KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia
 
14 September 2008 
 
JIM KECAM PENAHANAN AHLI POLITIK, WARTAWAN DAN PENULIS BLOG DI BAWAH AKTA 
KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)
 
Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengecam undang-undang tanpa bicara seperti
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan penggunaannya ke atas Ahli
Parlimen Seputeh yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Selangor, Teresa Kok, wartawan akhbar Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng dan 
pengendali laman blog Raja Petra Kamaruddin.
 
JIM
ingin menegaskan bahawa prinsip keadilan amatlah penting dalam
perundangan. ISA menyalahi prinsip keadilan kerana mereka yang ditahan
dinafikan hak untuk “tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahannya”,
dinafikan hak bela diri, dinafikan khidmat guaman dan boleh ditahan
selama-lamanya tanpa dihadapkan ke mahkamah. 
 
Walaupun
wartawan Tan Hoon Cheng kemudiannya telah dibebaskan selepas 16 jam
ditahan, namun JIM mempersoalkan penahanan tersebut atas kononnya untuk
melindungi beliau daripada ancaman ke atas keselamatan beliau. Ini
menurut Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar dalam sidang akhbar di
Ibupejabat Polis Bukit Aman pada 13 September 2008. Bukankah suatu yang
amat pelik apabila seseorang ditahan di bawah ISA untuk menyelamatkan
beliau daripada ancaman keselamatan sedangkan lazimnya seseorang
ditahan kerana beliau dituduh memudaratkan keselamatan negara?
 
Apakah
dengan ini wartawan tersebut perlu berterima kasih kepada Kerajaan atau
sepatutnya menyaman Kerajaan kerana merampas hak kebebasan beliau
sebagai warganegara dengan alasan yang tidak munasabah langsung?
 
Perbuatan
menuduh tanpa sebarang bukti adalah perbuatan yang haram dari sudut
Syariah, kerana ianya sendiri merupakan sebab utama kepada keadaan
huru-hara di kalangan masayarakat yang hilangnya kepercayaan antara
satu sama lain. 
 
Firman
Allah s.w.t. dalam surah Al-Hujurat ayat 6, penyebaran perkhabaran dan
maklumat yang tidak sahih lagi meragukan menyebabkan berlakunya
pertimbangan yang tidak adil, lantaran mengundang kepada musibah fitnah
yang melanda masyarakat. 
 
Riwayat
hadith Ibnu Majah dan Abu Dawud menyebutkan bahawa kadi yang menetapkan
hukuman kepada seseorang bedasarkan sumber-sumber bukti yang tidak
benar akan dicampakkan ke dalam api neraka sewajarnya cukup menjadi
pengajaran bagi kerajaan untuk mengutamakan prinsip keadilan Islam yang
rasional berbanding dengan sentimen-sentimen perkauman yang rapuh dalam
menjaga kemaslahatan masyarakat.
 
JIM
mengesyorkan mana-mana pihak yang terkesan dengan sebaran awam yang
dianggap menghina Islam supaya tampil proaktif dalam memberikan
penjelasan yang bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan. Islam tertegak
di atas nas dan dalil Al-Quran dan Sunnah yang jelas. Tuntutan untuk
mengemukakan hujah-hujah Islam secara berhikmah dan beradab sudah
termaktub di dalam riwayat hadith-hadith yang sahih.
 
JIM
memandang penahanan wartawan Tan Hoon Cheng seolah-olah beliau
bertanggungjawab ke atas kontroversi kenyataan perkauman Ahmad Ismail
sebagai tidak wajar kerana Ahmad Ismail dan pengikut beliau sendiri
yang sengaja memberikan provokasi perkauman tanpa sebarang kawalan
emosi di hadapan wartawan-wartawan.
 
Penahanan
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula merupakan satu ketidakadilan
kerana dakwaan bekas Menteri Besar Selangor keatasnya telah dinafikan
sekeras-kerasnya. Malah, masjid di Damansara yang dikatakan disuruh
perlahankan bunyi azannya telah memberi penjelasan bahawa azan tidak
berbunyi dengan kuat kerana alat pembesar suara azannya mengalami
kesulitan teknikal, bukannya kerana ditentang penduduk bukan Islam. 
 
Penduduk
bukan Islam di kawasan perumahan sekitar sebuah masjid di Puchong pula
dilaporkan hanya memohon supaya diperlahankan penggunaan pembesar suara
untuk majlis kuliah bacaan ayat al-Quran, bukannya azan itu sendiri. 
 
JIM
berpendirian jelas bahawa apa juga alasan yang dinyatakan kerajaan atas
episod penahanan terbaru ini samada sebagai “pencetus polemik
ketakutan” atau “pencetus kegawatan”, ianya seharusnya boleh ditangani
dengan pelbagai akta lain yang sedia ada.
 
Tindakan
menggertak dan menangkap blogger, wartawan, para pengkritik dasar
kerajaan khususnya dari kalangan parti pembangkang tanpa hujah yang
konkrit hanya akan mengundang kemusykilan rakyat terhadap motif dan
keikhlasan kerajaan dalam melaksanakan perubahan pasca Pilihan raya
Umum ke-12 terutamanya dalam konteks lanskap politik negara kini.
Tindakan ini hanyalah mengesahkan lagi bahwa ISA digunakan untuk tujuan
politik parti pemerintah.
 
JIM
amat kesal dengan tindakan parti politik pemerintah yang sanggup
memainkan isu sensitif seperti perkauman dan agama demi untuk menutup
pelbagai kelemahan kepimpinan sedia ada. Sebaliknya, adalah lebih baik
pihak kerajaan berusaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang terjadi di
dalam negara sekarang ini tanpa menggadaikan suasana keamanan yang
sedia ada. Hentikan politik perkauman, fitnah dan tuduh menuduh tanpa bukti 
lagi tanpa bicara dan kembalilah kepada Syariat Islam.
 
JIM
menggesa Kerajaan untuk membebaskan Teresa Kok, Raja Petra dan
tahanan-tahanan ISA yang lain dengan serta merta atau dakwa mereka di
mahkamah. Nasib tahanan yang ditahan dalam tempoh yang lama sehingga 7
tahun juga perlu dibela. 
 
Sebagai
anggota aktif gabungan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), JIM menyeru rakyat
yang prihatin untuk turut tampil membantah ISA dan penahanan
berhubungnya melalui program-program yang dianjurkan oleh GMI. Dalam
tuntutan keadilan dan kebenaran, tidak ada batasan agama, kaum atau
budaya.
 
 
Syed Ibrahim Syed Noh
Timbalan Presiden



      

Kirim email ke