KENYATAAN AKHBAR Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengalu-alukan keputusan kes Lina Joy yang diumumkan pada hari ini oleh Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.
Keputusan tersebut memberi pengiktirafan kepada kredibiliti Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Islam. Mahkamah Sivil yang tertinggi di Negara (Mahkamah Persekutuan) telah memutuskan bahawa penentuan berhubung dengan agama Islam hendaklah dibuat oleh Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil. Keputusan ini telah menunjukkan bahawa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain (complementing each others) dan tidak bersaing antara satu sama lain (competing with each others). Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah masing-masing mempunyai bidangkuasanya tersendiri mengikut undang-undang dan mereka tidak boleh saling menggugat antara satu sama lain. Keadaan unik ini hendaklah di pelihara oleh setiap masyarakat yang cintakan keamanan di Malaysia. Keputusan ini telah mengelakkan keadaan kucar-kacir masyarakat khususnya tatkala pihak berkuasa agama ingin melaksanakan undang-undang Islam sebagaimana yang telah diperuntukkan kepada mereka. Adalah diharapkan bahawa keputusan ini akan dapat menyelesaikan kemelut yang sering melanda masyarakat Malaysia dan segala persoalan berhubung dengan kedudukan mahkamah syariah dan agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan telah dimuktamadkan. PGSM menggesa seluruh rakyat Malaysia menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka dan bersama-sama melihat masa depan Negara kita dengan aman damai dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Yang benar, Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia 30 Mei 2007

