Berikut sebahagian daripada Laporan Ketua Audit Negara 2007 yang mendedahkan 
beberapa kelemahan dalam Sistem Persijilan Halal JAKIM.

…….Pihak Audit telah memilih 45 sampel produk yang menggunakan logo halal JAKIM 
yang dijual di pasaran antara bulan Februari hingga awal bulan Mac 2008 
mendapati hanya 31 produk menggunakan logo yang masih sah.

Memandangkan jawatan Gred F41 adalah diperlukan oleh Bahagian Hub Halal untuk 
menyelenggarakan sistem maklumat Sijil Halal terutamanya menguruskan portal 
e-Halal yang sentiasa digunakan perkhidmatannya oleh orang ramai, jawatan 
tersebut adalah tidak wajar dipinjamkan ke Bahagian ICT. 

Semakan Audit mendapati 13 pegawai Bahagian Hub Halal telah diwartakan sebagai 
Penolong Pengawal Perihal Dagangan pada 15 September 2003 selaras dengan 
Seksyen 26 Akta Perihal Dagangan 1972. Bagaimanapun daripada 13 pegawai ini, 
didapati 6 telah berpindah ke jabatan lain, 2 telah bersara dan seorang telah 
meninggal dunia. 

Permohonan telah dibuat oleh JAKIM pada 10 Oktober 2007 kepada KPDNHEP untuk 
membolehkan 79 pegawainya dilantik sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan, 
namun sehingga kini masih belum ada maklum balas terhadap permohonan tersebut.

Pihak Audit telah membuat semakan terhadap 849 permohonan yang telah mendapat 
Sijil Halal pada tahun 2006. Mengikut Piagam Pelanggan JAKIM, Sijil Halal perlu 
dikeluarkan dalam tempoh 4 bulan selepas caj perkhidmatan diterima serta 
memenuhi segala prosedur dan syarat pengesahan halal yang ditetapkan. Semakan 
Audit mendapati sebanyak 573 permohonan (67.4%) telah dikeluarkan Sijil Halal 
dalam tempoh yang ditetapkan manakala 245 permohonan (28.9%) telah dikeluarkan 
Sijil Halal melebihi tempoh yang ditetapkan. Selain itu, 31 permohonan (3.7%) 
telah dikeluarkan Sijil Halal sebelum bayaran caj perkhidmatan dijelaskan oleh 
pemohon. 

Proses pemeriksaan premis mengambil masa sehingga melebihi 4 bulan disebabkan 
oleh faktor-faktor berikut :-
• Kekurangan pegawai terutamanya bagi Unit Kajian Dan Pengesahan, Cawangan 
Pengeluaran Sijil Halal Dan Logo halal yang terlibat secara langsung dengan 
kerja-kerja pemeriksaan premis. Mengikut struktur organisasi Bahagian Hub 
Halal, didapati
Unit ini mempunyai 8 kekosongan jawatan melibatkan Gred C48/S44/C44/S41/S27 
mengakibatkan bebanan kerja kepada pegawai sedia ada. Sebagai contoh, 
permohonan Sijil Halal bagi tahun 2007 adalah sebanyak 1,355. 
• Kekurangan kenderaan di Bahagian Hub Halal untuk menampung 10 kumpulan 
pemeriksa bagi menjalankan operasinya yang merangkumi seluruh negara. 


3.5. RUMUSAN DAN SYOR AUDIT
3.5.1. Pada umumnya, JAKIM telah merancang pengurusan pensijilan halal dengan 
baik. Bagaimanapun dari segi pelaksanaannya, terdapat beberapa kelemahan yang 
perlu diperbaiki. Antara kelemahan tersebut adalah beberapa jawatan yang 
menguruskan pensijilan halal masih belum diisi sejak penstrukturan semula 
diluluskan pada tahun 2005; hanya sebilangan kecil pegawai JAKIM diberikan 
kuasa untuk menjalankan pensijilan halal dan penguatkuasaan; aktiviti 
penguatkuasaan masih kurang berkesan dan ini terbukti di mana wujudnya produk 
menggunakan logo halal JAKIM secara tidak sah di pasaran. Selain itu, masa yang 
lama diambil untuk memproses permohonan dan mengeluarkan Sijil Halal.

3.5.2. Pada 2 April 2008, Kerajaan telah memutuskan supaya aktiviti pensijilan 
halal diambil alih oleh Halal Development Corporation (HDC). Bagaimanapun 
sehingga 1 Jun 2008, urusan ini masih lagi dikendalikan oleh JAKIM kerana 
beberapa perkara yang berkaitan perlu diselesaikan sebelum ia diserahkan kepada 
HDC. Sehingga HDC mengambil alih urusan ini, JAKIM perlu memperbaiki beberapa 
kelemahan yang telah dibangkitkan. Sehubungan ini, adalah disyorkan supaya 
JAKIM memberikan pertimbangan kepada perkara-perkara berikut :-

a. Memastikan jawatan-jawatan penting seperti ketua cawangan/unit serta pegawai 
yang terlibat dalam membuat keputusan tentang pemberian Sijil Halal diisi 
sepenuhnya dengan segera bagi menjamin urusan pensijilan halal berjalan dengan 
lancar.

b. Memandangkan Bahagian Hub Halal menyelenggarakan sistem maklumat Sijil Halal 
terutamanya menguruskan portal e-Halal yang sentiasa digunakan perkhidmatannya 
oleh orang ramai, urusan ini hendaklah dikendalikan oleh seorang pegawai sistem 
maklumat secara sepenuh masa.

c. Mengkaji semula penurunan kuasa yang terhad bagi membolehkan pegawai JAKIM 
untuk menjalankan aktiviti pensijilan halal dan penguatkuasaan dengan berkesan. 
JAKIM perlu memastikan pegawai-pegawainya yang terlibat dalam aktiviti 
pensijilan halal diwartakan dan mempunyai kad kuasa sepertimana yang 
dikehendaki di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

d. Memantau proses pemeriksaan pensijilan halal untuk memastikan ia 
dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Bagi tujuan tersebut, JAKIM perlu 
menetapkan norma masa bagi melaksanakan aktiviti ini.

e. Memandangkan terdapat produk-produk yang menggunakan logo halal yang tidak 
diiktiraf oleh JAKIM, pemeriksaan juga perlu dijalankan terhadap produkproduk 
berkenaan. Ini adalah penting bagi memastikan produk-produk tersebut dipastikan 
kesuciannya. Ini juga adalah selaras dengan misi Bahagian Hub Halal untuk 
memastikan produk yang menggunakan Sijil Pengesahan Halal atau yang
menggunakan perbahasaan halal adalah suci dan halal mengikut lunas syarak.

f. Bagi membolehkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dijalankan dengan 
berkesan, semua kemudahan dan peralatan yang diperlukan seperti kenderaan, 
kamera dan sebagainya hendaklah disediakan dengan secukupnya.

g. Bagi produk-produk yang telah ditarik balik Sijil Halal, adalah disyorkan 
agar produk-produk yang terlibat dihebahkan kepada pengguna melalui akhbar, 
laman web dan lain-lain media tentang status produk-produk tersebut.

h. Selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri bahawa hanya 
logo halal JAKIM yang patut digunakan pada produk dan makanan, JAKIM patut 
mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan penggunaan logo berkenaan 
dan proses pensijilan halal yang seragam diikuti oleh Jabatan-Jabatan Agama 
Islam Negeri. Ini adalah juga penting untuk mengelakkan kekeliruan di kalangan 
orang ramai.

i. Sistem e-Halal patut diperluaskan untuk memasukkan maklumat berhubung dengan 
status halal produk yang mendapat Sijil Halal daripada Jabatan-Jabatan Agama 
Islam Negeri.

Dimuat turun dari 
http://www.mpkapar.com/manikavasagam/wp-content/uploads/2008/09/laporan-ketua-audit-negara-2007.pdf
 




      

------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [EMAIL PROTECTED]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke [EMAIL PROTECTED] Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke