Penyakit : Sibuknya, Hebatnya 
Oleh 
Zaharuddin Abd Rahman 
www.zaharuddin.net 
   
  
Cabaran dan ujian datang dalam bentuk yang pelbagai. Bagi yang beramal ia 
datang dalam bentuk yang tersorok dan mengelirukan niat. Merasa keagungan diri 
adalah pemusnah amal baik yang telah diusahakan.   
Nabi s.a.w bersabda :- 
ثلاث مهلكات: : شح مطاع و هوى متبع وإعجاب المرء بنفسه 
Ertinya : Tiga pemusnah (amalan), kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang 
diikuti, dan merasa agung dan hebat dengan diri" ( Riwyaat Al-Bazzar & 
At-Tabrani, Hadis Hasan  : ALbani ) 
Ada yang terdetik di sudut hatinya. 
"Aku hebat, akulah sentiasa solat berjemaah di masjid" 
Padahal dia lupa ada yang serupa dengannya malah jauh lebih khusyu solatnya dan 
hatinya tawadhu'. 
Benar, sedarkah kita bahawa walaupun kita sentiasa ke masjid, namun 
kebiasaannya mesti ada yang berjaya mendahului kita ke masjid atau surau itu. 
Mungkin sekali sekala kita yang terawal namun dalam banyak keadaan kita bukan 
yang terawal. Malah jika yang terawal sekalipun ia belum tentu yang paling 
berkualiti di sisi Allah swt. 
Ada yang terdetik : 
"Akulah hebat kerana berani dan berjuang untuk Islam." 
Sedangkan ia lupa ramai lagi yang lebih lama telah berjuang darinya, malah ada 
yang terkorban.. Jauh lebih berani dari dirinya. 
DAHSYATNYA AKU, SIBUK BETUL 
Lagi detikan :- 
"Nampaknya sibuk betul aku dalam perjuangan dan dakwah..hebat, hampir setiap 
hari ada kuliah dan ceramah di sana sini" 
Ada yang merasakan diri terlalu sibuk memberi manfaat dan berdakwah kepada 
orang lain, sehingga mindanya terhalang dari merasakan ada insan lain yang jauh 
lebih sibuk dan berjasa darinya.   
Sedarkah kita, sejenak terdetik diri sibuk dalam dakwah, itulah detik pemusnah 
diri dan amal. Malah ia terlupa dek kerana keghairahan memuji dirinya, terdapat 
ramai lagi yang lebih sibuk darinya dalam hal dakwah, malah 5 -6 ceramah setiap 
hari. Malah ada yang jauh lebih sibuk dari berceramah. Iaitu mereka yang 
berjuang dalam penulisan kitab 12 jam sehari, lalu tersebarlah ilmunya seantero 
dunia. 
Lupakah dirinya, terdapat ramai yang berjuang namun bukan sekadar memberi 
ceramah tapi mereka sudah sampai ke tahap berusaha dan bekerja melaksanakan 
inti-inti ceramah tersebut sama ada dalam sebuah kerajaan negeri atau 
persekutuan. Sudah tentu manfaatnya lebih hebat dan besar buat ummat dari 
sekadar berceramah atau menulis teori semata-mata. 
Justeru, janganlah sumbangan kita hingga kesibukan berceramah, menulis, 
mengolah artikel, mesyuarat jemaah beberapa malam menjadi pemusnah amalan, 
sudahnlah ianya sedikit  malah perasaan sebegini akan menjadikannya semakin 
kurus kering di sisi Allah swt. Inilah nasihat buat saya dan rakan-rakan 
pendakwah di luar sana. 
Rasulullah s.a.w mengajar kita, dalam hal keagamaan untuk sentiasa mencari dan 
memikirkan amalan dan kehebatan mereka yang lebih dari kita, manakala dalam hal 
dunia segeralah melihat mereka yang lebih kurang bernasib baik, dengannya kita 
akan sentiasa mensyukuri nikmatNya. 
Sabda Nabi :- 
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا 
فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو 
فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ 
على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه .. 
Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya 
sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan 
ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang 
agamanya  kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha 
mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang 
kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( 
Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani) 
Namun adalah malang ramai yang mengamalkan hadis ini secara terbalik. Dalam hal 
dunia sering kita dipengaruhi oleh mereka yang lebih kaya dan berharta sehingga 
nafsu keduniaan meningkat dan kelabu dari segala hukum halal haram. 
Malangnya dalam bab akhirat pula ada yang sering melihat orang yang lebih teruk 
darinya, lalu mengganggap dirinya agak lebih baik. Seperti kata : 
"ala orang lain ada yang tidak solat langsung, aku ‘at least ‘ solat la jugak 
walaupun tidak penuh lima waktu" 
PALING ALIM 
Selain dari itu, ada yang terdetik : 
"Akulah antara yang teralim dan paling mendalam" 
Tidak kiralah sama ada dalam kajian hadis, fiqh, kewangan dan lain-lain. 
Sedangkan terleka dari firman Allah swt :- 
  
وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ 
Ertinya : "..dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi yang 
lebih mengetahui" ( Yusuf : 76 ) 
Inilah yang menjadikan Khalifah Umar Al-Khattab berkata :- 
كل الناس أفقه من عمر 
Ertinya : Semua orang lebih faham dari Umar al-Khattab (Tafsir Ibn Su'ud, 6/276 
) 
Inilah yang disebutkan oleh Ibn Qayyim :- 
أي فوق كل ذي علم رفعه الله بالعلم من هو أعلم منه حتى ينتهي العلم إلى الله تعالى 
والكمال في العلم معدوم من غيره 
Ertinya : di atas setiap orang alim itu yang Allah naikkannya dengan ilmu, 
terdapat mereka yang lebih mengetahui darinya sehinggalah tamat pada ilmu Allah 
swt, dan yang sempurna dalam ilmu tidak selain Allah( Zad AL-Masir, 4/262 ) 
  
Ya Allah, diminta jauh dari penyakit sebegini hinggap di dalam hati-hati kami. 
Perlulah dikethaui bahawa antara punca datangnya penyakit ini adalah hasil 
pujian-pujian menggunung yang diperolehi. Sila baca bab tersebut di sini.
Sekian 
Zaharuddin Abd Rahman 
www.zaharuddin.net 
23 Jun 2008 


      __________________________________________________________
Not happy with your email address?.
Get the one you really want - millions of new email addresses available now at 
Yahoo! http://uk.docs.yahoo.com/ymail/new.html

Kirim email ke