jiran kita yang sentiasa hangat dengan acara demonstrasi, telah 
dirancang satu perarakan besar-besaran sempena sambutan Hari Buruh [Utusan 
Malaysia, 29/4/06] sebagai kesinambungan dari berbagai demonstrasi yang muncul 
di kota-kota besar Indonesia. Ini merupakan manifestasi masalah serius yang 
sedang dihadapi oleh para pekerja di sana. Demonstrasi tersebut ditujukan 
khusus memprotes pindaan undang-undang pekerja no. 13/2003 yang dikatakan 
menguntungkan majikan [Utusan Malaysia, 29/04/06]. Antara fasal draf pindaan 
yang dikatakan merugikan pekerja adalah jika mereka mogok, pekerja boleh 
didakwa di mahkamah dan jika majikan kerugian akibat mogok tersebut, cuti dan 
jaminan hari tua atau skim pencen akan ditarik. Ini hanyalah salah satu 
daripada teriakan yang dilaungkan oleh kaum buruh. Banyak lagi permasalahan 
yang mengongkong mereka. Di Australia, ratusan ribu pekerja turun mogok kerja 
membantah
 undang-undang baru pekerja pada 15 November 2005. The Australian Council of 
Trade Unions (ACTU) melaporkan seramai 210 ribu pekerja turun di jalanan 
Melbourne dan mendakwa lebih 546 ribu orang kesemuanya mengambil bahagian dalam 
demonstrasi ini di seluruh negara, menjadikannya tunjuk perasaan terbesar di 
Australia. Demonstrasi ini tetap berlaku walaupun pekerja telah diberi amaran 
oleh majikan bahawa mereka akan dikenakan denda setinggi A$20,000(US$14,600) 
jika berbuat demikian [South China Morning Post, 16/11/2005]. Di Malaysia pula, 
 antara tuntutan pekerja yang masih belum selesai adalah elaun kos sara hidup 
(COLA), imbuhan tetap khidmat awam (ITKA), imbuhan tetap perumahan, gaji 
minimum sektor awam RM1000 sebulan , gaji minimum pekerja Malaysia RM900 
sebulan, umur persaraan 60 tahun, penyalahgunaan Skim Pemisahan Secara Sukarela 
(VSS), penghadan pengambilan pekerja imigran dan lain-lain [Sumber: Presiden 
Ceupacs dan MTUC]. 
   
  Permasalahan buruh ini nampaknya semakin hari semakin meruncing di setiap 
negara di dunia ini. Pergeseran yang muncul di antara pekerja dan majikan 
nampaknya tidak pernah reda. Dengan kos kehidupan yang semakin meningkat, 
rungutan dan tuntutan makin bertambah. Apa yang dahulunya tidak terkait secara 
langsung dengan dunia pekerjaan mula dikaitkan, menjadikan permasalahan ini 
semakin rumit dan kompleks. Kita lihat sehingga kini para pekerja kerap mengadu 
upah yang rendah, menuntut hak dalam pendidikan, kesihatan, cuti, cuti 
kehamilan dan bersalin, sehinggalah kepada penyediaan kemudahan perumahan, 
kesihatan, sukan dan lain-lain. Lebih buruk lagi sekiranya masalah buruh ini 
mendapat perhatian negara Kapitalis Barat dan menjadikan isu-isu buruh ini 
sebagai sebahagian daripada alat politik luar negerinya. Sudah semestinya 
persoalan buruh ini akan dicampur dengan ramuan Hak Asasi Manusia, kebebasan 
berbicara, kebebasan berkumpul dan berpersatuan. Fenomena ini boleh dijadikan
 sebagai alat oleh negara-negara kapitalis seperti Amerika untuk menekan secara 
politik dan ekonomi negera kecil seperti Malaysia, Indonesia, Filipina dan 
Thailand.
   
  Mungkin para pekerja memandang 'Hari Buruh' ini sebagai suatu manifestasi 
terbelanya golongan pekerja. Namun hakikatnya, konflik pekerja-majikan masih 
berleluasan di seluruh dunia. Lantas, apakah sebenarnya masalah yang sedang 
berlaku dan apakah penyelesaian yang tuntas bagi permasalahan ini? Sautun 
Nahdhah kali ini ingin membongkar ilusi dan penipuan sistem kapitalisme serta 
kekejaman sistem sosialisme agar para pekerja benar-benar dapat menjadi 
cemerlang pemikirannya. SN juga akan menggariskan pandangan Islam dalam masalah 
perburuhan secara ringkas agar dapat menjadi panduan yang sebaik-baiknya dalam 
menyelesaikan masalah yang timbul. Diharap ini dapat menjadi pedoman bagi semua 
pihak termasuk majikan dan para pemimpin agar dapat menjalankan peranan mereka 
dengan betul dalam merungkai kemelut ini.
   
  Ilusi Kapitalisme
   
  Sistem Kapitalime secara tabi'i akan mengformat sistem ekonomi yang hanya 
akan menguntungkan kaum kapitalis dan menjaga kepentingan mereka. Pekerja dalam 
pandangan mereka dianggap sama seperti aset yang lain - seperti mesin yang 
menghasilkan barang atau perkhidmatan yang boleh dijual-beli. Justru itu, 
eksploitasi pekerja memanglah merupakan suatu yang wajar dalam pandangan 
mereka. Upah yang rendah, beban pekerjaan yang berat dan kedudukan 
tawar-menawar yang lemah adalah antara keadaan yang menghimpit gologngan 
pekerja. Upah paling minimum akan seboleh-bolehnya diberikan kepada pekerja 
untuk mereka mendapatkan keuntungan semaksimum mungkin. Bagi golongan kapitalis 
ini, gaji yang lebih kecil kepada pekerja adalah lebih baik kerana ini 
mengurangkan kos pengeluaran. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan 
'efficiency' bagi mereka. Upah Minimum (Minimum Wage) yang kerap mereka 
unjurkan sebagai penyelesaian masalah penggajian pada hakikatnya hanyalah 
sekadar cukup-cukup untuk
 pekerja tersebut 'hidup'. Hatta bagi seorang graduan baru (bukan upah minimum) 
pun, dengan gaji sekitar RM1800, hanyalah cukup untuk menyewa rumah, membayar 
ansuran kereta dan perbelanjaan sehariannya tanpa peluang untuk menyimpan 
secara konsisten. Manakala bagi seorang juruteknik yang menerima gaji sekitar 
RM1000 ianya sekadar cukup untuk membayar sewa bilik, ansuran motosikal dan 
perbelanjaan hariannya. Dalam menetapkan skim gaji pula, para pendokong sistem 
kapitalisme menjustifikasi skim yang 'sesuai' untuk gaya hidup sesuatu kerjaya; 
sedangkan hakikatnya, skim tersebut, bagi kebanyakan pekerja hanyalah sekadar 
'cukup makan' sahaja. 
   
  Sekiranya kita perhatikan, bagi majoriti para pekerja, kenaikan tahunan juga 
merupakan suatu ilusi. Dari segi angka, memang gaji kelihatan meningkat setiap 
tahun tetapi jika dibandingkan dengan kenaikan harga barang dan nilai sebenar 
wang yang kita perolehi akibat inflasi, pada hakikatnya nilai wang yang 
diperolehi berkurangan. Sebagai perkiraan kasar, katakanlah, gaji seorang 
kerani yang berpengalaman pada tahun lepas adalah RM1000; tahun ini gajinya 
naik RM1200 tetapi rata-rata, harga barang meningkat 30% akibat kenaikan harga 
minyak. Nilai wang gaji kita pada hakikatnya merosot sebanyak 10%, walaupun 
angkanya RM1200. Realitinya, gaji sebenar (Real Wages) kita menurun dari tahun 
lepas!! 
  Adalah juga merupakan hakikat sistem kapitalisme bahawa penganggur perlu 
wujud. Jika diperhatikan data-data kesemua negara di dunia, pasti tidak ada 
satu pun yang mempunyai 0% kadar pengangguran. Sebagai contoh, Afrika Selatan : 
31%, Tajikistan, Bosnia, Bangladesh, dan Kenya : 40%, Nepal : 47%, Zimbabwe : 
70%. Paling buruk,  Liberia dengan kadar pengangguran 85%. Ketika ini, di 
Indonesia, menurut data BPS (per Okt 2005) angka pengangguran sudah meningkat 
menjadi 11.6 juta (atau kira-kira 10.82% dari jumlah tenaga kerja). Pusat 
Penelitian Ekonomi Lembaga Pengetahuan Indonesia (LIPI) dan Institute for 
Development of Economic Finance(INDEF) menyatakan angka pengangguran yang lebih 
jauh tinggi daripada laporan kerajaan tersebut. LIPI menganggarkan angka 
pengangguran mencapai 12.151 juta manakala INDEF pula menganggarkan kira-kira 
12 juta hingga 12.151 juta orang. Jumlah ini menunjukkan pertambahan penganggur 
sebanyak 800,000 hingga sejuta orang berbanding tahun 2005. Jumlah
 penganggur dikira dari penganggur lama, 11.650 juta orang dan unjuran 
pertambahan 500,000 orang. Setiap pertumbuhan ekonomi sebanyak 1% dapat 
menyediakan pekerjaan untuk menyerap 15 juta penganggur. Dengan adanya 
pengangguran, maka akan terus ada orang yang sanggup bekerja dengan gaji yang 
amat rendah. Mereka juga menambah bahawa kenaikan harga bahan bakar (BBM) telah 
mengakibatkan jumlah penduduk miskin mencapai 47.5 juta orang!!! Kenaikan harga 
bahan bakar ini telah menimbulkan lonjakan inflasi dan menurunnya daya beli 
masyarakat. Ini adalah contoh dari Indonesia, sebuah negara yang amat kaya 
dengan bahan galian…ke manakah perginya semua kekayaan tersebut???
   
  Pakar ekonomi kapitalis mengatakan bahawa kekayaan yang ada akan dapat 
dirasai oleh setiap warga sesebuah negara melalui mekanisma yang dikenali 
sebagai 'The Trickle Down Effect' (kesan aliran ke bawah). Hakikatnya kesan ini 
tidak wujud. Apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya - kesemua kekayaan 
mengalir ke atas (bukan ke bawah). Bill Gates sebagai contoh, memiliki kekayaan 
US$52.8 billion. Dengan kekayaan ini, dia mampu membayar gaji Presiden Amerika, 
George W. Bush sebanyak US$400,000 selama 132,000 tahun!!! Kekayaannya melebihi 
bajet tahunan negara Russia. Namun begitu, di manakah kesan kekayaan Bill Gates 
ini kepada rakyat Amerika yang masih ramai menganggur, tiada berumah dan tidur 
di jalanan? 
   
  Kapitalisme sebenarnya tidak menjadikan urusan jaminan kesejahteraan 
masyarakat sebagai tanggungjawab negara. Tanggungjawab ini diletakkan di atas 
bahu pelbagai institusi lain. Hak pendidikan dan kesihatan juga dibebankan oleh 
negara kapitalis ke atas majikan. Dengan pembatasan tanggungjawab ini sesebuah 
negara kapitalis itu berfungsi hanyalah sebagai sebuah institusi politik. 
Kesejahteraan hidup buruh dibebankan kepada majikan, manakala kesejahteraan 
lapisan masyarakat yang lain dibebankan pula kepada badan-badan kebajikan 
masyarakat, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan yang bergerak dalam bidang 
sosial, pendidikan dan kesihatan. Inilah salah satu penyebab kacau bilaunya 
aturan sosial di dalam sesebuah negara kapitalis; yang akhirnya dengan mudah 
melahirkan berbagai masalah dan kegoncangan sosial dan ekonomi. Oleh itu tidak 
hairanlah, dalam sesebuah negara kapitalis itu,  kerap berlaku konflik antara 
buruh dan majikan. Buruh menuntut sedangkan majikan tidak merasakan
 bahawa itu adalah tanggungjawabnya. Pada hakikatnya kapitalisme memandang 
bahawa orang yang tidak bekerja itu adalah orang yang tidak berguna kerana 
tidak menyumbang apa-apa pun kepada sistem. Oleh itu, bagi golongan kapitalis 
tulen, mereka ini digolongkan sebagai orang yang tidak layak untuk mendapatkan 
hak; dengan kata lain mereka tidak layak untuk hidup. 
   
  Kaum Muslimin yang dimuliakan Allah, inilah sistem yang mendominasi kehidupan 
kita hari ini. Keselesaan dan kestabilan hidup yang dirasai oleh setiap 
individu yang hidup di dalam sistem ini hanyalah merupakan satu ilusi dan 
penipuan ...
   
  Kekejaman Sosialisme
   
  Dalam menangani masalah buruh ini, terdapat sebuah lagi sistem yang tidak 
kurang penting peranannya dalam merosakkan kehidupan manusia. 
Sosialisme/Komunisme muncul sebagai suatu reaksi dari penerapan sistem 
Kapitalisme. Kelahiran dua kelas dalam masyarakat - golongan borjuis(majikan) 
dan proletar (buruh) – dalam sistem Kapitalisme, merupakan mangkin 
berkembangnya pemikiran ini. Sosialisme menitikberatkan pembelaan pihak buruh 
atau golongan proletar ini. Sosialisme jugalah yang telah melontarkan konsep 
yang lebih dikenali dengan keadilan sosial. Konotasi 'adil' di dalam konsep 
keadilan sosial ini tidaklah membawa maksud Sosialisme itu benar, kerana 
hakikatnya ia juga merupakan satu sistem yang zalim. Sosialisme sebenarnya 
tidak menjamin keperluan asas (primary needs) bagi setiap individu. Mereka 
hanya cuba menyamaratakan pemilikan. Dalam satu bentuk Sosialisme sebagai 
contoh, pemilikan barang pengeluaran adalah dilarang sama sekali. Mereka 
membataskan pemilikan hanya
 kepada barangan pengguna sahaja. Oleh kerana kurangnya perhatian dalam 
menjamin penyelesaian keperluan asas, kemerosotan luar biasa tahap kehidupan 
rakyatnya terserlah. Ini berlaku di semua negara yang menerapkan sistem 
Sosialisme. Kemerosotan ini termanifestasi pada majoriti rakyatnya, sehingga 
ada rakyat yang tidak dapat memenuhi keperluan-keperluan asasnya. 
   
  Negara China yang menjadi gergasi ekonomi sekarang ini bukanlah pada 
hakikatnya disebabkan oleh perubahan dasar ekonominya tetapi adalah kerana 
ramai rakyatnya miskin, hidup melarat, menganggur dan sanggup bekerja dengan 
gaji yang amat rendah/tiada gaji. Pekerja ini hanya disediakan tempat tinggal 
kongsi dan diberi makan. Kos buruh yang sangat murah (dalam kata lain, percuma) 
inilah yang menyebabkan tiada negara yang boleh menyainginya. Kemerosotan tahap 
hidup ini juga diakui sendiri oleh Khruschev lebih dari sekali. Dia pernah 
berseloroh di hadapan Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon ketika beliau 
melawat Russia pada 1959 bahawa Russia akan hanya dapat mencapai tahap 
kehidupan Amerika dua puluh tahun yang akan datang. Ini dapat dibuktikan lagi 
dengan penghijrahan rakyat USSR ke Iraq pada tahun 1958, 1959 dan 1960 dalam 
keadaan yang teruk kelaparan dan mengharap agar mendapat sesuap makanan. Ini 
semua menunjukkan Sosialisme juga tidak dapat menyelesaikan masalah
 keperluan asas rakyatnya termasuklah masalah perburuhan. Kesamarataan yang 
diimpikannya hanya menjadikan rakyatnya miskin dan hidup merana.
   
  Keadilan Sosial
   
  Ketika  wujud jurang yang besar antara golongan kaya dan miskin, di 
tengah-tengah pertentangan antara kaum pekerja dan majikan, idea-idea 
Sosialisme seperti keadilan sosial menjadi barangan panas yang dijajakan oleh 
golongan sosialis. Dalam dunia hari ini, konsep keadilan sosial diwujudkan 
untuk mengatasi keadaan yang amat mengerikan akibat penerapan sistem 
Kapitalisme. Dengan kata lain, ia merupakan usaha untuk menampal keburukan 
sistem Kapitalisme. 
   
  Sekiranya kita telusuri konsep ini dengan mendalam dan menyeluruh, kita akan 
mendapati bahawa ianya bukanlah menjanjikan 'keadilan sosial' yang sebenarnya; 
malah, secara umumnya, ia mengekalkan kezaliman sistem kapitalisme itu sendiri. 
Sebagai contohnya, skim pencen kepada pegawai perkhidmatan awam, bonus kepada 
para pekerja, perkhidmatan kesihatan bagi yang miskin dan pendidikan percuma 
bagi kanak-kanak yang tidak mampu – semua ini, meskipun  membawa konotasi 
'adil' namun pada hakikatnya ia tetap mengekalkan kezaliman. Bagi memahami 
hakikat ini, kita perlu melihat konteks 'keadilan' secara lebih meluas - 
mengapakah hanya warga tua sahaja yang mendapat pencen dan bantuan sedangkan 
terdapat ramai yang bekerja namun tidak berkemampuan (serta patut dibantu); 
mengapa hanya pekerja sahaja yang mendapat bonus? Bagaimana dengan orang yang 
bekerja sendiri seperti penjual air, penjual goreng pisang dan yang lain-lain? 
Mengapa perkhidmatan kesihatan dan pendidikan diberikan percuma
 hanya untuk orang tidak berkemampuan sahaja, sedangkan sepatutnya perkhidmatan 
tersebut diberikan secara percuma kepada setiap individu. Semua ini menunjukkan 
bahawa keadilan sosial juga merupakan suatu kezaliman, kerana sesebuah negara 
itu bertanggungjawab memastikan seluruh rakyatnya, setiap individu, terjamin 
dalam mendapat perkhidmatan asasi seperti kesihatan, pendidikan, pengangkutan 
dan keselamatan. Tidak kira samada mereka kaya, miskin, kuat atau lemah, mereka 
semuanya berhak mendapatkannya. Sesebuah negara itu bertanggungjawab menjamin 
pemenuhan keperluan asas setiap individu rakyat, dan membantu mereka memenuhi 
keperluan tambahan mereka. Tanggungjawab umum ini adalah untuk setiap individu 
rakyat dan bukan hanya golongan tertentu sahaja.
   
  Kewujudan konsep keadilan sosial di dalam sistem Kapitalisme pada hakikatnya 
bertindak sebagai ubat bius agar manusia tidak menyedari akan keburukan sistem 
tersebut. Ia, pada hakikatnya bertujuan melanjutkan lagi jangka hayat penerapan 
sistem ini.
   
  Masalah Buruh dalam Islam
   
  Islam sebagai sebuah ideologi yang lengkap mempunyai penyelesaian tuntas bagi 
permasalahan buruh. Dalam Islam, isu-isu yang berkaitan dengan masalah buruh 
diperhatikan sebagai masalah hubungan ajir (buruh) dengan musta'jir 
(majikan).Oleh kerana ia mencakup berbagai aktiviti manusia, maka Islam 
mengatur hubungan ini dengan hukum-hukum yang berkaitan dengan aqad ijaarah 
(kontrak kerja). Jika diperhatikan, Islam pada hakikatnya mengatur kontrak 
kerja dan kerjasama antara majikan dan pekerja ini supaya bersifat saling 
menguntungkan. Islam mengatur secara jelas dan terperinci hukum-hukum berkaitan 
ijarah al-ajir (kontrak kerja). Di antara prinsip asasnya adalah: 
   
  i)                    Perkhidmatan atau produk yang dihasilkan adalah halal, 
  ii)                   Ia memenuhi syarat sahnya aqad ijarah, iaitu orang yang 
membuat transaksi mampu membezakan yang baik dan buruk; 
  iii)                 Wajib mendapat keredhaan kedua-dua pihak, tiada unsur 
paksaan.
  iv)                 Ia mempunyai perincian yang jelas berkaitan bentuk, jenis 
pekerjaan, masa bekerja, upah dan tenaga yang dicurahkan ketika bekerja.
   
  Ijaarah ertinya adalah 'transaksi atas khidmat atau manfaat (yang dikeluarkan 
oleh pekerja) untuk  memperolehi imbalan berbentuk upah/gaji'. Yang menjadi 
dasar hubungan antara majikan dan pekerja sebenarnya adalah manfaat/khidmat 
yang dikeluarkan oleh pekerja. Atas khidmat/usaha/manfaat inilah pekerja 
mendapat upah. Berdasarkan perkara ini, upah/gaji berbeza mengikut jenis 
manfaat/khidmat yang diberikan. Bahkan untuk jenis manfaat/khidmat yang sama 
juga, upah yang diperolehi boleh berbeza-beza kerana pengaruh latar belakang 
pendidikan, pengalaman bekerja, keterampilan dan lain-lain. Oleh itu, upah/gaji 
seorang pekerja itu ditentukan oleh kedua belah pihak, iaitu pekerja dan 
majikan mengikut kesepakatan. Negara yang menjalankan hukum Islam dalam masalah 
buruh ini tidak campurtangan dalam menentukan saiz upah/gaji atau mengkelaskan 
jenis manfaat/perkhidmatan yang dikeluarkan. Namun, negara tersebut wajib 
memastikan semua kontrak kerja dilakukan berasaskan kepada prinsip
 asas aqad ijaarah di atas. Jika berlaku perselisihan antara majikan dan 
pekerja, negara boleh campurtangan bagi mencegah berlakunya kezaliman di antara 
kedua-dua pihak. Kerajaan ini juga boleh membentuk satu badan khas yang 
menangani urusan akad kontrak kerja tersebut.
   
  Dalam Islam, perkara-perkara seperti perkhidmatan kesihatan, jaminan hari 
tua, wang gantirugi, penghargaan, pampasan kemalangan semasa kerja, rekreasi, 
perumahan dan sebagainya bukanlah tanggungjawab majikan. Kewajiban majikan 
hanyalah membayar upah/gaji tepat pada waktu yang telah dijanjikan dengan 
jumlah upah yang sesuai dengan kesepakatan yang telah dibuat oleh kedua-dua 
pihak. Begitu juga hak politik kaum buruh, ia tidaklah termasuk dalam urusan 
perburuhan, tetapi menjadi hak setiap individu rakyat. Justru itu, bukan hanya 
golongan buruh sahaja yang berhak bersuara, bersyarikat, berkumpul, 
mengeluarkan pendapat dan berpersatuan; majikan juga berhak melakukan perkara 
yang sama. Seluruh lapisan masyarakat sebenarnya berhak melakukan kesemua 
aktiviti yang disebutkan tadi. Pengaturan sistem Islam dalam urusan perburuhan 
berpihak kepada kedua-dua belah pihak, pekerja mahupun majikan. 
   
  Kesemua perkara yang berkaitan kesejahteraan buruh, hak pendidikan, 
perkhidmatan kesihatan, jaminan hari tua dan lain-lain adalah merupakan 
kewajiban dan tanggungjawab negara. Negara dalam pandangan Islam wajib 
bertanggungjawab ke atas setiap individu rakyatnya, bukan sahaja terhadap para 
pekerja. Negara wajib melindungi dan memelihara kepentingan serta memenuhi 
keperluan semua lapisan masyarakat, samada pekerja, majikan, kaum lemah mahupun 
kuat, berada atau miskin, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang tua 
yang tenat. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam pernah bersabda yang 
bermaksud: 
   
  "Imam (Khalifah/pemimpin) itu laksana pengembala, dimana dia bertanggungjawab 
ke atas setiap rakyatnya."   [H.R. Bukhari]
   
  Di sinilah letaknya keadilan Islam; hukum-hukumnya tidak hanya berpihak 
kepada golongan lemah dan miskin atau hanya kaum buruh, tetapi juga terhadap 
golongan majikan, yang kaya dan yang mampu. Semua lapisan masyarakat 
memperolehi jaminan keamanan, kesejahteraan dan keadilan. Kesemuanya 
diperlakukan dan dilayan sama di hadapan hukum Allah. Implikasi yang akan 
diperhatikan sekiranya sistem Islam dilaksanakan terhadap dunia perburuhan 
sudah pasti akan jelas berbeza dari keadaan yang kita lihat sekarang. Para 
buruh dan majikan kedua-duanya mempunyai posisi tawar menawar yang sama dalam 
membuat transaksi kontrak kerja. Amalan diskriminasi Kapitalisme dalam 
masyarakat, terutamanya kepada pihak yang lemah akan terhapus.  Tiada lagi 
sikap 'lepas tangan' pemerintah yang biasa diperhatikan di negara-negara 
kapitalis dalam menjamin keperluan rakyatnya. Tiada lagi  isu 'terpaksa rela' 
dalam bekerja akibat tekanan kehidupan yang amat sangat. Tiada lagi kezaliman 
ke atas golongan
 pekerja.
   
  Wahai kaum Muslimin yang mulia! 
   
  Kebanyakan masalah dunia yang menjerat manusia hari ini, termasuk masalah 
yang dihadapi oleh golongan pekerja, muncul akibat dari penerapan sistem 
Kapitalisme yang cenderung mewujudkan kezaliman dan ketidakadilan. Kemelut 
permasalahan kaum buruh jelas merupakan manifestasi kerosakan yang dibawa oleh 
sistem ini. Akibatnya kaum buruh bertungkus lumus berjuang untuk mendapatkan 
hak-hak mereka yang banyak dirampas oleh golongan majikan kapitalis. Wahai kaum 
buruh, sesungguhnya segala yang ingin kalian capai terdapat di dalam sistem 
Islam. 
   
  Bukankah keadilan dan kesejahteraan yang ingin dicapai oleh kaum buruh? 
Bukankah ketenangan dan kesenangan yang ingin dikecapi? Lantas mengapakah 
sistem Kapitalisme, sistem yang menyebabkan pelbagai ketidakadilan ke atas kaum 
buruh ini, terus diharapkan untuk menyelesaikan kemelut yang dimunculkannya 
sendiri? 
   
  "Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki? Siapakah yang lebih baik 
hukumnya daripada Allah, bagi orang-orang yang yakin?" [TMQ Al-Maidah 50]
   
  Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyediakan bagi umat manusia sebuah sistem 
yang pasti akan membawa rahmat kepada mereka. Sistem yang secara intrinsik 
memanifestasikan keadilan dan jaminan kesejahteraan – Al-Islam yang 
menghidangkan kebaikan di dunia dan di akhirat.
   
  Justeru itu, kembalilah kepada Islam, wahai umat yang diredhai Allah. 
Kembalilah kepada Islam secara menyeluruh dengan menerapkan setiap aspek hukum 
di dalamnya; ekonomi, sosial, politik dan yang lainnya. Bagi seluruh umat 
Islam, termasuk kaum buruh, yang sewajarnya diserukan adalah mengembalikan 
kehidupan Islam yang telah lama hilang dengan menegakkan Daulah Khilafah 
Islamiyyah. Seruan da'wah ini hendaklah di dalam bentuk yang telah digariskan 
oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam – seruan intelektual tanpa 
tindakan fizikal. Semoga Allah menyegerakan kemenangan bagi mereka yang ikhlas 
menyerukan kepada yang diredhaiNya.
   
  Wallahua'lam

                        
---------------------------------
Yahoo! Mail goes everywhere you do.  Get it on your phone.

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
You can search right from your browser? It¿s easy and it¿s free.  See how.
http://us.click.yahoo.com/_7bhrC/NGxNAA/yQLSAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke