----- Original Message -----
From: Latifah Abdul Wahab
Suami tidak boleh lari daripada membayar nafkahOleh Hidayah Mohammad dan
Norfaiza Ismail
Peruntukan undang-undang sedia ada memastikan hak wanita dan anak dilindungi
PERIT rasanya apabila ketiadaan suami. Semua tugasan perlu diselesaikan sendiri
termasuk mencari sesuap nasi bagi mengalas perut si kecil di rumah. Lebih-lebih
lagi, jika bekas suami tidak bertanggung jawab dan enggan membayar nafkah
meskipun mahkamah sudah pun menetapkan jumlah yang perlu dibayar.
Sekurang-kurangnya, dengan nafkah berkenaan keperluan si kecil dapat disediakan.
Bagaimanapun, sering kali juga bekas suami lepas tangan enggan membayar nafkah
yang ditetapkan. Lebih malang, jika isteri yang kurang arif undang-undang
sekadar berdiam diri kerana tidak tahu ke mana harus mengadu.
Justeru, keputusan mahkamah baru-baru ini untuk mengeluarkan perintah komital
dengan mengenakan hukuman penjara terhadap seorang peniaga yang tidak membayar
nafkah anak kepada bekas isterinya sejak tujuh tahun lalu, perlu dijadikan
iktibar. (Berita Harian, ms 1, 17 Mei).
Bagi mengelak daripada di penjara, peniaga berkenaan terus melunaskan
sebahagian daripada nafkah yang tertunggak berjumlah RM21,000 kepada bekas
isterinya. Pastinya perintah berkenan menjadi pengajaran kepada si suami dan
juga suami lain yang tidak menunaikan tanggungjawab kepada anak.
Peguam bela dan peguam cara, Nisah Haron, berkata Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam bukan saja memberi kelebihan kepada bekas isteri untuk membuat
tuntutan memohon perintah nafkah tertunggak dan nafkah semasa, bahkan isteri
juga boleh melakukan perkara sama sekiranya suami cuai serta abai daripada
menjalankan tanggungjawabnya.
Undang-undang ini bukan baru kerana sudah termaktub dalam Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam kebanyakan negeri. Cuma mungkin ramai yang tidak
tahu kewujudannya menyebabkan ada wanita merasakan teraniaya apabila bekas
suami tidak membayar nafkah, lebih-lebih lagi apabila tidak tahu ke mana hendak
dituju.
Pada masa sama, ada peruntukan untuk wanita yang masih dalam perkahwinan untuk
membuat tuntutan perintah nafkah ini sekiranya suami tidak menjalankan tanggung
jawabnya. Ini penting kerana ramai wanita hari ini yang menganggap tuntutan
perintah nafkah hanya untuk wanita yang sudah bercerai, katanya ketika
dihubungi, baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, isteri yang menuntut nafkah adalah hanya untuk
keperluan peribadinya tidak termasuk membeli barang perkakas dan keperluan
rumah. Tuntutan nafkah itu mestilah bergantung kepada keperluan isteri dan juga
anak, selain kemampuan suami itu sendiri.
Tuntutan nafkah membabitkan perceraian untuk bekas isteri ialah nafkah edah dan
nafkah mutaah, manakala nafkah anak berterusan sehingga mereka boleh berdikari,
iaitu berkahwin bagi anak perempuan dan mampu menanggung diri sendiri bagi anak
lelaki. Malah, berdasarkan peruntukan itu bapa juga perlu membiayai pengajian
anak daripada bekas isterinya termasuk di institusi pengajian tinggi.
Ketika perbicaraan dijalankan, mahkamah akan merekodkan kata persetujuan
antara suami dan isteri/bekas isteri untuk membayar serta menerima sejumlah
nafkah itu. Contohnya isteri menuntut RM500 nafkah anak setiap bulan daripada
suaminya. Ini bergantung kepada jumlah anak dan juga peringkat umur anak,
selain kemampuan suami.
Bagaimanapun jika tidak mendapat kata persetujuan yang sama, mahkamah akan
menjatuhkan berapa banyak nilai untuk dibayar suami kepada isteri/bekas
isterinya. Proses itu dikenali sebagai mendapatkan perintah, katanya.
Beliau berkata, sekiranya suami mengingkari perintah mahkamah yang mengarahkan
membayar nafkah berkenaan mengikut tempoh waktu dan nilai yang ditetapkan,
tindakan boleh diambil isteri atau bekas isteri untuk memohon pelaksanaan
perintah.
Apabila ini berlaku, maka mahkamah akan memanggil suami untuk perbicaraan bagi
mendapatkan penyelesaian. Proses itu pula dipanggil sebagai penguatkuasaan
perintah. Dalam peringkat itu, suami perlu memberi alasan yang munasabah dan
kukuh mengapa tidak dapat menjelaskan nafkah berkenaan.
Mahkamah akan membuat pertimbangan dan menilai semula huraian terbabit dan
memberi peluang kepada suami/bekas suami menunaikan tanggung jawabnya, tetapi
nafkah itu tetap harus dibayar dan ia semakin berganda mengikut setiap bulan.
Bagi suami yang bekerja dengan kerajaan, mahkamah boleh menetapkan pembayaran
dibuat melalui potongan gaji dan terus membayar melalui akaun bank isteri.
Tetapi masalah akan timbul dan sukar untuk membuat tuntutan daripada suami,
sekiranya suami itu bekerja di bawah naungan swasta. Dalam hubungan ini, jika
majikan ingkar mahkamah juga boleh mengambil tindakan terhadap majikan
berkenaan.
Jika proses penguatkuasaan perintah itu masih tidak dipatuhi, isteri atau
bekas isteri boleh memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah komital kerana
menghina mahkamah. Apabila disabitkan bersalah, si suami boleh dikenakan
tindakan termasuk dipenjarakan mengikut budi bicara hakim, katanya
Nisah berkata, walaupun dipenjarakan jumlah nafkah tetap bertambah setiap bulan
dan suami perlu membayar jumlah yang tertunggak itu.
FAKTA
MEKANISMA MEMBUAT TUNTUTAN NAFKAH:
* Failkan tuntutan nafkah di mana-mana mahkamah yang ada bidang kuasa yang
betul.
* jika isteri tiada peguam, mahkamah akan uruskan dengan menggunakan Biro
Bantuan Guaman.
* Sertakan maklumat mengenai suami seperti alamat tempat tinggal dan tempat
kerja dengan betul dan lengkap.
* Kemudian, suami akan menerima satu salinan dan juga borang dari mahkamah
mengenai tuntutan yang dibuat isterinya. Berdasarkan borang yang diberi itu,
suami perlu mengisi borang jawapan dengan memberikan alasan mengapa isteri
tidak boleh dibayar dan mengapa diabaikan dan tanggungan dan sebagainya.
* Suami akan mendapat surat tarikh untuk perjumpaan di mahkamah bersama isteri
untuk urusan lanjut
* Datang pada tarikh ditetapkan, kemudian jumpa pegawai pendaftar. Keputusan
akan ditanya sama ada setuju ataupun tidak untuk membayar nafkah kepada isteri.
* Jika SETUJU- mesti akur untuk membayar dalam tempoh yang ditetapkan.
* Jika TIDAK SETUJU atau tidak mampu - mahkamah akan menilai kes itu dan suami
perlu menjawab beberapa alasan membabitkan jumlah yang sanggup bayar, komitmen
atau tanggungan lain secara bertulis.
* Suami akan mendapat tarikh untuk perbicaraan di mahkamah.
* Perbicaraan dan keputusan dari mahkamah.
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Keluarga/20060526084339/Article/
---------------------------------
Sneak preview the all-new Yahoo.com. It's not radically different. Just
radically better.
[Non-text portions of this message have been removed]
------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~-->
Something is new at Yahoo! Groups. Check out the enhanced email design.
http://us.click.yahoo.com/jDk17A/gOaOAA/i1hLAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~->
///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di:
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/islah-net/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/