WUJUDKAH HIDUPAN DI KOSMOS?
Antara persoalan yang menghantui para saintis pada hari ini ialah tentang sama ada wujudnya hidupan di angkasa raya ataupun tidak. Hingga ke hari ini kajian dan penyelidikan tentangnya masih lagi berterusan tanpa sebarang kepastian. Mengikut Agensi Angkasa Lepas Eropah atau European Space Agency (ESA), bermula abad ke-21 ini negara-negara di Eropah mempergiatkan lagi usaha untuk mencari tanda-tanda hidupan di luar bumi, terutamanya di sistem suria. Untuk mencapai tujuan ini kapal-kapal angkasa bernama Rosetta dan Mars Express dilancarkan. Hal ini dilaporkan di http://sci2.esa.int/specialevents/lifeinuniverse/index.html di bawah tajuk Europe Joins The Search For Life Elsewhere In The Universe. Umat Islam amat bertuah kerana lebih daripada 1,400 tahun dahulu al-Quran telah memberi jawapan kepada persoalan ini. Dalam surah as-Syura ayat 29 Allah berfirman, "Dan antara tanda (kekuasaan Allah) ialah penciptaan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata (daabbah) yang bertebaran pada kedua-duanya. Dia Maha Berkuasa mengumpulkan semuanya apabila dikehendakinya." Ayat ini menunjukkan terdapat 'makhluk-makhluk yang melata' di langit dan di bumi. 'Makhluk-makhluk yang melata' ini Allah istilahkan sebagai daabbah dalam al-Quran. Mengikut Hans Wehr: A Dictionary of Modern Written Arabic, kalimat daabbah bermaksud 'haiwan.' Hamka, dalam Tafsir al-Azhar, mentafsirkan daabbah sebagai 'segala yang hidup, merangkak, merayap dan berjalan dengan kaki'. Bagi Hamka ayat ini menunjukkan wujudnya hidupan di luar bumi. Beliau berkata, "Binatang yang melata bukan wujud di bumi sahaja, tetapi ia juga wujud di langit. Tegasnya (ia wujud) di bintang-bintang lain." Said Hawa pula, dalam al-Asas fit Tafsir, mempunyai dua pandangan berhubung ayat ini. Pertamanya beliau tidak menafikan ayat ini mungkin mengisyaratkan tentang wujudnya hidupan di kosmos. Walau bagaimanapun ayat ini boleh juga membawa maksud bahawa di bumi sudah ada hidupannya dalam bentuk manusia, jin dan pelbagai jenis haiwan, dan di langit juga sudah ada hidupannya dalam bentuk para malaikat. Kesemuanya telah pun bertebaran di langit dan bumi mengikut ketetapan Ilahi. Pendapat yang kedua ini adalah selari dengan tafsiran yang dibuat oleh Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim. Namun, secara dasarnya, berpandukan ayat ini, Islam tidak menolak kemungkinan wujudnya hidupan di luar bumi sama ada di sistem suria ataupun kosmos secara umumnya. Dalam BBC News bertarikh 19 Februari 2006, di bawah tajuk Top Stars Picked In Alien Search, Paul Rincon melaporkan, pakar astronomi, Margaret Turnbull, daripada Carnegie Institution di Washington, Amerika, mengenal pasti lima bintang yang mungkin mengandungi hidupan di atasnya. Kelima-lima bintang itu ialah Beta CVn (di gugusan Canes Venatici), HD 10307, HD 211 415, 18 Sco (di gugusan Scorpio) dan 51 Pegasus..... (DARIPADA BUKU KE-11 DR. DANIAL ZAINAL ABIDIN BERTAJUK QURAN SAINTIFIK: MENEROKA KECEMERLANGAN ISLAM DARIPADA TEROPONG SAINS". TESTIMONIAL OLEH SS DATO' SERI (DR) HJ HARUSSANI, SS DR. ASRI, PROF MADYA DR MOHD HATTA SHAHROM DAN DR TENGKU ASMADI......... SILA LIHAT DI http://www.pts.com.my/modules.php?name=Katalog_Buku_v2&op=ViewBookDetails&bid=619http://www.pts.com.my/modules.php?name=Katalog_Buku_v2&op=ViewBookDetails&bid=619 ** Dapatkan Segera Di Booth Kumpulan PTS (booth 3148 hingga 3153), bersempena Pesta Buku Antarabangsa KL, PWTC, KL, 27 April - 6 Mei 2007. Jumpa Dr Danial di sana pada 1 Mei 2007, jam 1.00-2.00 petang.

