Assalamualaikum warahmatullah,
Memanjangkan....Pendekatan yang sangat menarik! Puan Ainon Mohamad (SifuPTS)
menulis:
http://universitipts.com/index.php/site/comments/khutbah_jumaat2/
Umi Kalthum Ngah
http://biasanembun.blogspot.com
http://opalinedew.blogspot.com
----------------------
Khutbah Jumaat PTS: Memilih Prioriti - antara Menyebar-kembangkan Islam ataupun
Mempertahankan Islam
Semalam, pada 4hb September, Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat
Tuan Lim Guan Eng bersama wakil-wakil rakyat DAP iaitu Tuan Chow Kon Yeow, Tuan
Chong Eng, Tuan Lim Hock Seng, Tuan Ohee Boon Poh, Tuan Lew Chin Tong, Tuan Ng
Wei Aik telah hadir ke majlis berbuka puasa bersama kepimpinan PAS Pulau Pinang
di Restoran Kasim Mustaffa, Seberang Jaya.
YAB Tuan Lim Guan Eng pernah membuat kenyataan bahawa beliau mahu menjadi
seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Beliau juga pernah berkata bahawa prinsip
'amar makruf nahi mungkar' adalah strategi yang dapat menyelesaikan banyak
masalah.
Peristiwa di atas mempunyai perkaitan dengan dasar perniagaan PTS.
PTS adalah sebuah penerbit yang berjuang menyebarkan dan mengembangkan
kefahaman tentang mesej-mesej Islam. Justeru buku-buku terbitan PTS ditargetkan
kepada sesiapa sahaja yang sama sekali tidak mempunyai pengetahuan asas tentang
Islam. Ertinya, pembaca tidak perlu masuk Islam dahulu sebelum dapat membaca
buku-buku agama PTS.
Di sebalik dasar perniagaan PTS itu adalah dorongan mahu memenuhi salah satu
arahan Nabi Muhammad (salam dan selawat buat beliau, anggota keluarga beliau
dan sahabat-sabahat beliau) kepada kita, yakni supaya kita menyampaikan kepada
orang-orang lain biarpun hanya sepotong ayat daripada beliau.
Dengan hal yang demikian, PTS menjadikan kerja-kerja 'menyebarkan dan
mengembangkan' Islam sebagai objektif korporatnya yang di-prioriti-kan, bukan
'mempertahankan' Islam per se.
Perjuangan mempertahankan Islam adalah pasif-dan-reaktif kerana kita menunggu
sehingga kita berasa Islam itu sedang diancam barulah kita bertindak. Jika kita
berasa Islam selamat, meskipun sebenarnya Islam terancam, maka kita tidak
melakukan apa-apa. Jadi, kita duduk pasif menunggu sampai ada pihak yang
melakukan sesuatu yang kita anggap sebagai ancaman terhadap Islam, maka barulah
kita bangun secara reaktif melakukan sesuatu.
PTS bekerja kuat dengan sikap aktif-dan-proaktif. Dalam apa keadaan sekalipun
PTS bekerja kuat menerbitkan buku-buku yang memudahkan sesiapa sahaja belajar
tentang Islam. Kita tidak menunggu apa-apa berlaku terhadap Islam. Kita bekerja
kuat meskipun Islam selamat.
Perjuangan mempertahankan Islam mementingkan label-label 'musuh'. Tanpa
menggunakan label-label permusuhan, kita tidak mempunyai target perjuangan dan
kita tidak tahu siapa yang hendak dilawan. Jadi, sebelum berjuang, mesti ada
pihak-pihak yang kita labelkan sebagai 'musuh' lalu barulah kita tahu siapa
'musuh' kita, dan kita mempunyai justifikasi bagi menentang 'musuh-musuh' itu.
Kelemahan perjuangan mempertahankan Islam di bumi Malaysia yang aman damai ini
adalah kita bersikap menunggu dorongan oleh sumber-sumber luaran. Kita menunggu
adanya pihak-pihak luar yang pada anggapan kita mereka itu adalah 'ancaman',
yang kemudian kita labelkan mereka sebagai 'musuh' Islam, kemudian barulah kita
bertindak memusuhi mereka.
Jadi, kalau kita mahu kita boleh sahaja melabelkan DAP, ataupun siapa-siapa
sahajalah, sebagai 'musuh' yang mesti kita lawan dan hancurkan, sebab banyak
sekali perkara-perkara yang dapat kita gunakan bagi menjustifikasikan
penggunaan label 'musuh' kepada DAP dan siapa-siapa sahajalah.
Dari sudut perspektif PTS, di bumi Malaysia yang aman ini, tidak ada 'musuh',
yang ada adalah orang-orang yang perlu diberi peluang seluas-luasnya memahami
mesej-mesej Islam.
Justeru sikap mempertahankan Islam adalah bersifat pasif-reaktif,
konfrontasional, konfliksional dan destruktif. Ia mencipta konflik,
pertentangan, perseteruan, permusuhan, perdendaman, ketakutan, ketegangan,
kemarahan, kebencian dan kerosakan.
Sikap mempertahankan Islam bukan hanya menyebabkan kita membenci dan memusuhi
mereka yang kita labelkan sebagai 'musuh', malah ia menyebabkan sesiapa sahaja
yang di luar kumpulan kita menjadi takut dan benci terhadap Islam itu sendiri.
Apabila orang-orang bukan Islam memahami mesej-mesej Islam, kita berpeluang
menjadikan mereka bersikap lembut terhadap Islam dan kooperatif kepada kita
sebagaimana yang kita lihat pada sikap YAB Tuan Lim Guan Eng dan wakil-wakil
rakyat DAP di Pulau Pinang.
Kejayaan mempertahankan Islam adalah kejayaan yang mengekalkan status-quo.
Maksudnya, jika Islam sekarang 10, maka selepas selesai berjuang, apa yang ada
dalam tangan masih 10, malah mungkin tinggal 3!
Sebaliknya, apabila kita menjadikan daya usaha menyebar-kembangkan Islam
sebagai prioriti perjuangan di bumi Malaysia yang aman damai ini, kita
berpeluang mendapat lebih daripada 10.
Sekarang ini jumlah rakyat Malaysia yang beragama Islam mungkin sekitar 11
juta, namun dengan bekerja kuat menyebar-kembangkan Islam, jumlah itu dapat
kita tambah dengan banyaknya.
Tentu sekali, apabila kita berjuang menentang 'musuh' dan mengisytiharkan
bahawa kita sanggup mati demi mempertahankan Islam maka kita berpeluang
menonjolkan kewiraan kita. Pada waktu yang sama tindakan-tindakan kita dan
gambar-gambar kita yang sedang beraksi dapat dijadikan berita dalam media. Kita
juga berpeluang menjadi hero yang dikagumi oleh mereka yang seperti kita. Dan
kita berpeluang menjadi orang yang digeruni. Paling tidak, aksi-aksi berjuang
menentang mereka yang kita labelkan sebagai 'musuh' memberi kita peluang
menampakkan diri kita sedang berjuang dan bekerja kuat.
Di satu pihak yang lain, apabila kita bekerja kuat menyebarkan dan
mengembangkan Islam, kita bekerja dalam senyap, kita tidak menjadi wira yang
penuh aksi, tidak berpeluang menjadi berita dalam media.
Di bumi yang aman damai ini, sempena bulan mulia ini, kita mengajak semua pihak
supaya berjuang menyebarkan dan mengembangkan Islam kepada semua pihak yang
selama ini sudah kita labelkan sebagai 'musuh', mudah-mudahan rakyat Malaysia
akan berbondong-bondong menerima Islam. Amin.
--------------------------------