UMAT ISLAM BANTAH FORUM ARTIKEL 11
DI JOHOR BAHRU


Johor Bahru, 21 Julai 2005  -  Umat Islam di Malaysia sekali lagi bangkit bagi 
membantah satu program forum yang dianjurkan oleh apa yang disebut sebagai 
Gabungan Artikel 11 kononnya untuk membincangkan hak-hak warganegara, 
terutamanya hak beragama, di Johor Bahru pada pagi Sabtu ini. Seramai lebih 
kurang 400 orang Islam telah turun menyertai suatu tunjuk perasaan aman bagi 
menyatakan bantahan tersebut di bandaraya di selatan Semenanjung tersebut.

Forum yang bertajuk "Federal Constitution: Protection for All" tersebut 
merupakan cuma satu daripada rentetan program yang cuba dijalankan di seluruh 
negara yang dianjurkan oleh gabungan 13 badan bukan kerajaan tersebut. Forum 
sebelum ini di Pulau Pinang telah digagalkan apabila umat Islam di sana 
mengadakan tunjuk perasaan menyatakan bantahan keras mereka terhadapnya, dan 
pihak penganjur kali ini telah mengambil langkah-langkah tertentu untuk 
memastikan supaya peristiwa di Pulau Pinang tidak berulang, termasuk mengadakan 
program ini di sebuah hotel yang betul-betul berdepanan dengan Ibu Pejabat 
Polis Kontinjen Johor.



Walaupun secara zahirnya forum tersebut seolah-olah suatu program yang biasa 
bagi membincangkan hak rakyat di bawah Perlembagaan Malaysia, beberapa siri 
tuntutan dan peristiwa yang berlaku di tanah air lewat-lewat ini yang 
melibatkan pihak-pihak yang menganjurnya, termasuk penjuaraan isu murtad Lina 
Joy, kes Muhammad Abdullah @ Moorthy dan isu Inter-Faith Commission, telah 
menjadikan umat Islam begitu curiga terhadap motif ianya diadakan. Rata-rata 
umat Islam memandang tindakan menganjur forum ini sebagai sebahagian suatu 
usaha terancang dan agresif bagi menghakis status dan kedudukan Islam di bawah 
Perlembagaan dan Undang-undang negara, dan menjadikan Malaysia sebuah negara 
sekular tulen yang mengenepikan agama daripada pemerintahan. Dalam suatu 
suasana yang cukup unik dalam politik negara, pendirian umat Islam kali ini 
adalah cukup padu, dengan bantahan tersebut disuarakan daripada semua spektrum 
masyarakat Islam, termasuk mereka daripada kedua-kedua belah pembahagian 
politik iaitu pembangkang dan kerajaan, dan juga daripada aktivis-aktivis dan 
badan-badan bukan kerajaan.

Orang ramai kelihatan sudah mula datang awal-awal pagi lagi lalu bertemu dalam 
kumpulan-kumpulan kecil di tepi jalan dan di warung-warung berdekatan. Pada 
masa yang sama pihak polis juga, baik beruniform maupun yang berpakaian preman, 
sudah menempatkan diri di sepanjang jalan. Pada kira-kira jam 8:45 pagi kesemua 
yang turun untuk berdemo berhimpun di kawasan tempat meletak kereta Hotel New 
York yang terletak kira-kira 300 meter dari Hotel Selesa tempat forum berkenaan 
dijadualkan diadakan. Pesuruhjaya PAS Negeri Johor Dato' Dr Mahfudz, mewakili 
kumpulan utama penganjur, telah memberi ucapan ringkas kepada khalayak ramai. 
Seterusnya kira-kira jam 9:00 pagi kesemua para demostran, termasuk wanita dan 
anak-anak, mula berarak membawa sepanduk dan poster yang disediakan penganjur, 
bergerak secara teratur menuju ke arah Hotel Selesa sambil meneriakkan 
slogan-slogan.








Di Hotel Selesa, pihak pasukan polis telah bersedia mengambil tempat dan 
menyekat para demonstran masuk ke dalam bangunan, menyebabkan mereka berhimpun 
sahaja di depan pintu masuk utama hotel sambil melambai-lambaikan poster dan 
melaungkan slogan termasuk menuntut program yang dijalankan di tingkat 10 hotel 
dihentikan dan mengecam Inter-Faith Commission (IFC). Seterusnya beberapa orang 
daripada pihak penganjur dan wakil-wakil demonstran yang datang daripada 
seluruh negara telah memberikan ucapan di situ.

Di seberang jalan kelihatan juga sekumpulan ahli-ahli UMNO dari Bahagian Johor 
Bahru turut memberikan sokongan terhadap demonstrasi tersebut dengan memasang 
bendera parti tersebut serta poster membantah forum itu.

Kira-kira jam 9:30 pagi pihak polis memberi notis bahawa perhimpunan itu adalah 
perhimpunan haram tanpa permit dan meminta semua demonstran supaya bersurai. 
Sepasukan dalam belasan orang anggota FRU dipanggil masuk untuk mengawal 
keadaan, tetapi tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Secara amnya 
keaadan di situ agak terkawal, ceria dan tenang, dengan para demonstran 
bergilir-gilir melaungkan slogan, menyanyi dan mendengar ucapan, dan terus 
tidak beranjak dari tempat mereka.



Kira-kira jam 11:00 pagi Dato' Dr Mahfudz dan sdr Mazlan Aliman telah 
dibenarkan masuk oleh polis untuk berjumpa dengan pihak penganjur forum. 
Seterusnya setelah berbincang dengan polis pihak penganjur bersetuju untuk 
memberhentikan program mereka pada kira-kira jam 11:30 pagi, lebih awal 
daripada yang direncanakan, setelah kesemua empat orang penceramah selesai 
memberikan ucapan mereka dalam forum tersebut dan sesi soal-jawab diadakan 
seketika. Para peserta forum telah diiring keluar oleh polis melalui pintu tepi 
hotel, namun sebenarnya keselamatan mereka tidak pernah terancam.

Sebelum tengah hari tunjuk perasaan tersebut bubar dan suasana di sekitar 
kawasan Hotel Selesa tersebut kembali seperti biasa. Secara amnya dapat 
dirasakan bahawa semua pihak merasa puas dengan kesudahan apa yang berlaku pada 
hari tersebut. Para penganjur forum gembira program mereka berjalan hingga ke 
pembentangan terakhir. Menurut sumber yang dipercayai cuma sekitar 70 orang 
sahaja yang menyertai forum tersebut, tidak termasuk wartawan. Bagi penganjur 
demonstrasi, mereka 'berjaya' menghentikan program itu lebih awal daripada 
direncanakan.

Begitu juga, ramai yang menyatakan kepuasan mereka terhadap sikap yang 
ditunjukkan oleh pihak polis yang mengawal keadaan dengan baik. Menurut seorang 
pegawai polis yang ditemui seramai sejumlah 400 orang anggota polis dari 
pelbagai unit telah dikerahkan untuk pagi tersebut. Lebih penting lagi ialah 
sikap para demonstran yang menunjukkan disiplin yang baik. Sepanjang pagi 
tersebut tidak pernah ada sebarang suasana yang mencemaskan, malah segalanya 
berlangsung dengan ceria.

- Agensi Nusantara
  ----------

No virus found in this outgoing message.
Checked by AVG Free Edition.
Version: 7.1.394 / Virus Database: 268.10.3/395 - Release Date: 21/07/2006


[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Yahoo! Groups gets a make over. See the new email design.
http://us.click.yahoo.com/XISQkA/lOaOAA/yQLSAA/wpWolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

///// MEDIA JIM: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: 
http://www.jim.org.my/forms/borang_keahlian.htm

Langganan : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED]
Unsub     : Hantar E-mail kosong ke  
            [EMAIL PROTECTED] 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke