Tragedi Batu Buruk: Kenyataan media Bersih (12/09/07)
Oleh Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

1) Pada 8 September 2007, Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil 
(BERSIH) yang menggabungkan parti-parti politik dan NGO merancang untuk 
mengadakan majlis perhimpuan aman berupa road show untuk menuntut pilihan raya 
yang bersih dan adil di Batu Buruk, Kuala Terengganu. 

2) Pihak penganjur telah membuat permohonan permit polis sebagaimana yang 
sewajarnya namun permit tidak dikeluarkan kepada pihak penganjur walaupun 
rayuan telah dibuat.

3) Pihak penganjur telah mendirikan pentas program namun pada jam 5 petang 
polis telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah yang digunakan pihak 
penganjur dan merobohkan pentas itu tanpa keizinan tuan rumah.

4) Polis kemudiannya membuat sekatan jalan dan halangan beberapa kilometer dari 
tempat majlis hendak diadakan agar orang ramai tidak masuk ke kawasan itu. 

5) Pada sebelah malamnya, kira-kira jam 9.40 malam, para pemimpin BERSIH 
termasuk Dato' Mustafa Ali telah dihalang dari masuk ke kawasan majlis itu. 
Mereka termasuklah Dr Syed Azman Syed Ahmad (wakil BERSIH), Haji Muhamad Sabu 
(wakil PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (wakil PKR), YB Leong Ngah Ngah (wakil DAP) 
dan Haji Azmi Hamid (Teras).

6) Perbincangan dibuat antara mereka dan polis namun program itu tidak 
dibenarkan untuk diadakan.

7) Ekoran dari itu, ketegangan telah timbul antara polis dan orang ramai yang 
berhimpun. Kemudiannya FRU mula menembak water canon dan gas pemedih mata ke 
arah orang awam secara membabibuta. Ia berterusan hingga jam 1.30 pagi.

8) Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan 
beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam yang berhimpun secara aman. 
Ia telah terkena kepada seorang awam bernama Suwandi Abdul Ghani, 37, dan 
menembusi paru-parunya, Seorang lagi, Muhamad Azman Aziz, 21, telah terkena 
pada lehernya. Sehingga kini, Suwandi telah dipindahkan ke Hospital Kubang 
Kerian (dari Hospital Kuala Terengganu) untuk menerima rawatan lanjut.

9) Berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat dari mereka parah.

10) 23 orang dari orang awam telah ditangkap termasuk tiga wartawan akhbar 
tempatan. Dua dari mereka telah ditahan reman.

11) Ekoran huruhara ini, pelbagai kerosakan berlaku kepada harta awam. Ia hanya 
reda selepas polis meninggalkan kawasan ini kira-kira jam 1.30 pagi.

Kami dengan ini berpendirian:-

1) Peristiwa ini berlaku selepas polis melakukan provokasi dan bertindak secara 
tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan memancut air ke atas 
orang ramai yang sedang beracun.

2) Bagi menghormati keputusan polis, pihak penganjur tidak bercadang untuk 
meneruskan program ceramah pada malam itu dan pimpinan yang hadir sedang 
menyelaraskan pembatalan itu dengan pihak tuan rumah dan petugas. Pihak 
penganjur juga telah memaklumkan kepada polis, majlis tidak akan diteruskan. 
Namun provokasi yang berterusan telah dilakukan oleh pihak polis.

3) Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat 
menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk 
mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Antara tuntutan Bersih adalah 
penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan 
menjamin media yang adil dan tidak berpihak.

4) Malangnya, polis telah digunakan untuk menyekat program bagi menyedarkan 
rakyat tentang hak mereka dalam sebuah negara demokrasi padahal polis 
sepatutnya menjalankan tugas untuk menurunkan kadar jenayah yang begitu tinggi 
sekarang ini dan menjadi masalah sebenar kepada rakyat sekarang.

5) Yang malang lagi, ada polis telah menggunakan peluru hidup dalam 
mengendalikan perhimpunan aman sebegini. Penggunaan peluru hidup dalam 
mengendalikan program sebegini adalah tidak berasas dan sangat dikesali. 

6) Bagi kami polis telah gagal mengendalikan perhimpunan tersebut berdasarkan 
prosedur undang-undang polis sendiri. Antaranya tiada pengumuman meminta orang 
ramai bersurai.

Kami dengan ini menuntut:

1) Penubuhan Suruhanjaya Diraja Bebas untuk menyiasat apa sebenarnya yang 
berlaku di Batu Buruk pada 8 September.

2) Penjelasan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri serta 
Ketua Polis Negara terhadap penggunaan peluru hidup dalam mana-mana perhimpunan 
aman sebegini.

3) Segala perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana badan yang sah tidak 
memerlukan permit polis dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak polis.

4) Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan 
mereka.

5) Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi 
Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian 
ini.

Maka kami yang mewakili BERSIH sekali lagi menegaskan pendirian bahawa kami 
terus komited memperjuangkan tuntutan untuk mendapatkan demokrasi dan pilihan 
raya yang adil secara aman di negara Malaysia yang tercinta ini.

Kirim email ke