|
|
|
Kes Wanita Mati Kena Letup - Sesuatu yang Mensangsikan ... |
|
Assalamu'alaikum
& Salam Sejahtera, Saya membaca Utusan Online pagi ini, dan mengikuti perkembangan mengenai kes wanita yang mati kena letup di Puncak Alam Shah Alam. Berita penuh saya sertakan di bawah. Saya highlight (dalam fon biru) sebahagian berita yang kurang menyenangkan, dan mensangsikan ke mana halatuju penyiasatan mengenai kes ini. Beberapa persoalan bermain di dalam benak fikiran saya: 1. Dengan ujian DNA, setelah mengenalpasti mangsa kena letup adalah Altantuya @ Aminah Abdullah, adakah ujian DNA untuk mengenalpasti bapa kepada anak mangsa tidak akan dibuat atau diteruskan sama sekali? Oleh kerana seluruh dunia telah pun mengetahui hubungan intim antara salah seorang yang disyaki dengan mangsa, pembuktian sebegini adalah satu yang wajib dilaksanakan bagi mengaitkan dengan salah satu motif pembunuhan; 2. Apabila anak mangsa yang berusia 16 bulan tidak di bawa bersama ke sini, seolah-olahnya pembuktian melalui ujian DNA akan siapakah bapa kepada anak tersebut, memang tidak akan dibuat. Mengapa? Saya bimbang, dengan ditiadakan pembuktian ini, pelbagai cerita lain atau motif lain, samada betul atau tidak, boleh diadakan dan ditiadakan; 3. Profil DNA lain yang ditemui ditempat kejadian juga akan dianalisakan. Saya tidak ada masalah dalam hal ini kerana itulah sepatutnya yang dilakukan. Tetapi, kawasan Puncak Alam adalah kawasan "peranginan" yang akan ada orang kunjungi atas pelbagai sebab. Ini telah "ring my mind" akan satu kes bunuh yang lain - Noritta Samsudin. Dalam kes ini, ujian DNA ke atas kesan-kesan air mani dari "beberapa orang lelaki" lain yang dikesan, TIDAK juga menyebabkan kes ini dapat diselesaikan (dan pembunuh dihukum dengan adil) sehingga sekarang! Inilah yang menjadi kesangsian ....dan membimbangkan ...akan kemana kes ini akan pergi. Di Malaysia Boleh ini, perkara logik dan perkara tidak logik, kedua-duanya kita kena ikuti betul-betul. Pejuang Hak Asasi Manusia kena ikuti perkara ini betul-betul, agar keadilan benar-benar tertegak terhadap mereka yang teraniaya. Wanita yang mati dipercaya kena bunuh kemudian kena letup adalah orang yang teraniaya. Anak kecil 16 bulan yang berkemungkinan ibu beliau adalah wanita kena letup itu, lagilah teraniaya. Wassalam Jamali
--------------MULA 6 jalani ujian DNA -- Termasuk bapa mangsa bagi bantu siasatan kes bunuh AltantuyaOleh: RUHAIDINI ABD KADIR dan SOPI SAMAILE KUALA LUMPUR 10 Nov. – Sampel darah daripada enam orang diambil hari ini untuk membantu siasatan kes pembunuhan kejam Altantuya @ Aminah Abdullah, 28, model Mongolia yang dipercayai mati ditembak sebelum mayatnya diletupkan di Empangan Tasik Subang, Puncak Alam, Shah Alam, Selangor lebih dua minggu lalu. Antara mereka yang menjalani ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA) itu ialah bapa mangsa, Shaariibuu Mash-Muj, 50-an, ibunya, Altantsetseg, 50-an, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda, 46, seorang anggota polis berpangkat cif inspektor, seorang lans koperal wanita dan seorang konstabel lelaki. Sumber polis memberitahu Utusan Malaysia, sampel darah keluarga mangsa itu diambil untuk mengesahkan kesahihan identiti cebisan mayat yang dikutip oleh unit forensik di Empangan Tasik Subang beberapa hari lalu. Polis mahu memastikan cebisan mayat itu benar-benar adalah Altantuya. “Siasatan kes pada waktu ini menjurus kepada kehilangan Altantuya dan tertumpu kepada cebisan daging, rambut dan tulang-tulang yang dikutip di Empangan Tasik Subang. “Pada peringkat ini, polis mahu memastikan sama ada cebisan daging, rambut dan tulang-tulang itu adalah milik Altantuya. Sebab itu polis minta bapa mangsa datang dari Mongolia,” kata sumber itu ketika dihubungi sini hari ini. Beliau menegaskan, pihak polis tidak akan melakukan ujian DNA untuk menentukan siapa bapa kepada anak mangsa. “Unit forensik cuba memadankan sampel DNA untuk mengetahui identiti mangsa dan bukan menentukan siapa bapa kepada anak mangsa,” katanya sambil menambah bahawa anak mangsa, Altanshagai, yang berusia 16 bulan tidak dibawa ke negara ini. Ditanya mengapa sampel darah orang selain keluarga mangsa turut diambil, sumber itu memberitahu, selain DNA mangsa, unit forensik turut menemui beberapa profil DNA berlainan di tempat kejadian. “Ada kebarangkalian beberapa profil DNA yang ditemui di tempat kejadian itu sama dengan profil sampel darah mereka yang ditahan untuk membantu siasatan,” ujarnya. Pada Selasa lalu, polis menemui mayat yang dipercayai seorang model dari Mongolia, Altantuya Shaariibuu, dalam keadaan berkecai di tepi Empangan Tasik Subang. Cebisan tulang dan daging mangsa yang dipercayai dibunuh dua minggu lalu dikatakan berselerak di tepi empangan itu akibat diletupkan dengan bahan peledak. Mangsa yang tiba di negara ini pada 8 Oktober lalu dilaporkan hilang oleh rakan karibnya, Namiraa Gerelmaa, 22, di Balai Polis Jalan Travers pada 20 Oktober lalu. Bapa Altantuya, Shaariibuu MashMuj, tiba di ibu negara bersama bapa saudara mangsa malam tadi. Pada pukul 8 pagi ini mereka dibawa menjalani ujian DNA di Hospital Kuala Lumpur. Bapa mangsa turut membawa sampel darah ibu mangsa, Altantsetseg yang diambil oleh pihak berkuasa kesihatan Mongolia. Perkara itu disahkan oleh Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi kepada Utusan Malaysia. Selepas beberapa jam menjalani ujian DNA di HKL, Shaariibuu yang ditemani Syed Abdul Rahman berhasrat untuk melihat cebisan mayat anaknya yang berada di bilik mayat HKL. Dia yang menaiki kereta Mercedes berwarna hitam dengan nombor pendaftaran satu digit dilihat berada di tempat duduk belakang kereta itu bersama Syed Abdul Rahman. Mereka tiba di hadapan bilik mayat hospital berkenaan pada pukul 1.30 tengah hari. Bagaimanapun, hasrat Shaariibuu untuk melihat sendiri cebisan rambut, daging dan tulang anaknya tidak kesampaian apabila beliau menukar fikiran selepas melihat terlalu ramai wartawan dan jurugambar berkerumun di depan bilik mayat HKL. Kereta itu diserbu oleh jurugambar yang ingin merakamkan gambar ayah Altantuya, tetapi pemandunya berpatah balik lalu keluar dari pekarangan bilik mayat. Sementara itu, Abdul Razak tiba di wad kecemasan HKL pada pukul 11.55 pagi ini bersama tiga tahanan reman lain menggunakan dua buah kenderaan yang diiringi sebuah kereta peronda. Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC) itu memakai kemeja lengan panjang warna merah jambu dan berseluar hitam sama seperti yang dipakainya semalam. Beliau yang bergari kelihatan tidak terurus, tidak bermaya dan dikawal rapi oleh beberapa anggota polis yang bersenjata. Selepas dua jam menjalani ujian DNA, kesemua mereka dibawa keluar oleh polis melalui pintu belakang unit trauma hospital itu pada pukul 1.45 petang bagi mengelak dikesan wartawan dan jurugambar yang menunggu sejak awal pagi. ------------TAMATMobile: 016-6655331
Yahoo! & Skype ID:
ajamalis |
///// JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat
//////////////////////////////////
Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.
Berminat menjadi ahli JIM? Sila isi borang keahlian "online" di: http://www.jim.org.my/, dari seksyen "BORANG Online".
Langganan : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Unsub : Hantar E-mail kosong ke
[EMAIL PROTECTED]
Change settings via the Web (Yahoo! ID required)
Change settings via email: Switch delivery to Daily Digest | Switch to Fully Featured
Visit Your Group | Yahoo! Groups Terms of Use | Unsubscribe
__,_._,___


