Assalamu 'alaykum wr wb!

SABRA DAN SHATILLA JANGAN DILUPA,
WALAU 25 TAHUN KINI BERLALU!

15-18 September 1982
Yang Dibasah Darah Palestin

Minggu ini genap ulangtahun keduapuluhlima (25) peristiwa berdarah yang 
menyayat hati pembantaian seramai beribu-ribu orang pelarian Palestin di Kem 
Sabra dan Shatilla di Beirut, Lubnan. Peristiwa hitam ini tetap tinggal dalam 
sejarah umat Islam Palestin sebagai satu lagi daripada berpuluh-puluh tragedi 
yang menimpa mereka setelah berlakunya Nakba 1948, apabila tanah air mereka 
dijajahi oleh pendatang-pendatang asing dari Eropah yang menghalau mereka 
keluar merempat ke tempat orang.

Peristiwa yang bermula dengan pengepungan kem tersebut oleh tentera Zionis di 
bawah pimpinan Ariel Sharon pada tengah hari Rabu 15 September 1982 tersebut 
akan tetap tinggal sebagai contoh kebinatangan manusia yang tidak berhati perut 
hingga ke akhir zaman. Setelah semua pintu keluar disekat, kereta kebal tentera 
Yahudi mula membedil perkhemahan tersebut, sambil diawasi daripada 
bangunan-bangunan tinggi di sekeliling perkhemahan yang diduduki mereka, 
termasuk Kedutaan Kuwait, untuk dijadikan pos-pos pemerhatian. Sementara itu 
Sharon bertemu dengan pihak militia Kristian Falangist, di bawah Elie Hobeika, 
untuk mempelawa mereka masuk ke dalam perkhemahan pelarian Palestin dan 
"membersihkan" apa yang mereka sebut sebagai sarang pengganas.

Seterusnya bermula petang 16 September gerombolan pertama daripada sejumlah 
1,500 orang militia Falangis, yang termasuk juga anggota-anggota Tentera Bebas 
Lubnan pimpinan Saad Haddad, masuk ke dalam kawasan perkhemahan dengan menaiki 
jip-jip yang dibekalkan oleh tentera Yahudi dan bersenjatakan senapang, pisau 
dan parang. Mereka lalu menjalankan "tugas" membunuh dan menyembelih pelarian 
Palestin di sana, malah merogol wanita-wanita juga, sambil tentera Zionis 
berkawal di luar sepanjang sempadan perkhemahan agar tiada siapa yang lepas 
lari keluar. Di sebelah malam tentera Yahudi menembak roket suluh (flares) ke 
atas perkhemahan bagi meneranginya - dikatakan sehingga terang benderang 
bagaikan padang bola, agar pihak militia Kristian di dalam dapat terus 
menjalankan pembantaiannya.

Pembunuhan beramai-ramai yang kejam tersebut berjalan terus-menerus selama 
lebih daripada dua hari, tanpa mempedulikan sama ada lelaki, wanita atau 
kanak-kanak, dan tanpa ada pembelaan atau pertahanan daripada sebarang 
pihakpun. Setelah tiba pagi sabtu 18 September barulah pengganas-pengganas 
Falangis meninggalkan perkhemahan, menghela mereka yang masih hidup keluar 
bersama untuk dibawa ke stadium pula untuk diinterogasi. Apabila kumpulan 
pemberita yang pertama dapat masuk ke dalam kawasan perkhemahan, mereka dapati 
jasad-jasad bertaburan di seluruh kawasan, banyak daripadanya telah 
dikerat-kerat. Hanya setelah itulah baru berita pertama mengenai pembantaian 
ini sampai ke pengetahuan masyarakat dunia.

Wartawan Amnon Kapeliouk, yang beliau sendiri juga seorang Yahudi, daripada 
akhbar Perancis Le Monde Diplomatique menganggarkan sejumlah 3,000-3,500 orang 
pelarian Palestin lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dibunuh dan disembelih 
dalam tempoh dua hari tersebut dengan penuh kejamnya. Ini mengambilkira 
sebanyak 2,000 mayat yang diselenggarakan selepas pembantaian, daripada 
sumber-sumber rasmi dan Palang Merah, dan seramai dianggarkan 1,000 hingga 
1,500 lagi yang dibereskan sendiri oleh pihak pengganas Falangis. Selama begitu 
lama dunia tidak melihat suatu pembunuhan beramai-ramai pihak yang tidak 
bersalah yang bukan kombatan sebegitu, yang tidak dapat mempertahankan diri 
sendiri, dengan begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Sehingga hari ini tidak seorangpun yang bertanggungjawab ke atas pembantaian 
kejam ini telah dibawa ke pengadilan, jauh sekali daripada dihukum setimpalnya. 
Ariel Sharon malah kemudiannya naik menjadi Perdana Menteri entiti Zionis pula. 
Komander Falangis, Elie Hobeika, juga terlepas daripada hukuman dunia malah 
kemudiannya menjadi Menteri Kabinet Lubnan pula dalam tahun1990an. Walau 
bagaimanapun ia mati lantaran bom kereta pada Januari 2002.

JANGAN BIARKAN IA BERULANG!
UMAT ISLAM HARUS BANGUN DAN SEDAR DAN PEKA!

Ainullotfi al-Fikri

Rujukan: Robert Fisk, Wikipedia.

Kirim email ke